Cerpen “Kembali Semula Ke Pangkal Jalan”

Peluru Hidup ( Tookapic )

Dari jauh kelihatan..

..hutan belantara yang tebal dan menghijau.

Angin bertiup nyaman dan perlahan. Pohon-pohon bagaikan menari-nari apabila ditiup angin.

Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain apabila dibuai angin mengeluarkan irama yang sungguh merdu. Jiwa yang dilanda duka akan jadi terhibur apabila mendengarnya.

♦∇♦∇♦∇♦

“Apa? Kau kata perjuangan kita ni sia-sia!” kata Badin dengan rasa penuh terperanjat.

“Ya, Din!” angguk Seman pula sebaliknya dengan pantas.

“Perjuangan kita ni dah jauh tersesat dan lari daripada matlamat asalnya,” katanya lagi.

“Jadi, kau nak ajak aku dan kawan-kawan supaya tinggalkan perjuangan ni!” ujar Badin pula sebaliknya.

“Memang itulah yang sebaiknya, Din. Perjuangan kita banyak menggunakan kekejaman. Sehingga ramai orang yang tidak berdosa menjadi mangsa,” tegas Seman.

Angin yang tadinya bertiup perlahan-lahan tiba-tiba menjadi kencang.

Pohon-pohon yang mengangguk-angguk ditiup angin seperti menyatakan sokongan dan bersetuju dengan apa yang dikatakan Seman itu.

♦∇♦∇♦∇♦

“Tapi ini cara perjuangan kita,” ucap Badin.

“Bagi aku tidak! Perjuangan kita ini tidak akan membawa kepada kejayaan. Sebaliknya kita akan menjadi penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa dan tanah air kita sendiri!” dia membantah dengan sekeras-kerasnya.

Rasa marah dan berang jelas kelihatan pada wajah Badin. Apabila mendengar kata-kata Seman itu.

“Sebenarnya kau yang menjadi pengkhianat!” Badin meninggikan suara.

“Kenapa pulak aku yang kau tuduh sebagai pengkhianat?” dia menyoal sambil memandang Badin.

“Kerana merosakkan perjuangan yang kita bina selama ini!” jawab Badin dengan rasa kemarahan yang teramat sangat pada Seman.

“Perjuangan apa, Din. Kalau setiap hari kita asyik mengganas dan membunuh bangsa kita sendiri. Sehingga menjadi huru-hara dan tidak aman,” balasnya.

Api kemarahan Badin semakin memuncak umpama api yang disimbahkan dengan minyak tanah.

“Sudah! Walau apa pun yang terjadi kita akan tetap berjuang dengan cara kita yang tersendiri. Kau jangan nak mengubah perjuangan kita!” Badin bersuara dengan penuh lantang dan kemudian berlalu pergi meninggalkan Seman.

♦∇♦∇♦∇♦

Sekali-sekala kedengaran suara daun-daun kering yang berguguran ditiup angin dan jatuh menimpa permukaan tanah.

Begitu juga dengan bunyi gemertap ranting yang patah ditiup angin dan jatuh di atas tanah jelas kedengaran membelah suasana hutan belantara yang terbentang luas.

Seman termenung sendirian. Rupa-rupanya selama ini dia tersilap dalam memilih perjuangan. Semuanya ini kerana terpengaruh dengan ajakan Badin.

Kononnya perjuangan mereka adalah untuk menentang British dan seterusnya memerdekakan tanah air yang tercinta ini.

Tapi rupanya komunis berjuang dengan menggunakan kekerasan.

Bukan setakat sahaja membunuh malahan membakar kampung-kampung dan ladang-ladang getah kepunyaan orang Inggeris.

Semuanya ini dilakukan komunis semata-mata untuk menguasai dan memerintah negara ini.

Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang.

Dia benar-benar insaf dan menyesal. Kerana terlalu taksub dengan perjuangan untuk menentang British dia telah terpalit dengan noda dan dosa.

Ramai yang telah kehilangan nyawa akibat daripada perjuangannya yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama itu.

Disebabkan dia ramai isteri yang kehilangan suami dan anak-anak yang masih kecil kehilangan bapa dan setiap hari ada sahaja nyawa yang akan menemui ajal di hujung senjatanya.

Masih lagi jelas suara esak tangisan mereka yang kehilangan orang tersayang akibat daripada perbuatannya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

Oleh itu dia telah memilih keputusan untuk meninggalkan perjuangan yang tidak berfaedah dan tidak membawa sebarang makna ini.

Dia ingin memilih perjuangan yang tidak menggunakan kezaliman dan pertumpahan darah dalam membebaskan tanah air ini daripada telunjuk penjajah British.

♦∇♦∇♦∇♦

Malam.

Bulan dan bintang kelihatan begitu indah sekali bersinar di kaki langit hitam. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan membelah malam yang dingin.

“Apalah khabar agaknya Seman. Lama tak dengar khabar berita dari dia,” kata ibunya.

Ayahnya hanya mendiamkan diri sahaja sambil menghisap rokok daun. Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang.

“Entahlah. Abang sendiri pun tak tahu apa nak cakap. Dia sendiri yang memilih untuk masuk ke hutan dan memilih untuk berjuang cara begitu. Puas kita nasihat. Tapi tak diendahkannya langsung,” balas ayahnya pula.

“Tapi dia tetap anak kita, bang,” ibunya menambah.

“Sama-samalah kita berdoa. Semoga satu hari nanti dia sedar dan insaf. Bahawa perjuangannya itu tidak membela tanah air. Sebaliknya membawa kepada kemusnahan dan kehancuran. Bukan sahaja kepada negara malahan juga kepada dirinya sendiri,” ujar ayahnya lagi.

“Ya, bang!” ibunya pantas membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya pun berdoa semoga dia kembali semula ke pangkal jalan. Sebelum dia tersesat dengan lebih jauh lagi,” harap ibunya.

♦∇♦∇♦∇♦

Pagi.

Cuaca kelihatan cerah. Matahari bersinar indah di kaki langit biru yang terang-benderang. Bersama gumpalan awan putih yang menebal.

Sinaran matahari yang memancar menerangi seluruh alam semesta. Angin bertiup kencang.

Rasa nyaman dan dingin jelas terasa menyelubungi seluruh hutan belantara yang tebal lagi subur menghijau.

Jalur-jalur cahaya matahari di kaki langit kelihatan terpantul dan menembusi celah-celah dedaunan yang menghijau.

Seman duduk termenung sambil tersandar pada sebatang pokok yang rendang.

Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa dia sedang teringatkan sesuatu yang menyentuh hati dan perasaannya. Dia amat rindu pada ayah dan ibunya.

Begitu juga dengan kampung halaman tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.

Sudah lama dia tidak bertemu dengan kedua-dua ayah dan ibunya itu. Semenjak dia mengikut Badin masuk ke hutan untuk berjuang menentang British.

Apa khabar ayah dan mak?

Saya benar-benar menyesal. Mak! Ayah! Kerana tidak mendengar nasihat ayah dan mak. Akibatnya saya tersilap dalam memilih perjuangan. Demikian detik hati kecilnya.

Rindunya semakin kuat apabila terkenangkan suasana kehidupan di kampung. Bercucuk tanam dan bersawah padi.

Hatinya meronta-ronta mahu segera kembali semula ke kampung dan memulakan penghidupan yang baru.

Salmah. Bekas tunangnya juga bermain di fikirannya. Gadis yang bersopan santun dan penuh dengan didikan agama itu amat dicintainya.

Begitu juga dengan Salmah. Dia amat menyintai pemuda yang sekampung dengannya bernama Seman itu.

Tapi disebabkan terlalu ghairah untuk masuk ke hutan berjuang untuk mengusir penjajah British maka Salmah lalu ditinggalkannya.

♦∇♦∇♦∇♦

“Abang nak ikut Badin masuk ke hutan?” tanya Salmah dengan rasa penuh terperanjat.

Apabila mendengar keputusan yang dibuat tunangnya itu.

“Ya, Mah!” angguknya pula dengan pantas.

“Keputusan abang muktamad!” tegasnya lagi.

“Tapi kenapa cara perjuangan sebegini yang abang pilih?” soal Salmah dalam nada suara yang sedih dan kecewa sambil memandang wajah lelaki yang amat disayangi dan dicintainya itu.

“Bagi abang hanya dengan cara itu sahaja dapat menghalau Inggeris daripada terus bertapak di bumi yang tercinta ini.” Dia tetap dengan pendiriannya.

“Mah, benar-benar kecewa dan sedih dengan abang,” balas Salmah pula sebaliknya.

“Sepatutnya Mah memberikan abang semangat. Dan bukannya untuk mematikan semangat perjuangan abang,” dia memotong dengan pantas.

“Abang seorang pemuda yang baik dan berakhlak mulia. Tapi mengapa memilih perjuangan yang sia-sia dan tidak menguntungkan,” kata Salmah lagi.

“Sudah, Mah. Walau apa pun yang Mah katakan tetap tak akan dapat mengubah pendirian dan keputusan yang telah abang buat,” ucapnya.

“Bang …! Kalau abang betul-betul sayangkan Mah abang batalkanlah niat abang tu. Untuk berjuang bersama dengan Badin di dalam hutan …,” rayu Salmah dengan harapan agar tunangnya itu mengubah fikiran.

“Abang sayang pada Salmah. Tapi abang juga sayang pada tanah air. Apa yang abang lakukan ini adalah untuk kita hidup bebas dan merdeka. Dan tidak lagi hidup dalam cengkaman bangsa yang bernama British tu,” dia sebaliknya membalas.

“Abang tolonglah …. Jangan buat kerja yang sia-sia dan mendatangkan bahaya pada nyawa abang sendiri …,” Salmah tak henti-henti merayu agar lelaki yang dicintainya itu membatalkan hasrat untuk mengikut Badin masuk ke hutan dan seterusnya melawan Inggeris yang setelah sekian lama bertapak di tanah air yang tercinta ini.

Namun pujukannya itu tidak diendahkan langsung oleh Seman.

Dia tetap untuk mempertahankan pendirian dan keputusan untuk berjuang bersama dengan Badin di dalam hutan bagi mengusir penjajah British keluar daripada bumi yang bertuah ini.

♦∇♦∇♦∇♦

“Nampaknya Mah tidak merestui perjuangan abang. Baiklah. Abang juga dah buat keputusan. Memandangkan Mah menentang keras dan tidak dapat menerima perjuangan abang dengan ini abang putuskan tali pertunangan kita. Selamat tinggal, Mah!” Dia kemudiannya lalu meninggalkan tunangnya yang bernama Salmah itu.

“Abang …!” Salmah hanya mampu menangis teresak-esak sahaja.

Airmatanya jatuh bercucuran membasahi pipi seperti hujan yang turun lebat.

Rasa pilu dan sedih jelas kelihatan membungkus wajahnya yang cantik dan jelita itu dengan kain tudung batik yang menutupi kepalanya itu.

Dia benar-benar berasa hiba dan pilu. Dengan keputusan yang dibuat tunangnya itu.

Dia amat sayangkan lelaki yang bernama Seman yang menjadi tunangannya itu. Salmah ingin membina kehidupan bersama dengan lelaki yang amat dicintainya itu.

Namun apakan daya impiannya tidak kesampaian. Semuanya ini sudah menjadi suratan takdir. Bahawa lelaki yang bernama Seman bukan menjadi pasangan hidupnya.

Jauh benar Seman mengelamun. Dia kemudian lalu tunduk apabila mengingati semula peristiwa perpisahan dengan tunangnya Salmah.

Seman juga telah mendapat khabar berita yang Salmah telah pun berkahwin dengan sepupunya Mansor.

Sementara itu Badin telah merancang untuk melakukan serangan ke atas Kampung Cemara. Namun rancangannya itu telah ditentang habis-habisan oleh Seman.

♦∇♦∇♦∇♦

“Kenapa kita nak serang kampung kita sendiri?” Seman menyoal.

“Perjuangan kita tidak mengenal siapa. Termasuk kampung kita sendiri!” jawabnya dalam nada suara yang keras bersama dengan rasa marah dan bengis kerana Seman cuba untuk menghalang rancangannya.

“Takkan kita tergamak nak membunuh keluarga dan orang-orang kampung kita sendiri,” ucap Seman pula sebaliknya.

“Ah! Kau jangan banyak cakap. Aku ketua kau. Kau ikut aje apa yang aku arahkan!” potongnya dengan pantas dalam nada suara yang penuh lantang.

Seman lalu nekad. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi ke atas kampungnya dia lalu melarikan diri dan memberitahu pasukan keselamatan akan rancangan jahat Badin itu.

Ini menambahkan lagi kemarahan Badin.

“Jahanam!” dia bertempik dengan rasa penuh geram.

“Sepatutnya aku bunuh kau, Man!” katanya lagi dalam nada suara yang penuh lantang.

Dia kemudian lalu memandang silih berganti semua anggota pasukannya yang kelihatan bersiap sedia menunggu arahan yang akan dikeluarkannya.

“Kita cari Seman sampai dapat. Dan kita bunuh pengkhianat tu. Orang seperti dia tak boleh kita biarkan hidup. Kerana merosakkan perjuangan yang telah sekian lama kita bina!” arahnya.

Tanpa disedari pasukan keselamatan telah pun mengepung seluruh kawasan yang menjadi tempat persembunyian Badin dan orang-orangnya.

Hasil daripada maklumat yang telah diberikan Seman.

Setelah semuanya siap sedia ketua pasukan keselamatan lalu mengarahkan anggota-anggotanya supaya melepaskan tembakan ke arah Badin dan orang-orangnya.

♦∇♦∇♦∇♦

“Jahanam!” Ini dah tentu kerja Seman. Siap kau, Man. Ambil tempat masing-masing. Kita lawan mereka habis-habisan!” arahnya pada anggota-anggotanya yang terperanjat dan kelam-kabut apabila diserang pasukan keselamatan.

Seluruh hutan belantara yang subur menghijau dan terbentang luas bergema dengan bunyi tembakan pasukan keselamatan dan pasukan komunis yang diketuai Badin.

Dengan kecekapan dan ketangkasan pasukan keselamatan Badin dan orang-orangnya akhirnya telah dapat dibunuh.

Sementara itu kepulangan Seman telah disambut dengan rasa penuh gembira oleh kedua-dua ayah dan ibunya.

“Maafkan saya, ayah …. Mak …,” dia berkata dengan penuh sayu sambil mencium tangan dan memeluk kedua-dua ayah dan ibunya itu.

“Syukur alhamdulillah. Kau dah insaf, Man,” balas ayahnya.

“Mak rasa gembira …. Kerana Allah SWT telah membukakan pintu hati kau untuk kembali semula ke pangkal jalan …,” ucap ibunya pula sambil menitiskan air mata kegembiraan.

“Ayah! Mak!” Dia memandang wajah kedua-dua ayah dan ibunya itu dengan silih berganti.

“Saya berjanji akan menjadi pemuda yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” ikrarnya.

Ayah dan ibunya tersenyum gembira apabila mendengar kata-katanya itu.

Mereka kemudiannya lalu masuk ke dalam rumah.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!