Cerpen “Kisah Cinta Sebelah Rumah”

Berpegangan Tangan ( Clive )

Sesungguhnya cinta itu amat indah sekali.

Tidak mengenal usia tua mahupun muda. Dalam erti kata lain cinta adalah anugerah Tuhan untuk makhluknya yang hidup di atas dunia ini.

Tafsiran cinta adalah ikatan dua hati antara seorang anak Adam dengan seorang anak Hawa. Cinta mengajar mengenal erti suka dan duka.

Tika cinta bersemi dunia ini dirasakan begitu indah sekali. Bagaikan bunga di taman yang mekar dan mewangi. Tiada dikenali erti duka dalam kamus hidup ketika itu.

Namun bila hati terluka pedihnya amat terasa bagaikan ditikam sembilu yang tajam. Sebab itulah ada yang tidak mahu bercinta apabila terputus di tengah jalan. Sehingga sanggup sendirian sehingga ke akhir hayat.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Demikianlah hebatnya penangan cinta dalam kehidupan seorang yang bernama manusia itu.

Pengakhiran cinta adalah diijabkabulkan sebagai seorang suami dan isteri yang sah. Bersanding di atas pelamin sambil diraikan oleh kaum keluarga dan sahabat handai.

Ayah dan ibu adalah insan yang paling gembira sekali. Apabila melihat anak mereka menempuhi kehidupan yang baru.

Dengan iringan doa dan harapan semoga perkongsian hidup anak mereka dan pasangannya hidup bahagia selama-lamanya. Sehingga ke anak cucu dan penghujung usia.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Cinta di sebelah rumah.

Itulah kisah yang ingin aku kongsikan kali ini.

Kisah cinta Sazali dan Hafizah. Rumah mereka sebelah-menyebelah. Cuma bezanya Sazali tinggal bujang dengan kawan-kawan. Manakala Hafizah pula tinggal dengan kedua-dua ayah dan ibunya.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

“Sampai bila kita nak begini, bang. Jumpa pun takut-takut. Nyorok-nyorok pulak tu,” kata Hafizah ketika minum di salah sebuah restoran Melayu.

Sazali sebaliknya hanya diam sambil melekatkan straw pada bibir dan menyedut air sirap limau. Dia kemudian lalu memandang ke arah jalan raya yang penuh sesak dengan kenderaan. Sambil memikirkan apa yang dikatakan kekasih hatinya itu.

Sementara itu suasana di restoran agak lengang. Kelihatan dua tiga orang pelanggan sahaja.

Rasa tidak senang jelas kelihatan di wajah Hafizah yang cantik dan ayu itu. Bila melihat lelaki yang amat dicintainya itu hanya mendiamkan diri sahaja. Macam buat tak dengar dan tak kisah aje! Demikian bisik hati kecilnya.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

“Abang ni! Fizah cakap macam buat tak tahu aje!” ujarnya lagi.

“Ya! Abang dengar!” dia sebaliknya pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Habis tu? Kenapa diam aje macam orang bisu bila Fizah cakap!” tegasnya.

“Abang memang nak jumpa ayah dan ibu Fizah,” dia berkata.

“Dah tu? Kenapa tak datang jumpa mereka berdua?” soal Hafizah pula.

“Belum tiba masanya lagi,” dia menjawab.

“Kalau macam ni takde kesudahan kita ni.” Hafizah seperti berasa tidak senang apabila mendengar jawapan yang diberikan kekasihnya yang bernama Sazali itu.

Dia sebaliknya hanya membalas dengan tersenyum sambil memandang wajah Hafizah.

“Abang ni. Fizah cakap betul-betul, main-main pulak dia!” dia bersuara.

“Fizah …!” Sazali lalu memegang jari-jemari lembut wanita yang dicintainya itu.

Hafizah sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja dan membiarkan jari-jemarinya itu dipegang lelaki yang amat disayanginya itu.

“Sabarlah. Kalau dah jodoh tak ke mana. Abang akan jumpa ayah dan ibu Fiza untuk menyatakan hasrat melamar Fizah sebagai isteri. Percayalah!” yakin Sazali.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Dia lantas tersenyum apabila mendengar kata-kata yang dilafazkan Sazali itu. Rasa kegembiraan bersinar di wajahnya. Tak lagi dibalut dengan rasa jemu dan gelisah.

Begitu juga dengan Sazali. Keriangan jelas terpancar di wajahnya. Apabila melihat wajah wanita yang amat dicintainya itu tersenyum riang.

Hari semakin memasuki lewat petang. Sazali lalu mengajak Hafizah pulang. Mereka kemudian lalu bingkas bangun dan menuju ke kaunter pembayaran.

Selepas membayar harga minuman Sazali dan kekasihnya itu meninggalkan restoran sambil berpegangan tangan.

Selalunya sebelum sampai ke simpang masuk ke rumah Hafizah akan turun daripada motosikal yang ditunggang Sazali. Takut ayah dan ibunya nampak tadi.

Mereka terpaksa berlakon. Macam tak kenal aje. Walhal mereka bercinta dekat. Hari-hari depan mata.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

“Aku benar-benar nak kahwin dengan dia,” kata Sazali.

“Betul ke ni, Li?” tanya Jamar rakan serumahnya.

“Sungguh, Mar! Aku betul-betul cintakan dia,” balasnya.

“Hah! Kalau macam tu tunggu apalagi. Pergilah jumpa ayah dan ibu dia. Sebelah rumah ni aje,” tambah Roslan yang juga rakan serumahnya.

Mereka bertiga bukan sahaja tinggal serumah malahan juga sama tempat kerja.

“Betul kata kau tu, Lan. Jangan tunggu lama-lama. Nanti dapat kat orang lain hah baru pada muka kau,” ujar Jamar pula sebaliknya.

“Perkara yang baik jangan dilambat-lambatkan lagi. Tambah pulak nak mendirikan masjid,” celah Roslan.

Sazali sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam. Sebagai tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan kedua-dua rakan serumahnya itu.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Malam.

Selepas balik daripada masjid Encik Hamid duduk di kerusi ruang tamu rumah. Di luar angin bertiup perlahan dan nyaman. Tak lama kemudian Puan Mariam muncul.

“Baru balik, bang?” tanyanya dan kemudian lalu duduk di atas kerusi.

“Ya, Yam!” angguknya sambil menarik nafas yang panjang.

“Lambat abang balik malam ni,” katanya lagi.

“Ada mesyuarat jawatankuasa masjid tadi. Bincang apa program dan aktiviti yang nak dibuat untuk mengimarahkan masjid kita tu,” ujar Encik Hamid yang bersongkok, berpakaian baju Melayu warna biru muda dan berkain pelikat.

Puan Mariam sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja apabila mendengar apa yang dikatakan suaminya itu.

“Fizah mana?” soalnya.

“Ada dalam bilik tu. Solat,” jawab Puan Mariam.

“Bang …,” dia berkata lagi.

“Fiza dah makin dewasa. Kalaulah ada orang datang melamar dia, abang terima tak?” sambungnya.

Encik Hamid sebaliknya lalu tersenyum apabila mendengar kata-kata isterinya itu.

“Ish, abang ni. Ketawa pulak bila saya cakap,” dia membalas.

“Yalah! Macam mana saya tak ketawa. Angin tak ada. Ribut tak ada. Tiba-tiba aje awak cakap pasal orang nak meminang anak kita. Dah ada ke orang nak datang merisik Fizah anak kita tu,” dia berkata.

“Tak ada la. Saya cuma nak tahu aje. Manalah tahu kalau abang jenis yang pilih menantu,” ulas Puan Mariam pula sebaliknya.

“Awak ni, Yam. Ke situ pulak perginya. Bagi saya asalkan dia beragama dan bertanggungjawab terhadap Fizah saya terima aje. Saya tak pandang pada harta dan pangkat. Asalkan dia berbudi pekerti dan baik tingkahlakunya,” tambahnya.

“Saya pun begitu, bang. Nak pilih menantu pun buat apa. Asalkan dia dapat membahagiakan hidup Fizah. Syukur alhamdulillah,” ucapnya.

Sekali lagi Encik Hamid tersenyum apabila mendengar kata-kata isterinya itu. Sama dengan apa yang diinginkannya.

Tak lama kemudian Hafizah pun muncul setelah selesai menunaikan solat.

“Ayah! Mak! Makanan dah siap,” katanya.

“Hah, bang. Marilah kita makan,” ajaknya.

“Yalah!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Sementara itu Sazali lalu menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan kedua-dua ibu bapa Hafizah.

“Sebelum tu Fizah bagitau la yang abang nak jumpa mereka berdua,” pintanya.

“Baiklah, bang!” angguknya dengan rasa penuh gembira.

Hafizah kemudian lalu memberitahu kedua-dua ibu bapanya tentang hasrat Sazali itu. Ayah dan ibunya menyambut baik hasrat Sazali itu.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

“Tak sangka kamu berdua bercinta rupanya,” kata Encik Hamid.

“Cinta sebelah rumah, bang,” celah Puan Mariam pula.

Sazali dan Hafizah sebaliknya hanya tersipu-sipu malu sahaja.

“Pak cik dan mak cik tak ada halangan. Kalau Sazali dan Hafizah dah suka sama suka. Malah pak cik dan mak cik berasa amat bersyukur kerana Hafizah ditemukan jodoh dengan Sazali,” ujarnya.

“Syukur alhamdulillah. Pak cik dan mak cik merestui saya dan Hafizah,” balas Sazali.

“Fizah pun begitu jugak. Syukur sangat-sangat,” celah Hafizah pula sebaliknya.

Encik Hamid dan Puan Mariam sebaliknya lalu saling berpandangan dan tersenyum.

“Pak cik dan mak cik doakan semoga Sazali dan Hafizah hidup bahagia dan sentiasa diberikan rahmat dan berkat oleh Allah SWT. Cuma sebagai adat pak cik mintak Sazali beritahu ayah dan ibu supaya datang berjumpa dengan pak cik dan mak cik untuk meminang Hafizah,” pintanya.

“Baiklah, pak cik! Saya akan beritahu mereka supaya segera datang berjumpa dengan pak cik dan mak cik,” balas Sazali.

♥Δ♥Δ♥Δ♥

Mereka kemudian lalu sama-sama menikmati minuman yang dihidangkan. Sazali dan Hafizah kemudiannya lalu disatukan sebagai suami dan isteri.

Demikianlah berakhirnya kisah cinta sebelah rumah.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *