Cerpen “Pada Satu Petang Aku Berbual Dengan Atuk”

Jam ( AegenFa )

Sayup-sayup kedengaran..

..suara angin petang bertiup perlahan dan sepoi-sepoi bahasa.

Rasa nyaman dan segar jelas terasa menyelubungi seluruh kampung yang indah dan permai.

Pohon-pohon hijau kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri. Mengikut rentak angin yang bertiup dari arah bukit yang subur dan menghijau.

Bunyi daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain apabila ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana petang yang penuh dengan ketenangan.

Iramanya yang gemersik dan mendayu-dayu sungguh menghiburkan jiwa apabila didengar.

Daun-daun kering yang jatuh berguguran apabila ditiup angin kelihatan berselerakan di atas tanah.

Sekali-sekala kedengaran bunyi gemertap ranting patah ditiup angin dan menimpa permukaan tanah yang rata.

Matahari kelihatan bersinar indah dengan cahayanya yang terang-benderang menyinari seluruh kampung.

Bahang matahari yang terik dan hangat jelas terasa mengusapi suasana petang di desa yang penuh dengan kedamaian.

Langit biru nampak bersih bersama gumpalan awan yang tebal memutih. Tiada kelihatan langsung tanda-tanda hujan akan turun.

Sekarang ini musim kemarau.

Sudah berbulan-bulan agak lamanya hujan tidak turun.

Daun-daun dan rumput-rumput yang dahulunya hijau telah bertukar menjadi warna keperangan akibat daripada musim kemarau yang berpanjangan.

Selepas menunaikan solat Asar aku dan atuk duduk di ruang tamu rumah sambil berbual-bual dan menikmati minum petang yang disediakan nenek.

Petang ini nenek menyediakan hidangan air teh ‘o’ dan kuih keria.

♣♣♣♣♣♣♣

“Dalam hidup ini biar kita dipandang orang miskin asalkan kaya dengan budi bahasa,” kata atuk sebaik-baik sahaja menghirup air teh ‘o’ yang masih lagi panas itu.

Asap nipis yang keluar daripada air teh ‘o’ yang masih lagi panas itu kelihatan melenggang-lenggok naik ke atas dan kemudian lalu menghilang.

“Tiada gunanya kita banyak harta tapi miskin budi bahasa,” dia berkata lagi.

“Maksud tuk budi bahasa lebih utama daripada harta kekayaan.” Aku dapat menangkap maksudnya itu.

“Ya, Mi!” dia membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Itulah yang paling utama dalam hidup ini. Bukannya mendabik dada dan memandang ke langit tinggi apabila sudah mempunyai kekayaan yang melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir,” dia menyambung lagi.

“Kenapa ada yang berasa megah dan bangga apabila hidup dilimpahi dengan kesenangan dan kemewahan?” aku menyoal atuk dengan penuh minat.

“Itu sudah menjadi lumrah, Mi. Apabila sudah berada di atas tidak lagi memandang rumput yang menghijau di bawah. Lupa asal usul. Seperti yang disebut dalam pepatah bagai kacang yang lupakan kulit,” atuk menjawab.

Aku sebaliknya lalu mengangguk-angguk diam.

Sebagai tanda faham dengan apa yang dikatakan atuk itu. Angin yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang.

Pohon rambutan, bacang, nangka, jambu dan kelapa yang tumbuh di halaman rumah atuk kelihatan mengangguk-angguk apabila ditiup angin.

♣♣♣♣♣♣♣

“Nak berjaya dalam hidup ni pun bukannya mudah. Perlu usaha dan kerja keras. Bak kata pepatah yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang,” ujarnya.

“Tak ada jalan pintas untuk kita berjaya dalam hidup ini. Hanya dengan rajin dan gigih saja kita akan dapat apa yang kita inginkan,” aku menambah.

“Samalah macam kita makan. Nasi dan lauk tu tak terus kita telan. Kita kena gaul dulu kemudian kunyah dan bila dah lumat barulah kita telan dan terasa kenyang,” jelasnya lagi.

“Sebagai pelajar saya juga kena belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” aku berkata.

“Itu sudah menjadi tanggungjawab Mi sebagai pelajar yang masih lagi menuntut di universiti. Kalau Mi sentiasa rajin dan berusaha di samping berdoa ke hadrat Allah SWT insya-Allah Mi pasti lulus dengan cemerlang,” ucapnya.

“Insya-Allah, tuk!” aku sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Mi akan sentiasa ingat pesan atuk,” janjiku.

Atuk lalu tersenyum sambil makan kuih keria.

Memang enak dan sedap menikmati minum petang sambil menghirup angin yang bertiup dingin dan segar daripada arah bukit yang terletak berhadapan dengan rumah atuk.

Bunyi kelepak kelepuk pelepah pisang di belakang rumah atuk ditiup angin juga jelas kedengaran membelah suasana petang.

♣♣♣♣♣♣♣

“Hidup ini perlu penuh dengan ilmu di dada. Ilmu adalah cahaya yang menerangi hidup kita. Tanpa ilmu hidup kita tak ubah seperti berada di dalam kegelapan dan teraba-raba,” nasihat atuk.

“Orang yang berilmu sentiasa dipandang tinggi,” ulasku pula sebaliknya.

“Tuntutlah ilmu tanpa jemu. Semakin banyak ilmu diperolehi semakin banyak manfaat dan faedahnya kepada kita. Jadikanlah diri kita ini kaya dengan ilmu,” tambahnya lagi.

“Pensyarah saya di universiti pernah berkata bahawa ilmu itu kalau digali adalah ibarat permata yang berkilauan,” ujarku.

“Demikianlah tinggi dan berharganya ilmu. Alangkah ruginya kita kalau tidak mencari ilmu,” dia membalas.

Perbualan aku dengan atuk semakin rancak. Serancak angin yang bertiup di luar.

Angin yang datang daripada arah bukit menyusup masuk melalui atap dan celah-celah papan rumah atuk.

Pohon kelapa yang tumbuh di halaman rumah atuk kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin.

Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang mencari rezeki di bandar agar pulang semula ke kampung halaman untuk menabur bakti.

Pelepah kelapa yang terbuai-buai ditiup angin kedengaran bernyanyi-nyanyi riang dan menghiburkan jiwa bersama petang yang sungguh mendamaikan.

♣♣♣♣♣♣♣

“Usia muda seperti Mi adalah ibarat sehelai daun hijau. Janganlah disia-siakan usia muda yang ada. Sebaliknya penuhilah dengan perkara yang memberikan manfaat dan faedah.” Atuk tak putus-putus memberikan nasihat padaku.

“Mi sentiasa berpegang pada pepatah yang menyebutkan bahawa yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Perkara yang berfaedah dan mendatangkan kebaikan sentiasa Mi jadikan sebagai ikutan. Manakala perkara yang buruk dan membawa kerugian Mi segera jauhkan agar tidak mudah terpengaruh,” ucapku pula sebaliknya.

Atuk lalu menarik nafas yang panjang dan tersenyum apabila mendengar kata-kataku itu.

“Baguslah kalau macam tu, Mi!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau kita berkawan dengan orang yang baik maka baiklah jadinya kita. Tapi kalau kita memilih untuk berkawan dengan orang yang buruk tingkahlakunya maka kita pun ikutlah jadi seperti dia,” dia menambah lagi.

“Mi teringat akan kata-kata yang menyebutkan bahawa hidup ini perlu sentiasa berbuat baik dan meringankan tangan membantu mereka yang lemah dan tidak berupaya,” aku berkata.

“Memang itulah yang dituntut dalam hidup kita sebagai manusia. Tidak rugi kita membuat kebaikan. Buatlah dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Nescaya setiap kebaikan yang kita taburkan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga,” tegas atuk.

Memang mendalam sekali dan penuh dengan makna yang tersirat kata-kata atuk itu.

Suara angin yang bertiup lemah-gemalai jelas kedengaran mengusapi suasana petang.

Nyanyian merdu dan keriangan pohon-pohon ditiup angin sungguh mengasyikkan dan menawan jiwa.

Sehingga membangkitkan keindahan desa yang permai lagi indah dan menumpahkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi.

♣♣♣♣♣♣♣

“Adat dan warisan budaya yang setelah sekian lama diperturunkan oleh datuk nenek moyang kita terdahulu jangan sesekali dilupakan. Perlu dipertahankan dan dipelihara walaupun zaman sering bertukar ganti,” ujar atuk dengan begitu penuh bersemangat sekali.

“Kata-kata atuk itu mengingatkan saya kepada sebuah buku yang pernah saya baca berkenaan dengan adat dan warisan budaya,” tambahku.

“Apa yang Mi dapat setelah membaca buku tu?” dia sebaliknya memotong dengan pantas. Mungkin kerana terlalu berminat untuk mengetahui tentang buku yang pernah aku baca itu.

“Dalam buku itu menyebutkan bahawa adat dan warisan budaya itu adalah khazanah warisan yang sangat tinggi nilainya. Kalau hilang sukar untuk dicari ganti dan kalau cicir sukar untuk dipungut kembali,” jawabku.

“Walaupun tuk tidak membaca buku tu tapi daripada apa yang Mi katakan tadi memang amat menarik. Apabila memperkatakan tentang betapa pentingnya memastikan adat dan warisan budaya terus kekal dan tidak hanyut ditelan zaman,” ulas atuk.

“Mi sebagai generasi muda berasa amat bangga dengan adat dan warisan budaya yang diwarisi semenjak daripada turun-temurun lagi. Mi sayang dan cintakan adat dan warisan budaya. Sebab itu Mi ambil bidang tu di universiti. Mi berjanji, tuk. Mi akan pertahankannya dan menurunkannya kepada generasi Mi yang seterusnya untuk meneruskan kesinambungan,” aku berkata dengan penuh panjang lebar.

Rasa kegembiraan lalu jelas terpancar di wajah atuk yang semakin dimamah usia itu.

“Bagus, Mi. Tuk doakan semoga usaha murni Mi itu akan terlaksana,” dia sebaliknya membalas.

Masa begitu pantas berlalu.

Sedar-sedar hari dah pun memasuki lewat petang. Aku dan atuk lalu berhenti daripada berbual. Kemudian aku dan atuk lalu membersihkan diri dan pergi ke masjid.

Demikianlah perbualan aku dan atuk pada satu petang.

♣♣♣♣♣♣♣


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *