Cerpen “Semoga Esok Mentari Akan Bersinar”

Tingkap Pecah ( Skeeze )

Langit tidak selalunya cerah.

Adaketikanya awan mendung berarak bersama hujan yang turun. Hidup tidak selalunya indah.

Tidak semua keindahan yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Dengan renungan mata yang penuh kudus Suriati memandang laut yang membiru.

Angin laut yang bertiup nyaman dan segar terasa membelai seluruh tubuhnya. Sambil memeluk erat tubuh dan menghirup udara laut yang dingin dia terus melemparkan pandangan ke arah laut biru dan terbentang luas itu.

Jiwa berasa benar-benar tenang apabila memandang ombak yang tak putus-putus menghempas pantai.

♣♥∇Δ∇♥♣

Laut itu mengingatkannya pada perjalanan hidup ini.

Tak ubah seperti air laut. Pasang dan surut silih berganti. Dalam erti kata lain penuh dengan warna-warna suka dan duka. Putaran hidup ini juga tak ubah seperti roda. Sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Hari ini kita berasa suka tapi esok belum pasti lagi. Mungkin duka akan datang menyapa dalam hidup kita. Kita harus redha menerimanya sebagai ketentuan takdir.

Sehebat dan sekuat mana pun kita yang bernama manusia dan hidup di atas dunia ini sedikit pun tidak akan dapat mengatasi takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan.

Suriati menyedari semua itu. Dia perlu kuat dan tabah. Walaupun dia dilahirkan ke dunia ini sebagai seorang wanita.

Sudah banyak airmatanya tumpah. Meratapi pedih dan derita yang membayangi hidupnya. Sehingga siang dan malam dia jadi tidak menentu.

♣♥∇Δ∇♥♣

“Dia tinggalkan aku …,” dia bersuara lemah dan tidak bermaya sambil menarik nafas yang panjang.

“Kenapa dia tinggalkan kau?” tanya Azmil pula sebaliknya.

Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Rasa kesedihan kelihatan semakin tebal membungkus wajahnya. Hatinya yang remuk redam tiada siapa yang tahu melainkan Tuhan sahaja.

“Su …,” kata Azmil.

Dia kemudian lalu memandang wajah lelaki yang duduk berhadapan dengannya itu.

“Jangan biarkan kesedihan terus membayangi hidup kau,” ujarnya lagi.

“Tapi aku terlalu sayangkan dia, Mil!” balas Suriati pula dengan pantas.

“Aku faham perasaan kau, Su. Memang amat payah untuk melupakan orang yang kita sayang. Tapi kau tak boleh berterusan begini. Hanya akan menyeksa perasaan kau saja,” dia berkata.

Diam. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukan oleh Suriati. Apabila mendengar kata-kata Azmil itu.

Angin bertiup lemah dan lesu. Seolah-olah mengerti dan turut berkongsi perasaan sedih dengan Suriati.

“Lupakanlah apa yang telah terjadi,” ucapnya lagi.

“Itu bagi kau. Tapi bagi aku tidak!” geleng Suriati pula sebaliknya dengan pantas.

Jauh benar dia mengelamun. Suara desiran ombak menghempas pantai jelas kedengaran membelah suasana.

Tiba-tiba dia teringatkan kisah percintaan sang rembulan dan pungguk. Pungguk sentiasa merindukan sang rembulan. Kisah cinta sang rembulan dan pungguk sama dengan kisah cintanya dengan Hazman.

♣♥∇Δ∇♥♣

“Su …. Kaulah cinta yang pertama dan terakhir dalam hidup aku ….” Nada suara Hazman yang perlahan tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

Dia kemudian lalu merenung wajah lelaki yang dicintainya itu dalam-dalam. Sedalam lautan biru yang terbentang luas. Matanya dan Hazman saling berlaga.

Rasa cinta antara mereka berdua semakin membara. Bagai api yang panas membakar dan sukar untuk dipadamkan.

“Sungguh?” dia membalas dengan mengangguk dan mengangkat kepala sambil terus memandang wajah kekasih hatinya itu.

“Su …. Haruskah aku buktikan!” angguk Hazman pula.

“Tapi adakalanya aku bimbang, Man,” katanya dengan rasa keresahan jelas kelihatan di wajahnya yang cantik dan ayu itu.

Hazman kemudian lalu menggenggam erat jari-jemari Suriati yang lembut itu. Seolah-olah dia tidak mahu melepaskan Suriati pergi dari sisi.

“Kenapa pulak kau bimbang?” Rasa resah apabila mendengar apa yang dikatakan wanita yang sangat dicintainya itu jelas kelihatan di wajah Hazman.

Dia sebaliknya hanya diam dan berwajah sayu. Pertanyaan Hazman itu tidak dijawabnya. Mulutnya seperti terkunci dan tidak boleh berkata-kata.

Rasa keresahan semakin jelas kelihatan di wajah Hazman. Apabila melihat wajah wanita yang amat dicintainya itu tiba-tiba berubah menjadi sayu.

♣♥∇Δ∇♥♣

“Katakan! Apa sebenarnya yang kau bimbangkan?” desak Hazman pula sebaliknya sambil terus menggenggam erat jari-jemari lembut kekasihnya itu.

“Man …! Sedangkan pantai lagi berubah inikan pulak hati kau,” dia menjawab.

Hazman lalu mengangguk-angguk diam.

Baru dia mengerti kini. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja wanita yang bernama Suriati dan amat dicintainya itu dengan tiba-tiba sahaja berwajah muram. Kerana bimbang akan terluka dan ditinggalkan satu hari nanti.

“Itu pantai, Su. Tapi aku lain. Kau jangan samakan aku dengan pantai. Percayalah. Aku akan tetap setia dan bersama dengan kau sehingga ke akhir hayat!” janji Hazman sambil terus menggenggam erat jari-jemari Suriati yang lembut itu.

Dia kemudian lalu mengukir senyuman. Apabila mendengar kata-kata kekasihnya itu.

Hazman pun begitu juga. Tersenyum dan lega apabila melihat wajah Suriati tidak lagi muram.

“Aku pun begitu juga, Man. Hanya kau sajalah lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidup aku,” balasnya.

Hazman lalu menggenggam kuat jari-jemari Suriati yang lembut bagaikan sutera itu. Dia tidak mahu berpisah dan ingin sehidup semati dengan wanita yang amat dicintainya itu.

Baginya wanita yang bernama Suriati itu adalah nyawanya. Dia tak boleh hidup tanpa wanita yang bernama Suriati itu.

♣♥∇Δ∇♥♣

Memang indah apabila dikenangkan semula saat itu. Harum dan mewangi umpama bunga yang mekar di taman.

Tapi kini semuanya telah tinggal menjadi kenangan. Hatinya musnah berderai bagaikan kaca yang terhempas ke batu.

Janji manis yang ditaburkan Hazman hanya palsu semata-mata.

Bukan madu yang diminumnya tapi racun yang bisa. Pedih menusuk-nusuk di hatinya umpama ditikam sembilu yang tajam. Sehingga mengalir darah luka yang tiada hentinya.

Tanpa disedari tiba-tiba air matanya bercucuran membasahi pipi seperti hujan yang turun dari langit lalu membasahi bumi yang tandus dan gersang.

Tak lama kemudian pelayan datang sambil membawa dulang yang berisi gelas minuman. Dia kemudian lalu perlahan-lahan meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi itu.

Suriati memesan air tembikai manakala Azmil pula memesan air kopi ‘o’ ais.

Selepas meletakkan minuman di atas meja pelayan kemudian lalu berlalu pergi sambil membawa dulang yang kosong.

Suriati dan Azmil kemudian lalu bersama-sama menikmati minuman yang dipesan.

♣♥∇Δ∇♥♣

“Su jangan terlalu sangat mengikut perasaan,” kata Azmil.

“Boleh aku tanya kau?” dia sebaliknya pantas menyoal sambil memandang wajah Azmil.

“Apa dia?” balas Azmil pula.

“Kenapa kau terlalu mengambil berat tentang diri aku?” tanyanya lagi.

“Jawapannya mudah. Kerana kau adalah kawan baik aku,” jawab Azmil.

“Itu sahaja?” ucapnya.

“Aku simpati dengan kau,” kata Azmil.

“Simpati?” ujarnya.

“Ya!” angguk Azmil dengan pantas.

“Kau dah macam tak ada semangat nak hidup. Bila Hazman tinggalkan kau,” dia menyambung lagi.

Dia sebaliknya lalu tersenyum apabila mendengar kata-kata Azmil itu.

“Kenapa kau ketawa?” Azmil menyoal dengan rasa penuh hairan.

“Maafkan aku kalau aku membuatkan kau terasa. Terima kasih, Mil. Atas simpati kau tu. Tapi buat masa ini aku tak perlukan sesiapa. Biarlah aku sendiri merawat luka di hati aku,” jelasnya.

“Su …. Sebenarnya aku ….” Azmil terhenti dan seperti amat berat untuk berkata. Serentak dengan itu juga rasa serba salah jelas kelihatan menebal di wajahnya.

Dia dapat membaca ada sesuatu yang ingin disampaikan Azmil. Namun seperti amat berat untuk diberitahunya.

Apa sebenarnya yang ingin dikatakannya ni? Macam ada sesuatu yang amat penting. Demikian detik hati kecilnya.

♣♥∇Δ∇♥♣

“Kau macam nak cakap sesuatu aje, Mil. Hah! Apa dia. Cakaplah!” ujarnya pula.

Azmil diam. Dia semakin jadi tidak menentu dan serba salah. Memang amat berat untuk dia memberitahu perkara sebenar yang ingin dia sampaikan pada Suriati.

“Cakaplah, Mil. Apa dia?” desaknya lagi.

“Kau tahu kan yang dulu kita pernah bercinta. Tapi tak ada jodoh untuk kita diijabkabulkan,” beritahu Azmil.

“Itu cerita lama, Mil. Macam yang kau cakap tadi. Buat apa dikenangkan semua tu semula,” dia sebaliknya membalas dengan pantas.

“Itu aku tahu, Su. Tapi aku ingin mengisi kekosongan hati kau setelah Hazman tinggalkan kau,” Azmil menyatakan hasratnya yang sebenar pada Suriati.

“Mengisi kekosongan hati aku setelah Hazman tinggalkan aku?” ulangnya pula dengan rasa penuh terkejut.

“Ya, Su! Aku benar-benar ikhlas untuk merawat hati kau yang terluka itu. Aku nak kahwin dengan kau. Perasaan cinta aku pada kau masih lagi menebal dalam diri aku,” kata Azmil.

Dia lalu jadi terdiam. Makin kusut jadinya. Itulah yang mampu dikatakannya dalam hati. Azmil! Apakah ini kenyataan atau mimpi semata-mata? Pertanyaan yang tak henti-henti menendang benaknya.

“Mil …. Kau kan dah ada isteri dan anak-anak …,” ingatnya dalam nada suara yang perlahan dan tenang.

“Itu aku tahu. Tapi aku benar-benar ikhlas untuk memperisterikan kau!” tegas Azmil.

“Maafkan aku, Mil. Aku tak mahu melukakan hati isteri kau. Dan aku tak mahu dimadu,” putusnya.

“Su ….” Azmil tidak dapat meneruskan kata-kata.

“Keputusan aku muktamad, Mil. Biarlah aku sendiri yang menanggung derita di hati aku ini,” dia memotong dengan pantas.

♣♥∇Δ∇♥♣

Azmil hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Bersama rasa hampa dan kecewa yang jelas kelihatan menebal di wajahnya itu.

“Mil …. Aku doakan semoga kau hidup bahagia bersama dengan isteri dan anak-anak kau. Walaupun telah ditakdirkan antara kita tidak ada jodoh namun kita akan tetap berkawan seperti biasa,” ujarnya dan kemudian berlalu pergi meninggalkan Azmil.

Dia terus memandang laut yang membiru.

Dalam hati kecilnya berdoa semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi segala ujian dan dugaan yang mendatang.

Semoga esok mentari akan bersinar menyinari hidupnya yang selama ini diselubungi dengan kedukaan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *