Cerpen “Pesan Datuk Padaku”

Bendera Malaysia ( CC0 )

Angin yang datang dari arah bukit..

..menyusup masuk melalui jendela rumah datuk yang terbuka luas.

Rasa nyaman dan dingin jelas terasa mengepung seluruh ruang tamu rumah datuk.

Bunyi pohon-pohon ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana petang yang tenang dan damai.

Daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain apabila disapu angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan mengusik jiwa.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

“Jauh atuk termenung,” kataku.

Dia sebaliknya lalu tersenyum sambil menarik nafas yang panjang.

“Dah lama kamu sampai?” tanya datuk pula sebaliknya.

“Baru aje, tok,” aku menjawab.

“Kamu dari mana ni, Akmal?” soalnya lagi.

“Dari pekan. Teringat kat atuk dan nenek. Jadi, saya singgahlah,” aku membalas.

Sekali lagi datuk tersenyum dan mengangguk-angguk diam. Apabila mendengar kata-kataku itu.

Sekali-sekala kedengaran bunyi kelepak kelepuk pelepah pisang di belakang rumah datuk ditiup angin petang.

Bunyi ranting patah jatuh bergemertap menimpa tanah ditiup angin juga jelas kedengaran. Membelah suasana desa yang indah dan permai.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi rumput yang menghijau.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

“Nenek mana, tok? Tak nampak pun dari tadi,” ujarku.

“Dia ke rumah Mak Tijah. Malam ni ada kenduri di rumah dia. Jadi, nenek tolong apa yang patut. Hidup berkampung macam tulah. Tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain,” dia menjawab.

“Yalah! Baru saya ingat. Dia ada datang rumah hari tu menjemput. Katanya nak buat kenduri kesyukuran. Anak dia yang bongsu dapat masuk universiti,” aku berkata.

Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah datuk kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin.

Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di kota agar segera pulang ke kampung halaman untuk mencurahkan khidmat dan bakti.

“Tok tadi termenung bukannya apa, Akmal. Terkenangkan sewaktu zaman sebelum merdeka dulu,” jelas datuk.

“Tentu tok ada pengalaman yang nak dikongsi bersama. Hidup dalam zaman penjajah. Ceritalah. Saya nak dengar,” aku membalas.

Datuk lalu menarik nafas yang panjang.

Dari raut wajahnya yang telah tua dan dimamah usia itu jelas kelihatan bahawa dia sedang mengimbau semula kehidupan yang dilaluinya sewaktu zaman penjajah.

“Memang pahit dan perit hidup di bawah telunjuk penjajah. Tak ubah seperti hamba hidup di tanah air sendiri,” dia berkata.

Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Sambil memandang datuk yang duduk di atas kerusi. Berketayap putih, berbaju Melayu warna biru muda dan berkain pelikat.

Di luar angin bertiup kencang. Pohon mangga yang tumbuh di halaman datuk kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

Seolah-olah bersetuju dan menyokong dengan apa yang dikatakan datuk itu.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

“Akmal beruntung. Kerana tak hidup dalam zaman penjajah seperti tok,” ujarnya lagi.

“Walaupun saya lahir sebagai generasi merdeka namun saya dapat bayangkan betapa keperitan hidup yang dialami rakyat pada waktu itu,” ulasku pula sebaliknya.

“Memang benar, Akmal!” angguk datuk dengan pantas.

“Rakyat ditindas. Tenaga diperah. Segala kekayaan hasil bumi mereka kaut. Kemiskinan dan penderitaan hidup berleluasa. Cubalah Akmal bayangkan. Kalau Akmal hidup pada waktu itu,” sambungnya lagi.

“Nikmat kemerdekaan yang ada sekarang perlu dipertahankan,” kataku.

“Janganlah hendaknya negara kita dijajah semula. Sebab itulah pentingnya dalam diri kita mempunyai semangat cintakan dan rasa kesetiaan terhadap negara!” ucap datuk dengan begitu penuh bersemangat sekali.

“Dalam pada itu jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu. Membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah,” tambahku pula.

“Memang tidak dapat dinafikan dengan apa yang Akmal katakan itu. Tanpa perjuangan dan pengorbanan mereka kita tidak akan dapat menikmati kemerdekaan sepertimana hari ini,” kata datuk.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

Cuaca cerah sejak daripada pagi tadi masih lagi berterusan sehingga ke petang. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun.

Sudah berbulan-bulan lamanya hujan tidak turun. Sekarang ini musim kemarau. Panas terik. Bahangnya terasa pedih dan menggigit-gigit apabila terkena permukaan kulit.

Rumput yang menghijau telah bertukar warna menjadi keperangan.

“Mereka sanggup berkorban nyawa demi negara yang tercinta. Bagi mereka lebih baik mati bergalang tanah daripada hidup bercerminkan bangkai. Biar putih tulang jangan putih mata. Namanya untuk hidup bertuankan penjajah tidak sekali-kali!” ujar datuk lagi dengan penuh bersemangat sekali.

“Pengorbanan mereka bukan sahaja menjadikan nyawa sebagai taruhan. Malah sanggup meninggalkan isteri, anak dan keluarga. Demi membela nusa dan bangsa.” Aku merancakkan lagi perbualan.

“Tanpa pengorbanan perjuangan tak akan berjaya. Mereka sudah buktikan betapa pentingnya pengorbanan itu untuk menjadikan sesuatu perjuangan itu tercapai matlamatnya,” kata datuk.
“Semangat dan perjuangan mereka sewajarnya dicontohi,” aku menambah.

“Walaupun negara telah berjaya mencapai kemerdekaan namun perjuangan kita sebenarnya masih lagi belum selesai. Perjuangan yang tok maksudkan adalah untuk pembangunan dan kemakmuran negara yang kita cintai ini. Perjuangan itu adalah terletak di atas bahu generasi muda seperti Akmal untuk melaksanakannya,” ucap datuk pula sebaliknya.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

Suara angin yang bertiup kencang semakin jelas kedengaran dan membelah seluruh kampung yang permai dan indah.

Pohon jambu yang tumbuh di halaman rumah datuk kelihatan bergoyangan apabila ditiup angin.

Daun-daun kering dan buah-buah jambu yang gugur ditiup angin kelihatan bertaburan di atas permukaan tanah.

Aku kemudian lalu memandang wajah datuk.

“Akmal sedar akan tanggungjawab itu, tok. Pensyarah Akmal di universiti sentiasa mengingatkan Akmal dan kawan-kawan supaya tidak leka dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keruntuhan akhlak. Negara akan mudah runtuh dan tergadai apabila anak-anak muda yang menjadi harapan gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab kerana terjebak dengan kegiatan yang membawa kepada kemudaratan dan kehancuran kepada diri sendiri,” aku berkata dengan penuh panjang lebar.

Datuk sebaliknya lalu tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar kata-kataku itu.

“Tok berasa amat gembira sekali. Bila Akmal mempunyai semangat begitu. Tok yakin. Dengan semangat dan kesetiaan tinggi Akmal dan kawan-kawan negara ini akan aman dan damai selamanya. Rakyat akan terus hidup dengan sejahtera dan makmur,” ucapnya pula.

“Kalau generasi tok sanggup menghabiskan masa muda dengan berkorban dan berjuang demi keamanan dan kedamaian tanah air kenapa tidak Akmal dan rakan-rakan yang hidup sebagai generasi selepas merdeka berbuat demikian,” kataku dengan penuh bersemangat.

“Memang itulah yang menjadi harapan dan impian tok sebagai generasi yang pernah hidup dalam zaman penjajahan. Cukuplah tok dan kawan-kawan yang sebaya merasai susah payah dan kepahitan dicengkam penjajah. Janganlah hendaknya Akmal dan kawan-kawan yang dapat menikmati hidup merdeka merasai sepertimana yang tok dan rakan-rakan pernah rasai pada satu ketika dahulu,” kata datuk lagi.

Suara angin yang bertiup kencang bukan sahaja meniupkan semangat cintakan dan kesetiaan terhadap negara ke dalam diri aku.

Malahan juga menghangatkan lagi tajuk perbualan datuk dan aku pada petang ini. Kebetulan pada bulan Ogos ini negara akan menyambut kemerdekaan yang ke-60 tahun.

⊗⊗⊗⊗⊗⊗

“Insya-Allah, tok!” aku lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Akmal akan sentiasa ingat pesan tok. Demi negara yang tercinta ini Akmal akan curahkan sepenuhnya kesetiaan dan rasa kasih sayang. Agar nikmat kemerdekaan akan terus dapat dipertahankan dan tanpa dapat diganggu gugat oleh pihak yang ingin melihat negara ini berada dalam keadaan huru-hara dan dijajah semula,” ucapku lagi dengan penuh semangat yang bernyala-nyala bagaikan api yang panas membakar.

“Semoga kemerdekaan yang ada pada hari ini akan dipertahankan oleh generasi selepas Akmal nanti,” pesan datuk.

Menjelang lewat petang aku pun beredar meninggalkan rumah datuk dan pulang ke rumah.

Pulang dengan semangat yang penuh berkobar-kobar dan membara.

Untuk terus menyambung perjuangan generasi datuk dan kawan-kawannya mempertahankan kemerdekaan negara yang tercinta ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!