Cerpen “Permata Yang Amat Bernilai”

motor rempit

Merempit ( macit888 )

Pagi.

Matahari kelihatan meninggi di kaki langit.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Pohon-pohon bagaikan menari-nari apabila ditiup angin. Daun-daun hijau yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu.

Jiwa yang dilanda lara jadi terhibur apabila mendengarnya.

“Apalah nak jadi dengan budak-budak muda di kampung kita ni, tok. Kerja malas. Asyik nak berlumba motor aje. Kita tak boleh biarkan perkara ni terus berlaku, tok. Bukan sahaja membahayakan keselamatan diri mereka. Jugak orang-orang kampung yang lain,” kata Badli.

Tok Ketua lalu menarik nafas yang panjang. Apabila mendengar kata-kata Badli itu.

“Memang betul cakap kau tu, Badli. Dah puas aku nasihatkan mereka. Tapi bak kata orang masuk telinga kanan. Keluar telinga kiri.”

“Kita mesti buat sesuatu, tok. Mereka masih muda. Tenaga mereka bukan saja diperlukan di kampung ni. Negara jugak memerlukan mereka. Alangkah ruginya mereka menghabiskan masa dengan perkara yang tak berfaedah dan mengancam nyawa mereka.”

“Bagi aku masih lagi belum terlambat untuk menyelamatkan mereka. Macam yang kau katakan tadi. Kita semua yang ada di kampung ini perlu membuat sesuatu. Sebelum menjadi lebih parah lagi,” Tok Ketua membalas.

“Masalah yang sedang kita alami di kampung ni tok macam penyakit yang merbahaya. Perlu kita cegah habis-habisan.”

“Baiklah, Badli!” Tok Ketua sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala.

“Kau bantulah aku. Fikirlah. Macam mana kita nak mengatasi masalah ini.”

“Insya-Allah, tok! Sama-samalah kita berdoa. Moga Allah SWT memberikan jalan kepada kita. Untuk mengatasi masalah ini.”

“Aku balik dulu. Malam nanti kita jumpa di masjid. Assalamualaikum,” Tok Ketua memberi salam.

“Waalaikumsalam,” jawab Badli.

♠♠♠♠♠♠♠

Malam.

Bulan kelihatan indah bersinar.

Kerlipan bintang-bintang yang menghiasi awan hitam sungguh menawan di pandangan mata. Angin yang datang dari arah bukit bertiup lembut. Membelai kepekatan malam.

Suara pohon-pohon nyiur dibuai angin malam jelas kedengaran.

“Lambat abang balik dari masjid,” ujar isterinya.

Badli yang memakai songkok, berbaju Melayu berwarna biru muda dan berkain pelikat tidak menjawab. Dia sebaliknya perlahan-lahan mengatur langkah ke kerusi dan terus duduk.

Di luar bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan memecah suasana malam yang hening.

“Tadi di masjid bincang dengan Tok Ketua dan orang-orang kampung. Tentang budak-budak muda di kampung ni yang asyik dengan berlumba motor,” ujar Badli.

“Dah makin teruk nampaknya dia orang tu, bang. Siang malam tak ada kerja lain. Berlumba motor aje yang dia orang tahu. Sedangkan banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat. Tak sayang nyawa agaknya dia orang ni,” sambut isterinya pula.

“Makin dibiarkan makin menjadi-jadi dia orang. Kita mesti fikirkan sesuatu yang mendatangkan manfaat. Supaya dia orang tak nak berlumba lagi,” Badli menambah.

Sehingga ke lewat malam Badli dan isterinya terus berbual-bual mengenai anak-anak muda di kampung ini yang terlibat dengan kegiatan merempit.

Rasa kedinginan membungkus seluruh kampung. Mungkin kesan daripada hujan yang turun lebat malam tadi. Hampir nak masuk waktu Subuh baru berhenti.

Langit nampak kelabu.

Matahari belum lagi kelihatan.

Daun-daun dan rumput-rumput masih lagi basah. Seperti biasa warung Pak Yassin akan dikunjungi orang-orang kampung untuk menikmati sarapan pagi.

♠♠♠♠♠♠♠

“Hei! Geram betul saya, tok. Dengan budak-budak malam tadi. Dahlah berlumba. Buat bising lagi. Nak tidur pun tak dapat. Kalau ikutkan hati saya tok nak aje saya tangankan budak-budak tu!” Shamsuddin mengeluarkan nada suara yang keras.

“Sabar, Shamsuddin.” Tok Ketua sebaliknya menenangkan Shamsuddin sambil menghirup perlahan air teh yang masih lagi panas itu.

“Nak sabar macam mana, tok. Tiap-tiap malam memekak aje dengan bunyi motor. Sakit hati betul dibuatnya,” dia berkata lagi.

“Masalah ini tak akan selesai kalau kita berkeras. Menambahkan lagi masalah jadinya,” sampuk Badli pula.

“Panggil aje polis. Sumbatkan dia orang tu dalam lokap. Biar dirasanya. Baru padan dengan muka dia orang!” ucap Shamsuddin dengan rasa marah jelas kelihatan di wajahnya.

“Aku belumlah mahu bertindak macam tu, Shamsuddin,” ulas Tok Ketua.

“Habis tu? Nak biarkan aje dia orang sesuka hati berlumba. Buat jalan kampung ni macam dia orang yang punya. Besok dah ada nyawa yang melayang baru nak bertindak!” potong Shamsuddin dengan pantas.

“Tok Ketua taklah sampai bermaksud begitu, Shamsuddin. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus tepung jangan berselerak. Kita mesti mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Untuk mengatasi masalah ini,” kata Badli.

“Aku memang bersetuju sekali dengan apa yang dicakapkan Badli tu!” Tok Ketua menyokong sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Memang patut kita adukan perkara ni pada polis. Tapi kita harus fikirkan jugak. Siapa yang akan dapat malu nanti. Dah tentu ibu bapa dia orang. Bukan itu saja. Kita sebagai penduduk kampung ni juga akan mendapat tempiasnya. Akibat nila setitik habis rosak susu sebelanga,” dia menyambung lagi.

“Dalam hal ni kita tak boleh salahkan mereka sepenuhnya. Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang penting. Dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Barulah anak-anak muda di kampung ni tak terlibat dalam perkara yang tak baik. Seperti berlumba motor,” Badli menambah pula sebaliknya.

♠♠♠♠♠♠♠

Tok Ketua, Badli dan Shamsuddin terus rancak berbual-bual sambil menikmati sarapan pagi.

Tajuk perbualan mereka masih lagi hangat mengenai anak-anak muda di kampung ini yang terlibat dalam kegiatan lumba motor dan mencari jalan untuk mengatasinya.

Melalui jendela yang terbuka luas Badli melemparkan pandangan ke arah tanah terbiar yang berhadapan dengan rumahnya. Dahulu tanah ini adalah hamparan sawah padi yang kuning menghijau.

Tapi kini dipenuhi dengan lalang yang tinggi berdiri.

Masih lagi terbayang segar di ingatannya.

Apabila tiba musim menuai dia bersama dengan arwah ayah dan arwah ibunya serta orang-orang kampung bekerja dengan penuh keriangan dan semangat bermuafakat.

Ada yang memotong batang padi dan ada yang membanting padi.

Bila ada semangat bermuafakat maka segala pekerjaan yang berat akan menjadi ringan seperti yang disebut dalam pepatah berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Begitu juga bukit sama didaki lurah sama dituruni.

Hidup berkampung bagai aur dengan tebing.

Saling sandar-menyandar dan saling memerlukan setiap waktu dan ketika dan bukannya seperti enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing.

Tapi kini semua yang pernah dilaluinya itu hanya tinggal menjadi kenangan.

Tiba-tiba dia terfikir untuk mencadangkan kepada Tok Ketua mengusahakan semula sawah di tanah terbiar itu.

Dengan ini bukan sahaja akan memberikan peluang pekerjaan kepada orang-orang kampung selain daripada menoreh getah dan berkebun.

Malahan juga memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kampung ini.

Ia juga adalah jalan terbaik dalam mengatasi masalah anak-anak muda di kampung ini yang terlibat dalam kegiatan berlumba motor.

♠♠♠♠♠♠♠

Perbualan rancak Tok Ketua dan isterinya di ruang tamu rumah lantas terhenti apabila kedengaran suara orang memberi salam. Dia lalu menjawab salam dan mengatur langkah menuju ke muka pintu.

“Hah, kau rupanya, Badli. Masuklah!” dia berkata. Badli lalu menghulurkan tangan bersalaman dengan Tok Ketua dan masuk ke dalam rumah. Isteri Tok Ketua bingkas bangun dan masuk ke dapur.

“Duduklah!” ucap Tok Ketua lagi pada Badli.

“Saya dah nampak jalan untuk mengatasi masalah budak-budak muda berlumba di kampung kita ni, tok,” dia bersuara.

“Dengan cara apa, Badli?” tanya Tok Ketua dengan rasa penuh minat. Sambil mengangkat kepala tinggi sedikit memandang Badli yang duduk berhadapan dengannya.

“Kita usahakan semula sawah padi di tanah terbiar tu. Kita ajak mereka untuk bersama-sama dengan kita mengerjakannya. Mana tahu pintu hati mereka akan terbuka dan tidak akan berlumba motor lagi,” jelas Badli.

“Memang bagus sekali cadangan kau tu, Badli!” angguk Tok Ketua pula sebaliknya dengan pantas.

“Aku akan tulis surat pada jabatan pertanian untuk mendapatkan bantuan. Tapi kita mesti ingat, Badli. Bukan mudah untuk mereka menerimanya. Walaupun perkara itu baik dan bermanfaat sebenarnya kepada mereka. Kau maklum ajelah, Badli. Anak-anak muda sekarang tak berminat untuk bersawah padi. Lainlah macam kita dulu,” tambahnya lagi.

“Memang saya tak nafikan apa yang tok katakan tu. Tapi bagi saya tok kita mesti terus berusaha. Untuk menarik mereka bersama dengan kita mengusahakan sawah padi di tanah terbiar tu. Saya yakin. Akhirnya mereka akan menerima juga. Bersawah padi sebagai pekerjaan utama mereka di kampung ni. Walaupun terpaksa berpanas dan berlumpur,” nyata Badli.

“Aku sependapat dengan kau, Badli. Daripada tanah tu terbiar lebih baik diusahakan dengan sesuatu yang memberikan faedah kepada kita semua di kampung ni. Perkara yang baik mesti kita segerakan. Perkara yang lambat takut datang buruk pulak nanti. Besok aku akan pergi ke jabatan pertanian dengan bawak surat sekali,” Tok Ketua membalas.

Tak lama kemudian isteri Tok Ketua muncul dari dapur sambil membawa minuman dan makanan yang diletakkan di dalam dulang. Dua cawan air teh dan sepinggan kuih seri muka.

Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Asap nipis yang keluar daripada air teh kelihatan teroleng-oleng naik ke atas dan kemudiannya lalu menghilang.

Isteri Tok Ketua kemudiannya berlalu pergi bersama dulang yang telah kosong.

Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Bersama awan yang putih menebal dan langit yang membiru. Angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah Tok Ketua bertiup kencang.

Pokok jambu batu yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua kelihatan terbuai-buai apabila ditiup angin. Daun-daun dan buah-buah jambu kelihatan seperti melenggang-lenggok mengikut rentak angin yang bertiup.

Daun-daun kering dan buah-buah yang berguguran kelihatan menutupi permukaan tanah yang kering. Sekali-sekala kedengaran bunyi gemertap ranting patah berguguran ditiup angin dan menimpa rumput yang menghijau.

“Hah, Badli! Jemputlah minum!” pelawa Tok Ketua.

♠♠♠♠♠♠♠

Keesokan harinya Tok Ketua lalu pergi ke jabatan pertanian. Sekembalinya daripada jabatan pertanian dia singgah sebentar di rumah Badli.

“Aku ada berita baik, Badli,” beritahunya dengan rasa penuh gembira.

“Berita apa, tok?” tanyanya pula.

“Jabatan pertanian bersetuju untuk membantu kita mengusahakan sawah padi di tanah yang terbiar tu,” dia menjawab.

“Syukur alhamdulillah, tok,” sambut Badli dengan rasa penuh riang.

“Aku akan ajak budak-budak yang terlibat dalam kegiatan merempit tu bersama-sama menjayakan projek ni,” dia berkata.

“Eloklah tu, tok. Semoga pintu hati mereka akan terbuka. Untuk bersama-sama dengan kita mengerjakan sawah padi di kampung ni,” sokong Badli.

“Insya-Allah, Badli!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT. Semoga apa yang kita impikan akan terlaksana,” sambungnya lagi.

Tok Ketua kemudian lalu beredar meninggalkan rumah Badli.

Pada mulanya anak-anak muda tidak menyambut baik hasrat Tok Ketua untuk melibatkan mereka bersama-sama menjayakan projek tanaman semula sawah padi di tanah yang terbaik.

Namun dia tidak patah semangat dan berputus asa. Dia terus berusaha untuk menarik anak-anak muda agar menyertai projek yang dicadangkan Badli itu.

“Perkara yang baik memang susah diterima orang. Berbanding dengan perkara yang buruk,” Tok Ketua berkata.

“Betul tu, tok. Kita bersabar dan terus berdoa ajelah, tok,” ujar Badli pula sebaliknya.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya, Badli. Kita berusaha dan terus berusaha. Allah tahu apa yang kita lakukan. Perkara yang membawa kepada kebaikan pasti akan dimakbulkan juga akhirnya,” Tok Ketua bersuara tenang.

♠♠♠♠♠♠♠

Dia meneruskan usaha untuk mengajak anak-anak muda supaya bersama-sama mengerjakan sawah padi. Tapi masih lagi dingin dan langsung tidak mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Tok Ketua tak putus-putus berdoa siang dan malam. Semoga Allah SWT melorongkan mereka untuk berganding tenaga bersama-sama dengan orang-orang kampung mengusahakan sawah padi.

Anak-anak muda sebaliknya meneruskan kegiatan mereka yang tidak sihat itu. Akibatnya orang-orang kampung menyuruh Tok Ketua agar bertindak tegas.

Namun Tok Ketua tetap dengan sikap tenang dan sabarnya. Seboleh-bolehnya dia mahu menyelesaikan masalah ini dengan cara yang harmoni dan baik.

“Aku rasa lebih baik kita kumpulkan mereka semua di balai raya. Kita nasihatkan mereka supaya meninggalkan kegiatan yang tidak berfaedah ini. Kita beritahu mereka manfaat dan faedahnya mereka bersama-sama dengan orang-orang kampung mengusahakan sawah padi,” kata Tok Ketua.

“Memang itulah cara yang terbaik, tok. Mungkin dengan cara ini akan menjadikan mereka insaf dan meninggalkan terus kegiatan merempit tu. Dan menarik minat mereka untuk bersama-sama dengan kita mengusahakan projek sawah padi di tanah terbiar tu,” sambut Badli pula.

Tok Ketua lalu mengumpulkan anak-anak muda di balai raya.

Dia memandang wajah anak-anak muda yang dikumpulkannya itu dengan penuh rasa kasih dan sayang. Seperti anaknya sendiri.

♠♠♠♠♠♠♠

“Anak-anakku sekalian. Tok sangat sayang pada kamu semua. Kerana kamu semua adalah pewaris kampung ini. Apabila tok dan orang-orang kampung sudah tiada nanti. Sebab itu tok mintak sangat mulai dari hari ini kamu semua tinggalkanlah kegiatan yang bukan sahaja membahayakan diri kamu semua sendiri malah tidak membawa apa-apa manfaat jauh sekali menguntungkan …,” dia bersuara perlahan.

Di luar angin bertiup dalam irama perlahan dan lemah gemalai.

Pohon-pohon hijau yang tumbuh berhampiran dengan kawasan balai raya seperti mengangguk-angguk. Mengikut rentak angin yang bertiup dan seperti menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan Tok Ketua itu.

“Kamu semua masih muda. Ibarat sehelai daun yang masih hijau lagi. Tenaga dan kudrat kamu amat diperlukan untuk membangunkan dan memakmurkan kampung ini. Amat sayang kalau usia semuda kamu ini disia-siakan dengan kegiatan berlumba motosikal yang boleh mengakibatkan kamu maut atau cacat seumur hidup,” katanya lagi.

Kata-kata Tok Ketua yang dalam nada halus dan penuh bermakna itu ternyata benar-benar menusuk ke dalam diri mereka.

Ada yang tunduk dan ada yang mengangkat kepala ke atas memikirkan tentang apa yang dikatakan Tok Ketua itu.

“Kamu semua adalah umpama permata yang amat bernilai bagi kami semua. Sebab itulah maka tok mengajak kamu semua untuk bersama-sama dengan orang-orang kampung mengusahakan projek sawah padi di tanah yang terbiar tu. Untuk meneruskan warisan bertani yang telah diamalkan semenjak daripada nenek moyang kita dahulu,” ujarnya.

Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang dan memandang ke arah anak-anak muda yang duduk di atas kerusi dan berhadapan dengannya.

Ada yang tunduk bersama rasa penyesalan yang tebal kelihatan di wajah. Terhadap apa yang telah dilakukan selama ini.

Ada yang mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda menerima apa yang dikatakan Tok Ketua itu.

Kemudian salah seorang daripada mereka lalu bangun.

“Kawan-kawan! Mulai hari ni kita tinggalkan merempit. Kita usahakan sawah padi bersama dengan orang-orang kampung. Setuju?” Dia mengangkat tangan dengan penuh semangat dan memandang wajah kawan-kawannya.

“Setuju!” sambut kawan-kawannya dalam suara yang penuh lantang sambil mengangkat tangan tinggi dan bangun berdiri.

Tok Ketua lalu tersenyum sambil dalam hati kecilnya melafazkan rasa kesyukuran yang tak terhingga.

♠♠♠♠♠♠♠


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *