Cerpen “Mana Bulan Mana Bintang”

Jendela ( Darcy )

Setiap kali tibanya malam
dia akan melihat bulan dan bintang yang
indah dan berkerlipan melalui jendela yang terbuka.

Tapi malam ini bulan dan bintang tidak kelihatan. Sebaliknya langit yang hitam dan pekat sahaja yang dilihatnya. Lalu hatinya tertanya-tanya. Ke mana menghilangnya bulan dan bintang?

“Aku suka melihat bulan dan bintang. Cantik dan indah,” dia memberitahu Faridah teman karibnya semenjak daripada bangku sekolah lagi.

“Memang bulan dan bintang itu indah dan cantik. Sepertimana yang kita impikan dalam kehidupan ini. Tapi tak semua keindahan dan kegembiraan sebagaimana yang kita harapkan akan sentiasa menyelubungi perjalanan hidup yang kita lalui,” balas Faridah pula sebaliknya.

Dalam sekali apa yang dikatakan oleh teman karibnya itu. Sambil menarik nafas yang panjang dia terus melemparkan pandangan ke arah langit yang hitam. Sekali-sekala terasa angin malam bertiup perlahan dan nyaman.

“Aku mahu menjadi seperti sang rembulan dan bintang di langit. Sentiasa cantik dan indah apabila dipandang,” katanya.

“Kita manusia, Ana. Tak sama dengan bulan dan bintang. Hidup kita penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran,” ucap Faridah.

“Aku takut dengan cabaran dan dugaan. Seperti memikul seketul batu yang amat besar dan berat,” dia membalas.

“Hidup kita tidak akan sempurna kalau tidak menghadapi dugaan dan cabaran,” ujar Faridah pula sebaliknya.

Dia termenung seketika memikirkan kata-kata Faridah itu. Sesungguhnya hidup ini adalah suatu pengembaraan. Penuh dengan dengan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu dilalui. Perlu kuat dan tabah menghadapinya.

Langit yang gelap dan pekat itu dipandangnya dengan mata yang tidak berkelip-kelip. Malam ini kosong. Tidak seperti selalu. Diwarnai dengan keindahan dan kecantikan. Apabila bulan dan bintang kelihatan di langit malam.

“Kau tahu kan yang aku pernah mengalami dugaan yang paling besar dalam hidup …,” dia bersuara sayu dan perlahan bersama dengan rasa kesedihan.

“Semua itu sudah ketentuan, Ana,” balas Faridah.

Dia hanya mampu untuk mendiamkan diri sahaja. Kepiluan semakin terasa menyiat-nyiat di hatinya. Pedih …. Bagaikan ditikam sembilu yang tajam. Airmatanya seperti ingin mengalir. Namun dia masih lagi dapat menahannya.

“Kau tak mengalami sepertimana yang aku rasakan …,” dia berkata dalam nada suara yang lemah dan tak bermaya.

Ternyata pengalaman pahit yang pernah dialaminya masih lagi bermain di ingatannya. Sukar untuk dia melupakannya. Walaupun telah lama berlalu namun baginya ia seolah-olah baru berlaku semalam. Kerana terlalu sedih mengenangkannya maka airmatanya lalu jatuh menitis membasahi pipi.

“Aku mengerti perasaan kau, Ana ….”

“Terima kasih kerana sudi berkongsi perasaan dengan aku ….”

“Ana …. Semua orang pernah mengalami kegagalan dalam hidup.”

“Tapi …. Tak sepedih yang aku alami …,” dia bersuara sambil menangis.

“Ana …. Kau perlu kuat dan tabah. Kau tak boleh biarkan diri kau terus hanyut dengan tangisan. Meratapi kegagalan yang kau alami,” kata Faridah pula sebaliknya sambil memegang lembut bahu kawan karibnya itu.

Tabah dan kuat! Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan sesekali menyerah. Dengan tiba-tiba sahaja dia teringat akan kata-kata itu. Dia sendiri pun tidak pasti. Dari mana datangnya kata-kata yang penuh dengan semangat itu.

Malam terasa semakin sayu. Seolah-olah turut menghulurkan rasa simpati kepadanya. Angin malam yang dingin menyusup masuk melalui jendela yang terbuka dan mengusapi seluruh tubuhnya. Nyaman dan segar. Ingin sahaja dia meluahkan rasa hatinya kepada bulan dan bintang. Tapi hampa. Bulan dan bintang tidak menampakkan diri pada malam ini.

+++++++

“Apa? Kau nak ajak aku bukak bisnes?” dia menyoal Sally ketika makan tengah hari di salah sebuah restoran mamak.

Dia memesan mi goreng dan air sirap manakala Sally pula memesan nasi beriani kambing dengan air teh ‘o’ ais.

“Aku serius, Ana!” angguk Sally dengan pantas.

“Sebab itu aku nak ajak kau jadi rakan kongsi aku.” Sally menyatakan hasratnya.

Dia sebaliknya lalu mengangguk-anggukkan kepala apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Sally itu.

“Patutlah kau beria-ia benar mengajak aku keluar makan. Rupanya nak bincangkan perkara ni!”

“Aku yakin. Bisnes yang akan kita jalankan nanti maju dan memperolehi untung yang banyak,” kata Sally.

“Kita nak buat bisnes apa sebenarnya ni?” tanyanya lagi.

“Produk kosmetik,” jawab Sally.

“Produk kosmetik?” ulangnya pula.

“Ya!” angguk Sally dengan pantas.
“Aku tak ada pengalaman dalam bisnes produk kosmetik,” akuinya.

“Kan aku dah kata tadi. Kita buat bisnes ni secara usahasama. Kau tak payah pening kepala pikir pasal tu. Aku cuma mintak kau laburkan aje modal untuk bantu aku dalam bisnes ni,” balas Sally.

“Laburkan modal? Berapa?” soalnya.

“RM 100,000 aje,” jawab Sally.

“RM 100,000?” ulangnya lagi.

“Iya! Selebihnya aku yang keluarkan,” ujar Sally.

Dia lalu terdiam seketika. Memikirkan modal sebanyak itu yang perlu dikeluarkannya. Untuk menjalankan perniagaan produk kosmetik bersama-sama dengan Sally.

“Tak usahlah kau nak pikir panjang sangat. RM 100,000 tak banyak mana pun. Aku yakin. Kau boleh keluarkan modal sebanyak itu. Lagipun cubalah kau pikir. Sampai bila kau nak kerja dengan orang. Bukak bisnes sendiri lagi untung. Silap-silap kau boleh jadi usahawan kosmetik yang terkenal,” desak Sally pula sebaliknya.

Jadi usahawan kosmetik yang terkenal? Bila aku dah berjaya menjadi usahawan nanti dah tentu hidup aku akan mewah dan senang-lenang. Betul jugak kata Sally. Kalau aku terus bekerja makan gaji jawabnya sampai bila-bila pun akan tak akan dapat menikmati kemewahan dan kesenangan hidup sepertimana yang aku impikan. Ini peluang yang baik. Tak seharusnya aku lepaskan! Detik hati kecilnya dengan penuh panjang lebar.

“Apa lagi yang kau fikirkan kan tu, Ana. Aku dah bagi kau jalan hidup senang. Takkan kau tak nak,” Sally tak henti-henti memujuknya.

Akhirnya dia termakan dengan pujukan Sally itu.

“Baiklah, Sally! Aku setuju!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Hah! Macam tu la. Nanti kau bagi aku cepat duit RM 100,000.00 tu. Boleh kita mulakan cepat bisnes tu,” sambut Sally pula dengan rasa penuh gembira.

“Yalah! Nanti aku bagi kau duit RM 100,000.00 tu. Sudahlah. Marilah kita pergi. Nanti lambat pulak masuk pejabat,” ajaknya.

Dia dan Sally kemudiannya lalu bingkas bangun dan menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran makanan dan minuman yang telah dipesan tadi.

“Takpe. Aku belanja kau,” katanya sambil menghulurkan wang kepada pekerja yang menjaga kaunter.

“Terima kasih. Lain kali aku belanja kau pulak,” ucap Sally pula dengan senyum gembira.

Itulah yang bermulanya kisah pahit yang menimpa ke atas dirinya. Dia terus memandang langit yang hitam. Malam ini benar-benar terasa sedih dan pilu. Tak seperti selalu. Malam begitu indah dan cantik dengan kehadiran sang rembulan dan bintang. Mungkin kerana pada malam ini dibalut dengan rasa kepiluan dan kesedihan maka bulan dan bintang tidak menjelma.

+++++++

“Awak nak bukak bisnes?” soal Hazrin tunangnya.

“Ya!” dengan pantas dia mengangguk.

“Produk kosmetik. Sebab itu saya mintak tangguh dulu perkahwinan kita,” jelasnya lagi.

“Apa awak cakap ni?” Terkejut Hazrin apabila mendengar apa yang dikatakan oleh tunangnya.

“Saya nak tumpukan pada kerjaya sebagai seorang usahawan produk kosmetik,” tegasnya.

“Tapi …. Kita kan dah janji nak kahwin pada tahun ni. Apa? Awak dah lupa?” ingat Hazrin.

“Awak faham tak apa yang saya cakap ….”

“Faham! Tapi ….”

“Saya tak mahu kerjaya saya terganggu. Bila saya dah berjaya nanti, hah kita kahwin la. Awak tak boleh sabar ke?”

“Kenapa dengan awak ni? Tiba-tiba aje berubah,” ucap tunangnya Hazrin.

“Saya tetap dengan keputusan saya! Saya tak akan kahwin dengan awak. Selagi cita-cita saya untuk menjadi seorang usahawan kosmetik yang terkenal tercapai. Saya harap awak faham. Kalau tak kita putus aje!”

“Ana …!”

“Sudah! Saya pergi dulu!” Dia lalu berlalu pergi meninggalkan tunangnya itu.

Hazrin benar-benar berasa kecewa. Kerana berasa amat kecewa dia kemudiannya lalu mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan tali pertunangan. Hazrin kemudian lalu berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya.

Selang beberapa bulan kemudian dia lalu menghantar surat untuk berhenti kerja.

“Betul awak nak berhenti ni?” tanya Encik Ishak pengurus syarikat tempat dia bekerja.

“Betul, Encik Ishak!” dia sebaliknya lalu pantas menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Encik Ishak lagi.

“Sudah!” angguknya.

“Demi untuk memenuhi hasrat dan impian saya,” sambungnya.

“Maksud awak?” soal Encik Ishak tak henti-henti.
“Untuk menjadi seorang usahawan produk kosmetik yang berjaya dan terkenal,” dia menjawab.

Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding batu yang dicat dengan warna putih.

“Tinggi cita-cita awak,” balas Encik Ishak pula.

“Memang tinggi. Sebab itu saya berani ambil keputusan untuk berhenti daripada bekerja di syarikat ni,” dia berkata.

“Saya bukannya apa. Saya gembira bila awak beritahu yang awak nak bukak perniagaan sendiri dan mempunyai cita-cita yang besar. Tapi awak mesti ingat, Ana. Nak berjaya dalam bidang perniagaan bukannya mudah. Banyak halangan dan rintangan yang perlu dilalui di samping usaha yang keras,” nasihat Encik Ishak pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

“Encik Ishak nampaknya cuba nak melemahkan semangat saya,” potongnya dengan pantas.

“Saya tak bermaksud begitu!” balas Encik Ishak dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Habis?”

“Saya cuma beri nasihat dan pandangan.”

“Terima kasih, Encik Ishak. Apa pun saya tetap dengan keputusan saya!”

Encik Ishak sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang dan mengangguk-anggukkan kepala.

“Baiklah! Kalau itu dah keputusan yang awak ambil saya nak kata apa. Saya terima surat berhenti kerja awak ni. Semoga awak berjaya mencapai cita-cita sepertimana yang awak impikan.”

+++++++

Jauh benar dia mengelamun bersama rasa dingin malam yang mencengkam. Mengenang kembali kisah silam yang pernah menyelubungi hidupnya. Dia terus memandang langit yang hitam. Rindu rasanya. Apabila tidak dapat melihat bulan dan bintang.

Bulan dan bintang terlalu jauh di langit. Tidak mampu untuk dicapainya. Kalau boleh dia ingin berbicara dengan bulan dan bintang. Menceritakan kisah silam yang amat pahit yang pernah dialaminya. Agar dapat dikongsi bersama-sama. Tapi apakan daya. Bulan dan bintang tidak dapat berkata-kata dan jauh sekali untuk berbicara. Apa yang mampu dilakukannya hanya sekadar untuk memandangnya sahaja apabila malam melabuhkan tirainya.

Fikirannya terus melayang. Seperti daun-daun hijau yang berterbangan apabila ditiup angin. Mengingati semula kisah silam yang amat pedih dan pahit yang telah terjadi dalam hidupnya. Selepas berhenti kerja sepertimana yang dijanjikan dia pun lalu mengeluarkan wang simpanannya yang berjumlah RM 100,000.00 dan memberikannya kepada Sally bakal rakan kongsinya dalam perniagaan produk kosmetik.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sally lalu menghilangkan diri bersama-sama dengan wang RM 100,000.00 yang diberikannya itu. Dia kemudiannya telah membuat laporan polis. Akhirnya Sally berjaya ditangkap ketika cuba untuk melarikan diri ke luar negara. Sally kemudiannya telah dibawa ke muka pengadilan.

Barulah dia tahu kini.
Impian dan cita-citanya untuk menjadi seorang usahawan kosmetik adalah kosong dan palsu semata-mata. Dia telah diperdaya dan ditipu oleh kawannya yang bernama Sally. Rupanya Sally mempunyai banyak kes jenayah yang berkaitan dengan penipuan.

Ramai yang telah menjadi mangsanya. Lebih malang dan menyedihkan lagi akibat terpengaruh dengan janji manis dia bukan sahaja mengalami peristiwa hitam dalam hidupnya malah putus tunang dengan lelaki yang amat dicintainya Hazrin dan kehilangan pekerjaan.

Peristiwa hitam itu benar-benar menjadi pengajaran dalam hidupnya. Supaya tidak mudah terpengaruh dan terburu-buru dalam membuat keputusan. Impian dan harapan boleh disemai namun membenihkan hasil belum pasti lagi. Demikian kesimpulan yang dibuatnya akibat daripada peristiwa luka yang telah dialaminya itu.

Hanya pada bulan dan bintang sajalah tempat untuk dia berkongsi perasaan pada setiap malam.

Jiwanya akan menjadi gembira dan tenang apabila melihat bulan yang bercahaya indah dan bintang yang bersinar berkerlipan di dada langit hitam.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *