Cerpen “Sembang Petang Di Rumah Pak Hamzah”

Papan Kayu ( Maaark )

Suara daun-daun hijau yang bergeseran..

..antara satu sama lain apabila ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana.

Pohon-pohon kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah bukit.

“Bumi mana yang tak ditimpa hujan. Pinggan mana yang tak pecah. Kita sebagai manusia tidak lepas daripada membuat salah dan silap,” kata Pak Hamzah.

“Itu sudah menjadi adat dalam hidup kita sebagai manusia di dunia ni,” balas Pak Budin.

“Bila kita dah buat silap maka perlu cepat kita betulkan,” tambah Pak Rahman pula sebaliknya.

//==//==//==//==//==//

Angin yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup lalu menyusup masuk melalui atap zink dan celah-celah dinding papan rumah Pak Hamzah. Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali.

Sinaran cahaya matahari di kaki langit biru kelihatan terang-benderang. Menyinari seluruh kampung yang indah dan permai.

Sekali-sekala kedengaran bunyi gemertap ranting patah yang jatuh berguguran ditiup angin. Daun-daun kering yang berguguran satu persatu ditiup angin kelihatan bertaburan di atas permukaan tanah.

Pak Hamzah, Pak Budin dan Pak Rahman terus rancak berbual-bual. Sambil menikmati hidangan minum petang yang disediakan Mak Timah isteri Pak Hamzah.

Air kopi ‘o’ dengan cekodok pisang yang masih lagi panas itu dinikmati oleh mereka bertiga dengan begitu amat berselera sekali.

“Sebab itu kita perlu belajar daripada kesilapan lalu agar tidak mengulanginya pada masa yang akan datang,” tegas Pak Hamzah.

“Belajar daripada kesilapan lalu adalah pengalaman yang paling berguna dalam hidup ini,” ujar Pak Rahman.

“Janganlah kita takut untuk mengaku kesilapan yang telah kita lakukan. Bak kata orang seperti menegakkan benang yang basah,” celah Pak Budin.

“Memang betul kata kau tu, Din!” balas Pak Hamzah dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Buat macam mana sekalipun benang yang basah tetap tidak akan tegak. Begitu jugaklah dengan kita kalau dah terbukti memang melakukan kesalahan yang besar. Tutup dengan cara apa sekalipun tetap akan terbuka. Jadi, tak usahlah kita berasa malu untuk mengaku kesalahan yang telah kita buat dan kembali semula ke pangkal jalan,” dia menyambung lagi dengan penuh panjang lebar.

//==//==//==//==//==//

Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah Pak Hamzah kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Seolah-olah menyatakan persetujuan dan sokongan terhadap apa yang dikatakan oleh Pak Hamzah itu.

Pelepah nyiur yang bergeseran antara satu sama lain apabila dibuai angin yang datang daripada arah bukit berhadapan dengan rumah Pak Hamzah mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menawan jiwa. Lambaian pohon nyiur yang meliuk-liuk bagai mengajak perantau yang sedang mencari rezeki di kota agar pulang segera ke kampung halaman yang tercinta untuk menaburkan bakti dan khidmat.

Pak Budin merancakkan lagi tajuk perbualan.

“Dalam pada itu kita juga harus bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan hidayah kepada kita untuk kembali semula ke pangkal jalan sebelum kita menjadi lebih sesat lagi,” dia berkata.

“Sebab itu kita perlu berhati-hati memilih jalan dalam hidup ini. Kalau kita pilih jalan yang cerah maka cerahlah jadinya. Tapi kalau kita memilih jalan yang gelap maka gelaplah jadinya,” ucap Pak Hamzah pula sebaliknya.

“Kita harus ingatkan anak-anak kita agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang mudah menjadikan mereka sesat dan menuju ke lembah kebinasaan,” sambut Pak Rahman.

“Aku amat bersetuju sekali dengan kata-kata kau tu, Man!” angguk Pak Budin dengan pantas.

“Jangan kerana nila setitik maka habis susu sebelanga. Bukan saja hidup mereka musnah kerana melakukan perkara yang tidak baik malah kita juga sebagai ibu bapa mendapat malu,” tambahnya lagi.

“Sebagai ibu bapa kita harus memberikan didikan agama yang sempurna kepada mereka. Apabila hidup mereka penuh dengan didikan agama mereka tidak akan terpengaruh dan melibatkan diri dengan gejala yang tidak sihat,” ulas Pak Hamzah.

“Memang tidak dapat dinafikan dengan apa yang kau katakan tu, Hamzah. Anak-anak kita ibarat sehelai kain putih. Kita sebagai ibu bapalah yang harus mencorakkannya,” sokong Pak Rahman.

“Seperti kata pepatah kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau hendak membentuk akhlak dan budi pekerti yang mulia ke dalam diri mereka hendaklah kita mulakan semenjak mereka masih kecil lagi,” kata Pak Budin.

“Benih yang baik pasti akan menghasilkan buah yang masak dan ranum untuk kita nikmati,” celah Pak Hamzah.

//==//==//==//==//==//

Angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar rentak menjadi lemah-gemalai. Pohon nangka yang tumbuh di halaman rumah Pak Hamzah kelihatan seperti bergoyangan apabila ditiup angin. Pokok cili api, serai, kunyit, puding dan keladi yang tumbuh di belakang rumah Pak Hamzah juga kelihatan seperti terbuai-buai mengikut rentak angin yang bertiup.

“Kita juga harus ingat bahawa mereka bukan sahaja harta yang berharga kepada kita sebagai ibu bapa tetapi juga pada negara. Merekalah yang akan memikul tugas dan tanggungjawab untuk mencorakkan pembangunan negara di masa depan,” tambah Pak Rahman.

“Selain daripada itu, kita juga perlu tanamkan ke dalam diri mereka akan rasa taat setia dan cinta pada negara,” ucap Pak Budin.

“Aku yakin. Apabila semua ini ditanamkan ke dalam diri mereka pasti apa yang kita impikan akan tercapai sepenuhnya,” sokong Pak Hamzah pula.

“Insya-Allah!” balas Pak Budin dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga Allah SWT memakbulkan hasrat kita semua,” sambungnya lagi.

Pak Hamzah terus menghangatkan tajuk perbualan sehangat matahari yang bersinar di kaki langit.

“Dalam pada itu kita jangan lupa untuk menurunkan adat yang telah kita amalkan sejak daripada zaman datuk nenek moyang kita dahulu kepada anak-anak kita,” ingatnya.

“Aku teringat pada perbilangan yang menyebut tak lemak dek santan dan tak kuning dek kunyit. Walau apa pun yang akan berlaku adat tetap akan menjadi adat dan tak akan berubah,” kata Pak Rahman dengan begitu penuh bersemangat sekali.

“Adat mendidik kita menjadi masyarakat yang berpegang pada nilai-nilai murni dan hidup berperaturan,” ucap Pak Budin.

“Kalau diamati adat ni memang cantik!” sampuk Pak Rahman sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Disebabkan ia cantik maka kita perlu pertahankan dan pelihara selamanya. Walaupun zaman sentiasa berubah. Alangkah satu kerugian buat kita sekiranya adat yang kita pegang selama ini hilang satu hari nanti,” tegas Pak Budin.

“Aku sependapat dengan kau, Din!” celah Pak Hamzah pula sebaliknya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Andainya hilang sukar untuk dipungut kembali dan andainya cicir sukar untuk dipungut kembali,” katanya lagi.

“Adat membentuk kita menjadi masyarakat yang mengamalkan permuafakatan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dan menyelesaikan masalah,” ujar Pak Rahman.

“Itulah yang menjadikan adat itu semakin bertambah cantik,” ulas Pak Budin.

“Jadi, kalau kita nak adat yang selama ini menjadi pegangan hidup kita kekal dan tidak hilang maka kita perlu tanamkan rasa sayang dan cinta terhadap adat ke dalam diri anak-anak kita,” sambut Pak Hamzah.

“Memang itulah yang patut kita lakukan!” angguk Pak Budin pula dengan pantas.

“Kalau tak dah tentu mereka beranggapan bahawa adat ini hanya untuk orang tua seperti kita dan bukannya untuk orang muda seperti mereka. Sedangkan adat adalah milik kita bersama. Tanpa mengira usia tua mahupun muda,” dia menambah lagi.

“Bila dah ada rasa cinta dan sayang di dalam diri mereka terhadap adat aku yakin sebagai pewaris masa depan mereka akan tetap mempertahankan buat selamanya dan seterusnya menurunkan kepada generasi mereka yang seterusnya sepertimana yang telah kita lakukan,” sokong Pak Rahman.

“Insya-Allah!” celah Pak Hamzah pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Perkara yang baik pasti akan diizinkan Allah SWT,” tambahnya lagi.

Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti apabila kedengaran azan Asar yang berkumandang daripada surau yang terletak berhampiran dengan rumah Pak Hamzah. Mereka kemudian lalu bangun dan menuju ke surau.

Demikianlah berakhirnya sembang petang di rumah Pak Hamzah pada petang itu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *