Cerpen “Azizul Si Pekebun Kelapa”

Kelapa ( Max Lakutin )

Kisah yang ingin aku kongsikan pada kali ini adalah mengenai seorang anak muda yang bernama Azizul. Dia tinggal di kampung dan mengusahakan kebun kelapa milik arwah ayahnya.

“Ini dia duit kelapa, Zul,” kata Abang Sulaiman sambil menghulurkan wang kepada Azizul.

“Terima kasih, bang,” balas Azizul sambil menyambut wang dihulurkan oleh Abang Sulaiman itu.

“Banyak abang borong kelapa,” ujar Azizul lagi.

“Abang jual kat pasar. Banyak permintaan. Abang betul-betul kagum dengan kau ni, Zul,” ucap Abang Sulaiman.

“Kagum?” balas Azizul pula dalam nada suara yang hairan dan terkejut.

“Saya ni bukan orang yang terkenal, bang. Kerja kat kebun kelapa aje,” dia menyambung.

“Maksud abang tak ramai anak muda macam kamu yang nak berkerja di kebun. Dia orang tu lebih suka bekerja di bandar. Nak kejar gaji lebih dan kemewahan hidup,” jelas Abang Sulaiman.

Dia sebaliknya lalu tersenyum kecil.

“Oh, itu yang abang maksudkan. Ingatkan apa. Bagi saya masing-masing ada pendirian dan bebas untuk memilih halatuju dalam hidup ni. Lagipun saya senang bekerja kat kebun kelapa ni,” katanya.

“Eloklah tu, Zul. Kalau kau dah memilih cara macam tu. Asalkan rezeki yang kau dapat dengan cara yang halal. Asyik bersembang dengan kau ni terlupa pulak abang. Dah janji nak hantar kelapa ke pasar hari ni. Abang mintak diri dulu la, ya. Nanti abang datang lagi borong kelapa kau. Assalamualaikum,” ucap Abang Sulaiman.

“Waalaikumsalam!” balas Azizul pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Seperti biasa menjelang tengah hari baru dia pulang ke rumah. Hari itu dia singgah sebentar di warung Pak Musa untuk menghilangkan dahaga. Cuaca memang amat panas hari ini. Sampai sahaja di warung Pak Musa dia kemudiannya lalu memesan air teh ‘o’ ais limau.

“Kau dari kebun ke, Zul?” tanya Rashid.

“Ya la!” angguknya pula dengan pantas.

“Dari mana lagi. Kalau bukan dari kebun kelapa tu,” dia berkata lagi.

“Kau tak bosan ke, Zul. Hari-hari kerja kat kebun kelapa tu,” tambah Rashid.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan sahaja sambil minum air teh ‘o’ ais limau.

“Dah rezeki aku kat kebun kelapa tu, Shid,” dia membalas.

“Takkan kau sampai tua nak kerja kat kebun kelapa tu. Kau kena pikir jugak masa depan kau,” kata Rashid pula sebaliknya.

“Aku senang dan selesa kerja kat kebun kelapa tu. Alhamdulillah. Banyak jugak hasil daripada kelapa tu aku dapat,” jelasnya.

“Alah, banyak mana yang kau dapat. Ni aku nak bagitau kau. Besok aku nak ke Kuala Lumpur nak cari kerja. Kau nak ikut tak?” pelawa Rashid.

“Cari kerja? Kerja apa?” dia bertanya.

“Kau janganlah banyak tanya. Kau ikut ajelah aku. Sampai di sana nanti kawan kita Roslan akan tolong kita untuk cari kerja,” jelas Rashid.

“Dia akan tolong kita untuk cari kerja?” ulangnya pula.

“Ya!” angguk Rashid pula dengan pantas.

“Kau tengok dia. Sejak kerja kat Kuala Lumpur tu dia dah pakai kereta besar. Mak ayah dia punyalah bangga. Hei! Kau tak teringin ke nak jadi macam dia,” sambungnya lagi.

Dia sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

“Kau pergi la, Shid. Aku sayang nak tinggalkan emak aku dan kebun kelapa tu,” balasnya.

“Kalau dah macam tu kata kau apa boleh aku buat. Takkan aku nak paksa kau pulak. Memandangkan besok aku nak ke Kuala Lumpur hari ni aku belanja kau minum,” ucap Rashid pula.

+++++++

Angin bertiup perlahan dan nyaman. Pohon-pohon yang menghijau kelihatan bergoyangan apabila ditiup angin. Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

“Lambat kau balik hari ni, Zul,” tegur ibunya sebaik-baik sahaja dia sampai di rumah.

“Minum tadi kat warung Pak Musa,” dia memberitahu ibunya.

“Macam mana dengan kebun kelapa kita tu?” soal ibunya.

“Alhamdulillah, mak. Tadi Abang Sulaiman borong banyak kelapa. Katanya nak jual kat peniaga pasar di pekan tu,” jawabnya.

“Syukur alhamdulillah. Itulah yang dinamakan sebagai rezeki. Hah, pergilah mandi. Lepas solat Zuhur nanti boleh kita makan sama,” ujar ibunya pula.

“Yalah, mak!” dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Ketika di kedai dia bertemu dengan Rosnah anak Pak Deraman.

“Assalamualaikum!” dia memberi salam.

“Waalaikumsalam!” jawabnya yang kelihatan cantik dan ayu bertudung dan berbaju kurung.

“Rosnah, kan?” sapanya.

“Ya!” angguk Rosnah dengan pantas.

“Ini Azizul, kan?” ujarnya lagi.

“Ya! Kita dulu sama satu sekolah. Awak apa khabar?” tanya Azizul.

“Alhamdulillah! Baik!” jawabnya sambil mengukir senyuman dan mengangguk.

“Awak pulak?” soal Rosnah pula.

“Alhamdulillah! Baik!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Lama betul kita tak berjumpa. Semenjak tamat sekolah. Awak buat apa sekarang?” tanya Azizul lagi.

“Saya baru habis belajar di universiti. Tengah cari kerja. Awak pulak?” soalnya.

“Saya kerja kat kebun kelapa arwah ayah saya. Maklumlah. Sekolah tak tinggi. Tak macam awak belajar sampai universiti.” Dia merendah diri.

Rosnah sebaliknya hanya tersenyum.

“Kita semua ni sama saja di sisi Tuhan. Tak kiralah sekolah tinggi atau tidak. Awak ada jugak kerja kat kebun kelapa arwah ayah awak tu. Saya ni belum lagi dapat kerja,” katanya.

“Awak tak nak cari kerja kat Kuala Lumpur ke?” dia menyoal Rosnah.

“Buat masa ni saya nak duduk dulu kat rumah. Tolong ayah dan mak apa yang patut. Lepas tu barulah saya fikirkan perancangan yang lain pulak,” ujarnya.

“Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya awak dah ada perancangan sendiri,” kata Azizul pula sebaliknya.

“Hidup ni mesti ada perancangan. Barulah nampak jalan pada masa depan,” jelas Rosnah pula sambil tersenyum.

“Betul kata awak tu!” angguknya.

“Saya pun bercadang nak luaskan lagi pasaran kelapa saya tu,” katanya lagi.

“Baguslah kalau macam tu. Kita ni perlu ada perubahan. Kalau tak kita akan selama-lamanya duduk di tempat yang sama. Baiklah, Zul. Saya mintak diri dulu. Ada masa kita sembang lagi. Assalamualaikum!” mohon Rosnah sambil mengucapkan salam.

“Waalaikumsalam!” jawabnya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

+++++++

Sewaktu menikmati makan malam bersama-sama dengan ayah dan ibunya, Rosnah menceritakan tentang Azizul yang ditemuinya semasa di kedai tadi.

“Baik budak tu. Rajin bekerja,” kata Pak Deraman.

“Anak arwah Darus kan, bang,” tambah isterinya pula.

“Ya!” angguk Pak Deraman pula dengan pantas.

“Sama dengan abang dalam tentera dulu,” dia menyambung lagi.

Mereka sekeluarga menikmati hidangan makan malam dengan begitu penuh berselera sekali sambil rancak berbual-bual.

“Dah lama kami tak berjumpa. Sejak tamat sekolah. Tadi semasa beli barang di kedai kami berjumpa semula. Dia tegur saya dulu,” beritahu Rosnah.

Pak Deraman lalu memandang isterinya yang duduk di sebelahnya. Kemudian dia lalu memandang anak gadisnya itu yang duduk berhadapan dengannya.

“Ni ayah nak beritahu kamu, Ros. Kalau nak cari suami cari macam budak Azizul tu. Bukan aje rajin bekerja dan baik malah tinggi budi bahasa dan hormat orang tua. Macam tulah yang ayah nak jadikan menantu. Kamu pun senang. Hidup pun bahagia,” ucap Pak Deraman pula sebaliknya dengan penuh panjang lebar.

Di luar suara cengkerik bersahut-sahutan jelas kedengaran memecah kegelapan malam.

“Ish! Abang ni. Ke situ pulak perginya,” sampuk isterinya pula.

Rosnah sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja sambil menyuap nasi ke dalam mulut dengan penuh sopan.

“Anak kita ni baru aje habis belajar universiti. Dah nak suruh kahwin,” tambah isterinya lagi.

“Itu saya tahu. Apa? Salah ke saya nak nasihatkan anak kita ni,” balas Pak Deraman.

“Salah tu tak salah …,” ucap isterinya pula.

“Habis? Awak nak menantu kita orang yang tak tentu arah. Anak kita hidup susah. Kita pun jadi susah,” potongnya dengan pantas.

Isterinya lalu diam. Tidak berkata walau sepatah pun. Begitu jugak dengan Rosnah.

+++++++

Seawal pagi lagi Abang Sulaiman sudah datang ke kebun untuk memborong kelapa.

“Kelapa ni sentiasa ada permintaan,” kata Abang Sulaiman.

“Alhamdulillah, bang. Pendapatan saya pun bertambah,” balas Azizul sambil membantu Abang Sulaiman memunggah kelapa ke dalam lori.

“Tuhan jadikan bumi ni luas terbentang untuk kita mencari rezeki. Tak kira di bandar mahupun di kampung. Asalkan kita rajin berusaha dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat,” tambah Abang Sulaiman pula.

“Betul tu, bang,” dia membalas sambil menyeka peluh yang mengalir di dahi dengan lengan baju.

“Kita kena cari rezeki. Bukannya mengharapkan rezeki datang bergolek,” dia mengulas.

Demikianlah rancak mereka berbual sambil memunggah kelapa ke dalam lori di bawah panas terik matahari.

“Tiada jalan mudah untuk kita berjaya dalam hidup ni, Zul. Melainkan dengan usaha yang keras dan gigih. Abang dulu bermula daripada bawah sebagai pekerja. Lama-kelamaan abang belajar bagaimana hendak menjadi seorang pemborong. Kerana bagi abang tak selama-lamanya abang akan menjadi pekerja sehingga ke tua. Satu hari nanti abang mesti berubah. Syukur alhamdulillah. Berkat usaha dan kerja abang akhirnya abang berjaya menjadi seorang pemborong seperti hari ini,” jelas Abang Sulaiman dengan penuh panjang lebar.

Dia mendengar apa yang diceritakan oleh Abang Sulaiman itu dengan rasa penuh minat.

Tengah hari itu setibanya di rumah dia duduk di pangkin halaman rumah sambil mengelamun jauh. Memikirkan tentang apa yang pernah dikatakan oleh Rosnah sebelum ini dan Abang Sulaiman sebentar tadi sewaktu di kebun kelapa.

Memang betul kata mereka berdua. Nak berjaya dalam hidup ini perlukan perubahan. Aku perlu meluaskan lagi pasaran kelapa. Tak boleh bergantung kepada Abang Sulaiman semata-mata. Mulai dari hari ini aku perlu bekerja keras untuk ke arah itu! Demikian janjinya dalam hati.

“Jauh termenung nampaknya tu. Macam teringatkan seseorang aje mak tengok,” usik ibunya.

Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti apabila ditegur oleh ibunya. Dia kemudiannya lalu memandang ibunya yang berdiri tercegat di muka pintu.

“Tak ada apa, mak!” gelengnya pula dengan pantas.

“Saja ambil angin dan hilangkan penat,” dia sebaliknya lalu berdalih.

Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Rasa nyaman dan dingin jelas terasa mengusapi tubuhnya.

“Sudahlah tu. Jangan difikirkan yang bukan-bukan. Tolong petikkan mak pucuk ubi. Mak nak campur dengan gulai ikan,” pinta ibunya.

“Baiklah, mak!” balasnya sambil bangun dan menuju ke belakang rumah.

+++++++

Dari sehari ke sehari dia sentiasa mempergiatkan usaha untuk memasarkan kelapa di kebunnya. Dengan mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada Abang Sulaiman. Ternyata usahanya itu mendatangkan hasil yang amat menggalakkan. Ramai pemborong daripada luar memborong kelapanya.

“Tahniah, Zul. Kau dah berjaya menjadi pengusaha kebun kelapa sekarang,” ucap Abang Sulaiman.

“Terima kasih, bang. Ini juga adalah berkat daripada nasihat dan tunjuk ajar daripada abang,” katanya.

“Kita jangan kedekut dengan ilmu yang kita ada. Sebaliknya kita hendaklah berkongsi bersama-sama dengan orang lain. Ada orang takut nak berkongsi ilmu yang dia ada. Kononnya takut nanti orang yang diajarnya itu nanti akan lebih berjaya daripada dia. Bagi abang sikap begitu tidak sepatutnya ada dalam diri kita. Abang berasa cukup gembira apabila melihat kau dah berjaya. Abang harap kejayaan kau ini akan menjadi contoh kepada anak-anak muda yang lain di kampung ni. Abang harap kau juga tidak mudah lupa diri apabila sudah berjaya. Sentiasalah bersyukur dengan kejayaan yang telah kau capai. Ingatlah. Kalau kita sentiasa bersyukur Allah SWT akan tambahkan lagi nikmat. Tapi kalau kita kufur Allah SWT akan tarik balik segala nikmat yang kita ada.” Begitu panjang lebar Abang Sulaiman memberikan nasihat kepadanya.

Abang Sulaiman sudah menganggap Azizul tak ubah seperti adiknya sendiri.

“Insya-Allah, bang!” katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya akan ingat segala pesan abang,” ujarnya lagi.

Abang Sulaiman sebaliknya membalas dengan senyuman sambil menepuk-nepuk lembut bahu Azizul.

Walaupun sudah berjaya namun bagi Azizul masih banyak lagi kejayaan yang perlu diteroka dan dicapai selepas ini. Tiada istilah berasa berpuashati dengan kejayaan yang ada dalam dirinya. Sebaliknya dia harus terus berusaha dan berusaha dengan lebih gigih dan keras lagi untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan.

+++++++

Desiran angin yang bertiup nyaman dan perlahan jelas terasa menyelubungi seluruh kampung yang indah dan permai. Pohon-pohon yang merendang kelihatan bergoyangan bersama dengan suara daun-daun yang bagaikan bernyanyi-nyanyi riang dan terbuai-buai apabila ditiup angin petang.

“Saya bangga dengan awak …,” ujar Rosnah dalam nada suara yang perlahan.
Dia sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang sambil tersenyum.

“Apalah yang nak dibanggakan sangat dengan saya. Hanya seorang pengusaha kebun kelapa saja. Berbanding dengan awak yang berpelajaran tinggi.” Azizul merendah diri.

Rosnah lalu mengukir senyuman yang manis dan sungguh menawan.

“Awak menjadi pengusaha kebun kelapa yang berjaya di kampung ni. Sebagai seorang kawan saya benar-benar berasa gembira dengan kejayaan awak itu. Saya harap awak akan terus berjaya dengan menembusi pasaran yang lebih tinggi,” dia berkata.

“Terima kasih!” balas Azizul pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Memang itulah cita-cita saya. Lagipun awak pernah beritahu saya. Hidup ini tidak boleh dibiarkan kosong dan perlu ada cita-cita. Supaya mempunyai masa depan yang teratur dan terancang,” ingatnya pula.

“Baguslah kalau macam tu!” ucap Rosnah sambil membetulkan tudungnya yang mengerbang ditiup angin.

“Saya sebenarnya ada perkara yang nak bagitau awak,” katanya lagi.
“Apa dia?” soal Azizul.

“Minggu depan saya akan ke Kuala Lumpur. Saya dapat kerja kat sana,” jawabnya.

“Syukur alhamdulillah. Rezeki awak. Tahniah!” ucap Azizul.

“Terima kasih!” angguknya pula dengan pantas.

“Semoga awak terus maju jaya dalam kerjaya awak sebagai seorang pengusaha kebun kelapa,” dia menambah lagi.

“Begitu juga doa saya untuk awak. Semoga awak berjaya dan cemerlang dalam pekerjaan awak,” ujar Azizul pula.

Mereka kemudiannya lalu mengatur langkah pulang ke rumah.

+++++++

Benar kata orang. Rajin dan usaha adalah tangga kejayaan. Kini, Azizul telah berjaya meluaskan empayar perniagaan kelapanya. Kebun kelapanya juga telah bertambah.

Selain daripada itu, dia juga mempunyai pekerja yang ramai.

Dia turut memiliki rumah dan kereta yang besar.

Walaupun dia sudah kaya-raya namun dia tidak sombong dan bongkak. Sebaliknya dia sentiasa bersedekah dan membantu golongan yang tidak berupaya.

Demikianlah kisah seorang pengusaha kebun kelapa yang bernama Azizul.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *