Cerpen “Anak Muda Negeri Cenderawasih”

Rumah kampung

Kampung ( jimmcd / CC-BY )

Kisah lima orang anak muda yang
bernama Budiman, Anjak, Muda, Teruna dan Kesuma. Tinggal di sebuah negeri yang bernama Cenderawasih.

Negeri Cenderawasih diperintah oleh Dato’ Lantibung. Dato’ Lantibung memerintah dengan zalim. Mengenakan cukai yang tinggi terhadap rakyat. Merampas tanah petani-petani miskin apabila tidak membayar cukai. Bukan itu saja harta milik mereka juga dirampas. Dato’ Lantibung juga memerah keringat dan tenaga rakyat untuk kepentingan diri.

Tindakan Dato’ Lantibung menimbulkan rasa tidak puas hati pada Budiman dan kawan-kawannya. Tanah arwah ayahnya juga dirampas Dato’ Lantibung. Kerana tidak membayar cukai yang telah ditetapkan. Dato’ Lantibung memerintah dengan menggunakan kuku besi. Rakyat yang menentangnya akan ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Tidak kurang juga ada yang dibunuh kerana dianggap menderhaka.

“Dato’ Lantibung dah melampau!” kata Budiman dengan rasa penuh geram bercampur marah.

“Kita tak boleh berdiam diri!” celah Anjak.

“Betul kata kau tu, Anjak. Rakyat semakin menderita,” Muda bersuara.

“Dato’ Lantibung hidup mewah dan kaya-raya dengan hasil titik peluh rakyat,” ujar Teruna.

“Sebagai pemerintah dia seharusnya berlaku adil dan bukannya berlaku zalim pada rakyat,” ulas Kesuma pula sebaliknya.

“Dah tiba masanya untuk kita bertindak!” ucap Budiman dengan penuh semangat. Sambil menggenggam erat tangan kanannya.

“Apa rancangan kau, Budiman?” tanya Muda.

Budiman kemudiannya lalu memandang wajah kawan-kawannya silih berganti.

“Kita rompak tempat yang menyimpan harta-harta rakyat. Kemudian kita kembalikan semula kepada mereka,” rancang Budiman.

Anjak, Muda, Teruna dan Kesuma bersetuju dengan rancangan Budiman itu. Bagi mereka dengan cara itu sajalah yang dapat menghapuskan kezaliman dan penindasan yang dilakukan Dato’ Lantibung terhadap rakyat.
“Bila kita akan mulakan rancangan ini, Budiman?” Teruna menyoal.

“Malam ini jugak!” dia membalas.

Dato’ Lantibung memanggil Panglima Deraman orang kanannya.

“Ada apa, dato’?” kata Deraman.

“Macam mana dengan pungutan cukai?” dia menyoal Panglima Deraman.

“Banyak jugak kita dapat, dato’. Mereka dah takut. Bila harta kena rampas dan dihukum penjara,” dia menjawab.

Dato’ Lantibung berasa amat gembira apabila mendengar jawapan yang diberikan Panglima Deraman itu.

“Bagus!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak ada siapa yang berani menentang aku. Ini Dato’ Lantibung. Sanggup buat apa saja untuk berkuasa di Negeri Cenderawasih ini!” Begitulah sombong dan bongkaknya seorang pemerintah yang bernama Dato’ Lantibung.

+++++++

Sementara itu seperti yang dirancangkan apabila malam menjelang tiba Budiman dan rakan-rakannya lalu merompak tempat yang menyimpan harta rakyat. Ternyata Budiman dan rakan-rakannya mempunyai ilmu persilatan yang tinggi dan tangkas bermain senjata. Mereka berguru dengan Tok Guru Sulong di Bukit Pelanduk. Pengawal-pengawal yang menjaga tempat menyimpan harta rakyat dapat mereka tumpaskan dengan mudah.

Seperti yang dijanjikan harta-harta itu kemudiannya dikembalikan semula kepada rakyat.

Rasa kemarahan jelas kelihatan di wajah Dato’ Lantibung apabila diberitahu tempat menyimpan harta rakyat telah dirompak dan orang-orangnya juga telah dibunuh.

“Jahanam!” dia bertempik dengan sekuat hati sambil melepaskan tumbukan yang kuat pada tiang rumah. Hampir bergegaran rumah dengan bunyi suara tempikan dan tumbukan yang dilepaskannya itu.

“Panglima Deraman!” panggilnya sambil meninggikan suara.

“Dato’!” Dengan pantas dia menghampiri Dato’ Lantibung.

“Cari siapa yang punya angkara. Kalau dapat bunuh!” perintahnya pada Panglima Deraman.

“Baik, dato’. Hamba akan jalankan perintah, dato’!” angguknya.

“Ketatkan juga kawalan di tempat menyimpan harta. Supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi!” katanya pada Panglima Deraman.

“Baik, dato’!” sambut Panglima Deraman pula sebaliknya dengan pantas.

Panglima Deraman dan orang-orangnya lalu meninggalkan rumah Dato’ Lantibung untuk menjalankan perintah.

Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit biru.

“Kita sekarang jadi buruan Dato’ Lantibung,” beritahu Anjak.

“Mulai sekarang kita harus menyusun gerak dengan hati-hati. Supaya tidak mudah dikesan Dato’ Lantibung dan orang-orangnya,” Budiman memberikan ingatan pada kawan-kawannya.

“Aku dapat khabar lagi orang kanannya Panglima Deraman telah diperintahkan untuk mengesan jejak kita,” sampuk Kesuma pula.

“Apa rancangan kita seterusnya, Budiman?” tanya Kesuma.

“Ya, Budiman! Kita mesti tentang habis-habisan kezaliman yang dilakukan Dato’ Lantibung!” Muda berkata dengan penuh semangat.

“Kita terus lakukan rompakan!” ucap Budiman.

Tempat menyimpan harta rakyat yang dirampas menjadi sasaran Budiman dan kawan-kawannya.

“Jahanam!” pekik Dato’ Lantibung.

“Macam mana perkara ini boleh terjadi lagi!” dia menjerit dengan sekuat-kuat hati melepaskan kemarahan.

“Dato’ hamba dapat tahu rompakan itu dilakukan oleh lima orang anak muda,” celah Panglima Deraman.

“Siapa mereka? Berani mereka nak mencabar aku. Mereka tahu tak. Aku ni siapa. Aku ni Dato’ Lantibung. Dato’ Lantibung. Tahu tak?” dia meninggikan suara. Api kemarahannya semakin panas menyala. Seperti api yang dicurahkan minyak.

“Hamba akan siasat mereka, dato’. Sekarang jugak hamba cari mereka. Kalau mereka perlu dibunuh hamba akan bunuh,” janji Panglima Deraman pada Dato’ Lantibung.

+++++++

Suara angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa jelas kedengaran membelah suasana. Pohon-pohon bagaikan menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran di antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu apabila didengar.

Dari jauh kelihatan Muda sedang menuju ke arah Budiman, Anjak, Teruna dan Kesuma.

“Apa perkhabaran yang kau bawa?” tanya Budiman pada Muda.

“Dato’ Lantibung akan mengadakan majlis keramaian malam besok di rumahnya. Untuk meraikan pedagang-pedagang asing yang datang berdagang di negeri ini. Aku dengar lagi Dato’ Lantibung telah meminta mereka membawa emas sebagai hadiah,” jawabnya.

“Nampaknya Dato’ Lantibung semakin bertambah kaya,” Anjak mencelah.

“Kita rompak emas daripada pedagang-pedagang asing itu,” rancang Budiman pula sebaliknya.

“Apa yang kita nak buat dengan emas yang kita rompak itu?” tanya Kesuma.

“Kita berikan pada rakyat yang miskin,” kata Budiman.

“Ya! Aku setuju!” angguk Teruna pula sebaliknya dengan pantas.

“Tapi tak semudah itu untuk kita masuk ke rumah Dato’ Lantibung. Rumahnya dikawal ketat dengan pengawal-pengawal,” ingat Muda pada kawan-kawannya.

“Memang betul kata Muda itu. Tersilap langkah padah menanti kita,” sokong Anjak.

“Aku ada rancangan macam mana nak masuk ke rumah Dato’ Lantibung,” kata Budiman.

Dalam fikiran Dato’ Lantibung sudah terbayang emas bertimbun-timbun yang akan diterimanya daripada pedagang-pedagang asing yang datang berdagang di Negeri Cenderawasih.

“Aku akan bertambah kaya!” katanya sambil ketawa terbahak-bahak.

“Panglima Deraman!” panggilnya setelah ketawanya reda.

“Dato’!” Dia lalu menghampiri Dato’ Lantibung.

“Siapkan makanan yang enak-enak dan minuman keras untuk menjamu mereka. Begitu juga dengan perempuan-perempuan cantik untuk menghiburkan mereka!” arahnya pada Panglima Deraman.

“Baik, dato’!” dia membalas.

“Lagi satu. Kawal kesemua emas itu ketat-ketat supaya tidak hilang!” ingatnya lagi pada Panglima Deraman.

“Baik, dato’!” ulangnya lagi dan kemudiannya lalu beredar untuk menjalankan perintah Dato’ Lantibung.

Sementara itu Budiman dan rakan-rakannya telah pun mengatur rancangan untuk merompak emas pemberian pedagang-pedagang asing.

“Ingat! Setiap langkah kita mesti berwaspada.” Budiman mengingatkan kawan-kawannya.

Ternyata rancangan yang diatur Budiman dan rakan-rakannya telah menjadi. Mereka telah berjaya merompak kesemua emas pemberian pedagang-pedagang asing. Ini membangkitkan lagi kemarahan Dato’ Lantibung.

“Apa kau orang buat, hah?” Tempiknya dengan kuat sambil memukul kesemua pengawal yang ditugaskan untuk menjaga kesemua emas itu.

“Ampun, dato’ …,” salah seorang daripada mereka cuba bersuara.

“Ah! Memang kau orang semua tak boleh harap!” Dia lalu melepaskan satu tendangan yang kuat pada pengawal yang cuba bersuara itu.

Akibat daripada tendangan itu dia lalu jatuh terpelanting.

“Kerana kau orang cuai aku hilang semua emas tu tahu, tak. Pengawal. Tangkap mereka semua ni dan masukkan ke dalam penjara,” arahnya.

Pengawal-pengawal lalu segera menjalankan perintah Dato’ Lantibung.

“Panglima Deraman!” katanya dalam nada suara yang tinggi.

“Dato’!” sahut Panglima Deraman pula sebaliknya dengan pantas.

“Cari semua emas itu sampai dapat dan bunuh mereka yang membuat angkara ini!” arahnya lagi.

“Baiklah, dato’!” Seperti biasa dia menurut saja perintah Dato’ Lantibung.

Budiman dan kawan-kawannya dianggap perompak dan penjenayah yang merbahaya di mata Dato’ Lantibung. Tapi Budiman dan kawan-kawannya berjuang demi untuk menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan Dato’ Lantibung terhadap rakyat Negeri Cenderawasih.

“Rakyat sekarang dah gembira. Mereka dah dapat harta mereka balik,” ujar Kesuma.

“Kita sebenarnya bukan perompak. Perompak sebenarnya adalah Dato’ Lantibung. Yang merompak tanah dan harta rakyat tanpa belas kasihan,” Budiman menyambut.

“Selagi kezaliman dan penindasan yang dilakukan Dato’ Lantibung tidak kita hapuskan selagi itulah perjuangan kita belum tamat,” celah Anjak pula.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kita akan terus berjuang sehingga ke titisan darah yang penghabisan!” Teruna membakar semangat kawan-kawannya.

“Aku dapat perkhabaran pedagang-pedagang asing telah membeli tanah-tanah rakyat yang dirampas Dato’ Lantibung. Dato’ Lantibung telah menjual tanah-tanah mereka kepada pedagang-pedagang asing,” beritahu Muda pula.

Kemarahan Budiman semakin meluap-luap apabila mendengar apa yang dikatakan Muda itu.

“Ini bermakna tanah arwah ayah aku juga telah dijual Dato’ Lantibung. Melampau!” Budiman bersuara dalam nada yang marah.

“Bukan itu sahaja. Pedagang-pedagang asing juga telah menjadikan petani-petani sebagai hamba di tanah mereka sendiri,” tambah Anjak.

“Kita tak boleh berdiam diri. Dato’ Lantibung nampaknya tergamak menyeksa dan menambahkan lagi penderitaan rakyat!” Teruna sebaliknya menyampuk dengan rasa penuh marah.

“Kita rompak dan usir mereka daripada Negeri Cenderawasih ini. Kita mesti bela nasib petani-petani!” ujar Budiman dengan penuh semangat yang berkobar-kobar. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain. Mereka akan tentang penindasan yang dilakukan pedagang-pedagang asing terhadap para petani.

+++++++

Pada satu hari Dato’ Lantibung telah didatangi oleh seorang saudagar daripada Negeri Cempaka Sari.

“Nama hamba Tahir, dato’. Hamba ingin menyampaikan hajat untuk berniaga di negeri ini,” katanya.

“Boleh!” balas Dato’ Lantibung dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Hamba suka mendengar tuan hamba untuk berniaga di negeri ini. Tapi sebelum tu tuan hamba kenalah beri hamba habuan. Barulah tuan hamba boleh berniaga!” Dia ketawa terbahak-bahak.

Saudagar yang bernama Tahir itu faham dengan apa yang dimaksudkan Dato’ Lantibung itu.

“Jangan khuatir, dato’. Ini hamba ada bawa wang dan hadiah untuk dato’,” dia membalas sambil memberikan kedua-duanya kepada Dato’ Lantibung.

Dia berasa amat gembira apabila saudagar dari Negeri Cempaka Sari itu memberikan wang dan hadiah kepadanya.

“Bagus! Sekarang jugak tuan hamba boleh berniaga!” Dia memberi kebenaran sambil terus ketawa terbahak-bahak.

“Terima kasih, dato’!” jawab saudagar dari Negeri Cempaka Sari itu sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Sementara itu Budiman dan kawan-kawannya telah merompak pedagang-pedagang asing. Hasi rompakan mereka berikan kepada rakyat. Untuk meringankan penderitaan yang mereka tanggung. Pedagang-pedagang asing tidak mahu lagi datang ke Negeri Cenderawasih. Kerana Negeri Cenderawasih berada dalam keadaan yang tidak selamat. Ini bukan saja memberikan kerugian kepada mereka malahan juga kepada Dato’ Lantibung. Disebabkan tidak dapat lagi mengutip cukai perniagaan daripada pedagang-pedagang asing.

Akhirnya Dato’ Lantibung mengetahui juga siapa yang melakukan angkara ini.

“Apa? Budiman?” Dia berasa amat marah apabila mendengar apa yang dikatakan Panglima Deraman itu.

“Ya, dato’!” balas Panglima Deraman pula sebaliknya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Dia bersama dengan kawan-kawannya Anjak, Muda, Teruna dan Kesuma yang telah melakukan rompakan selama ini,” beritahu Panglima Deraman.

Rasa geram dan marah kelihatan semakin menebal di wajah Dato’ Lantibung.

“Mereka telah mengagihkan hasil rompakan kepada orang-orang kampung,” jelasnya lagi pada Dato’ Lantibung.

“Apa? Jahanam! Mereka tak boleh dibiarkan hidup. Orang-orang kampung nampaknya bersekongkol dengan mereka. Tentu orang-orang kampung tahu di mana Budiman dan kawan-kawannya bersembunyi. Suruh orang-orang kampung tunjukkan tempat persembunyian mereka. Kalau orang-orang kampung berdegil jugak seksa mereka!” Dia mengeluarkan perintah dengan penuh panjang lebar kepada Panglima Deraman.

“Baiklah, dato’! Sekarang juga hamba akan jalankan perintah dato’!” angguk Panglima Deraman pula dan kemudiannya lalu mengatur langkah untuk melaksanakan apa yang diarahkan Dato’ Lantibung.

“Sebelum tu. Tunggu dulu!” Dato’ Lantibung mengangkat tangan kanannya menahan Panglima Deraman. Langkah Panglima Deraman lantas terhenti.

“Tawarkan hadiah yang lumayan kepada sesiapa yang dapat menangkap atau membunuh Budiman dan kawan-kawannya!” dia berkata lagi.

Sebaik-baik saja bayangan Panglima Deraman hilang daripada pendangan mata Dato’ Lantibung kemudiannya lalu mengangkat kepala tinggi memandang ke atas.

“Budiman! Kau dan kawan-kawan kau akhirnya akan mati juga di tangan aku satu hari nanti!” Rasa geram dan marah yang tak padam-padam jelas kelihatan di wajah Dato’ Lantibung.

+++++++

Panglima Deraman melakukan apa yang diperintahkan Dato’ Lantibung. Orang-orang kampung diseksa apabila tidak memberitahu tempat persembunyian Budiman dan kawan-kawannya. Harta mereka juga dirampas kembali. Demikianlah kejam dan zalimnya Panglima Deraman terhadap orang-orang kampung.

“Panglima Deraman!” sergah Budiman.

Dia dan orang-orangnya kemudian lalu berpaling ke arah Budiman dan kawan-kawannya.

“Perangai kau ni tak ubah macam binatang!” katanya lagi.

“Budiman! Hari ini kau dan kawan-kawan kau akan aku hapuskan. Serang mereka!” dia mengarahkan orang-orangnya menyerang Budiman dan kawan-kawannya. Budiman dan kawan-kawannya yang telah lama bersedia lalu membalas serangan mereka.

Pertarungan antara Budiman dan kawan-kawannya dengan Panglima Deraman dan orang-orangnya begitu sengit. Akhirnya Panglima Deraman dan orang-orangnya menemui ajal di tangan Budiman dan kawan-kawannya. Semangat Budiman dan kawan-kawannya semakin membara apabila dapat menumpaskan Panglima Deraman dan orang-orangnya.

“Mari kita ke rumah Dato’ Lantibung sekarang. Kita tamatkan riwayatnya!” Budiman mengajak kawan-kawannya. Tanpa berlengah lagi Budiman, Anjak, Muda, Teruna dan Kesuma mengatur langkah menuju ke rumah Dato’ Lantibung.

Setibanya di rumah Dato’ Lantibung, Budiman dan kawan-kawannya telah bertempur dengan pengawal-pengawal yang menjaga rumah Dato’ Lantibung. Kesemua mereka telah dapat ditewaskan oleh Budiman dan kawan-kawannya.

“Dato’ ….!” Salah seorang daripada pengawal yang luka parah masuk ke dalam rumah untuk memberitahu Dato’ Lantibung.

Dia lalu terkejut apabila keadaan pengawal itu yang berlumuran darah.

“Kenapa ni? Apa yang telah terjadi?” soalnya pada pengawal yang cedera parah itu.

“Budiman dan … kawan-kawannya … telah menyerang … tempat kita ….” Nada suaranya terputus-putus dan terus jatuh dan tidak bernyawa lagi.

“Cis Budiman! Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak kau duga!” dia berteriak dengan sekuat hati.

“Ya, Lantibung! Aku datang untuk membunuh kau. Kau telah banyak berbuat zalim dan menindas rakyat. Orang macam kau tidak boleh dibiarkan terus hidup di Negeri Cenderawasih ini!” sambut Budiman pula.

“Kalau kau dah menjual aku bersedia untuk membelinya. Bersedialah, Budiman. Ajal kau dah tiba!” cabarnya.

Maka berlakulah pertarungan yang sengit antara Dato’ Lantibung dan Budiman. Ternyata Dato’ Lantibung bukanlah calang-calang orang untuk ditumpaskan. Ilmu persilatannya amat tinggi begitu juga dengan bermain senjata. Kalau nak dibandingkan dengan Budiman ibarat langit dengan bumi jauhnya.

+++++++

“Nampaknya Dato’ Lantibung amat sukar untuk dibunuh,” Muda berkata.

“Aku yakin. Budiman akhirnya akan dapat juga membunuhnya,” Kesuma menambah.

Dato’ Lantibung kemudiannya lalu ketawa dengan sekuat hati. Apabila melihat Budiman semakin kepenatan dan masih gagal untuk membunuhnya. Rasa kesakitan akibat daripada pukulan dan tendangan yang dilepaskan Dato’ Lantibung jelas terasa di seluruh badannya. Namun dia masih lagi belum mahu mengaku kalah. Selagi masih ada hayat dikandung badan selagi itulah dia akan berjuang. Menentang Dato’ Lantibung seorang pemerintah yang berlaku zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat.

“Hei, budak mentah! Kau bukan tandingan aku!” Dengan angkuh dan sombong dia ketawa terbahak-bahak.

Namun Budiman tidak gentar dan memandang tinggi ilmu persilatan yang dimiliki Dato’ Lantibung itu. Semangatnya semakin berkobar-kobar dan akhirnya Dato’ Lantibung tersilap langkah dan peluang ini digunakan Budiman dengan membenamkan pedang ke perut Dato’ Lantibung. Dia kemudiannya lalu mengerang kesakitan dan jatuh di atas lantai dan tidak bernyawa lagi. Tamatlah riwayat seorang pemerintah yang selama ini berlaku zalim dan melakukan penindasan terhadap rakyat.

Segala tanah yang dirampas Dato’ Lantibung kemudiannya lalu dikembalikan semula kepada rakyat. Bagi rakyat Negeri Cenderawasih Budiman, Anjak, Muda, Teruna dan Kesuma adalah wira dan pembela nasib mereka.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *