Cerpen “Aku Seorang Penulis Isteriku Juga Seorang Penulis”

Laut yang membiru kelihatan tenang.
Deruan sang ombak tak putus-putus menghempas
gigian pantai. Angin laut bertiup perlahan dan nyaman.
Rasa segar dan dingin jelas terasa menyelubungi suasana Pantai Teluk Kemang, Port Dickson yang indah dan bersih.

“Awak seorang penulis yang hebat. Saya amat minat membaca karya yang awak hasilkan,” kata Ayu.

“Pujian yang awak berikan tu terlalu tinggi buat saya. Sedangkan bagi saya ada lagi penulis yang lebih hebat daripada saya,” aku membalas.

“Saya berkata dengan ikhlas,” ujarnya lagi.

“Saya ucapkan terima kasih di atas keikhlasan awak itu. Tapi seperti yang saya katakan tadi masih banyak lagi yang perlu saya belajar. Untuk setanding dan duduk sama tinggi dengan penulis-penulis yang telah mencipta nama,” ucapku pula sebaliknya.

Sekali-sekala terasa angin yang datang daripada arah laut bertiup segar dan dingin. Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar indah. Cahayanya yang terang-benderang kelihatan menyinari seluruh kawasan Pantai Teluk Kemang yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk beristirehat dan melapangkan fikiran setelah penat bekerja terutamanya pada hujung minggu dan cuti panjang.

Perbualan aku dan Ayu lantas terhenti apabila pelayan muncul sambil membawa dulang yang berisi makanan iaitu dua pinggan nasi lemak telur mata. Manakala minuman pula adalah secawan air teh dan secawan air kopi ‘o’ yang kelihatan masih panas lagi.

Pelayan kemudiannya lalu perlahan-lahan meletakkan makanan dan minuman yang dipesan di atas meja yang berbentuk empat segi.

“Terima kasih!” ucapku sambil menganggukkan kepala dan memandang wajahnya yang berusia dalam lingkungan 20-an.

“Sama-sama!” angguknya sambil tersenyum dan kemudian pantas beredar sambil membawa dulang yang kosong.

Aku dan Ayu kemudiannya lalu menadah tangan dan berdoa sebagai tanda bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

“Silakan!” pelawaku sebaik-baik sahaja selesai membaca doa sambil memandang wajahnya yang semakin cantik apabila disapu oleh bayu laut yang berhembus dingin dan halus. Keayuan wajahnya itu memang padan dengan namanya.

Kami lalu menikmati hidangan yang dipesan dengan begitu amat berselera sekali sambil menghirup udara pantai yang segar dan nyaman.

“Karya awak banyak berkisar tentang perjalanan hidup manusia. Menariknya awak selalu mengaitkannya dengan ujian dan cabaran,” dia berkata sambil menghirup perlahan-lahan air kopi ‘o’ yang menjadi minuman kegemarannya.

“Sebab cabaran dan ujian memang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita sebagai manusia,” aku sebaliknya membalas.

“Saya amat tertarik dengan salah sebuah puisi yang awak tulis di mana menyebutkan bahawa bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi dugaan,” ujarnya.

“Sememangnya cabaran itu amat berat umpama memikul seketul batu yang besar. Namun kita harus menerimanya dengan rasa penuh redha dan sabar,” ulasku.

Angin laut yang tadinya bertiup lemah-gemalai tiba-tiba lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon menghijau yang tumbuh di tepi pantai kelihatan seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang daripada arah laut. Sekejap beralih ke kanan dan sekejap beralih ke kiri mengikut rentak angin yang bertiup.

Kain tudung berwarna biru muda yang menutupi rambut Ayu kelihatan mengerbang apabila ditiup angin dan kemudian lalu dibetulkannya semula.

“Awak pernah menulis kisah tentang cinta?” dia bertanya padaku.

“Pernah!” anggukku.

“Tentang kisah tentang cinta awak?” soalnya sambil memandang wajahku.

“Maafkan saya. Kalau awak berasa tidak selesa dengan soalan saya itu,” katanya lagi.

Aku sebaliknya lalu tersenyum.

“Oh! Tak mengapa!” gelengku.

“Bagi saya tak salah kalau kita nak sama-sama berkongsi tentang cinta,” sambungku.

“Ya …!” dia membalas sambil menarik nafas yang panjang.

“Cinta itu memang indah. Tapi bila terluka amat pedih ….” Nada suaranya tenggelam bersama-sama deruan ombak yang menghempas pantai.

“Boleh saya tanya awak?” aku menyoal.

“Apa dia?” dia sebaliknya menyoal aku kembali dengan wajah yang tenang.

“Awak pernah bercinta?” tanyaku.

“Pernah …,” jawabnya perlahan.

“Tapi terputus di tengah jalan …,” jelasnya lagi.

Aku sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu.

“Maafkan, saya …,” aku berkata.

“Tak mengapa!” gelengnya sambil tersenyum.

“Awak pulak?” gilirannya pula menyoal.

“Kita sebenarnya senasib. Terputus di tengah jalan …,” aku menjawab.

“Walaupun saya tidak pernah membaca karya awak tentang cinta tapi saya dapat gambarkan yang karya awak hasilkan banyak berkisar tentang rasa kasih dan kesetiaan terhadap kekasih awak,” ujarnya.

“Memang benar sekali!” balasku pula dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Adakah kerana kecewa dalam percintaan maka awak beralih kepada karya yang bertemakan tentang perjalanan hidup manusia?” tanya Ayu.

“Ya!” aku sebaliknya menjawab sambil menarik nafas yang panjang dan mengangguk-anggukkan kepala.

“Hanya dengan cara itu sajalah saya dapat melupakan kekecewaan yang saya alami,” ucapku lagi.

Ayu lalu mengangguk-angguk diam.

“Perkara yang telah berlalu biarkanlah berlalu. Tak usahlah dikenang kembali,” katanya.

“Ya! Memang itulah yang harus kita lakukan. Lagipun semua itu adalah ketentuan. Dah bukan jodoh kita dengan orang yang kita cintai. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya,” sambutku pula sebaliknya.

Dia kemudiannya lalu mengalih kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Saya sebenarnya minat juga untuk menulis,” dia memberitahu aku.

“Baguslah kalau macam tu. Teruskan. Mana tahu mungkin awak boleh menjadi seorang penulis yang lebih hebat dan terkenal daripada saya,” sokongku.

“Saya tak sehebat awak!” gelengnya sambil mengukir senyuman.

“Jangan jadikan itu sebagai ukuran dan perbezaan antara kita berdua. Kita sama saja. Ada kelebihan dan kekurangan,” aku membalas.

“Saya bercakap berdasarkan kepada kenyataan. Karya awak sentiasa mendapat tempat di akhbar tempatan. Sedangkan saya baru saja menulis dah ketandusan ilham,” jelasnya.

“Ilham tak selalunya datang dengan mudah. Macam air laut. Ada pasang. Ada surut,” ucapku sambil menghabiskan sisa-sisa air teh yang masih tinggal sedikit sahaja lagi.

“Tapi awak selalu saja ada ilham untuk menulis,” celahnya dengan pantas.

“Seorang penulis harus sentiasa membaca dan peka terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Ini dapat memberikannya ilham untuk berkarya,” jelasku.

“Oh, begitu!” angguk Ayu pula sebaliknya dengan pantas.

Aku kemudiannya lalu mencuri pandang ke arah pinggan dan cawan di atas meja yang telah kosong. Manakala Ayu pula kuperhatikan sedang mengalihkan pandangan ke arah laut yang membiru. Aku dapat membaca dari raut wajahnya yang cantik dan jelita itu. Bahawa dia sedang memikirkan dengan sedalam-dalamnya tentang apa yang aku katakan itu.

Dia kemudiannya lalu memandang wajahku semula.

“Saya ingin belajar menulis daripada awak,” katanya.

“Boleh!” balasku dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya harap awak sudi menerima saya sebagai anak murid,” pintanya.

“Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan,” ucapku.

“Terima kasih di atas kesudian awak menerima saya sebagai anak murid,” ujar Ayu lagi.

“Saya juga berterima kasih pada awak,” aku berkata.

“Eh! Kenapa pulak? Sepatutnya saya yang berterima kasih pada awak. Bukannya awak yang berterima kasih pada awak,” dia membalas.

“Betul!” anggukku pula sebaliknya dengan pantas.

“Saya juga berterima kasih kepada awak di atas kesudian dan kepercayaan menjadikan saya sebagai guru untuk belajar ilmu berkarya,” sambungku lagi.

Ayu lalu tersenyum apabila mendengar kata-kataku itu.

Aku kemudiannya lalu memandang ke arah butiran pasir yang menghalus dan putih yang kelihatan berseri-seri apabila disinari oleh sinaran matahari. Angin laut pula bertiup sepoi-sepoi bahasa. Menambahkan lagi rasa segar dan dingin kawasan Pantai Teluk Kemang yang menjadi antara destinasi pelancongan yang utama dan menarik di Negeri Sembilan.

Semenjak daripada hari itu aku sering memberikan tunjuk ajar kepada Ayu dalam berkarya. Ternyata dia menerima dengan senang dan hati yang penuh terbuka segala tunjuk ajar yang telah aku berikan itu. Dia juga sentiasa menghantar karya ke akhbar.

“Jangan putus asa,” kataku.

“Dah banyak saya hantar. Tak pernah keluar pun …!” Nada suaranya berbunyi hampa dan kecewa.

“Mungkin belum tiba masanya lagi. Insya-Allah. Satu hari nanti karya awak pasti akan disiarkan juga.” Aku terus memberikan galakan dan dorongan pada Ayu.

“Baiklah!” balasnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Dari sehari ke sehari Ayu rajin dan gigih berkarya. Kegigihan dan kerajinannya akhirnya berbaloi apabila puisinya yang bertajuk Hati Seorang Wanita telah disiarkan dalam salah sebuah akhbar tempatan.

“Tahniah, Ayu!” ucapku.

“Semua ini adalah berkat daripada bimbingan dan tunjuk ajar awak,” dia berkata dengan rasa penuh gembira.

“Saya hanya mencurahkan ilmu yang ada sahaja,” aku membalas sebaliknya.

“Tapi bagi saya ilmu yang awak curahkan itu amat bermakna dan bermanfaat sekali kepada saya dalam mendalami bidang penulisan,” katanya.

“Saya lihat di wajah awak tergambar rasa keseronokan dan kepuasan,” ujarku.

“Ya!” angguknya pula dengan pantas.

“Setelah berusaha dengan gigih karya saya akhirnya mendapat tempat di akhbar,” dia menyambung lagi.

Aku sebaliknya tersenyum apabila mendengar kata-katanya itu.

“Itulah kegembiraan dan kepuasan dalam diri seorang penulis. Apabila karyanya disiarkan dan dibaca oleh khalayak ramai,” aku memberitahu Ayu.

Dia hanya diam dan mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Melalui raut wajah yang ditunjukkannya itu aku telah pun dapat membaca yang dia memahami apa yang aku maksudkan itu.

“Saya harap ini akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat kepada awak untuk terus berkarya,” pintaku.

“Itu sudah semestinya. Saya sekarang benar-benar jatuh cinta dengan dunia penulisan,” dia berkata.

“Saya doakan semoga awak terus berjaya dan cemerlang,” ucapku pula.

“Saya juga berdoa yang sama untuk awak,” balasnya.

Aku dan Ayu sering bersaing dan berlumba-lumba berkarya di dada akhbar. Kami juga memberi pandangan antara satu sama lain. Terhadap karya yang kami hasilkan. Demi untuk kebaikan bersama dan memantapkan serta menajamkan lagi bidang penulisan.

Lama-kelamaan hubungan kami bertukar daripada kawan menjadi kepada kekasih. Aku dan Ayu kemudiannya lalu berkahwin setelah mendapat restu daripada keluarga. Walaupun telah berkeluarga dan mempunyai anak kami masih tetap aktif berkarya sehingga ke hari ini.

Dengan berkat rezeki yang dikurniakan Allah SWT kami telah memenangi beberapa anugerah. Baik di peringkat negeri mahupun negara. Demikianlah secebis kisah yang ingin aku kongsi bersama-sama dengan para pembaca. Sebagai seorang penulis bersama-sama dengan isteri yang aku sayangi.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *