Cerpen “Kisah Sahabatku Adam”

Bayang Orang ( Karel Matějka )

Kisah yang ingin aku ceritakan ini..

Adalah mengenai sahabatku yang bernama Adam.

Semuanya bermula pada tahun 1988. Setelah dia menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6.

Pada mulanya dia amat berat untuk menerima tawaran itu. Disebabkan latarbelakang keluarganya yang susah dan ditambah pulak ayahnya telah lama meninggal dunia semenjak dia masih kecil lagi.

Adik-beradiknya ramai dan masih bersekolah lagi. Sebagai anak sulung tanggungjawab untuk menyara keluarga adalah terletak di atas bahunya.

Semua inilah yang menjadi sebab mengapa dia menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6. Namun atas dorongan dan semangat daripada ibunya dia akhirnya terpaksa akur dan menerima tawaran tersebut.

@%@%@%@%@%@%@

“Jangan begitu, Adam. Pelajaran tu penting,” ibunya berkata.

“Itu Adam tahu, mak. Tapi bila Adam masuk Tingkatan 6 perlukan duit jugak, mak. Mana kita nak cari,” dia sebaliknya membalas.

“Itu janganlah kau risaukan, Adam. Duit simpanan mak masih ada lagi. Mak nak kau belajar bersungguh-sungguh sampai dapat masuk universiti. Bila keluar nanti mak harap kau akan mendapat pekerjaan yang setaraf dengan ijazah kau dan dapat membela nasib keluarga kita,” ujar ibunya.

Dia lalu terdiam. Ibunya menaruh harapan yang tinggi padanya. Akhirnya dia mengalah dengan mengikut kemahuan ibunya itu.

“Baiklah, mak!” angguknya.

“Adam akan menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6,” ucapnya lagi.

Ibunya lantas tersenyum gembira apabila mendengar kata-katanya itu.

“Syukur alhamdulillah. Mak doakan moga kau berjaya masuk universiti,” ibunya berkata.

Maka dia pun menanamkan azam dan cita-cita untuk belajar bersungguh-sungguh dan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti.

Hari pertama dia melangkah ke Tingkatan 6 dia berasakan seperti satu dunia yang baru. Berbanding dengan sebelum ini yang pernah dialaminya. Bukan sahaja masuk tingkatan yang baru malahan juga sekolah yang baru. Ini menjadikan suasana yang berbeza baginya berbanding dengan sebelum ini yang pernah dialaminya.

Sebagai pelajar baru dia bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain menjalani orientasi atau suaikenal selama seminggu. Baginya minggu suaikenal yang dialaminya bersama-sama dengan rakan-rakan adalah satu pengalaman yang amat menyeronokkan dan menggembirakan.

Melalui minggu suaikenal dia dapat berkenalan dan beramah mesra dengan rakan-rakan yang baru, pelajar-pelajar senior dan guru-guru yang mengajar di Tingkatan 6. Selepas seminggu menjalani orientasi dia dan rakan-rakan lalu memulakan pembelajaran.

Dalam pada itu ibunya berhutang dengan Orang Kaya Salleh untuk menanggung persekolahan Adam dan adik-beradiknya. Ibunya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuannya.

Dia tidak mahu pelajaran Adam terganggu.

@%@%@%@%@%@%@

“Berilah saya tempoh. Saya berjanji akan menjelaskan segala hutang orang kaya,” rayu ibunya.

“Aku ni simpati dengan kau, Limah. Tapi nak buat macam mana. Kau fahamkan adat berhutang. Kenalah bayar!” tegas Orang Kaya Salleh pula sebaliknya.

“Saya faham, orang kaya. Tapi sekarang saya benar-benar tak ada duit. Adam baru saja sambung belajar Tingkatan 6,” jelas ibunya lagi.

“Macam nilah, Limah. Kalau kau tak mampu nak bayar semua hutang aku tu, kau serahkan aje rumah dan tanah yang kau ada pada aku. Habis cerita!” putus Orang Kaya Salleh.

Ibunya lalu terkedu apabila mendengar kata-kata Orang Kaya Salleh itu. Berat hatinya untuk menurut kemahuan Orang Kaya Salleh itu. Rumah dan sebidang tanah di pinggir kampung itulah harta pusaka yang ibunya ada.

Kalau diserahkannya kepada Orang Kaya Salleh apalagi harta pusaka yang ada untuk ditinggalkannya pada Adam dan adik-adiknya. Apabila dia meninggal dunia nanti. Namun ibunya tetap berkeras tidak mahu menyerahkan rumah dan tanah pusaka pada Orang Kaya Salleh.

“Baiklah!” angguk Orang Kaya Salleh pula sebaliknya.

“Kalau kau tak nak menyerahkan rumah dan tanah milik kau pada aku tidak mengapa. Tapi kau jangan menyesal. Kalau satu hari nanti aku ambik!” Orang Kaya Salleh memberi amaran pada ibunya.

Dalam pada itu Maslina anak Orang Kaya Salleh benar-benar berasa simpati dengan nasib yang menimpa ibu Adam. Dia lalu memberitahu Adam. Terkejut Adam apabila mendapat tahu yang ibunya berhutang dengan ayah Maslina.

@%@%@%@%@%@%@

“Betul ke ni, Mas?” tanya Adam seakan-akan tidak percaya.

“Betul, Adam!” jawabnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak akan aku nak berbohong. Kita kan dah lama berkawan,” katanya lagi.

Adam lalu terdiam. Dalam hatinya tertanya-tanya. Mengapa ibunya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuannya. Setibanya di rumah dia lalu bertanya kepada ibunya.

“Mak! Kenapa mak sembunyikan perkara ini daripada Adam?”

“Mak tak nak pelajaran kau terganggu disebabkan perkara ini.”

“Tapi ini hal keluarga kita, mak. Adam patut tahu.”

“Tak usahlah kau bimbang, Adam. Mak akan jelaskan segala hutang Orang Kaya Salleh itu.”

Dia kemudian lalu membalas dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Tidak, mak!” Adam dah ambil keputusan!”

“Keputusan?” ulang ibunya pula dalam nada suara yang terperanjat.

“Ya, mak!” angguknya dengan pantas.

“Keputusan apa, Adam?” ulang ibunya lagi.

“Adam akan berhenti sekolah,” putusnya.

“Berhenti sekolah?” Terkejut ibunya apabila mendengar kata-katanya itu.

“Ya, mak! Adam akan cari kerja. Untuk bayar semua hutang Orang Kaya Salleh itu,” beritahunya.

Ibunya sebaliknya menentang hasratnya itu.

“Tidak, Adam! Mak tak benarkan!” dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Tapi, mak ….”

“Kalau kau sayangkan mak, kau belajarlah bersungguh-sungguh sampai dapat masuk universiti,” pinta ibunya.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Akur dengan permintaan ibunya itu.

Sementara itu Orang Kaya Salleh mengetahui yang anaknya berkawan rapat dengan Adam. Dia melarang keras anaknya daripada berkawan dengan Adam.

@%@%@%@%@%@%@

“Kenapa ayah tak bagi Mas berkawan dengan Adam?” Maslina meminta penjelasan daripada bapanya.

“Sebab kedudukannya tak setaraf dengan kita!” ayahnya menjawab dalam nada suara yang keras.

“Ayah ….”

“Sudah, Mas! Aku kata jangan, jangan. Kau jangan nak bagi aku malu. Mak dia berhutang dengan aku. Ada hati pulak nak berkawan dengan kau!”

Tidak cukup dengan itu Orang Kaya Salleh telah memberikan amaran keras kepada ibu Adam. Supaya Adam tidak berkawan dengan anaknya.

“Hei, Limah! Kau beritahu anak kau Adam tu. Jangan lagi berkawan dengan anak aku Maslina. Suruh dia cerminkan diri dia tu dulu. Tak layak nak berkawan dengan aku. Kau pun sebagai mak dia tak mampu nak bayar hutang aku!”

Sungguh pedas dan pedih kata-kata yang dilemparkan oleh Orang Kaya Salleh pada ibunya itu. Hati dan perasaan ibunya benar-benar terguris.

“Kita ni miskin, Adam. Dia tu kaya. Mana sepadan ….” Ibunya menangis teresak-esak.

Adam hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Dia sedar. Antara dia dan Maslina mempunyai jurang yang amat dalam. Kalau diukur macam langit dengan bumi jaraknya. Dia kemudian lalu berjumpa dengan Maslina.

“Adam …”

“Aku sedar diri aku ni siapa.”

“Tapi aku cintakan kau!”

Adam berasa amat terperanjat apabila mendengar kata-kata Maslina itu. Tiada dia menyangka sama sekali yang selama ini Maslina ada menaruh hati padanya. Sedangkan dia menganggap Maslina hanya sebagai seorang kawan biasa. Tidak lebih daripada itu.

Lagipun dia dan Maslina masih lagi bersekolah. Pelajaran adalah lebih utama daripada memikirkan soal cinta.

“Maafkan aku, Mas. Aku tidak dapat menerima cinta kau. Bagi aku pelajaran lebih penting. Lagipun ayah kau melarang aku daripada berkawan dengan kau,” dia berkata.

“Adam …!” Rasa sedih dan pilu yang teramat dalam kelihatan memercik di wajah Maslina yang cantik dan ayu itu.

“Sampai di sini sajalah persahabatan kita, Mas. Demi hubungan baik kau dengan ayah aku, aku rela mengundurkan diri,” ucapnya lagi.

Manik-manik jernih yang bagaikan titisan hujan yang turun dari langit kelihatan perlahan-lahan mengalir membasahi pipi Maslina yang halus dan putih itu.

Tak lama kemudian seorang lelaki yang bernama Borhan datang berjumpa dengan Orang Kaya Salleh. Dia menyatakan hasratnya untuk melamar Maslina. Tanpa usul periksa Orang Kaya Salleh menerima Borhan untuk dijadikan menantu.

@%@%@%@%@%@%@

“Aku tak kira! Kau mesti kahwin jugak dengan Borhan tu!” tegas ayahnya.

“Ayah! Kenapa ayah tak bincang dengan saya terlebih dulu. Terus terima aje lamaran dia. Lagipun kan saya masih bersekolah lagi!” Dia sebaliknya cuba menentang.

“Hei! Kau jangan jadi bodoh. Borhan tu anak orang kaya. Hidup kau jugak yang akan senang nanti!” kata ayahnya.

“Tapi, ayah ….”

“Tapi apa? Hei! Kau dengar sini baik-baik. Kau jangan nak menolak tuah. Sudah. Kau akan aku berhentikan sekolah. Kau ikut cakap aku. Kau mesti kahwin dengan Borhan. Faham!”

Bagi Orang Kaya Salleh dengan menerima lamaran Borhan adalah jalan yang paling baik untuk anaknya melupakan Adam. Borhan sebenarnya menyamar sebagai anak orang kaya apabila mengetahui yang Orang Kaya Salleh mempunyai duit dan harta yang banyak.

Dia sebenarnya ingin mengikis segala harta Orang Kaya Salleh. Orang Kaya Salleh tidak mengetahui akan niat jahat Borhan itu. Kerana percaya dan terpedaya yang Borhan benar-benar anak orang kaya.

@%@%@%@%@%@%@

Maslina dan Borhan kemudian lalu berkahwin. Orang Kaya Salleh menjemput semua orang kampung. Kecuali Adam dan keluarganya.

Sementara itu ibu Adam bekerja keras siang dan malam untuk membayar hutang Orang Kaya Salleh. Kerana terlalu bekerja keras ibunya telah jatuh sakit.

“Penyakit mak ni nampaknya makin teruk. Adam nak bawak mak ke hospital,” dia berkata.

“Tak payahlah, Adam …. Nanti baiklah penyakit mak ni …,” ibunya bersuara sambil terbatuk-batuk. Wajah ibunya pucat lesi dan tidak bermaya.

Dari sehari ke sehari penyakit ibunya semakin bertambah teruk. Akhirnya ibunya pun lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Sebelum menutup mata buat selama-lamanya ibunya sempat berpesan pada Adam.

“Adam …. Jaga adik-adik kau baik-baik …. Bela nasib keluarga …. Biar apa terjadi sekalipun jangan sesekali gadaikan rumah dan tanah pusaka ….” Demikian kata ibunya.

Kini Adam dan adik-adiknya telah pun menjadi yatim piatu. Namun dia tidak patah semangat. Wasiat arwah ibunya perlu ditunaikan.

Dalam pada itu Borhan telah dapat mengikis semua harta Orang Kaya Salleh. Dia kemudiannya telah meninggalkan Maslina yang telah mempunyai tiga orang anak. Akibat daripada perbuatan Borhan itu Orang Kaya Salleh telah menjadi gila.

Adam benar-benar berasa simpati dengan nasib malang yang telah menimpa ke atas Maslina dan ayahnya itu.

Dalam usia yang masih muda Maslina telah menjadi janda anak tiga akibat daripada perbuatan suaminya yang tidak bertanggungjawab itu.

@%@%@%@%@%@%@

Dalam pada itu Adam terus belajar bersungguh-sungguh sambil membuat kerja sambilan untuk menyara persekolahan adik-adiknya. Berkat daripada usaha gigihnya itu dia telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan melanjutkan pelajaran ke universiti.

Kini dia tersenyum gembira. Kerana akhirnya dapat menunaikan amanah arwah ibunya.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *