Cerpen “Nasihat Atuk”

Basikal ( Tama66 )

Suara angin petang yang bertiup
perlahan dan nyaman jelas terasa membelah
seluruh kampung yang indah lagi permai.

Sementara menunggu masuknya waktu Asar aku berbual-bual dengan atuk di anjung rumah.

“Seperti air laut yang membiru pasang dan surut silih berganti. Hidup ini penuh dengan warna-warna suka dan duka. Penuh dengan manis dan pahit,” kata atuk.

“Manis bagaikan madu dan pahit umpama hempedu. Ketawa dan menangis. Hari ini kita berasa gembira. Tapi esok belum pasti lagi,” aku sebaliknya membalas.

“Kerana semua itu bukan kita yang menentukannya. Tapi adalah di tangan Tuhan Yang Esa,” ujar atuk lagi.

Sekali-sekala kedengaran bunyi kelepak-kelepuk pelepah pisang di belakang rumah atuk apabila ditiup angin.

“Apabila memandang langit yang tinggi rumput di bawah jangan sesekali dilupakan,” ingat atuk pula.

Aku dapat menangkap maksud kata-kata atuk itu.

“Jangan mudah lupa diri apabila sudah berjaya dalam hidup ini,” ulasku.

Atuk lalu tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ya, Zam!”

“Ingatlah asal usul. Ingatlah susah payah dan perit getir yang dilalui sebelum berada di puncak kejayaan. Dengan ini akan terhindarlah segala rasa sombong dan bongkak dalam diri,” sambung atuk lagi.

Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Faham dengan apa yang dikatakan atuk itu. Rasa segar dan dingin angin yang bertiup jelas terasa menyapu seluruh tubuh. Memang enak rasanya apabila dapat menghirup angin di anjung rumah atuk.

“Ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi. Tak usahlah berasa megah dan bangga dengan kelebihan yang ada pada diri,” pesan atuk.

“Benar, tuk!” anggukku pula sebaliknya dengan pantas.

“Janganlah mudah hanyut dan mendabik dada apabila mendapat sanjungan dan pujian. Sesungguhnya pujian dan sanjungan itu akan menjadikan kita leka dan mudah lupa diri,” aku menambah.

“Oleh yang demikian maka teladani dan contohilah resmi padi. Walaupun sentiasa berisi namun sentiasa merendah diri,” kata atuk pula sebaliknya.

+++++++

Angin yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah atuk kelihatan seperti melambai-lambai apabila ditiup angin. Pelepah nyiur yang bergeseran antara satu sama lain apabila ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

Perbualan aku dengan atuk semakin rancak.

“Jadilah seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan,” ujar atuk.

“Dalam memberikan pertolongan dan berbuat sesuatu hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan di hati,” balasku pula.

“Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran mahupun balasan. Biarlah Tuhan yang menentukannya. Sebaliknya jadilah seperti lilin yang membakar diri sehingga cair dan kemudian terus padam,” ucap atuk lagi.

Pokok rambutan yang tumbuh di halaman rumah atuk kelihatan seperti mengangguk-angguk apabila ditiup angin. Seolah-olah menyatakan sokongan dan persetujuan dengan kata-kata yang diucapkan atuk itu.

Atuk yang merupakan seorang bekas guru sering berpesan dan mengingatkan aku termasuk cucu-cucunya yang lain agar menjadikan pepatah dan peribahasa Melayu yang mempunyai banyak nilai-nilai murni dan keindahan kata-kata sebagai pegangan hidup.

Dia juga gemar membaca buku-buku peribahasa dan pepatah Melayu. Dalam almari rumah atuk penuh dengan buku-buku tersebut. Kata atuk lagi membaca adalah jambatan ilmu. Banyak membaca akan banyak pengetahuan yang kita akan dapat nanti. Demikianlah nasihat dan pesan atuk.

Sebab itu aku banyak mengisi masa lapang dengan membaca buku agar memperolehi ilmu di dada dan berpengetahuan tinggi. Seperkara lagi nasihat atuk ialah ilmu yang ada perlu dikongsi bersama-sama dengan orang lain. Memang atuk mahu cucu-cucunya bukan sahaja berilmu malahan juga berfikiran jauh dan dapat menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara pada satu hari nanti.

+++++++

“Yang baik kita jadikan sebagai teladan dan yang buruk kita jadikan sebagai sempadan. Perkara yang baik kita jadikan sebagai ikutan dan amalan,” atuk berkata.

“Perkara yang buruk maka perlu kita jauhkan. Barulah kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” aku membalas.

Atuk lalu tersenyum gembira apabila mendengar kata-kata aku itu. Selain daripada mementingkan ilmu atuk juga menitikberatkan ajaran agama terhadap cucu-cucunya. Dia mahunya cucu-cucunya sentiasa menjadikan agama sebagai pegangan agar mendapat keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.

“Usah menganggap diri kita yang terbaik sedangkan ada orang lain lagi yang paling terbaik daripada kita,” ingat atuk.

“Selama ini kita menganggap bahawa diri kita yang terbaik kerana memiliki kemahiran dan kelebihan. Tapi kita lupa yang ada orang lain lagi yang paling terbaik daripada kita.” Aku mengerti dengan apa yang dikatakan atuk itu.

“Justeru itu maka berusahalah untuk memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada dalam diri kita,” atuk menambah.

Memang aku akui bahawa atuk seorang yang berilmu tinggi. Dengan banyak membaca buku-buku yang diminatinya. Kata-kata atuk penuh dengan makna dan maksud yang tersirat. Ini menjadikan aku semakin bersemangat untuk mengikut jejak langkah atuk.

Dia bukan sahaja setakat memberi pesan dan ingatan kepada aku dan cucu-cucunya yang lain tetapi juga bercerita tentang pengalamannya sewaktu menjadi pendidik. Atuk melahirkan rasa gembira apabila anak-anak muridnya berjaya menjadi insan yang dapat menaburkan khidmat dan bakti pada agama, bangsa dan negara.

Demikianlah jugalah harapannya pada aku dan cucu-cucunya yang lain.

+++++++

“Rajin dan usaha itu adalah tangga utama kejayaan. Tiada jalan mudah untuk kita mencipta kejayaan dalam hidup ini. Melainkan usaha dan sentiasa bekerja keras. Kalau kita malas berusaha tak akan ke mana. Ibarat kata pepatah rezeki secupak tak akan jadi segantang,” kata atuk lagi dengan penuh panjang lebar.

Angin yang menderu terasa menyusup masuk melalui atap zink dan kemudian turun ke anjung rumah atuk. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan seperti menari-nari inang apabila ditiup angin. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak tari angin.

Daun-daun menghijau yang terbuai-buai ditiup angin bagai bernyanyi-nyanyi riang dan sungguh menghiburkan jiwa. Terasa keindahan dan kedamaian mengulit desa yang tercinta. Kehangatan angin petang yang bertiup semakin menghangatkan lagi perbualan antara aku dan atuk.

“Duduk seorang jadinya sempit dan duduk ramai jadinya lapang. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu tidak boleh seorang diri. Perlu dilakukan dalam satu pasukan,” ujar atuk.

“Kerja yang berat pasti akan menjadi ringan dan mudah untuk dilaksanakan,” tambahku pula sebaliknya.

“Muafakat membawa berkat dalam kehidupan. Dalam hidup ini kita mesti sentiasa bermuafakat. Umpama yang disebut dalam pepatah bagai aur dengan tebing saling sandar-menyandar,” kata atuk.

“Saling perlu-memerlukan antara satu sama lain setiap waktu dan ketika. Saling tolong-menolong dan bantu-membantu sesama kita,” balasku.

“Apabila sentiasa mengamalkan semangat permuafakatan maka akan membawa kepada keberkatan dalam hidup ini,” ujar atuk.

Ternyata atuk banyak ilmu pengetahuan dan sentiasa memberikan aku nasihat. Atuk sering mengingatkan aku dan cucu-cucunya yang lain agar menjadikan setiap yang baik sebagai teladan dan menjadikan setiap yang buruk itu sebagai sempadan.

+++++++

“Usia muda tak ubah seperti sehelai daun hijau dan usia tua tak ubah seperti sehelai daun kering. Usahlah dipersiakan usia muda yang ada. Penuhilah dengan perkara yang membawa kepada kebaikan dan bermanfaat. Gunakanlah segala tenaga dan kudrat yang ada dengan sebaik mungkin. Apabila kita sudah menjadi tua nanti maka segala tenaga dan kudrat yang ada akan hilang dan lenyap. Ketika itu kita tak ubah seperti sehelai daun kering yang akan jatuh berguguran menimpa tanah apabila ditiup angin.” Demikianlah pesan atuk dengan penuh panjang lebar.

“Insya-Allah, tuk!” aku lalu mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Saya akan ingat segala pesanan dan nasihat, tuk. Saya jugak nak ucapkan terima kasih pada tuk. Kerana banyak memberikan nasihat yang berguna kepada saya,” aku menyambung lagi.

Atuk kemudiannya tersenyum apabila mendengar kata-kataku itu.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *