Cerpen “Misteri Sebuah Lombong Tinggal”

Tingkap ( Egils )

Dari jauh kelihatan…

…bukit-bukau yang subur lagi menghijau.

Di kaki langit biru matahari kelihatan bersinar indah.

Awan putih kelihatan menebal.

Cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh kampung yang indah dan permai. Angin yang datang dari arah bukit bertiup perlahan dan nyaman.

Suara pohon-pohon hijau bergoyangan dan daun-daun bergeseran apabila ditiup angin jelas kedengaran membelah suasana.

“Betul ke lombong tinggal tu berpenunggu,” kata Syamil.

“Entahlah, Mil. Dah heboh orang bercerita tentang lombong tu berpuaka,” tambah Nazim.

“Aku ada dengar jugak cerita yang ada orang nampak lembaga berkeliaran di lombong tu. Terutama pada waktu bulan mengambang,” celah Adnan pula sebaliknya.

“Kau berdua percaya ke yang lombong tu ada penunggu.” Syamil memandang wajah kedua-dua kawannya itu.

“Entahlah, Mil!” balas Nazim sambil mengangkat kedua-dua belah bahunya.

“Aku sendiri pun tak pernah pergi ke lombong tu. Hanya dengar cerita orang aje,” dia menyambung lagi.

“Aku pun macam tu jugak. Jadi, susahlah nak percaya. Sama ada betul atau tidak lombong tu betul-betul berhantu,” ujar Adnan.

Syamil sebaliknya lalu diam apabila mendengar apa yang dikatakan kedua-dua kawannya itu. Dari raut wajahnya jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan sesuatu.

Dia kemudian pantas memandang wajah Nazim dan Adnan.

“Kalau macam tu apa kata malam ni kita sendiri pergi tengok lombong tu,” ajak Syamil.

“Malam ni?” Adnan seperti berasa terperanjat.

“Yalah!” angguk Syamil pula dengan pantas.

“Aku ikut aje. Kau pulak macam mana, Nan?” kata Nazim sambil berpaling ke arah Adnan.

“Kalau kau orang berdua pergi aku ikutlah!” dia sebaliknya menjawab.

“Baiklah!” Syamil membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Malam nanti kita pergi ke lombong tu. Dahlah. Nanti terlambat pulak kita sampai ke sekolah nanti,” ajaknya.

Mereka bertiga lalu mengatur langkah dengan pantas menuju ke sekolah.

♦◊♦◊♦◊♦

Malam.

Bulan dan bintang kelihatan bersinar indah menghiasi kaki langit hitam.

Bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan memecah suasana malam yang tenang dan hening. Angin bertiup perlahan dan nyaman.

Rasa dingin dan segar angin malam yang bertiup jelas terasa menyelubungi suasana.

Dengan berbekalkan lampu suluh ketiga-tiga sahabat itu meredah kegelapan malam menuju ke lombong tinggal yang dikatakan berpenunggu itu. Setelah lama berjalan mereka akhirnya sampai ke kawasan lombong itu.

Keadaan kawasan persekitaran lombong itu amat menyeramkan dan menakutkan. Dengan suasana yang gelap dan dipenuhi dengan semak samun yang tebal.

Tiba-tiba kedengaran enjin dan cahaya lampu kereta kelihatan menyuluh ke arah kawasan lombong itu.

Apabila melihat kereta itu memasuki kawasan lombong yang tinggal itu Syamil, Nazim dan Adnan lalu bersembunyi di sebatang pokok yang tidak jauh daripada kawasan lombong yang heboh diperkatakan orang berhantu itu.

♦◊♦◊♦◊♦

“Apa kereta tu buat kat situ, hah?” Syamil berkata.

“Entahlah …!” jawab Adnan.

“Orang dalam kereta tu tak takut ke. Kawasan lombong ni keras,” ujar Nazim.

“Agaknya dia orang tak tahu. Kalau dia orang tahu dah tentu dia orang tak akan datang sini,” ucap Syamil pula sebaliknya.

Sebaik-baik sahaja enjin dan lampu dimatikan pemandu dan penumpang kereta itu lalu turun dan berjalan menuju ke arah pondok yang terdapat di kawasan lombong tinggal itu.

“Kau orang tengok tiga orang lelaki tu. Dia orang pergi ke pondok tu. Siapa dia orang ni dan apa yang dia orang buat kat pondok tu,” kata Syamil.

“Memang peliklah dia orang ni,” celah Adnan.

“Yalah. Macam ada sesuatu yang dia orang buat kat pondok tu,” tambah Syamil.

“Aku pun fikir macam tu jugak, Mil. Habis? Apa kita nak buat sekarang,” sampuk Adnan.

“Kita perhatikan gerak-geri mereka,” balas Syamil.

Kedua-dua kawannya itu kemudian lalu mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda bersetuju dengan cadangannya itu.

♦◊♦◊♦◊♦

Sementara itu cahaya lampu kelihatan menerangi seluruh pondok kayu itu.

Angin malam yang bertiup lembut dan perlahan jelas terasa menyusup masuk melalui celah-celah atap zink dan dinding papan pondok kayu yang dihuni tiga orang lelaki itu.

Suara pohon-pohon dan daun-daun dibuai angin malam yang bertiup jelas kedengaran membelah kepekatan malam.

“Tempat ni selamat. Polis tak akan dapat mengesan kita,” Ricky bersuara.

“Tapi kita mesti berhati-hati jugak, Ricky. Polis tentu sekarang berhabis-habisan untuk memburu kita,” ingat Jeman pula sebaliknya.

“Betul kata kau tu, Jeman. Jangan kita ingat tempat ni selamat. Lambat-laun polis akan tahu jugak kalau kita tidak berhati-hati,” celah Sodi.

Rasa tidak senang bercampur dengan marah lantas kelihatan di wajah Ricky. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut kedua-dua kawannya itu.

♦◊♦◊♦◊♦

“Ah! Kan aku dah kata. Tempat ni selamat. Polis tak akan tahu. Lagipun tempat ni jauh tersembunyi. Kita pun dah takutkan orang-orang di sini. Tempat ni ada penunggu. Mereka tak berani menghampiri tempat ini. Apa yang nak dibimbangkan!” dia meninggikan suara.

Jeman dan Sodi sebaliknya lalu diam.

Mereka bertiga sebenarnya adalah Geng Hitam.

Kumpulan penjenayah yang sangat dikehendaki oleh pihak polis kerana banyak melakukan kegiatan samun bersenjata.

Mereka sangat licik dan sentiasa dapat melepaskan diri daripada pihak polis.

Namun mereka lupa bahawa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Satu hari nanti mereka akan tumpas juga di tangan pihak polis.

Ricky kemudian lalu memandang wajah kedua-dua kawannya yang masih lagi diam membisu itu.

“Sudah! Kau orang lupakan semua tu. Kita tumpukan kepada mangsa seterusnya!” tegasnya.

♦◊♦◊♦◊♦

Keesokan harinya ketiga-tiga lelaki yang dilihat di kawasan lombong tinggal dan dikatakan berhantu itu menjadi tajuk perbualan utama ketiga-tiga sahabat itu.

“Balik aje ke rumah malam tadi aku asyik memikirkan tiga orang lelaki yang kita jumpa di kawasan lombong tu,” kata Syamil.

“Aku rasa dia orang bukan orang sini. Tapi yang peliknya dia orang berani tinggal di pondok yang terdapat di lombong tu,” ujar Adnan.

“Aku pun sependapat dengan kau, Nan. Orang heboh bercerita tentang lombong tu ada lembaga yang amat menyeramkan dan menakutkan. Tapi dia orang berani tinggal kat situ. Yalah. Macam yang kau kata, Mil. Mungkin dia orang tak tahu atau tak terserempak dengan lembaga tu. Kalau dia dah jumpa dah tentu dia orang tak akan tinggal kat situ lagi,” Nazim berkata dengan penuh panjang lebar.

“Aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena la dengan dia orang ni,” celah Syamil pula.

“Aku pun rasa macam tu jugaklah, Mil. Dalam hati aku tertanya-tanya jugak. Kenapa dia orang memilih untuk tinggal di tempat macam tu,” sokong Adnan.

“Kita mesti siasat siapa mereka ni yang sebenarnya,” ucap Syamil.

“Memang betul kata kau tu, Mil. Dari gerak geri dia orang memang amat mencurigakan,” tambah Nazim.

“Petang ni kita pergi intip. Harap-harap kita akan dapat jawapan. Apa sebenarnya yang mereka lakukan di pondok tu,” ajak Syamil pula.

“Aku setuju sangat. Tapi kita kena berwaspada. Jangan sampai mereka dapat menghidu apa yang kita lakukan,” ingat Nazim.

“Ya!” angguk Syamil dengan pantas.

“Setiap langkah yang kita susun dan atur perlu dengan berhati-hati. Kalau kita tersilap langkah sudah pasti buruk akan menimpa kita. Bertindak mengikut fikiran dan bukannya terburu-buru,” dia menyambung lagi.

Tak lama kemudian kedengaran loceng sekolah berbunyi. Menandakan berakhirnya waktu rehat.

Ketiga-tiga mereka kemudian lalu mengatur langkah dan menuju ke kelas.

♦◊♦◊♦◊♦

Petang.

Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali.

Matahari bersinar indah di kaki langit biru. Awan putih kelihatan menebal. Sinar cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh alam semesta.

Angin bertiup kencang. Pohon-pohon dan daun-daun menghijau yang ditiup angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

Seperti yang dirancang Syamil, Adnan dan Nazim lalu pergi ke lombong yang telah lama ditinggalkan itu untuk mengintip ketiga-tiga lelaki yang penuh mencurigakan itu.

Sampai sahaja di kawasan lombong yang penuh dengan misteri itu kelihatan kereta yang dinaiki ketiga-tiga lelaki itu berada di situ.

Sudah tentu mereka berada di dalam pondok itu. Ketiga-tiga sahabat itu kemudian lalu mengatur langkah dengan penuh berhati-hati menuju ke pondok itu.

Sambil sesekali memandang ke kiri dan kanan sebagai berwaspada agar kehadiran mereka tidak disedari ketiga-tiga lelaki yang berada di dalam pondok itu.

Melalui papan yang menjadi dinding pondok mereka melekatkan telinga untuk mendengar perbualan ketiga-tiga lelaki itu.

Syamil kemudian menunjukkan isyarat diam kepada kedua-dua kawannya itu. Mereka membalas dengan mengangguk-angguk diam.

Ketiga-tiga sahabat itu lalu menumpukan sepenuh perhatian mendengar perbualan penjenayah yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Hitam.

♦◊♦◊♦◊♦

“Aku dah kenalpasti mangsa seterusnya,” Ricky bersuara.

“Siapa?” potong Sodi dengan pantas.

“Rumah Orang Kaya Mahmud,” dia membalas.

“Orang Kaya Mahmud,” ulang Jeman pula sebaliknya.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Di mana rumahnya?” soal Sodi lagi.

“Taman Seri Wangi,” dia menjawab.

“Tempat tu orang-orang kaya saja yang tinggal,” balas Jeman.

“Memang!” angguk Ricky.

“Tapi mangsa kita adalah Orang Kaya Mahmud,” sambungnya lagi.

“Bila kita akan rompak rumah dia?” tanya Sodi.

“Malam besok!” putus Ricky.

Mereka berdua kemudian lalu menangguk-angguk diam. Sebagai tanda bersetuju dengan rancangan Ricky itu.

♦◊♦◊♦◊♦

Tanpa disedari rancangan jahat mereka itu telah diketahui oleh tiga orang remaja yang mendengar perbualan mereka menerusi papan yang menjadi dinding pondok yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Ketiga-tiga sahabat itu lalu berpandangan antara satu sama lain.

Baru mereka tahu kini bahawa rupa-rupanya ketiga-tiga lelaki yang bersembunyi di pondok yang terdapat di lombong tinggal itu adalah penjenayah.

Syamil kemudian lalu mengisyaratkan kepada kedua-dua kawannya itu agar bergerak perlahan dan penuh dengan berhati-hati meninggalkan pondok yang menjadi tempat persembunyian ketiga-tiga penjenayah itu.

“Dia orang ni penjenayah rupanya,” kata Syamil sebaik-baik sahaja meninggalkan kawasan lombong tinggal itu.

“Kita dah pun dapat jawapannya. Patutlah dia orang ni nampak mencurigakan,” celah Adnan.

“Kau orang dengar tak apa yang dia orang cakap tadi. Malam besok dia orang nak melakukan rompakan,” celah Nazim.

“Dia orang ni bahaya. Sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa mereka kita harus bertindak dengan melaporkan segera kepada pihak polis,” Syamil berkata.

“Betul tu, Mil. Sekarang juga kita pergi ke balai polis,” sokong Nazim.

“Mari kita pergi cepat. Kita mesti halang niat jahat mereka,” tambah Adnan pula sebaliknya.

♦◊♦◊♦◊♦

Ketiga-tiga sahabat itu kemudian lalu mengatur langkah menuju ke balai polis.

Sampai sahaja di balai polis mereka lalu memberitahu tentang rancangan ketiga-tiga penjenayah itu untuk melakukan rompakan di rumah Orang Kaya Mahmud pada malam besok.

Sebaik-baik sahaja mendapat tahu rancangan ketiga-tiga penjenayah itu Inspektor Rahman dan anggota-anggotanya lalu menuju ke lokasi yang diberitahu Syamil dan dua orang rakannya itu.

Setibanya di tempat persembunyian ketiga-tiga penjenayah yang amat dikehendaki itu Inspektor Rahman lalu mengarahkan anggota-anggotanya agar mengepung seluruh kawasan dan bergerak dengan penuh berhati-hati memandangkan mereka amat merbahaya dengan bersenjata.

Manakala Syamil, Nazim dan Adnan diminta untuk berada jauh bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kehadiran Inspektor Rahman dan anggota-anggotanya sedikit pun tidak disedari oleh Ricky, Jeman dan Sodi anggota Geng Hitam.

Inspektor Rahman juga mengingatkan anggota-anggotanya supaya bertindak mengikut arahan dan jangan terburu-buru.

Setelah semuanya siap sedia Inspektor Rahman kemudian lalu mengarahkan anggota-anggotanya agar menyerbu masuk ke dalam pondok untuk memberkas ketiga-tiga penjenayah yang telah lama dikehendaki dan paling merbahaya itu.

♦◊♦◊♦◊♦

“Polis, jangan bergerak!” kata Inspektor Rahman sambil mengacukan pistol ke arah Ricky dan kedua-dua kawannya itu sebaik-baik sahaja pintu pondok itu terbuka.

Ricky dan kedua-dua kawannya itu lalu terperanjat apabila melihat Inspektor Rahman dan anggota-anggotanya meluru masuk. Dengan secepat kilat juga ketiga-tiga mereka dapat diberkas.

“Jahanam!” tempik Ricky sambil meronta-ronta untuk cuba melepaskan diri.

Namun kedua-dua tangannya telah digari begitu juga dengan Jeman dan Sodi. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana pihak polis lebih pantas dan cekap dapat menangkap mereka.

“Diam! Jangan melawan. Awak semua sudah lama dalam perhatian pihak polis. Kerana terlibat dalam kegiatan samun dan rompakan senjata api. Sarjan. Geledah seluruh pondok ini dan dapatkan bahan bukti untuk mendakwa mereka!” arahnya.

“Baik, tuan!” balas Sarjan Hamid dengan pantas.

Dia dan beberapa anggota yang lain lalu menggeledah seluruh pondok yang menjadi tempat persembunyian ketiga-tiga penjenayah itu untuk mencari bahan bukti sepertimana yang diarahkan ketuanya yang berpangkat inspektor itu.

Manakala anggota-anggota yang lain pula mengawal ketat Ricky dan kawan-kawannya supaya tidak dapat melepaskan diri.

Tak lama kemudian Sarjan Hamid lalu menghampiri Inspektor Rahman.

♦◊♦◊♦◊♦

“Tuan! Kita dah jumpa semua bahan bukti yang diperlukan,” dia memberitahu.

“Bagus!” balas Inspektor Rahman dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi yang ini pelik, tuan,” katanya lagi.

“Pelik?” ulang Inspektor Rahman pula sebaliknya dengan rasa penuh hairan.

“Ya, tuan! Ini dia!” Dia kemudian lalu menyerahkan topeng hantu kepada Inspektor Rahman.

“Topeng hantu!” angguk Inspektor Rahman beberapa kali.

“Betul jugak kata, sarjan. Apa kaitan topeng hantu ni dengan bahan bukti yang kita cari. Tapi tak apalah. Kita jadikan juga topeng ni sebagai bahan bukti. Bawak mereka semua ke balai!” katanya lagi.

“Baik, tuan!” jawabnya.

Sarjan Hamid kemudian lalu mengarahkan anggota-anggota yang lain untuk membawa Ricky dan kawan-kawannya ke balai.

“Tengok tu mereka semua dah kena tangkap,” ujar Syamil apabila melihat ketiga-tiga penjenayah itu dibawa keluar dengan tangan bergari dibawa keluar daripada pondok itu sambil dikawal ketat oleh anggota polis.

“Yalah!” balas Adnan.

“Mari kita pergi jumpa tuan inspektor tu,” ajak Nazim pula sebaliknya.

♦◊♦◊♦◊♦

Ketiga-tiga sahabat itu lalu menghampiri Inspektor Rahman yang kelihatan keluar daripada pondok yang selama ini menjadi tempat persembunyian ketiga-ketiga penjenayah yang paling dikehendaki dan merbahaya itu.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada awak bertiga. Kerana membantu pihak polis sehingga tertangkapnya Geng Hitam,” dia berkata sambil bersalaman dengan Syamil dan kawan-kawannya.

“Geng Hitam?” ulang Syamil pula sebaliknya dengan rasa penuh hairan.

“Ya!” jawab Inspektor Rahman dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kumpulan ini sangat dikehendaki pihak polis kerana terlibat dengan pelbagai kegiatan rompakan dan samun bersenjata. Selicik-licik mereka akhirnya tumpas juga di tangan kami pihak polis,” dia menambah lagi.

“Patutlah mereka kelihatan amat mencurigakan dan bersembunyi di tempat ni. Sedangkan menurut cerita orang tempat ini ada penunggu,” sambut Adnan.

“Penunggu?” soal Inspektor Rahman sambil mengangkat muka memandang Adnan.

“Ya, tuan! Tempat ni ada lembaga yang menyeramkan dan menakutkan. Sering muncul terutamanya ketika bulan mengambang,” celah Nazim.

Inspektor Rahman sebaliknya lalu ketawa kecil.

♦◊♦◊♦◊♦

“Jangan percaya sangat pada perkara-perkara yang tahyul dan kurafat. Hanya Tuhan sahaja yang berkuasa ke atas segala-galanya. Bila awak kata tempat ni ada penunggu rupa-rupanya ada kaitan dengan topeng hantu yang dijumpai bersama dengan bahan bukti untuk mendakwa mereka,” jelasnya.

“Topeng hantu?” ujar Syamil dengan rasa penuh pelik.

“Di mana tuan jumpa?” tanya Nazim.

“Pelik juga bila tuan beritahu yang mereka ada topeng hantu,” kata Adnan.

“Sebenarnya merekalah yang menjadi hantu di kawasan ni,” jelas Inspektor Rahman.

“Mereka sebenarnya yang menjadi hantu selama ini?” ulas Syamil pula sebaliknya dengan rasa penuh hairan.

Begitu juga dengan Nazim dan Adnan. Rasa kehairanan turut jelas kelihatan di wajah mereka berdua apabila mendengar apa yang diperkatakan Inspektor Rahman itu.

“Benar! Mereka menyamar sebagai hantu untuk menakutkan orang-orang di sini supaya tidak mengetahui rahsia mereka bersembunyi di tempat ini,” jelas Inspektor Rahman lagi pada ketiga-tiga sahabat itu.

Dia kemudian meminta diri untuk pulang semula ke balai.

Kereta yang dinaikinya lalu perlahan-lahan beredar dari situ.

Ketiga-tiga sahabat itu kemudian lalu mengatur langkah pulang ke rumah dengan hati gembira bukan kepalang kerana berjaya membongkar misteri yang selama ini menyelubungi lombong tinggal itu.

♦◊♦◊♦◊♦


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!