Cerpen “Akibat Lupa Diri”

Tirai Besi ( AlexVan )

Seperti biasa selepas menunaikan solat Subuh..

..dan bersarapan pagi ala kadar aku akan mengatur langkah menuju ke kebun peninggalan arwah ayah aku.

Inilah rutin kehidupan aku setiap hari. Selalunya menjelang tengah hari barulah aku pulang ke rumah. Nasib baik jugak ada kebun yang ditinggalkan arwah ayah.

Dapat juga aku mengusahakannya. Daripada terbiar begitu sahaja.

Hasilnya dapat jugak aku nikmati. Bagi aku inilah habuan yang dapat bila berbudi pada tanah. Sebenarnya sebelum ini aku pernah jugak pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja.

Maklumlah nak hidup senang macam orang lain.

Waktu itu aku membayangkan bandar besar macam Kuala Lumpur tu banyak kerja yang boleh mendatangkan duit yang banyak. Berbanding dengan di kampung.

Hidup di Kuala Lumpur tak sama dengan di kampung. Jurangnya amat dalam umpama langit dan bumi.

Bayangkanlah.

Sebab itulah ramai anak-anak muda yang sebaya dengan aku memilih Kuala Lumpur untuk membina kejayaan dalam hidup ini.

Sewaktu di Kuala Lumpur puas jugak aku cari kerja.

Harap pergi temuduga aje. Dapatnya tidak. Sehinggalah pada satu hari aku diterima bekerja di salah sebuah syarikat swasta.

Aku berasa amat gembira walaupun dibayar dengan gaji yang kecil sebagai permulaan.

∇∇∇∇∇∇∇

“Kalau prestasi awak baik saya akan naikkan gaji awak,” kata Encik Bidin pengurus tempat syarikat aku bekerja.

“Baiklah, Encik Bidin. Janji saya dapat kerja. Untuk menampung keluarga saya di kampung,” aku sebaliknya membalas.

Memandangkan gaji yang aku terima setiap bulan kecil aku lalu membuat kerja sampingan di stesen minyak pada waktu malam.

Sekurang-kurangnya dapatlah menampung pendapatan aku yang tak seberapa. Tambahan pulak duduk di Kuala Lumpur ni semuanya perlukan duit.

Walaupun aku membuat kerja sampingan pada waktu malam namun aku tidak mengabaikan kerja di syarikat yang telah mengambil aku bekerja.

Memanglah penat dan letih. Habis saja kerja pukul 5.00 petang terus sambung pukul 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam bekerja di stesen minyak.

Satu hari Encik Bidin mengisi minyak keretanya di stesen minyak tempat aku bekerja.

“Awak kerja sini ke?” ujarnya.

“Ya, Encik Bidin!” aku mengangguk-anggukkan kepala.

“Cari duit lebih,” jelasku lagi.

Dia sebaliknya lalu tersenyum sambil memandang aku. Mungkin dia faham. Kenapa aku terpaksa membuat kerja sampingan di stesen minyak.

“Baguslah tu. Saya tak larang awak cari duit lebih. Cuma saya mintak awak tidak mengganggu waktu kerja. Itu saja,” pesan Encik Bidin.

“Baiklah, Encik Bidin. Saya ingat pesan Encik Bidin tu,” jawabku pula.

∇∇∇∇∇∇∇

Aku amat berterima kasih pada Encik Bidin. Kerana memahami mengapa aku membuat kerja sambilan di stesen minyak. Selepas habis waktu pejabat pada setiap petang.

Kalau gaji aku cukup aku tak akan buat kerja ni. Memenatkan badan dan tiada masa untuk berehat.

Tapi disebabkan gaji aku yang kecil dan tidak mampu untuk menanggung kehidupan di kota besar seperti Kuala Lumpur maka aku terpaksa buat juga.

Dalam pada itu aku terus bekerja keras. Nak dijadikan cerita Encik Bidin selalu memberikan aku kerja lebih masa. Agaknya dia kasihan melihat aku bertungkus-lumus mencari duit.

Dengan mengambil kerja lebih masa sekurang-kurangnya aku dapat menampung pendapatan aku yang kecil. Banyak jugak aku dapat duit hasil daripada kerja lebih masa yang aku buat.

Melebihi gaji yang aku terima pada setiap bulan dan gaji yang aku terima bekerja di stesen minyak.

Memandangkan aku selalu mengambil kerja lebih masa maka aku kurang bekerja di stesen minyak. Akhirnya aku lalu mengambil keputusan untuk berhenti daripada bekerja sambilan di stesen minyak.

Duit yang aku terima hasil daripada kerja lebih masa yang aku lakukan benar-benar menjadikan aku berasa mewah. Tidak perlu melakukan lagi 2 kerja.

Beberapa bulan kemudian aku dah pakai kereta. Tak lagi naik motor ke tempat kerja. Maklumlah duit dah banyak. Satu hari aku pulang ke kampung. Ibu aku berasa amat terperanjat.

Apabila aku pulang kali ni dengan memandu kereta. Dan bukannya dengan menunggang motosikal seperti biasa.

∇∇∇∇∇∇∇

“Banyak duit kau, Man. Sampai dapat beli kereta,” ujar ibu.

“Duit banyak buat apa simpan, mak. Lagipun pakai kereta kan senang. Berbanding dengan naik motor. Berpanas dan berhujan,” aku membalas.

“Itu mak tahu. Tapi kereta yang kau pakai ni besar. Dan tentu mahal harganya,” kata ibu lagi.

“Man nak jugak merasa macam orang lain. Pakai kereta besar,” ucapku.

“Kita tak boleh ikut rentak orang. Kalau periuk dia besar dah tentu keraknya besar. Berbanding dengan kita. Kau baru aje kerja. Jangan boros, Man. Simpan duit untuk masa depan,” nasihat ibu.

“Man tahulah, mak. Lagipun Man bukan budak-budak lagi,” aku berkata.

Nasihat ibu sedikit pun tidak aku endahkan. Aku tak boleh tengok orang lain bergaya. Aku pun ikut sama.

“Rosli tukar kereta kau pun ikut jugak,” kata Hashim rakan sekerjaku.

“Mesti la!” angguk aku pula dengan pantas.

“Kau tak boleh ikut dia, Man,” ujarnya.

“Kenapa pulak?” celahku pula sebaliknya dengan pantas.

“Dia lain. Banyak duit. Main saham,” tambahnya.

“Aku pun banyak duit jugak!” aku membalas.

Dia sebaliknya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Mendengar apa yang aku katakan itu. Keinginan aku selalu tinggi. Aku tak boleh tengok orang lain lebih daripada aku.

Dalam pada itu aku sentiasa menjaga prestasi kerja. Sehinggakan Encik Bidin berasa amat senang dengan aku.

Satu hari setiba sahaja di pejabat aku diberitahu Siti setiausahanya yang dia ingin berjumpa dengan aku. Tanpa berlengah lagi aku lalu pergi ke biliknya.

Dia menyambut kedatangan aku dengan penuh senyuman. Sudah tentu ada khabar gembira yang ingin disampaikannya kepada aku.

∇∇∇∇∇∇∇

“Saya tengok awak seorang pekerja yang komited dan sentiasa mengikut arahan. Jadi, saya nak tunaikan janji. Mulai bulan depan saya akan naikkan gaji awak,” dia memberitahu.

Aku berasa antara percaya dan tidak. Dengan kata-kata yang keluar daripada mulutnya itu.

“Betul ke ni, Encik Bidin?” tanyaku sambil memandang wajahnya.

“Betul!” dia menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Terima kasih, Encik Bidin!” balasku pula.

Aku merasa gembira bukan kepalang. Sekarang gaji aku dah banyak. Hidup aku semakin bertambah mewah dan senang. Tidak silap aku memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.

Kalau aku terus tinggal di kampung aku tidak akan dapat hidup senang seperti ini.

“Kerja kat Kuala Lumpur tu senang dapat duit,” aku berkata pada Jalil. Kawan sekampung aku.

“Patutlah aku tengok kau dah banyak berubah sekarang. Kereta bertukar ganti,” dia menjawab.

“Kat kampung ni apa yang ada, Lil. Lebih baik kau ikut aku pergi ke Kuala Lumpur tu. Cari kerja,” ajakku.

“Aku memang nak pergi ke sana, Man. Tapi …,” dia terhenti.

“Tapi apa?” aku memotong dengan pantas.

“Ayah dan mak aku dah tua. Tak ada sape yang nak jaga,” jawabnya.

“Adik-beradik kau kan ada,” kataku.

“Betul, Man!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi dia orang semua tinggal jauh. Lagipun aku sayangkan kampung ni. Kat sini macam-macam boleh buat. Asalkan rajin,” sambungnya lagi.

“Kalau macam nilah cara kau jawabnya sampai ke tualah hidup kau tak akan berubah. Kau jangan terperanjat pulak. Satu hari nanti aku jadi orang kaya. Sebab kerja kat Kuala Lumpur tu,” aku berkata dengan penuh bongkak.

Dia sebaliknya hanya diam sahaja. Nak dijadikan cerita sewaktu di Kuala Lumpur aku berkenalan dengan seorang gadis yang bernama Marlisa.

Wajahnya memang cantik dan ayu. Apa saja kemahuannya aku turutkan. Sebab terlalu sayang pada dia maka banyak duit aku habis.

∇∇∇∇∇∇∇

“Ke mana kita lepas ni?” aku menyoal selepas makan di salah sebuah restoran mewah di Kuala Lumpur.

“Mana lagi shopping la,” jawab Marlisa dalam nada suara yang penuh manja dan menggoda.

“Kat mana?” tanyaku sambil memandang wajahnya.

“Tempat yang ada class la. Takkan nak shopping tempat yang bukan taste I,” balasnya.

“Baiklah, sayang!” anggukku pula.

“Demi you I akan lakukan apa sahaja. Termasuk memetik bulan dan bintang di langit tinggi,” janjiku pula sambil memegang erat tangannya.

“Hah, macam tulah. I sayang sangat-sangat kat you. Youlah lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidup I,” kata Marlisa sambil tersenyum manja.

Aku membalas senyumannya itu dan terus memegang erat tangannya.

“I pun begitu jugak. Youlah satu-satunya wanita yang ada dalam hidup I,” ucapku.

Selepas membayar harga makanan dan minuman aku dan Marlisa berjalan sambil berpegangan tangan meninggalkan restoran.

Dia bukan sahaja meminta aku membelikan pakaian yang mahal-mahal bahkan juga meminjam duit. Bukan sedikit duit aku yang dipinjamnya malahan beribu-ribu.

Tapi bak kata orang kerana cinta lautan api pun sanggup direnangi aku ikutkan juga kemahuannya.

Sementara itu ibu juga menegur sikapku yang sombong dan bongkak dengan orang-orang kampung.

∇∇∇∇∇∇∇

“Semua orang cakap. Kau cakap besar dan bangga diri,” katanya padaku.

“Dia orang tu cemburu dan irihati,” aku sebaliknya membalas.

“Cemburu dan irihati apanya, Man?” ulang ibu pula.

“Yalah. Tengok saya dah berjaya dan hidup senang,” tambahku.

“Tak baik bersangka begitu, Man,” ujar ibu.

“Sudahlah, mak. Pedulikanlah. Saya tak mintak duit pun dengan dia orang,” aku berkata.

Ibu sebaliknya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Rasa hampa dan kecewa jelas kelihatan di wajahnya yang telah tua itu.

Dengan sikap aku yang langsung tidak mengendahkan nasihatnya itu.

Beberapa bulan kemudian aku telah dipanggil oleh Encik Bidin. Sebaik-baik sahaja melangkah masuk ke biliknya seperti biasa aku lihat wajahnya ceria dan gembira.

Memang itulah sifatnya yang aku tahu. Sepanjang bekerja dengannya. Daripada keceriaan dan kegembiraan yang ditunjukkan melalui raut wajahnya aku telah pun dapat menduga.

Tentu ada khabar gembira yang hendak diberitahunya kepada aku.

Memang tepat sekali tekaanku. Sebaik-baik sahaja aku duduk di atas kerusi dia lalu menyampaikan khabar yang amat gembira kepadaku.

∇∇∇∇∇∇∇

“Tahniah, Man!” ucapnya.

“Tahniah?” ulangku pula sebaliknya dengan berasa hairan bercampur gembira.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

Kemudian dia lalu memberikan aku sepucuk surat. Dan aku lalu menyambutnya.

“Memandangkan prestasi awak yang semakin bagus dan cemerlang maka awak dinaikkan pangkat,” dia memberitahuku.

“Terima kasih, Encik Bidin!” kataku pula dengan rasa yang amat gembira.

“Saya berharap dengan kenaikan pangkat ini akan menjadikan awak lebih bersemangat dan terus cemerlang,” tambahnya lagi.

“Saya berjanji akan bekerja dengan lebih cemerlang dan menyumbangkan kejayaan pada syarikat ini,” ikrarku.

“Bagus!” balas Encik Bidin dengan rasa penuh gembira.

Namun aku tidak pernah rasa bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan. Aku sebaliknya kufur.

Aku menggunakan kuasa dan pangkat yang ada pada aku dengan sewenang-wenangnya.

“Ingat! Saya ni ibarat durian. Awak semua ni hanya mentimun saja. Pisau juga di tangan saya. Awak semua boleh saya siang dan cincang!” Demikian kataku pada kakitangan yang bekerja di bawahku.

Akibat daripada sikap sombong dan bongkak aku akhirnya telah menerima balasan. Aku telah membuat kesalahan besar dan tidak boleh dimaafkan oleh Encik Bidin sebagai pengurus syarikat.

∇∇∇∇∇∇∇

“Saya tak sangka. Pekerja cemerlang macam awak ini tergamak melakukan perkara yang seburuk ini,” katanya padaku.

“Encik Bidin …. Tolonglah beri saya peluang …. Saya berjanji tak akan buat lagi …,” aku merayu dalam nada suara yang terketar-ketar kerana ketakutan.

“Kakitangan yang bekerja di bawah awak selalu mengadu pada saya. Awak bersikap sombong dan menggunakan kuasa yang ada dengan sesuka hati. Sebab itu ada yang berhenti daripada bekerja di syarikat ini disebabkan awak,” ujarnya.

“Sekali lagi saya merayu, Encik Bidin …. Saya berjanji akan berubah …. Tolonglah, Encik Bidin …,” rayuku dalam nada suara yang perlahan dan cemas.

“Man! Prinsip saya kalau sekali saya tak percayakan orang macam awak selama-lamanya saya tak akan percaya. Duit yang awak gelapkan tu bukannya sikit. RM 500,000.00,” dia berkata.

“Tolonglah saya, Encik Bidin …. Saya berjanji …. Saya akan ganti duit tu balik …,” aku tak henti-henti merayu dalam nada suara yang terputus-putus. Rasa takut semakin menebal dalam diriku.

“Tidak, Man!” gelengnya dengan pantas.

“Saya dah ambil keputusan. Saya akan serahkan awak pada pihak polis!” tegasnya.

∇∇∇∇∇∇∇

Aku kemudiannya lalu dibicarakan di mahkamah dan didapati bersalah. Aku telah dijatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun.

Ibu aku lalu menderita dan jatuh sakit akibat daripada perbuatan aku itu. Dia akhirnya meninggal dunia. Aku benar-benar berasa sedih dan kesal.

Bukan itu sahaja Marlisa juga telah meninggalkan aku. Dia bukan sekadar pisau cukur tetapi juga curang di belakangku dengan menyintai lelaki lain.

Selepas dibebaskan daripada penjara aku lalu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Aku benar-benar berasa malu dengan orang-orang kampung. Lebih-lebih lagi dengan Jalil.

Dia telah berjaya mengusahakan ladang buah-buahan.

Semoga kisah aku ini akan menjadi teladan supaya tidak lupa diri apabila diberikan kemewahan dan berjaya dalam hidup.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!