Cerpen “Kerana Kau AINA Aku Berubah”

Tayar ( Maaark )

Sekolah dibuka semula hari ini setelah bercuti panjang.

Dengan bermulanya sesi persekolahan hari ini maka aku pun membuka lembaran baru melangkah ke Tingkatan 5.

Melangkah ke Tingkatan 5 bererti aku akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Amat penting bagi aku sebagai penentu masa depan. Tapi aku buat tak endah sahaja. Sebab aku tak mengutamakan langsung pelajaran. Memang malas rasanya nak ke sekolah.

Maklumlah dah lama bercuti panjang.

Selalu bangun lewat tapi hari ini kena bangun awal. Aduh! Memang lecehlah! Kenapalah cuti sekolah tak sambung lagi! Rungut hati kecilku tak henti-henti.

Selepas mandi dan mengenakan pakaian sekolah aku pun bersarapan dengan adik-adik.

Ibu macam biasalah sambil menghidangkan sarapan tak henti-henti memberikan nasihat. Agar aku dan adik-adik belajar bersungguh-sungguh. Tapi bagi aku nasihat ibu amat membosankan.

Ini membuatkan aku hilang selera untuk menikmati sarapan.

Selepas menikmati sarapan aku dan adik-adik pun bergerak meninggalkan rumah menuju ke sekolah. Sewaktu melangkah keluar daripada pagar rumah ayah baru pulang.

Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah jabatan kerajaan.

♣♣♣♣♣♣♣

Setibanya di sekolah kedengaran suara memanggil nama aku dari arah belakang. Aku pun menoleh ke arah suara itu. Hamdan. Sahabat karibku kelihatan tersenyum sambil menuju ke arahku.

“Kenapa kau ni? Pagi-pagi lagi dah nampak muram,” tegurnya.

“Dah lama cuti. Hari ni dah sekolah balik,” aku sebaliknya membalas.

“Aku pun macam tu jugak. Rasa tak puas cuti,” kata Hamdan lagi.

Kedengaran loceng sekolah berbunyi. Aku dan Hamdan serta pelajar-pelajar yang lain lalu menuju ke dewan sekolah.

Selepas perhimpunan aku dan pelajar-pelajar yang lain lalu masuk ke kelas masing-masing. Kelas aku 5 Seroja.

Hamdan juga satu kelas dengan aku. Cikgu Fatimah. Itulah nama guru kelas aku. Dia mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Ingat! Tahun ni amat penting bagi awak semua. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menunggu awak semua. Tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Jangan malas dan ponteng sekolah aje. Kalau macam itu lah sikap awak jangan haraplah nak dapat keputusan yang cemerlang,” dia berkata.

Macam biasa aku buat tak dengar aje. Tak lama kemudian Abang Sulaiman kerani sekolah muncul dengan seorang pelajar perempuan.

Dia memberitahu Cikgu Fatimah yang pelajar perempuan ini adalah pelajar baru dan ditempatkan di kelas 5 Seroja.

Cikgu Fatimah kemudian lalu menyuruh pelajar perempuan yang baru itu masuk dan berdiri di depan kelas.

Abang Sulaiman kemudian lalu beredar sebaik-baik sahaja Cikgu Fatimah mengarahkan pelajar perempuan yang baru itu masuk ke dalam kelas.

“Baiklah! Sekarang kenalkan diri awak,” kata Cikgu Fatimah pada pelajar perempuan yang baru itu.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawab seluruh kelas serentak.

“Nama saya Nur Aina binti Zainal Abidin. Sebelum ni saya bersekolah di Perak. Saya dan keluarga berpindah ke sini kerana mengikut ayah saya yang bertukar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.” Dia memperkenalkan diri.

“Baiklah, Aina!” angguk Cikgu Fatimah pula sebaliknya.

“Saya Cikgu Fatimah. Guru kelas ini. Pelajar-pelajar semua. Mulai hari ini Aina akan menjadi kawan baru awak semua. Saya harap awak semua akan dapat menerima Aina seperti kawan-kawan awak yang lain. Aina! Awak duduk kat tempat yang kosong tu. Sebelah dengan Raziah. Kebetulan tempat tu kosong sebab Azlina dah berpindah ke sekolah lain. Jadi, awaklah ganti tempat dia,” ucapnya lagi dengan penuh panjang lebar.

Aina kemudian lalu mengatur langkah menuju ke tempat duduknya.

♣♣♣♣♣♣♣

Pukul 10.30 pagi kedengaran loceng sekolah berbunyi. Menandakan waktu rehat. Aku dan Hamdan bersama dengan pelajar-pelajar yang lain lalu menuju ke kantin.

Setibanya di kantin aku aku lalu membeli nasi lemak telur rebus dan air sirap. Manakala Hamdan pula membeli mi goreng dan air limau.

“Mana perginya, Aina? Dia tak makan ke?” Mataku melilau memandang ke seluruh kantin.

“Ai! Tiba-tiba aje kau cari dia ni kenapa,” balas Hamdan pula dengan tersengih sambil menikmati mi goreng.

“Tak ada la. Sekarang ni waktu rehat. Takkan tak makan,” aku berkata lagi.

“Pelik jugak aku dengan kau ni. Ambil berat pasal dia. Jangan-jangan kau dah jatuh hati kat dia tak,” usik Hamdan.

“Kau ni ke situ pulak perginya,” balasku.

“Manalah tahu. Cinta pandang pertama la katakan,” dia tak henti-henti mengusikku.

“Merepeklah kau ni. Aku bukannya apa. Sebagai pelajar baru di sekolah ni dia kenalah sesuaikan diri,” ujarku pula sebaliknya.

Tak lama kemudian kedengaran loceng sekolah berbunyi. Menandakan berakhirnya waktu rehat. Sudah menjadi peraturan sekolah.

Selepas makan pinggan dan cawan perlu dimasukkan ke dalam besen yang disediakan oleh peniaga kantin. Aku dan Hamdan kemudian lalu memasukkan pinggan dan cawan ke dalam besen.

Sambil diawasi oleh pengawas sekolah.

Kemudian aku dan Hamdan serta pelajar-pelajar yang lain lalu masuk semula ke dalam kelas.

♣♣♣♣♣♣♣

Masa begitu pantas berlalu. Hari dah pun masuk tengah hari.

Selepas sekolah bersurai Hamdan mengajak aku berpeleseran di kompleks membeli-belah. Aku bersetuju dengan ajakan Hamdan itu.

“Elok jugak kau ajak aku datang ke sini,” kataku.

“Aku tahu kau bosan bila balik rumah,” Hamdan membalas.

“Lebih daripada bosan. Mak aku buat aku macam budak-budak. Ayah aku langsung tak ambil berat pada aku dan adik-adik. Asyik kerja, kerja, kerja!” ujarku.

“Dahlah tu. Lupakanlah tu semua!” Hamdan menepuk-nepuk lembut bahuku.

Dia kemudian lalu mengeluarkan rokok daripada poket dan menghulurkannya kepadaku. Aku lalu menyambutnya. Aku dan Hamdan lalu menghisap rokok.

“Macam mana kau boleh lepas ni? Kalau tahu Cikgu Ali sangkut kau!” aku berkata.

Sebut sahaja Cikgu Ali semua pelajar akan berasa gerun dan takut. Guru disiplin. Terkenal dengan sifat tegas dan garang.

Pelajar yang melanggar peraturan sekolah akan menerima hukuman. Sepertimana yang telah ditetapkan dalam peraturan.

Hamdan sebaliknya lalu tersenyum sambil menghembus asap rokok keluar.

“Pandailah nak hidup,” ucap Hamdan.

“Aku tengok Aina tu pandai budaknya.” Aku mengalih tajuk perbualan.

“Lagi, lagi dia yang kau sebut. Memang dah sah ni. Kau dah jatuh hati kat dia,” Hamdan sebaliknya membalas.

“Bukan jatuh hati!” bantahku.

“Habis? Kau asyik sebut nama dia aje. Bukan jatuh hati namanya tu?” Dia memandang wajahku.

“Kau tengok tadi masa matapelajaran matematik. Dia yang banyak jawab soalan Cikgu Halim,” jelasku.

“Beginilah. Apa kata kau beritahu terus terang yang kau nak berkawan dengan dia,” ujar Halim.

“Kawan?” ulangku pula sebaliknya.

“Ya! Aku cabar kau!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Mula-mula kawanlah. Lepas tu jadi pasangan kekasihlah. Apa macam?” dia mengangkat kepala memandangku.

Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Sambil memikirkan cabaran yang dilemparkan Hamdan itu. Kemudian aku memandang semula Hamdan.

“Baiklah! Aku sahut cabaran kau!” anggukku.

“Hah! Macam tulah!” Hamdan tersenyum sambil menepuk-nepuk bahuku. Sebagai tanda memberikan semangat kepada aku.

“Malam ni jom ikut aku!” ajaknya.

“Ke mana lagi. Macam biasa la. Merempit. Mana tahu ada rezeki malam ni. Aku menang. Aku belanjalah kau nanti,” katanya lagi.

“Baiklah!” aku membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Pukul berapa?” tanyaku sambil mengangkat kepala memandang.

“Macam biasalah. Pukul 8.00 aku datang ambik kau kat rumah,” dia menjawab.

“Awalnya,” ucapku pula.

“Alah kau ni. Macam tak biasa pulak. Kita lepaklah kat tempat biasa,” jelas Hamdan.

“Yalah! Yalah! Pukul 8.00 nanti aku tunggu kau,” aku membalas.

Menjelang lewat petang aku dan Hamdan pulang semula ke rumah. Malamnya seperti yang dijanjikan Hamdan datang mengambil aku di rumah.

Aku berbohong pada ibu dengan mengatakan yang aku pergi ke rumah Hamdan belajar bersama-sama dengan dia.

Menjelang lewat pagi baru aku pulang ke rumah. Akibatnya aku datang lewat ke sekolah. Bukan setakat aku kena denda dengan Cikgu Ali tapi aku tertidur dalam kelas sebab mengantuk.

Sekali lagi aku kena tegur dengan Cikgu Fatimah. Dia kata aku ni macam burung hantu. Malam berjaga tapi siang tidur. Satu kelas ketawakan aku.

Hingga lekat gelaran burung hantu kat aku. Malu aku.

Lebih-lebih lagi pada Aina. Tapi dia tidak mentertawakan aku seperti kawan-kawan yang lain. Sebaliknya dia hanya diam sahaja.

Petangnya aku lihat Aina di perpustakaan. Kelihatan sedang membaca buku. Aku lalu menghampirinya.

♣♣♣♣♣♣♣

“Assalamualaikum!” aku memberi salam.

Dia lalu berhenti daripada membaca buku dan memandangku yang berdiri tercegat.

“Waalaikumsalam!” dia menjawab.

“Boleh saya duduk?” mohonku sambil menundukkan kepala.

“Duduklah!” katanya lagi.

“Terima kasih!” ujarku dan kemudian lalu duduk.

“Saya betul-betul malu tadi …,” akuiku.

“Sudahlah tu. Kenapa awak tertidur dalam kelas?” potongnya dengan pantas.

“Saya sebenarnya keluar malam tadi,” jawabku pula.

“Ke mana?” dia menyoal tak henti-henti.

“Saya sebenarnya mengikut kawan pergi berlumba motor,” aku berterus terang.

Aina sebaliknya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa awak terlibat dengan kegiatan yang merbahaya dan tak sihat tu. Kan lebih baik awak duduk rumah belajar. Tahun ni kan kita akan menghadapi peperiksaan SPM. Awak tak kesian ke pada ayah dan mak awak. Mereka telah banyak berkorban semata-mata untuk melihat awak berjaya dalam hidup,” ucapnya dengan penuh panjang lebar.

Aku lalu diam dan tunduk. Kata-katanya itu benar-benar memberikan keinsafan kepada aku. Agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan meninggalkan kegiatan merempit.

Aku kemudian lalu mengangkat semula muka dan memandang wajahnya.

“Terima kasih kerana menasihatkan saya. Saya berjanji. Mulai dari hari ini saya akan belajar bersungguh-sungguh. Dan tak akan terlibat lagi dengan kegiatan yang tidak sihat itu,” janjiku.

“Baguslah kalau macam tu!” dia mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum.

“Boleh tak saya berkawan dengan awak. Sekurang-kurangnya saya ada kawan untuk sama-sama belajar,” pintaku.

“Boleh! Tapi awak mesti janji dengan saya. Yang awak belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat lagi dengan kegiatan berlumba motor tu,” dia mengingatkan aku.

“Baiklah! Saya berjanji!” anggukku pula.

Dia membalas dengan senyuman apabila mendengar kata-kata aku itu.

Mulai dari hari itu setiap kali selepas waktu sekolah aku tidak lagi mengikut Hamdan membuang masa di kompleks membeli-belah seperti biasa.

Sebaliknya aku menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran bersama-sama dengan Aina di perpustakaan sekolah. Perubahanku ini telah disedari oleh Hamdan.

♣♣♣♣♣♣♣

“Aku tengok kau semenjak berkawan dengan Aina dah banyak berubah. Dah tak hisap rokok. Tak nak melepak macam biasa. Tak nak ikut aku pergi merempit,” dia berkata.

“Kita ni masih sekolah, Hamdan. Kita mesti tumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Bukannya membuang masa dengan melakukan perkara yang tak berfaedah. Tambahan pulak peperiksaan SPM tak lama lagi,” aku menasihatkan Hamdan.

“Ah! Sudahlah, Shahrul. Tak usahlah kau nak nasihatkan aku. Apa? Kau ingat kau baik sangat ke!” dia meninggikan suara.

“Hamdan …. Lebih baik kau tinggalkan kegiatan berlumba motor tu sebelum terlambat. Peperiksaan SPM tu lebih penting,” aku tak putus-putus menasihatkannya.

Dia sebaliknya tidak mengendahkan nasihatku itu.

“Aku kata sudah! Sudah! Baiklah. Kalau itu cara yang kau pilih kau teruskan. Aku dengan cara aku. Aku nak tengok sejauhmana kau boleh pergi nanti!” tingkahnya dalam nada suara yang semakin keras.

“Hamdan …,” aku terus cuba memujuknya.

“Mulai hari ini kita putus kawan!” potongnya dengan pantas dan kemudian lalu beredar pergi.

“Hamdan …!” aku cuba untuk menahannya.

Aku sebaliknya hanya mampu mendiamkan diri sahaja dan menggeleng-gelengkan kepala. Dengan sikap Hamdan yang langsung tidak mahu berubah itu.

Selang beberapa bulan kemudian aku telah mendapat berita yang dia telah ditangkap ketika sedang merempit. Sebagai kawan aku benar-benar berasa simpati dengan apa yang telah terjadi kepadanya.

♣♣♣♣♣♣♣

Sementara itu hari yang ditunggu-tunggu pun tiba.

Aku bersama-sama dengan Aina dan kawan-kawan yang lain lalu menduduki peperiksaan SPM.

Sedih juga rasa hatiku kerana Hamdan tidak dapat bersama-sama dengan aku dan rakan-rakan yang lain menduduki peperiksaan.

Kalaulah dia mendengar nasihatku sudah tentu dia tidak akan ditangkap dan dapat menduduki peperiksaan.

Namun aku tetap meneruskan perjuangan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Siang dan malam aku sering berdoa. Semoga Allah SWT mengabulkan permintaanku itu. Tak lama kemudian keputusan SPM pun diumumkan. Syukur alhamdulillah.

Aku mendapat keputusan yang cemerlang.

Begitu juga dengan Aina dan rakan-rakan aku yang lain.

“Terima kasih, Aina. Kalau tidak kerana awak saya tak akan dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM,” aku berkata.

“Syukurlah! Awak berjaya juga akhirnya,” dia membalas sambil tersenyum.

Aku lalu membalas senyumannya itu.

Kerana kau Aina aku berubah.

Demikian detik hati kecilku.

♣♣♣♣♣♣♣


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *