Cerpen “Semoga Cahaya Bersinar”

Gadis Payung Merah ( Carlyn )

Pagi.

Sayup-sayup kedengaran suara ombak menghempas pantai.

Angin yang datang dari arah laut bertiup sepoi-sepoi. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa membelah seluruh kawasan pantai.

Di kaki langit biru matahari kelihatan semakin meninggi. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menerangi seluruh alam semesta.

Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri.

Daun-daun hijau yang bergeseran antara satu sama lain apabila dibuai angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

∴⊕♦◊♥Φ♠

“Jadilah seperti pantai itu. Tetap tidak runtuh walaupun sentiasa dilanda ombak,” kata Hazman.

“Jangan samakan aku dengan pantai tu, Man,” balas Isdawati.

Hazman sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

“Wati …,” dia bersuara perlahan.

“Bukan hidup namanya kalau tak menghadapi cabaran.” Nada suara Hazman tenggelam bersama deruan ombak yang menghempas pantai.

“Kau boleh bercakap, Man. Kerana kau tak mengalami sepertimana yang aku alami,” ujar Isdawati pula sebaliknya.

Angin laut yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan jatuh berselerakan di atas permukaan pasir yang halus. Demikianlah dengan perjalanan hidup kita sebagai manusia di atas dunia ini.

Tidak akan kekal selama-lamanya seperti daun yang menghijau.

Satu hari nanti akan bertukar juga warna menjadi keperangan dan jatuh berguguran di atas tanah apabila disapu angin.

Dalam erti kata lain usia kita tidak akan selama-lamanya menjadi muda. Akan bertukar juga menjadi tua dan semua itu sudah ditentukan Allah SWT ke atas kita.

∴⊕♦◊♥Φ♠

Hazman kemudiannya lalu menarik nafas yang panjang dan memandang laut yang membiru terbentang luas.

Memang enak dan segar apabila dapat menghirup udara laut bersama cuaca yang cerah.

Isdawati kelihatan hanya mendiamkan diri sahaja sambil melemparkan pandangan yang jauh ke arah laut yang kelihatan tenang.

Bersama desiran ombak yang tak henti-henti menghempas pantai.

Buih-buih memutih kelihatan berapungan membasahi gigian pantai. Sekejap timbul di atas permukaan gigian pantai dan sekejap menghilang.

Apabila ditolak dan ditarik ombak yang menghempas pantai.

Butiran pasir pantai yang halus kelihatan berkilau-kilauan apabila disinari matahari yang memancar terik di kaki langit biru bersama gumpalan awan yang tebal dan memutih.

∴⊕♦◊♥Φ♠

Demikianlah indahnya ciptaan Tuhan buat kita makhluknya yang hidup di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya kita harus mensyukuri segala nikmat dan anugerah yang telah dikurniakan-Nya kepada kita yang bernama manusia di atas dunia yang fana ini.

Seharusnya segala nikmat dan anugerah yang telah diberikan-Nya itu kepada kita dijaga dan dipelihara sentiasa.

Bukannya dipersiakan dan dicemari sehingga membawa kepada kemusnahan dan kebinasaan.

Amat sayang sekali apabila kita tidak menghargai sesuatu yang percuma yang dikurniakan kepada kita hamba Tuhan di atas dunia ini.

Hazman kemudiannya lalu memandang semula wajah wanita yang bernama Isdawati itu.

∴⊕♦◊♥Φ♠

“Aku faham perasaan kau, Wati. Kalau aku di tempat kau aku juga akan mengalami sepertimana yang kau hadapi. Tak semua orang suka menghadapi kegagalan dalam hidup ini,” dia bersuara.

“Terima kasih, Man. Kerana kau memahami dan berkongsi perasaan dengan aku,” balas Isdawati pula sebaliknya dengan pantas.

“Itulah yang dinamakan sebagai seorang kawan yang sejati,” tambahnya.

“Ya, Man!” angguk Isdawati.

“Memang benar apa yang kau katakan itu. Kawan yang sejati payah ditemui. Kerana mahu menangis dan berduka bersama dengan kita. Apabila kita ditimpa kesusahan dan mengalami kegagalan dalam hidup ini. Tapi kawan ketawa di saat kita berada di atas dan puncak kejayaan memang ramai di sekeliling kita,” dia menyambung lagi.

∴⊕♦◊♥Φ♠

Hazman sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata Isdawati itu sambil membetulkan duduk.

Bayu yang datang dari arah laut tiba-tiba bertukar rentak menjadi perlahan dan sayu. Pohon-pohon dan daun-daun hijau kelihatan lemah dan tidak bermaya apabila ditiup angin.

Seolah-olah turut bersetuju dan menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan Isdawati itu.

Wajah Isdawati kelihatan muram dan sedih. Namun wajahnya tetap ayu dan jelita dengan tudung yang berwarna biji kudung yang menutupi kepalanya itu.

Hazman seperti sengaja membiarkan Isdawati untuk melayan perasaannya buat seketika.

Jalur-jalur cahaya matahari yang memancar terik di kaki langit kelihatan terpantul di atas permukaan dan menembusi celah-celah daun yang menghijau.

Hazman kemudian memandang semula wajah Isdawati yang masih lagi dibalut dengan rasa pilu dan duka.

∴⊕♦◊♥Φ♠

“Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, Wati. Suka kepada sesuatu yang membawa kepada kegembiraan dan bukannya sesuatu yang membawa kepada kepedihan,” ucapnya pula.

“Aku harapkan mereka bersama dengan aku di saat aku menghadapi kegagalan. Tapi rupanya tidak. Bila aku memerlukan pertolongan mereka lalu menjauhkan diri dan terus meninggalkan aku terkapai-kapai. Seperti lemas di lautan. Aku benar-benar kecewa dengan mereka …,” luah Isdawati dalam nada suara yang perlahan bercampur sedih dan sayu.

“Sabarlah, Wati …,” balas Hazman.

“Aku benar-benar dah kalah dalam hidup ni, Man!” dia memotong dengan pantas.

“Kau silap, Wati,” ujar Hazman.

“Kenyataan, Man!” tegasnya lagi.

“Kau masih lagi belum kalah, Wati,” kata Hazman pula sebaliknya.

“Kau masih lagi tak mengerti, Man. Tapi aku tak salahkan kau. Bila kau berkata begitu. Sebab jawapannya mudah. Kau tidak berada di tempat aku sekarang,” dia membalas.

“Aku akui kata-kata kau itu memang benar dan tidak dapat dinafikan lagi,” ucap Hazman.

“Dah tu?” dia mengangguk dan mengangkat kepala memandang Hazman.

“Kenapa kau masih menafikannya lagi,” sambungnya lagi.

“Kau nampak laut yang membiru itu. Nampak aje tenang. Tapi adakalanya bergelora,” kata Hazman.

“Tak perlu kau beritahu aku semua tu, Man!” dia sebaliknya membalas dengan pantas.

“Wati …!” Hazman bersuara.

“Apalagi yang kau nak beritahu aku, Man. Kan aku dah beritahu kau. Aku dah kalah dalam hidup ni. Aku harap kau faham dengan apa yang aku katakan ini,” dia mencelah dengan pantas.

“Tapi itu bukan pengakhiran dalam hidup kau,” ujar Hazman.

“Man …,” dia berkata.

“Wati, kau harusnya bangkit dan menjadi sebagai seorang pemenang. Dan bukannya mengeluh mahupun merintih apabila gagal. Allah SWT tidak suka pada hambanya yang mudah berputus asa dan tidak dapat menerima dengan hati yang terbuka. Segala ujian dan dugaan yang didatangkannya,” Hazman memotong dengan pantas.

∴⊕♦◊♥Φ♠

Serta-merta Isdawati lalu jadi terdiam.

Kata-kata Hazman itu benar-benar menusuk jauh ke dalam kalbunya.

Menerbitkan rasa kesedaran supaya tidak mudah mengalah dan berundur. Apabila mengalami kegagalan dalam hidup ini.

Angin laut yang tadinya bertiup lemah dan perlahan tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang.

Seperti turut meniupkan semangat ke dalam diri Isdawati supaya membina semula kekuatan diri dan melupakan kegagalan yang telah berlaku dalam hidupnya.

Perlahan-lahan Isdawati menundukkan kepala sambil membetulkan tudungnya yang mengerbang apabila dihembus angin laut.

Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan dengan sedalam-dalamnya kata-kata lelaki yang bernama Hazman itu.

∴⊕♦◊♥Φ♠

“Wati, dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan sesekali mengalah,” katanya.

Isdawati mengangkat semula muka dan menarik nafas yang panjang. Dia kemudian lalu memandang dalam-dalam wajah Hazman.

“Aku memang lemah, Man …. Dan tak kuat menghadapi kegagalan dalam hidup ini …,” Isdawati bersuara perlahan dan seperti tidak bermaya.

“Itu sudah menjadi naluri kita sebagai manusia. Mudah kecewa dan tidak dapat menerima kegagalan yang berlaku dalam hidup ini,” ulasnya.

“Entahlah, Man. Adaketikanya aku merasakan diri aku ini tak ubah seperti sebatang ranting yang rapuh dan mudah jatuh di atas tanah apabila ditiup angin,” kata Isdawati lagi.

“Sudahlah, Wati. Lupakanlah apa yang telah berlaku. Yang penting sekarang kau harus sentiasa berdoa. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kau untuk meneruskan kehidupan ini,” ucapnya.

∴⊕♦◊♥Φ♠

Isdawati lalu mengangguk-angguk diam.

Hazman tersenyum kecil apabila melihat kawannya yang bernama Isdawati itu tidak lagi merintih dan mengeluh dengan kegagalan hidup yang dialaminya.

Dalam hati kecilnya berdoa semoga sinaran cahaya akan menerangi kehidupan Isdawati satu hari nanti.

Suara desiran ombak menghempas pantai terus kedengaran membelah suasana.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *