Cerpen “Dua Hati”

Dua Hati ( Antranias )

Sampai sahaja di rumah…

… aku lihat ada 2 orang gadis sedang duduk di ruang tamu rumah.

“Kenalkan. Yang ini anak makcik. Asraf namanya,” perkenal ibu kepada kedua-dua gadis itu.

Aku sebaliknya hanya tersenyum sahaja sambil memandang mereka berdua. Mereka juga membalas dengan senyuman.

“Yang ini Mazlin. Yang ini pulak Aishah. Dia orang berdua ni cikgu. Baru tukar sini. Jadi, dia orang nak sewa rumah kita tu,” beritahu ibu lagi padaku.

Sekali lagi aku mengangguk-anggukkan kepala. Tidak berkata walau sepatah pun. Rupa-rupanya dia orang berdua ni cikgu. Bisik hati kecilku.

Demikianlah detik-detik perkenalan aku dengan Mazlin dan Aishah.

“Mari mak cik tunjukkan rumah yang kamu nak duduk tu,” ajak ibu.

Mazlin dan Aishah lalu menurut ajakan ibu itu. Rumah yang mereka berdua sewa itu bersebelahan dengan rumahku.

Elok jugak mereka sewa rumah tu. Dah lama tak ada penghuni. Semenjak Abang Jamali dan keluarganya berpindah ke Tampin.

♥♥♥♥♥♥♥

Malam.

Selepas makan aku dan ibu seperti biasa lalu duduk di ruang tamu rumah.

“Cikgu yang berdua tu asal dari mana, mak?” tanyaku.

“Mazlin dari Johor. Aishah pulak dari Melaka,” jawab ibu pula sebaliknya sambil melipat kain dan baju.

“Macam mana dengan rumah tu, mak? Dia orang suka tak?” aku menyoal lagi.

“Mesti la suka. Rumah tu kan elok. Tak ada yang rosak,” ibu menjawab.

Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Sambil menikmati angin malam yang menyusup masuk melalui jendela kayu yang terbuka luas.

“Macam mana dengan temuduga kerja tadi. Dapat ke?” Tiba-tiba ibu bertanya.

“Insya-Allah, mak. Ada rezeki dapatlah nanti,” jawabku.

“Mak dah ngantuklah. Mak nak masuk tidur dulu!” dia berkata sebaik-baik sahaja selesai melipat kain dan baju.

“Yalah!” anggukku pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

♥♥♥♥♥♥♥

Lama-kelamaan hubungan Mazlin dan Aishah dengan ibuku menjadi semakin mesra. Mereka selalu bertandang ke rumah.

Bukan setakat bertandang sahaja malah masak dan makan bersama-sama dengan ibu dan aku.

Tambahan pulak aku tiada mempunyai adik-beradik perempuan. Jadi, ibu aku menganggap mereka berdua seperti anaknya sendiri.

Lagipun Mazlin dan Aishah berjauhan daripada keluarga dan tidak mempunyai saudara-mara di sini.

Pada siapa lagi mereka hendak menumpang kasih dan mengadu. Kalau bukan dengan ibu aku.

“Mak cik beritahu Asraf sekarang tengah cari kerja,” kata Mazlin.

“Ya! Dah banyak pergi temuduga. Tapi tak ada jawapan,” aku memberitahu.

“Sabarlah, Asraf. Ada la rezeki tu nanti,” ujar Aishah pula sebaliknya.

“Sementara waktu ni Asraf buat apa?” Mazlin bertanya.

“Bila dah tinggal di kampung buat kerja-kerja kampunglah. Apalagi nak buat,” aku membalas.

“Itu pun kerja jugak namanya,” celah Aishah.

♥♥♥♥♥♥♥

Keesokan harinya selepas balik daripada kebun aku singgah sebentar di warung Pak Salim untuk membasahkan tekak.

“Siapa yang menyewa rumah mak kau tu, Asraf?” tanyanya sewaktu menghantar teh ‘o’ ais limau yang aku pesan.

“Cikgu sekolah,” aku menjawab sambil melekat straw pada bibir dan menyedut air teh ‘o’ ais limau.

Rasa dingin bagai air terjun di pinggir kali jelas terasa apabila air yang aku minum membasahi tekak. Cuaca memang panas sekali.

Sekarang ini musim kemarau. Sudah berbulan-bulan hujan tidak turun.

“Eloklah rumah tu ada orang sewa. Sekurang-kurangnya dapat jugak mak kau duit,” katanya lagi.

“Memang betul kata Pak Salim tu. Nak harapkan saya belum ada kerja tetap lagi. Harapkan buat kerja-kerja kampung aje. Itu pun berapa banyak yang dapat,” aku berkata lagi.

“Sekarang ni memang susah cari kerja, Asraf. Orang yang keluar dari universiti pun ramai yang tak dapat kerja. Aku cadangkan kau mohon aje jadi tentera,” balasnya.

“Tentera?” ulangku pula.

“Aku dulu pun seorang tentera. Dengan menjadi seorang tentera kita dapat berbakti pada negara yang tercinta ini. Tenaga muda macam kau nilah yang diperlukan oleh negara supaya negara ini tidak dicerobohi musuh,” ujar Pak Salim.

♥♥♥♥♥♥♥

Aku lalu jadi terdiam. Memikirkan apa yang dikatakan Pak Salim itu. Betul jugak katanya tu. Zaman sekarang ni tak boleh memilih kerja sangat.

Cubalah ajelah mohon untuk jadi tentera. Mana tahu ada rezeki aku dapat. Demikian kataku dalam hati.

Aku kemudian lalu menarik nafas yang panjang dan memandang wajah Pak Salim yang semakin dimamah usia itu.

Namun dia masih lagi bersemangat untuk menyuruh aku mengikut jejak langkahnya menjadi seorang tentera.

“Baiklah, Pak Salim!” aku lalu mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan cuba mohon untuk menjadi seorang tentera,” kataku lagi.

Dia kemudian lalu tersenyum.

“Baguslah kalau macam tu. Kerana kau mempunyai semangat dan cita-cita untuk memastikan negara ini terus aman dan damai. Aku doakan moga permohonan kau untuk menjadi seorang tentera akan diterima,” dia berkata.

“Terima kasih, Pak Salim. Mudah-mudahan dengan doa Pak Salim itu saya akan berjaya diterima untuk menjadi seorang tentera,” balasku pula sebaliknya.

Selepas membayar harga minuman aku pun lalu pulang ke rumah dengan menaiki motosikal yang menjadi teman setiaku walau ke mana sahaja.

♥♥♥♥♥♥♥

“Lambat kau balik hari ni, Asraf,” tegur ibu sebaik-baik sahaja aku sampai di rumah.

“Singgah sekejap minum di warung Pak Salim. Sambil minum sembang dengan dia. Dia cadangkan supaya Asraf masuk tentera,” jawabku pula.

“Masuk tentera?” ucap ibu pula sebaliknya.

“Ya, mak!” aku membalas pantas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Bila Asraf pikir balik memang betul jugak kata Pak Salim tu. Jadi tentera pun kerja jugak. Mempertahankan negara daripada jatuh ke tangan musuh,” aku menyambung lagi.

“Kalau itu dah kemahuan kau mak tak melarang. Malah mak merasa bangga kerana kau memlih untuk menjadi perwira negara,” ibu membalas pula sebaliknya.

“Terima kasih, mak. Kerana membenarkan saya untuk memilih menjadi seorang tentera. Mak doakanlah. Moga apa-apa yang saya impikan ini akan tercapai,” ucapku.

“Sebagai seorang ibu yang melahirkan kau ke dunia ini mak sentiasa mendoakan yang terbaik dan kejayaan dalam hidup kau,” katanya.

♥♥♥♥♥♥♥

Sementara itu dari sehari ke sehari aku menjadi semakin rapat dan mesra dengan Mazlin dan Aishah.

Kami selalu bercerita tentang zaman persekolahan dan kisah-kisah silam yang pernah dialami.

Aku beritahu jugak kepada mereka berdua yang aku ingin memohon untuk menjadi seorang tentera. Sepertimana yang disarankan oleh Pak Salim tempoh hari. Semasa aku minum di warungnya.

Mereka berdua menyokong penuh hasrat aku itu. Sama seperti ibu.

Kemesraan dan kecantikan paras wajah mereka berdua itu sering terbayang-bayang di ruang mataku ini. Terutamanya bila aku sendirian.

“Mazlin dan Aishah tu bukan sahaja cantik. Malah kaya dengan budi bahasa. Beruntunglah siapa yang dapat mereka berdua tu,” ibu bersuara.

Dia seolah-olah dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiranku.

Aku sebaliknya memilih untuk mendiamkan diri sahaja. Sambil wajah mereka berdua yang cantik dan ayu itu semakin kuat melambai-lambai di ruang mataku.

♥♥♥♥♥♥♥

Satu hari ketika berjalan di pekan aku berjumpa dengan Mazlin.

“Asraf! Nak ke mana ni?” tegurnya sambil mengukir senyuman yang manis dan menawan.

“Saja jalan-jalan. Lin pulak nak ke mana?” soalku pula.

“Baru balik dari sekolah. Lepas tu singgah sekejap kat kedai buku di seberang jalan tu. Saja nak tengok kalau ada buku baru. Selalunya bila ada buku baru Lin akan beli. Kebetulan ada pulak. Jadi, Lin belilah,” jawabnya.

“Oh, begitu!” anggukku pula sebaliknya dengan pantas.

“Aishah mana?” tanyaku lagi.

“Dia ke Rembau. Bawak pelajar wanita bertanding bola jaring,” jawabnya.

“Patutlah Lin seorang. Selalunya Lin berdua dengan dia,” aku berkata.

“Kami berdua dah lama rapat. Sejak menuntut di maktab perguruan lagi. Kebetulan pulak kami sama-sama ditempatkan mengajar di sini,” jelasnya.

Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja.

“Panas betul hari ni, ya. Tekak pun rasa haus. Mari kita pergi minum ke restoran tu. Sambil tu dapat jugak kita berbual-bual,” ajaknya.

“Baiklah!” anggukku pula dengan pantas.

♥♥♥♥♥♥♥

Aku dan Mazlin kemudian lalu menuju ke restoran. Sambil minum kami rancak berbual-bual. Tajuk perbualan kami seperti biasa tentang diri masing-masing.

Sebelum lewat petang kami pun pulang ke rumah.

Beberapa bulan kemudian keluar iklan di akhbar yang mempelawa warganegara untuk menyertai tentera. Aku lalu memohonnya.

Sewaktu hendak mengeposkan borang di pejabat pos aku bertemu pula dengan Aishah.

“Sha buat apa kat sini?” aku lalu menegurnya.

“Urusan ASB. Asraf pulak?” tanyanya pula.

“Poskan borang untuk jadi tentera,” aku sebaliknya menjawab.

“Baguslah tu. Mudah-mudahan permohonan Asraf tu diterima,” dia berkata.

“Harap-harap begitulah, Sha,” aku sebaliknya membalas.

“Insya-Allah, Asraf!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau dah rezeki tak ke mana,” ujarnya lagi sambil tersenyum.

Sungguh cantik dan berseri senyuman yang dilemparkannya itu.

“Terima kasih, Sha. Kerana sentiasa memberikan Asraf semangat,” kataku pula sambil membalas senyuman.

“Kita kan kawan. Sha turut tumpang gembira kalau permohonan Asraf untuk menjadi tentera diterima. Sudahlah tu. Perut Sha pun dah terasa. Mari kita pergi makan di restoran tu,” dia mengajak.

“Bagus jugak tu. Perut Asraf pun lapar jugak ni. Mari kita pergi!” balasku dengan pantas.

Kami kemudian lalu menuju ke restoran. Sambil makan aku dan Aishah rancak berbual-bual. Tentang zaman kanak-kanak dan persekolahan yang kami alami.

Selepas makan kami lalu pulang ke rumah.

Lama-kelamaan aku jatuh hati pada Mazlin dan Aishah. Mereka juga begitu. Aku jadi serba salah dan berada di persimpangan dilema.

Mana satu yang harus aku pilih. Kedua-duanya menawan dan memikat hati aku. Disebabkan aku hubungan mereka yang rapat bagaikan isi dengan kuku lalu menjadi renggang.

♥♥♥♥♥♥♥

“Asraf pilih. Lin atau dia …,” ucap Mazlin.

“Sha harap Asraf tak menghancurkan hati Sha …,” ujar Aishah pula sebaliknya.

Kata-kata mereka berdua itu menjadikan aku tidak menentu.

Siapakah di antara mereka berdua yang harus aku pilih?

Tak akan aku hendak memiliki hati kedua-duanya. Hanya seorang sahaja yang harus aku pilih. Itulah yang tak henti-henti menendang hati kecilku.

“Asraf benar-benar buntu …. Lin …. Sha …,” aku bersuara dalam keadaan yang tidak menentu.

“Hanya seorang saja, Asraf. Lin atau Sha!” tegas Mazlin.

“Sha harap Asraf tidak mengecewakan Sha,” kata Aishah.

“Lin jugak harap begitu, Asraf,” tambah Mazlin pula.

“Berilah Asraf masa untuk membuat keputusan,” pintaku.

Mereka berdua lalu diam.

♥♥♥♥♥♥♥

Semenjak daripada hari itu aku lalu menjauhkan diri daripada mereka berdua. Untuk aku mencari ketenangan dan membuat pilihan yang sebenarnya.

Dalam pada itu beberapa bulan kemudian permohonan aku untuk berkhidmat dengan tentera telah pun diterima.

Aku dipanggil untuk menjalani sesi ujian dan telah lulus. Kemudian aku lalu menjalani latihan sebagai rekrut di Port Dickson.

Kerana terlalu sibuk dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap latihan ketenteraan maka hubungan aku dengan Mazlin dan Aishah menjadi semakin jauh dan tanpa khabar berita antara satu sama lain.

Sehinggalah pada satu hari aku pulang bercuti dan ibu memberitahu aku yang mereka berdua telah bertukar dengan pulang ke kampung masing-masing.

“Kenapa dia orang tukar, mak?” aku bertanya.

“Entahlah! Mak pun tak tahu kenapa,” ibu sebaliknya menjawab.

Aku lalu diam dan menarik nafas yang panjang.

Hingga kini aku tidak mendapat khabar berita daripada Mazlin dan Aishah.

Sama ada mereka sudah berkahwin atau masih menunggu keputusan daripadaku.

♥♥♥♥♥♥♥


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *