Cerpen “Seri”

kapal di lambung ombak

Bot di Laut ( terimakasih0 )

Angin yang bertiup dari arah laut terasa nyaman dan segar menyapu tubuh Idham.

Pohon-pohon di tepi laut kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin laut. Di kaki langit biru matahari semakin meninggi bersama sinaran cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh alam semesta.

Suara desiran ombak membelah pantai jelas kedengaran membelah suasana yang tenang dan hening. Buih-buih memutih kelihatan berapungan membasahi gigian pantai.

Sekejap timbul dan sekejap hilang apabila ditolak dan ditarik ombak.

Idham memandang laut yang membiru sambil menarik nafas yang panjang dan memeluk erat tubuh. Hidup ini tak ubah seperti lautan biru yang luas. Pasang dan surut silih berganti penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Itulah yang bermain di benak Idham sambil matanya lekat memandang laut. Hidup ini bagaikan roda ada ketikanya berada di atas dan ada waktunya berada di bawah.

Tika berada di puncak menjadi sanjungan dan pujian tapi apabila berada di bawah menjadi cacian dan kejian.

Itulah yang dinamakan lumrah dalam kehidupan yang dilalui di atas dunia ini.

@@@@@@@

“Bukan hidup namanya kalau kita tak berhadapan dengan dugaan.” Demikian kata sahabat karibnya Amar.

“Tapi dugaan itu amat pahit dan memeritkan,” dia sebaliknya membalas.

“Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah,” ujar Amar lagi.

“Kau tak berada di tempat aku, Mar!” dia memandang wajah sahabat karibnya itu sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Aku faham, Ham!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau perlu sabar dan kuat menghadapi ujian yang diberikan Tuhan dan bukannya mengeluh dan mengalah,” Amar mengingatkannya.

Dia sebaliknya lalu diam apabila mendengar apa yang dikatakan Amar itu. Ternyata dia tidak kuat dan mudah mengalah dengan cabaran. Tapi di sebalik cabaran itu ada nikmat kemanisan apabila berjaya mengatasinya.

“Assalamualaikum!” Tiba-tiba kedengaran suara seorang wanita memberi salam padanya.

“Waalaikumsalam!” dia lalu menjawab salam sambil berpaling ke arah wanita yang memberi salam itu.

Wajahnya sungguh cantik dan jelita dengan tudung yang menutupi rambut dan berbaju kurung. Gadis itu kemudiannya lalu melemparkan senyuman dan dia pantas membalasnya. Wajah gadis yang semakin ayu itu apabila disapu angin yang datang dari arah laut dipandangnya dalam-dalam.

“Maafkan saya kerana mengganggu ketenangan saudara …,” dia bersuara lembut.

“Oh, tidak mengapa!” dia pantas membalas sambil menggelengkan kepala.

“Saya, Idham. Saudari ….”

“Saya Seri,” dia memperkenalkan diri.

“Seri …. Ermmm …. Cantik nama itu.”

“Saya tak pernah tengok awak sebelum ni. Mungkin ini kali pertama awak datang ke sini,” katanya lagi.

“Ya, betul!” Idham sebaliknya mengangguk.

“Cantik tempat ni. Tenang dan damai,” sambungnya sambil menarik nafas yang panjang. Memang terasa dingin dan enak apabila dapat menghirup udara pantai.

“Awak datang ke sini untuk bercuti. Maafkan saya. Mungkin awak tidak berasa senang apabila saya banyak bertanya,” ujar Seri.

“Tak mengapa!” dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Memang saya datang ke sini untuk bercuti. Pada masa yang sama saya mencari ketenangan,” tambahnya.

@@@@@@@

Suara ombak menghempas pantai jelas kedengaran bersama angin yang bertiup kencang. Pohon-pohon bagaikan bernyanyi-nyanyi riang mengikut rentak angin yang bertiup. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin bertaburan di atas pasir yang memutih dan berkilauan. Umpama mutiara di dasar lautan bila disinari cahaya matahari yang terik.

Demikianlah perjalanan hidup ini tidak akan kekal buat selama-lamanya.

Apabila tiba masanya nanti akan berguguran seperti daun-daun kering menyembah tanah.

“Ketenangan?” ulang Seri pula sebaliknya.

“Ya! Terlalu banyak dugaan yang saya lalui dalam hidup ini,” katanya.

“Tentu besar dugaan yang awak hadapi,” ucap Seri.

“Saya selalu mengalami kegagalan dalam hidup ini …!” dia mengeluh.

“Mengeluh dan berputus asa bukanlah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah,” balas Seri pula.

“Awak tak mengalaminya!” potongnya dengan pantas.

“Sekali gagal bukan selama-lamanya awak akan gagal,” nasihat Seri.

Idham sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja sambil memandang laut yang membiru. Laut tidak selalunya tenang dan ada ketikanya bergelora. Tak semua keindahan yang diimpikan dalam hidup ini akan menjadi kenyataan.

Disangka panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di tengah hari.

Dia kemudiannya memandang semula wajah Seri.

“Entahlah …. Saya terlalu mudah mengalah dengan dugaan …,” dia merengus.

“Awak harus bangkit dan menjadi pemenang dalam hidup ini,” ujar Seri lagi.

“Saya dah cuba tapi …,” dia terhenti.

“Masih gagal, kan,” Seri pantas memotong.

Sekali lagi Idham terdiam sambil menarik nafas yang panjang. Kata-kata Seri itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam dirinya.

Memang selama ini dia lemah dan tidak kuat dalam menghadapi dugaan yang datang dalam hidup ini. Dia berasakan dugaan adalah ibarat memikul seketul batu yang besar dan berat.

“Di sebalik dugaan itu ada hikmah yang tersembunyi. Awak harus sabar dan banyakkan berdoa agar Tuhan memberikan awak kekuatan dan petunjuk untuk menghadapinya,” ingat Seri.

“Memang benar apa yang awak katakan tu …!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala lemah.

“Awak mesti kuat dalam menghadapi cabaran hidup yang datang. Kemanisan dan nikmat akan awak rasai bila berjaya mengharunginya,” tambah Seri lagi.

Idham lalu memandang wajah gadis yang bernama Seri itu. Gadis yang tidak dikenalinya dan tiba-tiba muncul ketika dia mencari ketenangan di pantai. Dia seperti mendapat suntikan semangat apabila bertemu dengan Seri.

“Terima kasih, Seri. Kerana memberikan saya semangat dan kata-kata perangsang. Mulai dari sekarang saya akan bangkit semula dan tidak mudah mengalah dalam menghadapi arus cabaran hidup,” dia berkata.

“Syukur alhamdulillah. Saya mendoakan semoga yang terbaik akan hadir dalam hidup awak. Saya mohon diri dulu,” pinta Seri sambil tersenyum.

“Baiklah!” angguknya.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam!” Idham menjawab.

Seri kemudian lalu mengatur langkah perlahan.

Idham memerhatikan Seri berjalan meninggalkan pantai. Perlahan-lahan gadis yang bernama Seri itu hilang daripada pandangan matanya.

Dalam hatinya tertanya-tanya siapakah sebenarnya gadis yang bernama Seri ini.

@@@@@@@


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *