Cerpen “Air Dicincang Tak Akan Putus”

Matahari.. ( Mcability )

Deru angin yang bertiup dari arah bukit yang subur lagi menghijau jelas terasa membelah seluruh kampung nan indah dan permai. Bunyi pohon-pohon hijau bergoyangan ditiup angin jelas kedengaran.

Bersama gemersik daun-daun yang bergeseran.

Cuaca kelihatan begitu cerah sekali dengan matahari semakin meninggi di kaki langit biru. Sinaran cahayanya yang terang-benderang menerangi seluruh kampung yang indah dan permai.

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,” kata Shukri sambil menarik nafas yang panjang.

“Seburuk-buruk mana pun elok lagi negeri sendiri,” balas pak ngah pula sebaliknya.

“Saya banyak belajar erti kehidupan sewaktu berada di perantauan, pak ngah,” ujarnya lagi.

“Baguslah tu. Itulah pengalaman yang paling berguna buat kau, Shukri,” pak ngah menambah.

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dari arah bukit berhadapan dengan rumah pak ngah menyusup masuk melalui celah-celah dinding papan. Pohon nyiur yang tumbuh di halaman rumah pak ngah melambai-lambai apabila ditiup angin.

Seolah-olah mengajak anak-anak muda yang berada di perantauan agar pulang semula ke kampung halaman. Menaburkan khidmat dan bakti sepertimana yang ingin dilakukan Shukri.

Tak lama kemudian mak ngah muncul sambil membawa dulang yang berisi dua cawan air kopi dan sepinggan kuih keria. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja yang berbentuk empat segi itu dan beralaskan dengan kain yang berwarna biru muda.

Asap nipis yang keluar daripada air kopi yang panas itu kelihatan melenggang-lengguk naik ke atas dan kemudian lalu menghilang. Mak ngah kemudian lalu duduk bersebelahan dengan pak ngah.

“Minum, Shukri!” pelawa mak ngah.

“Hah, Shukri!” Mari kita minum!” kata pak ngah pula.

“Mak ngah tak minum sekali,” ujarnya.

“Minumlah!” mak ngah membalas.

Pak ngah dan Shukri lalu perlahan-lahan menghirup air kopi yang masih lagi panas itu. Suara angin yang bertiup kencang jelas kedengaran membelah suasana petang di desa yang tenang dan damai. Sekali-sekala kedengaran bunyi ranting patah yang jatuh bergemertap ditiup angin.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan menutupi permukaan tanah.

Demikianlah diperumpamakan perjalanan hidup ini. Tiada yang akan kekal abadi buat selama-lamanya. Apabila tiba waktunya nanti akan jatuh berguguran dan menimpa tanah.

“Lama kau menghilang. Ke mana kau pergi selama ni, Shukri?” tanya mak ngah.

“Saya mencari ketenangan dan kekuatan, mak ngah. Sekarang saya dah dapat. Sebab itulah saya kembali semula ke sini,” dia menjawab.

“Syukur alhamdulillah. Kerana Allah SWT telah membukakan pintu hati kau untuk kembali semula ke kampung ni,” ujar pak ngah.

“Apa rancangan kau lepas ni, Shukri?” soal mak ngah.

“Betul kata mak ngah kau tu. Kau ni dah ibarat sirih pulang ke gagang,” celah pak ngah pula sebaliknya.

“Saya nak mencurahkan keringat dan bakti di kampung ni,” dia membalas.

“Baguslah kalau kau dah ada semangat dan cita-cita macam tu. Pak ngah doakan semoga apa yang kau inginkan akan dimakbulkan Allah SWT,” sambut pak ngah.

“Insya-Allah, pak ngah!” angguknya dengan pantas.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh demi untuk mencapai kejayaan,” dia menyambung lagi.

Pak ngah kemudian lalu melihat jam yang tergantung di dinding. Waktu solat asar telah pun masuk. Dia kemudiannya lalu mengajak Shukri berjemaah di masjid.

Sementara itu kepulangan Shukri tidak disenangi abangnya Saad.

Perasaan marah membuak-buak hangat dalam hatinya. Apabila mendapat tahu yang adiknya itu telah pulang semula ke kampung. Setelah sekian lama membawa diri ke negeri orang.

Akibat merajuk kerana tidak dapat mewarisi harta pusaka peninggalan arwah ayahnya.

“Aku ingatkan dia tak balik lagi!” rungutnya dalam nada suara yang marah.

“Jangan-jangan dia nak menuntut harta yang arwah ayah abang tinggalkan tu!” api isterinya.

“Ah! Jangan haraplah satu sen dia akan dapat!” Kemarahan Saad semakin meluap-luap apabila diapikan isterinya.

“Ingat, bang! Jangan biarkan dia mengganggu kesenangan kita,” ingat isterinya lagi.

“Kau jangan sibuklah. Tahulah apa aku nak buat nanti,” dia membalas.

Pohon-pohon yang tumbuh di halaman rumahnya kelihatan menari-nari apabila ditiup angin. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak irama tiupan angin.

Angin yang datang dari arah bukit yang subur lagi menghijau bertiup lemah-gemalai. Rasa segar dan dingin jelas terasa menyapu seluruh kampung. Matahari kelihatan semakin meninggi di kaki langit biru. Bersama gumpalan awan yang tebal lagi memutih.

Pohon-pohon hijau kelihatan meliuk-liuk apabila ditiup angin. Daun-daun seperti menari-nari dan bernyanyi-nyanyi riang apabila dihembus angin.

Sungguh cantik dan permai bumi ciptaan Tuhan ini. Sayang kalau ia dipersiakan dengan begitu sahaja. Sesuatu perlu dilakukan supaya ia tidak terbiar dengan begitu sahaja.

Hasilnya perlu dinikmati bersama oleh seluruh penduduk kampung. Itulah yang sedang kuat bermain di fikiran Shukri.

Perubahan dan kejayaan. Itulah yang ingin dibawanya setelah kembali semula ke kampung halaman yang setelah sekian lama ditinggalkannya. Banyak yang dipelajari dan dilihatnya sewaktu berkelana di negeri orang. Inilah yang mahu diterapkan dan dicorakkan kepada kampung halaman yang dicintainya.

“Zalifah rasa gembira, bang,” katanya.

“Gembira?” Shukri mengangkat kepala tinggi sedikit dan memandang wajah anak gadis Tok Ketua itu.

“Ya!” angguk Zalifah pula sebaliknya.

“Sebab abang dah balik semula ke kampung ni,” katanya lagi.

“Ke mana lagi abang nak pergi, Zalifah. Balik ke sini jugaklah akhirnya,” balas Shukri.

“Zalifah tahu. Abang merajuk, kan. Dengan Abang Saad sebab tak dapat mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan arwah ayah abang,” ujarnya.

Dia lantas terdiam sambil memandang pohon-pohon yang bergoyangan ditiup angin. Memang benar apa yang dikatakan Zalifah itu. Sebab itulah dia meninggalkan kampung dan membawa diri di rantauan. Zalifah seakan-akan dapat membaca apa yang sedang menyentuh di hatinya itu.

“Maafkan Zalifah, bang …,” dia bersuara perlahan.

“Tak mengapa, Zalifah!” geleng Shukri sambil tersenyum.

“Abang dah lupakan semua tu. Bagi abang kebenaran dan keadilan akan datang juga satu hari nanti,” katanya lagi.

“Insya-Allah, bang. Allah SWT itu maha adil terhadap hamba-hambanya,” balas Zalifah yang cantik dan jelita dengan tudung berwarna ungu yang menutupi kepalanya serta berbaju kurung warna merah hati.

“Itulah yang membukakan pintu hati abang supaya pulang semula ke kampung ni,” ulasnya.

“Baguslah macam tu, bang. Zalifah harap abang janganlah lagi tinggalkan kampung ni,” tegas Zalifah.

Kata-katanya itu lalu menjadikan Shukri terdiam. Kerana sungguh mendalam sekali dan penuh dengan harapan yang tinggi. Pohon-pohon yang mengangguk-angguk ditiup angin seolah-olah turut menyatakan sokongan terhadap apa yang dikatakan Zalifah itu. Dia kemudian lalu menarik nafas yang panjang dan memandang Zalifah yang berada di sebelahnya.

“Zalifah nampaknya macam takut kalau abang tinggalkan lagi kampung ni,” dia bersuara.

“Benar, bang!” Zalifah mengangguk-anggukkan kepala.

“Kenapa?” soalnya dengan pantas.

“Sebab bila abang tinggalkan kampung ini adalah satu kehilangan bagi Zalifah,” jelasnya.

Barulah dia mengerti kini. Mengapa Zalifah berkata begitu. Dia kemudian lalu mengalihkan pandangan ke arah bukit-bukau yang tinggi dan tersergam indah itu. Demikianlah tingginya harapan Zalifah padanya. Supaya dia terus kekal tinggal di kampung ini.

“Tak usahlah Zalifah bimbang. Abang dah berjanji pada diri ini. Di sinilah abang akan mencurahkan bakti dan keringat selamanya,” katanya pada Zalifah.

Senyuman lantas terukir di wajah Zalifah. Apabila mendengarkan kata-katanya itu. Bersama desiran angin yang halus dan dingin menyirami seluruh kampung. Hidup ini sesungguhnya adalah satu perjuangan. Berjuang dan terus berjuang. Selagi masih ada kudrat dan tenaga. Itulah yang tersemat kukuh dalam hati kecil Shukri.

Air dicincang tak akan putus. Hubungan adik-beradik akan tetap kekal buat selama-lamanya. Tambah pulak sedarah dan sedaging. Kawan boleh dibuang. Tapi tidak dengan adik-beradik. Itulah yang dipegang Shukri. Sedikit pun tidak tersimpan dendam kesumat dalam hatinya. Atas perbuatan abang kandungnya itu. Membolot kesemua harta pusaka peninggalan arwah ayahnya.

Kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Saad cukup kenal dengan suara orang yang memberi salam itu. Dia lalu pergi ke muka pintu. Rasa kemarahan jelas kelihatan di wajahnya. Apabila orang yang memberi salam dan berada di bawah rumah itu adalah Shukri. Adik kandungnya sendiri yang setelah sekian lama berkelana di negeri orang.

“Apa khabar, bang?” kata Shukri. Sebaik-baik sahaja melihat abang kandungnya itu muncul di muka pintu.

“Baik! Hah, naiklah!” balas abangnya pula dalam nada suara yang tidak ikhlas dan berasa senang menjemputnya naik ke atas.

Shukri lalu naik ke atas rumah dan bersalaman dengan abangnya. Sedikit pun tidak kelihatan rasa rindu di wajah Saad. Terhadap adiknya yang pulang semula ke kampung setelah sekian lama membawa nasib di tempat orang. Sebaliknya kelihatan rasa marah dan tidak senang yang kelihatan semakin menebal di wajahnya. Menyambut kepulangan adiknya itu.

“Hah, duduklah!” pelawa Saad lagi.

Shukri lalu duduk di atas kerusi ruang tamu rumah abangnya itu. Dari raut wajah yang ditunjukkan abangnya itu dia telah pun membaca. Kedatangannya tidak disenangi. Namun dia tetap menghormati abangnya itu sebagai saudara yang tua.

“Kakak mana, bang?” tanyanya.

“Ada kat kedai!” balas Shukri.

“Saya dengar perniagaan abang bertambah maju,” dia berkata.

“Jadi, kau irihati. Sebab itu kau balik semula dan mahu merampas semua harta aku!” Saad meninggikan suara.

“Abang …!” dia bersuara perlahan dan tenang.

“Aku tak usir kau. Kau yang pilih sendiri untuk tinggalkan kampung ni!” tegas Saad lagi dalam suara yang penuh lantang.

“Memang benar saya ambil keputusan tinggalkan kampung ni. Tapi sekarang saya dah balik semula dan sedikit pun saya tak ada perasaan marah mahupun dendam terhadap abang,” ujarnya.

“Ooo tak ada perasaan dendam dan marah pada aku. Tapi yang kau ni tiba-tiba balik kenapa? Dah tentulah kau ada sebab, kan!” potong Saad dalam nada suara yang keras bercampur marah.

“Abang …!” ucapnya.

“Sudah! Kau dengar sini baik-baik. Semua harta peninggalan arwah ayah dalam tangan aku. Kau jangan haraplah satu sen akan dapat. Faham!” Saad menjerkah adiknya dengan sekuat-kuat hati.

Shukri kemudiannya lalu menundukkan kepala. Dia benar-benar berasa kecewa dengan sikap abangnya itu. Menuduh kepulangannya adalah untuk merampas segala hartanya. Di luar angin yang bertiup perlahan dan lemah. Turut menghulurkan simpati pada Shukri.

Malam. Bulan dan bintang kelihatan begitu indah sekali menghiasi awan hitam. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan jelas kedengaran memecah keheningan malam. Selepas menikmati hidangan makan malam pak ngah dan Shukri duduk di ruang tamu rumah. Manakala mak ngah pula sibuk berkemas di dapur.

“Kenapalah sampai begitu sekali dia membuat tohmahan pada kau!” pak ngah menggeleng-gelengkan kepala.

“Entahlah, pak ngah …!” dia bersuara perlahan sambil menarik nafas yang panjang.

“Bersabarlah, Shukri. Setiap yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya,” ucap pak ngah pula sebaliknya.

“Saya tetap hormat dia sebagai abang kandung. Saya tak pernah menyimpan rasa marah dan dendam. Terhadap apa yang telah dilakukannya pada saya,” balasnya.

“Baguslah macam tu, Shukri!” angguk pak ngah pula sebaliknya.

“Tidak ada gunanya kita bermusuhan dan bersengketa sesama adik-beradik. Berdoalah. Semoga dia diberikan Allah SWT taufik dan hidayah untuk berubah,” dia menyambung lagi.

“Insya-Allah, pak ngah. Saya sentiasa berdoa semoga satu hari nanti dia akan berubah,” Shukri menjawab.

Dia kemudian lalu memohon diri untuk pulang ke rumah. Sebelum pulang dia mengucapkan terima kasih kepada pak ngah dan mak ngah yang telah mengundangnya makan malam. Pak ngah dan mak ngah menghantarnya sehingga ke muka pintu. Enjin motosikal lalu segera dihidupkan dan dia meredah kepekatan malam untuk pulang ke rumah.

Angin yang tadinya bertiup perlahan dan halus tiba-tiba bertukar rentak menjadi kencang. Cuaca cerah mewarnai suasana petang di desa yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Jalur-jalur cahaya yang keluar daripada sinaran matahari yang terik kelihatan terpantul di atas permukaan dan menembusi celah-celah dedaunan hijau.

“Hidup ini penuh dengan dugaan dan cabaran,” ucap Zalifah.

“Bukan hidup namanya kalau tak menghadapi dugaan dan cabaran,” balasnya pula sebaliknya.

“Cabaran dan dugaan itu amat pahit dan memedihkan,” Zalifah.

Dia lalu menarik nafas yang panjang. Sambil memandang ke arah pohon-pohon hijau yang kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin petang. Sesungguhnya hidup ini umpama lautan biru yang luas. Pasang dan surut silih berganti. Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Hidup juga tak ubah seperti putaran roda. Adakalanya di atas. Adakalanya di bawah. Apabila berada di atas ramai orang di sekeliling kita. Tapi bila kita berada di bawah tak akan ada orang yang bersama dengan kita. Ramai orang yang mahu ketawa bersama dengan kita. Namun bila menangis kita hanya seorang diri. Demikianlah lumrah kehidupan yang kita lalui. Sebagai seorang yang bernama manusia di atas dunia ini.

Shukri kemudian lalu memandang semula wajah Zalifah. Sungguh jelita dan wajahnya apabila diusapi angin petang yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan amat menyegarkan sekali.

“Kemanisan akan terasa apabila kita berjaya menghadapi segala dugaan dan cabaran yang datang dalam hidup ini,” dia berkata.

“Zalifah harap abang akan dapat menikmati keindahan dan kemanisan itu,” balasnya.

Dia lalu tersenyum apabila mendengar kata-kata Zalifah itu. Memberikan suntikan semangat kepadanya untuk menghadapi dugaan dan cabaran yang dihadapinya sekarang. Dia yakin. Segala ketabahan dan kesabarannya akan membuahkan nikmat juga akhirnya pada satu hari nanti. Berusaha dan sentiasa berdoa. Itulah yang harus dijadikannya sebagai kunci pegangan.

“Terima kasih, Zalifah!” dia lalu membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Kerana terus memberikan abang kekuatan dan semangat,” ujarnya lagi.

Angin yang bertiup lemah-gemalai menerobos masuk melalui tingkap rumah pak ngah yang terbuka luas. Pohon rambutan, mangga, bacang dan nangka yang tumbuh di halaman rumah pak ngah bagaikan menari-nari apabila ditiup angin. Pak ngah dan mak ngah kelihatan sedang rancak berbual-bual di ruang tamu rumah sambil menikmati juadah minum petang. Air kopi dan cekodok pisang dengan begitu amat menyelerakan sekali.

Pak Ngah menghirup air kopi yang masih lagi panas itu dengan perlahan-lahan. Dia kemudiannya mengambil seketul kuih cekodok pisang di dalam pinggan dan mengunyahnya. Memang sedap menikmati air kopi dan kuih cekodok pisang panas pada petang-petang begini. Sambil menghirup angin yang bertiup segar dan nyaman dari arah bukit.

“Malam ni lepas maghrib ada ceramah agama di masjid.” Pak ngah kemudiannya lalu menukar kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Siapa penceramahnya, bang?” tanya mak ngah lagi.

“Menurut Tok Imam Ustaz Mizzuan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan,” dia menjawab.

“Tajuk ceramah mengenai apa, bang?” mak ngah tak henti-henti menyoal kerana berasa terlalu begitu teruja sekali.

“Mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,” balasnya.

“Menarik tajuk tu, bang!” ulas mak ngah pula sebaliknya.

“Tajuk macam nilah yang harus kita dengar!” pak ngah mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Awak pergi tak?” dia kemudiannya lalu memandang mak ngah.

“Mesti la pergi. Majlis ilmu macam ni rugi kalau tak pergi. Lainlah kalau ada keuzuran dan perkara yang tak dapat dielakkan,” nyata mak ngah pula sebaliknya.

“Baguslah kalau macam tu. Majlis ilmu macam ni banyak manfaatnya bila kita turut serta,” ujar pak ngah.

Selepas menunaikan solat Maghrib penceramah yang diundang khas Ustaz Mizzuan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan lalu menyampaikan ceramah kepada para jemaah yang hadir. Mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap ceramah yang disampaikan pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Selesai sahaja mendengar ceramah para jemaah kemudiannya lalu menunaikan solat Isyak yang diimamkan Ustaz Mizzuan. Kemudian mereka menikmati jamuan makan malam dan bersurai. Sebaik-baik sahaja kereta yang dipandu Ustaz Mizzuan meninggalkan masjid, Tok Ketua, pak ngah dan Shukri lalu mengatur langkah menuju ke tempat meletak motosikal.

“Seronok betul bila dengar ceramah yang disampaikan ustaz tadi,” kata Tok Ketua.

“Kita tak boleh leka dengan mengejar dunia. Akhirat juga perlu diutamakan,” ulas pak ngah.

“Tapi kita sebagai manusia asyik dengan keseronokan hidup di dunia. Sehingga sanggup mengetepikan akhirat. Yalah. Seperti yang dikatakan ustaz dalam ceramahnya tadi,” celah Shukri.

“Sebab itulah majlis ilmu macam ni sangat penting kepada kita. Supaya sedar akan tanggungjawab kita sebagai manusia yang hidup di atas dunia ini,” tambah Tok Ketua.

Angin malam yang menderu terasa menyelubungi seluruh kampung. Sinaran rembulan dan kerlipan bintang yang menghiasi dada awan yang hitam kelihatan begitu indah dan cantik sekali.

Setibanya di rumah selepas balik dari kebun pak ngah lalu duduk di kerusi ruang tamu rumah untuk melepaskan penat. Di luar cuaca begitu panas sekali. Bahangnya terasa pijar dan menggigit-gigit permukaan kulit. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan bahang panas yang meresap masuk melalui celah-celah dinding papan rumah pak ngah.

Bahang terik matahari di kaki langit mengepung atap zink rumah pak ngah. Cahaya yang terang-benderang menyimbah ke seluruh kampung. Rumput-rumput kelihatan keperangan akibat cuaca panas yang melampau sejak akhir-akhir ini. Sudah agak lama juga hujan tidak turun membasahi Kampung Lonek.

“Baru balik, bang?” tegur mak ngah yang tiba-tiba sahaja muncul daripada dapur.

“Ya, Kiah!” angguknya sambil memandang mak ngah yang duduk di kerusi berhadapan dengannya.

Suara angin yang bertiup jelas kedengaran menyelubungi suasana tengah hari yang disinari cahaya matahari yang panas dan terik. Bunyi ranting patah dan daun-daun kering yang berguguran ditiup angin juga jelas kedengaran membelah suasana.

“Abang nak mandi dan solat Zuhur,” ujarnya lagi.

“Pergilah, bang. Saya pun dah siap masak. Tunggu nak hidang aje ni,” mak ngah berkata.

“Awak masak apa tengah hari ni, Kiah?” Pak ngah yang duduk di kerusi memandang mak ngah.

“Gulai ikan tenggiri masak lemak cili api dengan bacang, sambal gesek dan goreng ayam kampung,” jawab mak ngah pula.
“Sedap tu. Terliur saya mendengarnya. Tak sabar-sabar abang nak menjamah masakan awak tu Kiah. Abang pergi mandi dululah!” pak ngah bingkas bangun dan mengatur langkah menuju ke dalam bilik untuk menukar pakaian.

Mak ngah pula masuk ke dapur untuk menyiapkan hidangan makan tengah hari. Selepas mandi dan menunaikan solat Zuhur pak ngah bersama dengan mak ngah menikmati hidangan makan tengah hari dengan begitu amat berselera sekali.

Kabus kelihatan menutupi puncak bukit. Rasa dingin jelas terasa membelah suasana pagi. Mungkin kesan daripada hujan yang turun lebat mencurah-curah tengah malam tadi. Dekat nak masuk waktu subuh baru hujan berhenti. Matahari tidak kelihatan. Langit kelabu.

Pohon-pohon dan daun-daun kelihatan basah. Begitu juga dengan rumput-rumput yang menghijau. Tanah nampak becak dan ditakungi dengan lopak air. Setelah sekian lama dilanda kemarau akhirnya hujan turun juga tengah malam tadi. Menerusi jendela yang terbuka luas Shukri melemparkan pandangan yang jauh ke arah bukit yang hampir tidak kelihatan kerana ditutupi kabus tebal.

“Ayah dan mak sayangkan kau berdua. Kalau ayah dan mak dah tak ada nanti janganlah kau berdua adik-beradik bertelagah. Ingat pesan ayah ni!” arwah ayahnya berkata pada dia dan abangnya Saad.

“Kalau ada pertelingkahan salah seorang daripada kau beralahlah. Itulah yang sebaik-baiknya. Tak baik kau orang berdua adik-beradik bergaduh. Sebab kau orang berdua adalah saudara kandung. Kau orang berdua tak ada adik-beradik yang lain,” ingat arwah ibunya.

“Ibarat api yang membakar janganlah dicurahkan minyak. Kawallah ia sebelum merebak dan memusnahkan kita,” tambah arwah ayahnya lagi.

“Mak harap kau orang dua beradik tak akan bergaduh walaupun disebabkan perkara yang kecil. Salinglah tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain bila ada kesusahan,” harap arwah ibunya pula.

Kata-kata nasihat dan pesanan arwah ayah dan arwah ibunya itu masih lagi segar dan kuat melekat di ingatannya. Sebab itulah dia tidak menyimpan rasa marah dan dendam terhadap Shukri abang kandungnya itu. Walaupun dia telah banyak dianiaya akibat daripada perbuatan abangnya itu.

Pagi masih muda lagi. Matahari masih lagi belum kelihatan di kaki langit. Cuaca kelihatan begitu amat cerah sekali. Suara angin yang bertiup dalam irama yang perlahan jelas kedengaran membelah suasana. Rasa segar terasa mengusapi seluruh kampung.

“Bang, saya nak tukar perabot dan besarkan lagi rumah ni. Dah buruk nampaknya. Malu kita bila orang tengok,” kata isterinya.

“Kau nak menghabiskan duit aku aje,” dia sebaliknya membalas.

“Abang ni kedekut sangatlah. Nak tukar perabot pun tak boleh,” ujar isterinya pula.

“Hutang yang lama pun tak selesai lagi. Ini kau nak menambah hutang yang baru pulak!” bantahnya.

“Itu sudah menjadi lumrah, bang,” nyata isterinya.

“Lumrah kata kau?” dia sebaliknya membalas.

“Biasalah, bang. Semua orang berhutang. Bukan setakat kita aje. Lagipun kita ni orang kaya, bang. Inilah masanya kita nak tunjuk kekayaan kita. Barulah orang-orang kampung pandang tinggi pada kita,” pujuk isterinya pula sebaliknya.

Saad lalu terdiam. Apabila mendengar apa yang dikatakan isterinya itu. Di luar suara angin yang tadinya bertiup perlahan lalu bertukar menjadi kencang. Pohon-pohon hijau yang tumbuh di halaman rumahnya kelihatan melambai-lambai apabila ditiup angin. Daun-daun bagaikan terliuk-liuk sambil mengeluarkan irama yang merdu dan mendendangkan jiwa.

“Betul jugak kata kau tu. Apa gunanya kaya tapi tak ditunjukkan. Berapa jumlah duit yang diperlukan untuk kita mengubahsuai dan membeli perabot?” Dia akhirnya akur juga dengan kemahuan isterinya itu.

“Saya dah kira, bang. Semuanya RM 500,000.00,” isterinya menjawab.

“RM 500,000.00?” balasnya dengan rasa penuh terkejut.

“Yalah! Barulah orang-orang kampung nampak yang kita betul-betul kaya,” ucap isterinya.

“Itu aku tahu!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi mana aku nak cari duit sebanyak tu!” katanya lagi.

“Itu tak susah, bang,” ulas isterinya.

“Tak susah kata kau. Kau ingat duit RM 500,000.00 tu macam daun-daun kering yang gugur. Senang kutip!” tegasnya pula.

“Abang ni dengar la dulu. Belum saya habis cakap abang dah potong. Abang cubalah pinjam duit daripada kawan abang Orang Kaya Osman tu. Nanti abang gantilah balik duit dia. Takkan dia tak percaya dengan abang,” isterinya berkata.

Kata-kata isterinya itu lalu membuatkan dia diam. Dari raut wajahnya itu jelas kelihatan bahawa dia sedang memikirkan cadangan isterinya itu. Agar meminjam wang daripada Orang Kaya Osman. Dia kemudiannya lalu memandang semula wajah isterinya itu.

“Yalah! Aku cuba!” angguknya sebagai tanda bersetuju dengan cadangan isterinya itu.

“Hah! Macam tulah. Barulah orang-orang kampung gelar abang Orang Kaya Salim. Dia orang ingat abang lebih kaya daripada Orang Kaya Osman tu,” sambut isterinya dengan rasa penuh gembira.

“Aku pergi dulu!” Dia kemudian lalu mengatur langkah meninggalkan rumah.

“Jangan lupa, bang. Buat apa yang saya suruh tadi,” ingat isterinya lagi.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Kereta yang dipandunya lalu bergerak meninggalkan rumah. Isterinya memandang kereta yang dipandunya itu berlalu pergi sehingga hilang daripada pandangan matanya. Rasa gembira bukan kepalang jelas kelihatan di wajah isterinya itu. Suaminya yang bernama Salim itu sentiasa menurut kemahuannya.

Demikianlah sikap Salim. Dalam dia bertegas namun akhirnya dia tunduk juga dengan segala kehendak isterinya. Apabila dipujuk isterinya dia akan menjadi lemah dan cair. Sehingga sanggup hendak meminjam wang daripada Orang Kaya Osman. Semata-mata untuk memuaskan hati isterinya hendak membesarkan rumah dan menukar perabot baru.

Dia kemudian lalu berjumpa dengan Orang Kaya Osman.

“Orang kaya saya ada hal nak cakap dengan orang kaya,” beritahunya.

“Hah! Apa dia?” Dia sebaliknya mengangkat kepala memandang wajah Salim.

“Saya nak pinjam duit,” dia berterus terang.

“Pinjam duit?” ulang Orang Kaya Osman pula sebaliknya.

“Ya, orang kaya!” angguknya.

“Berapa?” tanya Orang Kaya Osman sekali lagi sambil mengangkat kepala tinggi.

“RM 500,000.00,” jawabnya.

“RM 500,000.00!” ucap Orang Kaya Osman pula sebaliknya.

“Benar, orang kaya. Saya nak besarkan perniagaan saya. Nanti bila dah dapat untung saya ganti balik duit orang kaya tu,” dia berdalih. Tidak memberitahu tujuan sebenar mengapa dia terpaksa meminjam wang.

Orang Kaya Osman sebaliknya lalu tersenyum. Dia kemudian lalu menjeling ke arah Budin orang kanannya. Dia juga turut melemparkan senyuman. Memang Orang Kaya Osman sering menjadi tempat untuk meminjam wang. Dalam erti kata lain dia adalah seorang ceti.

Sesiapa yang meminjam wang daripadanya akan dikenakan bunga yang tinggi. Apabila gagal membayar bunga maka segala harta benda milik peminjam terutamanya rumah akan dirampas Orang Kaya Osman.

Sebab itulah dia hidup mewah dan senang lenang. Hasil daripada bayaran bunga yang dikenakannya ke atas peminjam dan harta benda mereka yang dirampasnya apabila gagal membayar semula hutang termasuk bunga. Nampaknya Salim akan menjadi mangsanya yang seterusnya.

“Baiklah! Aku akan beri kau pinjam wang sebanyak RM 500,000.00. Ingat. Jangan lupa bayar balik!” dia mengingatkan Salim.

“Terima kasih, orang kaya. Saya berjanji akan bayar balik duit orang kaya tu,” janjinya pula.

“Nanti bila cek dah siap kau boleh datang ambil,” kata Orang Kaya Osman lagi.

“Baiklah, orang kaya!” Dia kemudiannya lalu bingkas bangun dan meninggalkan bilik Orang Kaya Osman.

Salim keluar daripada bilik Orang Kaya Osman dengan rasa penuh gembira. Kerana dapat meminjam RM 500,000.00 daripada orang kaya itu. Budin kemudian lalu memandang ke arah Orang Kaya Osman yang kelihatan sedang duduk tersandar di atas kerusi pusing sambil menghisap rokok.

“Banyak RM 500,000.00 tu, boss. Takut dia tak boleh bayar balik,” dia berkata.

“Apa susah, Budin. Dia yang datang jumpa aku nak pinjam duit. Kalau dia tak dapat bayar nanti aku rampas semua harta benda dia!” tegasnya.

“Boss memang bijak,” puji Budin pula.

“Nak hidup kaya dan mewah macam tulah,” dia membalas.

Dia dan Budin kemudiannya lalu ketawa terbahak-bahak. Sehingga hampir memecahkan seluruh ruang bilik itu. Dalam fikirannya sudah bayang segala harta benda kepunyaan Salim akan menjadi miliknya. Sekiranya dia gagal membayar segala hutangnya.

Desiran angin yang bertiup kencang dari arah bukit jelas terasa kesegarannya menyapu seluruh kampung. Pohon-pohon dan daun-daun hijau bagaikan berbisik apabila ditiup angin. Matahari semakin meninggi di langit biru bersama dengan sinaran cahayanya yang menerangi seluruh alam semesta.

“Sungguh cantik pemandangan di kampung ni,” ujar Zalifah.

“Memang cantik, Zalifah. Inilah yang dikatakan sebagai anugerah Tuhan buat penduduk di kampung ni,” kata Shukri pula.

“Kita harus mensyukuri dengan segala nikmat dan anugerah yang telah diberikan,” tambah Zalifah lagi.

“Kita mesti bersyukur dengan segala yang ada. Kalau kita sentiasa bersyukur kita akan mendapat nikmat yang melimpah ruah. Macam air sungai yang sentiasa mengalir,” dia berkata.

Angin yang tadinya bertiup kencang lalu bertukar menjadi lemah gemalai. Pohon nyiur di halaman rumah Pak Salleh seperti terbuai-buai apabila ditiup angin. Alangkah indah dan damainya hidup di desa. Kain tudung yang menutupi rambut Zalifah kelihatan mengerbang sedikit apabila ditiup angin. Dia lalu pantas membetulkannya. Hembusan angin yang sungguh nyaman jelas terasa menyapu wajahnya yang cantik dan menawan itu.

“Hidup di desa tak sama dengan kota.” Zalifah kemudiannya lalu menukar kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Memang tidak dinafikan apa yang Zalifah katakan itu. Antara hidup di desa dengan hidup di kota mempunyai jurang yang amat dalam. Umpama langit dan bumi,” ulasnya pula sebaliknya.

“Mendalam sekali kata-kata abang itu,” kata Zalifah.

“Hidup di kota penuh dengan kesibukan dan kesesakan. Berbanding dengan hidup di desa. Penuh dengan kedamaian dan ketenangan,” jelasnya.

Mendengarkan sahaja kata-katanya itu lalu membuatkan Zalifah jadi terdiam. Dia kemudiannya lalu mencuri pandang ke arah pohon-pohon hijau yang kelihatan melenggang-lenggok. Apabila ditiup angin yang datang dari arah bukit. Suasana menjadi bertambah segar dan dingin.

“Zalifah sayangkan kampung ni. Sebab itu Zalifah tak mahu mengikut kawan-kawan berhijrah ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

“Kita nampaknya sehati dan sejiwa. Bagi abang kedamaian dan ketenangan yang dimiliki kampung ini tak dapat dipisahkan daripada hidup abang,” dia berkata.

“Zalifah pun begitu juga, bang!” balasnya dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Seperti yang abang katakan tadi kita memang sehati dan sejiwa. Sebab itulah Zalifah tak mahu mengikut kawan-kawan berhijrah ke Kuala Lumpur,” akuinya lagi.

Shukri hanya mendiamkan diri sahaja. Apabila mendengar apa yang dikatakan anak gadis Tok Ketua itu. Kasih Zalifah benar-benar tumpah pada kampung halaman tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Rasa kasihnya yang menebal itu sama seperti Shukri. Yang membawa diri dan berkelana di negeri ini. Mungkin sudah menjadi ketentuan bahawa mereka berdua memang sehati dan sejiwa.

Sepertimana yang dijanjikan Saad pun mendapat wang RM 500,000.00 daripada Orang Kaya Osman. Wang itu habis digunakannya untuk membeli perabot mewah dan mengubahsuai rumah. Dia benar-benar terasa bahawa dialah orang yang paling kaya dan berada dalam kampung ini.

Sedangkan dia lupa bahawa hanya Tuhan Yang Esa sahajalah yang paling kaya dan berkuasa dalam dunia ini. Segala yang dimilikinya di dunia ini adalah sementara. Bila-bila masa sahaja nikmat yang dimilikinya itu boleh ditarik balik. Tambahan pula dia tidak pernah rasa bersyukur dan angkuh dengan harta kekayaan yang dimilikinya.

“Hah! Macam nilah orang kaya. Rumah besar. Perabot cantik,” isterinya berkata.

“Kau cakap senanglah. Tapi yang berhutangnya aku!” dia sebaliknya membidas pujian yang dilemparkan isterinya itu.

“Abang ni tak habis-habis nak mengungkit. Ada duit nanti bayarlah balik duit orang kaya tu,” isterinya membalas.

“RM 500,000.00 bukannya sikit. Mana aku nak cari duit untuk bayar hutang Orang Kaya Osman tu,” ucapnya.

“Alah, abang ni. Itu pun dah pening kepala. Ada la duit nanti nak bayar hutang orang kaya tu. Sudahlah. Malaslah saya nak layan abang. Saya nak ke kedai,” isterinya berkata sambil bingkas bangun daripada kerusi dan meninggalkan rumah.

Saad kemudiannya lalu melemparkan pandangan ke arah luar. Melalui jendela rumah yang terbuka luas sambil memikirkan cara untuk mendapatkan wang membayar balik hutangnya dengan Orang Kaya Osman itu.

Daun-daun hijau yang bergeseran bagaikan bernyanyi-nyanyi riang. Pohon-pohon kelihatan melenggang-lengguk apabila ditiup angin yang datang dari arah bukit. Matahari bersinar indah dengan cahayanya menyinari seluruh kampung. Langit biru dan awan tebal memutih kelihatan begitu amat bersih dan terang-benderang.

Demikianlah indahnya alam ciptaan Tuhan. Anugerah untuk makhluk ciptaannya yang hidup di atas dunia ini. Melalui jendela yang ternganga luas Shukri melihat keindahan alam yang subur menghijau mewarnai seluruh kampung. Dia kemudiannya lalu mengalihkan pandangan ke kawasan yang dipenuhi dengan lalang berhadapan dengan rumahnya itu.

Kawasan itu pada suatu ketika dahulu adalah sawah padi yang luas terbentang bagaikan hamparan permaidani hijau.

Maka terbayanglah semula di ingatannya pada waktu itu ayah dan ibunya bersama dengan orang-orang kampung mengerjakan sawah padi terutamanya apabila tiba musim menuai.

Dia bersama dengan abangnya Saad turut membantu ayah dan ibunya mengerjakan sawah padi pada ketika itu.

Padi yang menguning umpama kilauan emas yang bersinar-sinar apabila disinari sinaran cahaya matahari. Masih lagi jelas dan segar terbayang di ruang matanya akan sebuah kehidupan yang pernah dilaluinya pada satu ketika dahulu.

Tapi kini semuanya tinggal menjadi kenangan. Tiada lagi kelihatan hamparan sawah yang menghijau bersama dengan padi yang menguning di kawasan itu. Lalu dia bertekad untuk mengembalikan semula keindahan dan kegembiraan orang-orang kampung mengerjakan sawah padi.

Sayang tanah sebegini dibiarkan tumbuh dengan lalang yang tinggi tanpa diusahakan sesuatu yang memberi faedah dan manfaat kepada orang-orang kampung. Sepertimana projek tanaman semula kelapa sawit yang diusahakan di tanah terbiar.

Dengan berpegang kepada kata-kata pak ngah pekerjaan yang baik patut disegerakan dan kalau dilengahkan takut datang yang buruk maka tanpa berlengah lagi dia lalu keluar daripada rumah dan pergi ke rumah Tok Ketua. Sampai sahaja di rumah dia lalu memberi salam dan disambut Zalifah yang kebetulan berada di rumah pada ketika itu.

“Ayah Zalifah ada di rumah?” dia bertanya.

“Ada!” dia pantas membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Nanti Zalifah panggilkan. Jemputlah naik, bang,” pelawanya.

Dia lalu naik ke rumah dan duduk di atas kerusi yang terdapat di ruang tamu rumah Tok Ketua itu. Sekali-sekala kedengaran suara angin yang bertiup dalam irama perlahan. Tak lama kemudian Tok Ketua muncul dan bersalaman dengannya.

“Saya datang ni ada perkara nak bincang dengan tok,” beritahunya.

“Perkara mengenai apa, Shukri?” soal Tok Ketua.

“Saya cadangkan kita usahakan semula sawah padi di kampung ni,” jelasnya.

“Bagus cadangan kau tu! Aku setuju sangat!” sokong Tok Ketua pula sebaliknya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Tapi di mana kawasan untuk mengusahakan sawah padi tu?” tanyanya pula.

“Kawasan yang pernah kita usahakan sawah padi dulu,” jawabnya.

“Cantik kawasan tu,” ujar Tok Ketua.

“Memang cantik, tok. Daripada dipenuhi lalang kan lebih elok kita usahakan. Nanti kita pergi ke jabatan pertanian minta bantuan,” dia membalas.

“Baiklah! Perkara yang bermanfaat dan berfaedah macam ni aku sokong dan amat mengalu-alukan. Tapi adat kita hidup berkampung. Kenalah muafakat dulu dengan orang-orang kampung,” kata Tok Ketua.

“Memang itulah yang sebaik-baiknya, tok. Bila kita muafakat pasti akan membawa berkat,” ulasnya pula.

“Demikianlah indahnya hidup berkampung,” tambah Tok Ketua lagi.

“Sebab itulah tok saya kembali semula ke tempat saya dilahirkan dan dibesarkan. Segala keindahan sepertimana yang tok katakan tu semuanya ada di sini,” ucapnya.

Tak lama kemudian Zalifah muncul sambil membawa dulang yang berisi minuman. Dengan penuh sopan dan perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Kemudian dia berlalu pergi sambil membawa dulang yang telah kosong. Tok Ketua lalu menjemput Shukri untuk menikmati minuman yang dihidangkan Zalifah itu.

Pagi. Selepas menunaikan solat Subuh pak ngah dan mak ngah lalu menikmati sarapan. Air kopi dan pulut tanak cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Cuaca cerah kelihatan menyinari seluruh kampung. Angin yang bertiup dari arah bukit terasa segar dan nyaman. Membelah suasana pagi yang penuh dengan keheningan dan ketenangan.

“Masa di masjid tadi abang jumpa Tok Ketua. Dia bagitau Shukri mencadangkan satu projek baru diusahakan di kampung ni,” dia berkata.

“Projek apa, bang?” tanya mak ngah pula sebaliknya dengan penuh minat.

“Sawah padi,” dia menjawab.

“Sawah padi?” ulang mak ngah.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Tok Ketua setuju sangat projek tu dilaksanakan. Abang pun begitu jugak. Perkara yang baik dan mendatangkan manfaat kepada kita semua seharusnyalah disokong,” dia menambah lagi.

“Mudah-mudahan Allah SWT akan memberkati dan merahmati usaha murni kita ni,” tambah mak ngah.

“Insya-Allah, Kiah!” balasnya dengan mengangguk-anggukkan kepala.

“Dengan adanya projek-projek sebegini akan memberikan kejayaan dan kemajuan pada kampung kita,” dia menyambung lagi.

“Dalam pada tu kita juga harus berterima kasih kepada Shukri. Kerana telah menyumbangkan buah fikiran untuk kita mengusahakan semula sawah padi di kampung ni,” kata mak ngah.

“Memang betul apa yang Kiah cakapkan tu!” angguknya dengan pantas.

“Semua ini adalah ketentuan Allah, bang,” mak ngah menambah.

“Abang berasa amat bersyukur. Setelah sekian lama dia membawa diri di negeri orang dan kemudian pulang dengan membawa nafas baru kepada kita semua di kampung ni,” ulasnya.

Demikianlah rancaknya pak ngah dan mak ngah berbual-bual sambil menikmati sarapan pagi. Di luar matahari kelihatan perlahan-lahan menampakkan sinarnya di kaki langit biru. Mak ngah kemudiannya lalu menukar kepada tajuk perbualan yang lain pula.

“Lupa pulak saya beritahu. Semalam Ain ada telefon. Dia kirim salam kat abang,” beritahunya pada pak ngah yang kelihatan sedang perlahan-lahan menghirup air kopi.

“Waalaikumsalam!” dia menjawab sebaik-baik sahaja selesai menghirup air kopi itu.

“Apa katanya lagi?” dia bertanya.

“Bila ada kelapangan nanti dia akan ambil cuti dan balik untuk berjumpa dengan kita. Rindu katanya,” jawabnya.

“Tak apalah. Kita faham dengan kesibukan kerja dia di Kuala Lumpur tu. Kita tak harap pun duit dia tu. Cukuplah sekadar dia ingat dan bertanya khabar pada kita,” tambahnya.

“Dia juga tumpang gembira, bang. Bila dengar Shukri dah balik semula ke kampung ni,” ucap mak ngah lagi.

Pak ngah kemudiannya lalu bangun dan bersiap ke kebun. Itulah rutin kehidupannya pada setiap hari. Dari pagi sehinggalah ke tengah hari dia akan menghabiskan masanya di kebun. Sampai sahaja di bawah rumah dia lalu menghidupkan enjin motosikal dan menuju ke kebun. Manakala mak ngah pula mengutip semua cawan dan pinggan di atas meja dan membawanya ke dapur.

Orang Kaya Osman kelihatan sedang menghisap rokok sambil duduk tersandar di atas kerusi pusing. Dia sebenarnya sedang menunggu kedatangan Saad. Tak lama kemudian kedengaran bunyi pintu biliknya diketuk. Itu sudah tentu Saad. Tekanya dalam hati. Dia kemudian lalu menjengah ke arah pintu bilik dan mengarahkan orang yang berada di luar itu agar masuk ke dalam.

Memang tepat sekali tekaannya itu. Sebaik-baik sahaja pintu bilik terbuka Saad lalu masuk ke dalam dan tanpa disuruh dia pantas duduk di atas kerusi. Dia dapat membaca raut wajah yang ditunjukkan Orang Kaya Osman itu. Macam ada sesuatu yang tak kena.

“Bila kau nak jelaskan hutang aku?” Dia memandang wajah Saad dengan rasa penuh marah dan bengis.

Barulah dia tahu kini. Mengapa Orang Kaya Osman naik radang dengannya. Rupanya pasal hutang. Bukan pasal tanah orang-orang kampung tu.

“Saya berjanji, orang kaya. Saya akan bayar semua hutang orang kaya tu. Percayalah!” janjinya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Janji! Janji!. Itu saja yang kau tahu. Tapi kau tak tunaikan jugak!” Dia berasa naik bosan dengan apa yang sering dikatakan Saad itu.

“Ada duit nanti saya akan bayar hutang orang kaya,” katanya lagi.

“Baiklah! Aku pegang janji kau!” angguknya pula.

“Tapi ingat kalau kau permainkan aku kau akan tahu siapa sebenarnya aku Orang Kaya Osman. Faham!” Dia memberikan amaran keras kepada orang yang berhutang dengannya itu.

“Saya faham, orang kaya …,” dia bersuara perlahan sebagai tanda akur dengan amaran keras yang diberikan Orang Kaya Osman itu.

“Sudah! Pergi!” arahnya dengan keras.

Saad lalu bingkas bangun dan meninggalkan bilik Orang Kaya Osman. Tak lamu kemudian sekali lagi kedengaran pintu biliknya diketuk.

“Masuk!” katanya.

Pintu bilik lalu terbuka. Budin kemudiannya mengatur langkah masuk ke dalam dan berdiri berdepan dengan Orang Kaya Osman.

“Macam mana, boss?” dia lalu bertanya.

“Aku dah beri dia amaran keras,” dia menjawab.

“Saya yakin dia tak akan dapat bayar hutang boss. Sedangkan suruh pujuk orang-orang kampung suruh jual tanah pun dia tak dapat inikan pulak nak bayar hutang boss sebanyak RM 500,000.00 tu,” ujarnya.

“Memang betul cakap kau tu. Apa susah. Senang aje. Kalau dia tak dapat membayar semua hutang aku maka dia akan menerima nasib sama seperti mereka-mereka yang gagal membayar hutang aku sebelum ini,” dia sebaliknya membalas.

Budin lalu mengangguk-angguk diam. Tanda faham dengan apa yang dimaksudkan Orang Kaya Osman itu.

“Oklah, boss. Saya pergi dulu. Ada kerja nak buat,” mohonnya.

Dia membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala. Budin kemudian lalu meninggalkan bilik Orang Kaya Osman. Sambil tersandar di atas kerusi pusing dia memandang ke siling. Dalam fikirannya sudah jelas terbayang. Segala harta kepunyaan Saad akan menjadi miliknya tak lama lagi.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah fikirannya berserabut memikirkan untuk membayar hutang Orang Kaya Osman. Sampai sahaja di rumah dia terus duduk di atas kerusi yang terdapat di ruang tamu. Yang dibelinya hasil daripada duit yang dipinjamnya daripada orang kaya itu.

“Monyok aje nampak. Kenapa ni?” tegur isterinya.

“Pening kepala aku!” Dia mengeluarkan nada suara yang keras.

“Kenapa abang ni, hah? Asyik marah aje. Cubalah bawak bertenang,” kata isterinya lagi.

“Macam mana aku nak bertenang. Orang Kaya Osman dah tanya aku bila nak bayar hutang dia,” jelasnya.

“Itu pun abang dah kelam kabut,” sambut isterinya pula sebaliknya.
“RM 500,000.00 tu banyak. Bukannya sikit,” ujarnya lagi.

“Ada untung berniaga kita nanti abang bayar la semua hutang dia tu,” isterinya cuba untuk menenangkannya yang kelihatan gelisah dan tidak menentu.

“Kau cakap senang la. Sebab bukan kau yang bayar semua hutang tu. Untung mana sangat meniaga kita. Hutang kedai tu pun tak selesai lagi. Makin bertambah. Semuanya ni sebab kaulah!” Dia mempersalahkan isterinya yang menjadi punca semua hutang ini terjadi.

“Eh! Saya pulak yang abang salahkan. Abang pun sama!” bidas isterinya pula sebaliknya.

Dia lantas terdiam. Sangkaannya isterinya dapat membantu dia untuk memberi jalan bagaimana untuk menyelesaikan semua hutangnya dengan Orang Kaya Osman. Tapi sebaliknya menjadikan fikirannya tambah berserabut.

Tengah hari. Tok Ketua dan Shukri singgah di Restoran Jempol untuk menjamu selera. Restoran Jempol memang terkenal dengan masakan kampung yang begitu enak dan menyelerakan. Sudah menjadi kebiasaan restoran ini menjadi tumpuan utama pelanggan pada setiap kali tibanya waktu makan tengah hari.

“Aku yakin. Daripada maklumbalas pegawai jabatan pertanian tadi yang begitu amat baik dan menggalakkan projek sawah padi itu akan diluluskan,” Tok Ketua berkata ketika menikmati hidangan makan tengah hari.

“Insya-Allah, tok!” dia sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya sentiasa berdoa. Semoga kampung kita sentiasa dilimpahi dengan kejayaan dan kesejahteraan,” ucapnya.

“Mudah-mudahan begitulah!” sambut Tok Ketua pula sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Kejayaan dan kesejahteraan akan tercapai bila kita sentiasa bersatu hati dan bekerja keras. Tanpa mengenal penat dan lelah. Tidak mudah tunduk dan kalah bila berdepan dengan cabaran,” dia menyambung lagi.

“Dari kata-kata tok itu apa yang dapat saya simpulkan adalah bila kita bersatu semuanya akan jadi mudah. Batu yang keras pun dapat kita pecahkan,” rumusnya pula.

“Itulah pentingnya semangat kebersatuan. Kerja yang payah dan berat akan menjadi mudah dan ringan. Tapi kalau kita berpecah semuanya akan menjadi susah dan merugikan diri kita sendiri,” Tok Ketua mengulas.

“Kalau kita sentiasa bersatu tak akan berlaku perpecahan di kalangan kita. Walaupun disebabkan perkara yang kecil,” yakinnya.

“Harap-harap begitulah. Kita pun dah selesai makan. Lepas ni bolehlah kita ke masjid. Waktu zuhur pun dah nak masuk ni,” ajak Tok Ketua pula.

“Elok sangatlah tu, tok. Dapat jugak kita berjemaah di masjid,” dia membalas.

“Kalau macam tu biar aku bayar dulu,” ucap Tok Ketua.

Mereka kemudiannya lalu bingkas bangun. Selepas membuat pembayaran di kaunter Tok Ketua dan Shukri pun melangkah keluar daripada restoran dan mengatur semula langkah menuju ke masjid. Sampai sahaja di masjid kedengaran azan Zuhur berkumandang yang dilaungkan oleh bilal.

Bak kata pepatah bulat air kerana pembentung bulat kata kerana muafakat. Sebelum melakukan sesuatu pekerjaan itu perlu mencapai kata sepakat dahulu. Barulah pekerjaan itu menjadi mudah dan lancar tanpa sebarang halangan mahupun rintangan.

Selepas menunaikan solat Asar Tok Ketua pun mengadakan perjumpaan dengan orang-orang kampung di balai raya. Tujuan perjumpaan ini diadakan adalah untuk membincangkan projek sawah padi yang dicadangkan Shukri. Ternyata orang-orang kampung memberikan sokongan penuh dan bersetuju agar projek ini dilaksanakan.

Tok Ketua memberitahu orang-orang kampung bahawa jabatan pertanian akan memberikan bantuan apabila projek ini diluluskan nanti. Dia turut meminta agar orang-orang kampung turut sama mendoakan agar projek ini berjaya dan diluluskan. Perjumpaan diakhiri dengan jamuan minum petang.

“Bersemangat nampaknya mereka. Bila dapat tahu yang projek sawah padi akan dilaksanakan semula di kampung ni.” Demikian kata Tok Ketua sambil menikmati air teh bersama dengan kuih koci dan karipap.

“Alhamdulillah. Memang itulah yang kita harapkan. Bila dah bersemangat dan mendapat sokongan yang kuat projek ni pasti akan berjaya,” yakin pak ngah pula.

“Saya dan Tok Ketua dah pun pergi berjumpa dengan pegawai jabatan pertanian. Dia amat menyambut baik dan mengalu-alukan projek ini. Cuma dia perlu panjangkan terlebih dahulu kepada pihak atasan,” Shukri mencelah.

“Adat orang berketua macam tulah. Setiap perkara hendaklah dimajukan terlebih dahulu kepada ketua. Kemudian barulah keputusan dibuat dan dilaksanakan dengan segera,” ulas Tok Ketua.

“Teringat semasa jadi tentera dulu. Setiap arahan yang diberikan ketua hendaklah dipatuhi dan dijalankan tanpa banyak soal,” kata pak ngah.

“Bila dah perintah diberikan ketua sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang bawahan untuk melaksanakannya. Kalau dia arahkan kita masuk hutan sekarang kenalah kita ikut. Macam yang kau katakan tadi tanpa banyak alasan,” Tok Ketua menambah.

Menjelang lewat petang mereka pun lalu bersurai dan pulang ke rumah masing-masing. Cuaca cerah mengiringi sepanjang perjalanan mereka pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah Shukri lalu membersihkan diri dan kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Selang beberapa bulan kemudian jabatan pertanian pun memberikan jawapan terhadap permohonan untuk mengusahakan sawah padi. Sepertimana yang diilham Shukri di kawasan yang pernah menjadi sawah padi pada satu ketika dahulu. Jawapan yang diberikan oleh jabatan pertanian adalah begitu amat menggembirakan sekali iaitu diluluskan.

Matahari yang bersinar indah turut berkongsi rasa kegembiraan bersama dengan orang-orang kampung. Pohon-pohon hijau dan daun-daun yang bernyanyi-nyanyi riang apabila ditiup angin turut sama melahirkan rasa gembira. Kawasan yang dahulunya dipenuhi dengan lalang akan bertukar wajah menjadi sawah padi yang terbentang luas.

“Alhamdulillah! Lulus permohonan kita!” ujar Tok Ketua dengan rasa penuh gembira.

“Semua ni hasil daripada cadangan kau, Shukri,” tambah pak ngah pula.

“Ya, Shukri. Kalau tak kerana cadangan kau tu dah tentu kawasan tu akan selama-lamanya menjadi semak samun,” sokong Tok Ketua.

“Saya sebenarnya rindu, tok,” dia sebaliknya membalas.

“Rindu? Kau rindu kat sapa pulak, Shukri?” tanya Tok Ketua sambil ketawa kecil.

“Yalah! Tiba-tiba aje rindu,” celah pak ngah yang turut tersenyum kecil.

Dia sebaliknya hanya tersenyum sahaja. Angin yang bertiup sepoi-sepoi dari arah bukit jelas terasa menyapu seluruh kampung yang tenang dan damai. Cahaya matahari yang memancar di kaki langit biru kelihatan menyinari seluruh alam semesta ciptaan Tuhan Yang Esa.

“Saya sebenarnya rindu nak bersawah. Macam zaman kanak-kanak dulu. Sebab itulah daripada dibiarkan kawasan itu menjadi semak samun maka saya cadangkan diusahakan sawah padi,” dia berkata.

“Aku pun macam tu jugak, Shukri. Teringatkan aku semula bermain layang-layang di tengah sawah,” ujar Tok Ketua.

“Memang indah apabila dikenangkan semula semua tu, tok. Tapi itu semua dah berlalu. Kita tak akan dapat kembali semula ke zaman tu. Hidup yang kita lalui sering bertukar ganti dan bukannya dapat berundur ke belakang semula,” pak ngah mencelah.

“Betul kata kau tu, Sahak. Peringkat macam kita ni namanya meniti usia. Selagi kita mampu dan bertenaga kita berbaktilah demi untuk kemakmuran dan kesejahteraan kampung ni,” ulas Tok Ketua pula sebaliknya.

Cuaca redup menyelubungi suasana petang. Angin seakan-akan malas untuk bertiup. Pohon-pohon kelihatan tidak bergoyangan. Begitu juga dengan daun-daun tidak kedengaran mengeluarkan irama yang mendayu-dayu dan mengusik jiwa. Sekali sekala kedengaran suara angin yang bertiup lemah dan tak bermaya.

“Tak sabar rasanya.” Suara Zalifah tenggelam bersama desiran angin yang bertiup.

“Apa yang membuatkan Zalifah berasa tak sabar?” Shukri memandang wajahnya yang semakin cantik dan jelita itu apabila disapu angin.

“Nak bersawah padi,” dia menjawab.

“Tak lama lagi projek itu akan bermula,” tambahnya.

“Zalifah bangga dengan abang,” katanya lagi.

“Bangga?” ulangnya sambil merenung dalam-dalam wajah anak gadis Tok Ketua itu.

“Ya!” angguknya pula dengan pantas.

“Sebab mencadangkan projek sawah padi di kampung ni,” dia menyambung.

Dia sebaliknya hanya mendiamkan sahaja. Apabila mendengar apa yang dikatakan Zalifah itu. Dia kemudian lalu mengalihkan pandangan ke arah pohon rumbia yang kelihatan bagaikan meliuk-liuk apabila ditiup angin. Setelah puas memandang pohon rumbia itu dia kemudiannya memandang semula Zalifah yang duduk bersebelahan dengannya.

“Semua ini adalah untuk kejayaan kita bersama sebagai penduduk di kampung ni,” dia bersuara sambil menarik nafas yang panjang.

“Ternyata abang seorang yang merendah diri,” ucap Zalifah pula sebaliknya.

“Bak kata pepatah ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi. Setiap sesuatu yang dilakukan itu hendaklah ikhlas dan bukannya untuk menunjuk atau mencari nama,” dia membalas.

Malam begitu indah sekali. Suara gemersik angin yang bertiup jelas kedengaran membelah suasana. Di kaki langit hitam bulan dan bintang kelihatan bersinar indah. Pohon-pohon bagaikan mengalunkan irama merdu apabila ditiup angin.

Selepas menunaikan solat Isyak di masjid pak ngah mengajak Shukri ke rumah. Memang pak ngah dan mak ngah berhajat untuk mengajaknya makan malam. Hidangan yang disediakan mak ngah begitu amat menyelerakan sekali. Gulai terung telunjuk campur dengan tempoyak, ikan sepat masin, sambal gesek ikan bilis dan goreng pucuk paku.

Selesai sahaja menikmati hidangan yang amat menyelerakan itu pak ngah dan Shukri lalu duduk di ruang tamu rumah. Mak ngah seperti biasa sibuk berkemas di dapur. Sekali sekala terasa angin menyusup masuk menerusi jendela rumah pak ngah yang terbuka luas.

“Macam mana dengan abang kau, Saad? Marah lagi ke dia?” pak ngah menyoal.

“Entahlah, pak ngah …!” dia sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang.

Pak ngah lalu diam dan menggeleng-gelengkan kepala. Mengenangkan sikap abangnya Saad itu yang tak pernah berubah.

“Kenapalah marahnya tak pernah padam pada kau. Sedangkan kau banyak beralah sehinggakan bertahun-tahun meninggalkan kampung ni dan membawa diri ke tempat orang.” Pak ngah menghulurkan rasa simpati padanya.

“Biarkanlah, pak ngah. Sejahat mana dan seburuk mana sekalipun perangai dia, dia tetap abang kandung saya,” dia bersuara tenang.

“Sungguh mulia hati kau, Shukri,” ucap pak ngah pula sebaliknya.

“Saya berpegang teguh pada pesan arwah ayah dan arwah ibu. Supaya tidak bersengketa sesama adik-beradik. Apabila mereka berdua dah tiada nanti,” dia berkata.

“Bersengketa adik-beradik ni tak ke mana perginya. Satu hari nanti bertaup juga kembali,” pak ngah mengulas.

Sekali lagi dia terdiam apabila mendengar apa yang dikatakan pak ngah itu. Dia sentiasa berdoa semoga hubungannya dengan abangnya Saad bercantum kembali.

Demi untuk tidak mengeruhkan lagi suasana sebab itulah dia memilih untuk beralah dan berkelana membawa diri ke negeri orang. Kini dia kembali semula dengan harapan untuk mencantumkan semula hubungannya dengan abangnya itu yang setelah sekian lama terputus.

Malam semakin larut. Dia kemudiannya lalu beredar meninggalkan rumah pak ngah. Setibanya sahaja di rumah sambil baring dia mengelamun jauh. Sambil hati kecilnya berdoa semoga abangnya menerima dia semula satu hari nanti. Bila masa dan ketikanya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia tak boleh mengalah dan berputus asa. Berdoa dan terus berdoa tanpa mengira siang dan malam.

Dia harus bersabar dengan apa yang dilakukan abangnya itu terhadapnya. Lama-kelamaan matanya terasa berat dan mengantuk. Akhirnya dia terus tertidur.

Ketika di kedai Saad telah didatangi dengan Budin bersama dengan dua orang lelaki yang berbadan sasa dan tegap. Kedatangan mereka adalah atas arahan Orang Kaya Osman untuk menuntut hutang. Saad kelihatan terketar-ketar dan ketakutan apabila dihampiri Budin dan dua orang lelaki itu.

“Hei! Kau tahu tak kenapa aku datang ke sini!” Dia mengeluarkan nada suara yang tinggi.

“Tahu …!” jawabnya dalam ketakutan dan berpeluh.

“Tahu!” herdik Budin lagi.

Dia sebaliknya hanya mampu mengangguk-angguk diam sahaja. Sambil memandang wajah Budin yang garang dan bengis tu.

“Ada bawak pesan Orang Kaya Osman. Mintak kau langsaikan hutangnya. Bunga makin lama makin naik. Nanti kau susah. Faham!” jerkahnya.

“Aku faham …! Tapi bagilah aku masa lagi …! Aku betul-betul tak ada duit ni …. Meniaga aku tak untung mana pun …. Hutang kedai ni pun aku tak bayar lagi …!” Nada suaranya tersekat-sekat kerana ketakutan.

“Itu aku tak peduli. Ooo, tahu pinjam duit. Tapi bayar tak tahu. Ingat. Aku akan datang lagi. Kalau kau tak bayar jugak nahas kau!” Dia mencekak leher Saad.

Dia mengangguk-angguk diam sebagai tanda faham. Budin kemudiannya melepaskan leher Saad yang dicekaknya itu. Dia kemudian mengisyaratkan kepada kedua-dua lelaki yang bersama dengannya itu agar beredar pergi.

Saad memerhatikan kereta yang dinaiki Budin bersama dengan dua orang lelaki itu berlalu meninggalkan kedainya. Tak lama kemudian isterinya muncul. Isterinya dapat membaca ada sesuatu yang telah berlaku padanya.

“Kenapa ni, bang? Nampak pucat dan takut aje,” tegur isterinya.

Dia tidak menjawab. Sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Masih jelas terbayang di ruang matanya. Didatangi Budin bersama dengan dua orang lelaki yang berwajah ganas dan bengis. Gara-gara hutangnya dengan Orang Kaya Osman.

“Cakaplah, bang. Apa yang dah terjadi ni? Saya tengok abang macam orang kena sampuk aje!” desak isterinya lagi.

“Tadi ada 3 orang lelaki datang. Mereka tu orang suruhan Orang Kaya Osman. Dia orang beri amaran pada abang supaya bayar semua hutang Orang Kaya Osman tu. Sebelum sesuatu yang buruk berlaku,” jelasnya.

Isterinya lantas terkejut dan ketakutan. Rasa gelisah dan berserabut jelas kelihatan menebal di wajah Saad. Memikirkan bagaimana untuk mencari duit membayar hutang Orang Kaya Osman.

Matahari yang meninggi di kaki langit biru kelihatan bersinar indah. Cahayanya yang terang benderang menyinari seluruh kampung. Angin yang datang dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terasa nyaman dan segar membelah suasana. Batang-batang padi kelihatan meliuk-liuk apabila ditiup angin.

“Sawah padi yang terbentang luas itu amat cantik apabila dipandang,” Shukri bersuara.

“Bila melihat batang-batang padi itu ditiup angin semakin mendalamkan lagi rasa kasih Zalifah,” dia membalas.

“Rasa kasih?” ulangnya dengan merenung wajah Zalifah yang sungguh jelita dan ayu itu apabila disapu angin.

“Ya, bang!” dia pantas menjawab sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Pada keindahan kampung ni,” ujarnya lagi.

“Semua inilah yang menggamit abang supaya pulang semula ke kampung ni,” dia sebaliknya menambah.

Angin yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa tiba-tiba lalu bertukar rentak menjadi kencang. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi sawah kelihatan seperti menari-nari. Mengikut rentak angin yang bertiup bersama daun-daun yang bergeseran.

“Ketenangan dan keindahan yang ada di kampung ini adalah sebahagian daripada hidup abang,” katanya.

“Zalifah pun begitu juga, bang. Berasa amat bertuah dapat hidup di kampung ni,” ucapnya.

“Kalau kita rasa sayang pada keindahan dan ketenangan pada kampung ni maka perlu kita pelihara dan pertahankan selamanya,” tegasnya pula.

Pohon-pohon yang mengangguk ditiup angin seolah-olah menyatakan rasa sokongan terhadap apa yang dikatakannya itu. Rasa sayangnya terhadap kampung halaman begitu amat mendalam dan tinggi. Begitu juga dengan Zalifah.

Biarlah kota besar melambai-lambai dengan kemewahan dan kesenangan hidup namun dia tetap memilih untuk hidup selamanya di kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.

Sementara itu wajah Orang Kaya Osman kelihatan amat garang dan bengis. Saad masih lagi tidak melangsaikan hutangnya. Kesejukan alat penghawa dingin yang mengepung seluruh ruang biliknya itu tidak dapat menghilangkan rasa panas dalam dirinya.

“Dia nampaknya benar-benar nak mencabar aku!” dia berkata dalam nada suara yang penuh lantang.

“Betul tu, boss! Dah cukup tempoh yang kita berikan pada dia. Takkan kita nak biarkan dia melarikan diri,” ujar Budin pula sebaliknya.

“Apa? Dia nak melarikan diri. Ini Orang Kaya Osman. Dia tak akan dapat terlepas daripada aku. Budin!” ujarnya dalam nada suara yang kuat.

“Boss!” dia sebaliknya membalas dengan pantas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Ajar dia cukup-cukup!” tegasnya.

“Baik, boss!” angguknya lagi sebagai tanda faham dengan apa yang diarahkan Orang Kaya Osman itu.

Budin lalu pantas beredar pergi untuk menjalankan arahan Orang Kaya Osman itu. Orang Kaya Osman yang duduk tersandar di atas kerusi pusing kemudian lalu memandang ke siling.

Rasa marah dan geramnya pada Saad masih lagi belum padam. Dalam fikirannya sudah terbayang nasib buruk yang akan diterima Saad. Sama seperti mereka yang gagal menjelaskan segala hutang.

Sementara itu Saad kelihatan resah dan tidak senang duduk. Mundar-mandir. Isterinya juga berasa gelisah apabila melihat gelagat yang ditunjukkannya. Saad benar-benar buntu memikirkan bagaimana cara untuk membayar hutang Orang Kaya Osman.

“Macam mana ni, bang? Dah tentu mereka akan cari kita,” isterinya bersuara cemas.

“Itulah yang sedang aku fikirkan. Hei …. Kenapalah aku tak fikir panjang sebelum pinjam duit daripada Orang Kaya Osman tu. Dah jadi macam ni susah dibuatnya …,” keluhnya pula.

“Kita lari ajelah, bang,” cadang isterinya.

“Lari?” dia membalas sambil terkejut.

“Ya, bang!” angguk isterinya dengan pantas.

“Itu sajalah jalan terbaik yang kita ada,” tambah isterinya lagi.

Saad sebaliknya lalu terdiam sambil memikirkan jalan yang diberikan isterinya itu. Namun tiba-tiba pintu rumahnya ditendang. Budin muncul bersama dengan dua orang kawannya.

“Ooo kau nak lari, ya?” dia bersuara dalam nada yang bengis.

Saad dan isterinya lalu terkejut. Rasa ketakutan dan cemas amat jelas kelihatan di wajah mereka.

“Sudah! Ikut aku! Jo, Remy! Bawak dia!” arah Budin pada kedua-dua kawannya itu.

Tanpa berlengah lagi kedua-dua kawan Budin yang bernama Jo dan Remy itu lalu menangkap Saad.

“Tolong …! Jangan apa-apakan aku …!” dia merayu dalam nada suara yang terketar-ketar.

“Ah! Jangan banyak cakap! Cepat ikut aku!” tengking Budin.

“Tolong …! Tolong …! Lepaskan dia …!” isterinya cuba menghalang.

“Ah! Pergi jahanam dengan kau!” Budin lalu menolak isterinya dan lalu jatuh ke lantai.

Isterinya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu menangis apabila suaminya dibawa oleh Budin dan dua orang kawannya itu masuk ke dalam kereta.

“Ingat kalau kau nak dia balik semula bayar semua hutang. Atau serahkan segala harta yang ada termasuk rumah ni pada Orang Kaya Osman. Faham!” kata Budin pada isterinya.

Kereta yang membawa Saad kemudian lalu bergerak laju meninggalkan halaman rumah. Isterinya menangis teresak-esak mengenangkan nasib malang yang menimpa suaminya.

Isterinya kemudian lalu pergi ke rumah Tok Ketua untuk meminta pertolongan. Tok Ketua kemudian lalu memberitahu pak ngah dan Shukri tentang nasib malang yang telah berlaku ke atas diri Saad.

“Kita mesti selamatkan dia,” kata pak ngah.

“Betul tu, Sahak. Sebelum terjadi nasib yang lebih buruk lagi pada diri dia,” sokong Tok Ketua.

“Kita laporkan perkara ini kepada pihak polis dengan segera. Nyawa abang saya kini benar-benar dalam bahaya,” celah Shukri pula sebaliknya.

“Ya!” Tok Ketua membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala dengan pantas.

“Kita tak usah buang masa. Sekarang jugak kita pergi!” ajak Tok Ketua.

Mereka bertiga kemudian lalu pergi ke ibu pejabat polis untuk membuat laporan.

“Tuan! Tolonglah nyawa abang saya dalam bahaya,” Shukri berkata.

“Saya faham. Bawa bertenang. Mereka sangat merbahaya. Malah sanggup membunuh apabila kemahuan mereka tidak ditunaikan,” balas Inspektor Razif.

“Jadi, apa ikhtiar, tuan?” tanyanya lagi.

Tok Ketua dan pak ngah sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja.

“Begini kita mesti menghantar seseorang yang kononnya membawa wang untuk membayar hutang mereka. Hanya dengan cara itu sajalah kita dapat memerangkap mereka. Sebab nyawa abang Encik Shukri kini dalam tangan mereka,” jawab Inspektor Razif pula sebaliknya.

“Saya sanggup, tuan! Untuk melakukan apa yang tuan rancangkan itu. Demi untuk menyelamatkan nyawa abang saya,” ujar Shukri.

“Baiklah!” angguk Inspektor Razif.

“Sekarang jugak saya arahkan anggota-anggota saya untuk bertindak!” ucapnya lagi.

“Hati-hati, Shukri!” pak ngah berkata sambil menepuk-nepuk bahu Shukri.

“Ya, Shukri! Tok dan pak ngah doakan moga kau dan abang kau selamat,” tambah Tok Ketua pula.

“Insya Allah! Tok, pak ngah saya pergi dulu!” mohonnya.

Tok Ketua dan pak ngah sebaliknya hanya mengangguk-angguk diam sahaja. Inspektor Razif bersama dengan anggota-anggotanya termasuk Shukri kemudian lalu bergerak ke tempat Shukri dikurung oleh Orang Kaya Osman.

“Sama-samalah kita berdoa, Sahak. Semoga mereka berdua selamat dan dilindungi Allah SWT,” Tok Ketua bersuara.

“Insya Allah, tok. Dengan izin Allah SWT mereka berdua pasti selamat,” balas pak ngah pula sebaliknya.

Sementara itu Saad diseksa dengan diikat kedua-dua belah tangan serta tidak diberi makan dan minum. Dia juga dipukul dengan teruk hingga lebam muka dan seluruh badannya. Seluruh badannya berasa lemah dan tak bermaya akibat diperlakukan seperti binatang oleh Orang Kaya Osman dan orang-orangnya.

“Kalau kau tak mampu nak bayar semua hutang aku lebih baik kau tandatangan surat ni. Yang mengatakan bahawa kau bersetuju untuk menyerahkan semua yang kau ada pada aku. Macam mana?” desak Orang Kaya Osman sambil mengeluarkan nada suara yang tinggi.

Saad sebaliknya hanya menggeleng-geleng diam. Kemarahan Orang Kaya Osman bertambah memuncak dan dia lalu menarik rambut Saad dengan sekuat-kuat hati. Dia hanya mampu mengerang kesakitan akibat daripada perbuatan kasar Orang Kaya Osman itu.

“Nampaknya kau memilih untuk mampus!” herdiknya sambil terus menarik rambut Saad hingga nak tercabut rasanya.

“Nanti dulu!” Tiba-tiba kedengaran suara yang menghalang Orang Kaya Osman daripada terus bertindak ganas terhadap Saad.

Shukri muncul sambil membawa beg di tangan. Orang Kaya Osman dan orang-orangnya lalu memandang ke arahnya. Tanpa mereka sedari Inspektor Razif dan anggota-anggotanya telah mengepung seluruh kawasan. Dan menunggu masa untuk bertindak apabila perangkap mereka mengena nanti.

“Siapa kau?” tanya Orang Kaya Osman pada Shukri dengan sombong dan angkuh.

“Saya adik dia. Saya bawak wang. Tolong lepaskan dia,” dia bersuara tenang.

Orang Kaya Osman lalu ketawa sambil memandang orang-orangnya yang kelihatan sedang bersiap sedia untuk bertindak. Sekiranya Shukri ingin melakukan sesuatu. Dia kemudian lalu memandang semula wajah Shukri dengan rasa marah dan bengis.

“Baiklah!” angguknya.

“Kalau kau cuba untuk mempermainkan aku nahas kau nanti. Cepat serahkan beg tu pada aku!” arahnya.

Shukri kemudian lalu mengatur langkah menuju ke arah Orang Kaya Osman. Beg di tangan lalu diserahkannya. Saad hanya mendiamkan diri sahaja kerana seluruh badannya lemah dan lesu. Orang Kaya Osman kemudian lalu menyerahkan beg itu kepada Budin.

“Bukak!” katanya.

“Baik, boss!” Budin melakukan apa yang telah diarahkan oleh Orang Kaya Osman itu.

Sebaik-baik sahaja beg itu dibuka dia melihat di dalamnya penuh dengan duit.

“Betul, boss! Banyak duit!” ujarnya.

Rasa gembira bukan kepalang jelas kelihatan di wajah Orang Kaya Osman. Inspektor Razif dan anggota-anggotanya kemudian lalu pantas memberkas Orang Kaya Osman dan orang-orangnya.

“Polis! Jangan bergerak!” Inspektor Razif bersuara sambil mengacukan pistol ke arah Orang Kaya Osman dan orang-orangnya yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana tangan mereka telah digari dengan pantas.

“Jahanam! Kau tipu aku!” Orang Kaya Osman sebaliknya bertempik dan cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri.

“Diam! Jangan cuba melawan. Ikut saya ke balai!” kata Inspektor Razif pula.

Shukri kemudian lalu membuka ikatan di tangan abangnya.

“Syukurlah abang selamat!” dia bersuara sambil memeluk erat abangnya.

“Terima kasih, Shukri …. Kerana telah menyelamatkan abang …,” dia membalas dalam nada suara yang lemah dan tak bermaya.

“Sudahlah tu, bang. Marilah kita balik,” ujar Shukri sambil memapah abangnya.

Dia kemudian lalu bersalaman dengan Inspektor Razif.

“Terima kasih, tuan!” katanya.

“Sama-sama!” dia sebaliknya membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Saya pergi dulu!” mohonnya lagi.

Seluruh kampung diselubungi dengan cuaca cerah. Angin bertiup kencang dan nyaman. Pohon-pohon yang ditiup angin bagaikan menyanyi-nyanyi riang.

Begitu juga dengan daun-daun yang dibuai angin mengeluarkan irama yang sungguh menusuk kalbu pabila didengar. Bagaikan berkongsi rasa kegembiraan apabila Saad dan isterinya menerima semula kehadiran Shukri yang selama ini terpinggir dan disisihkan.

“Abang benar-benar rasa menyesal dengan apa yang telah abang lakukan terhadap kau selama ini. Maafkan abang …,” luah Saad dengan penuh rasa penyesalan.

“Kakak pun begitu jugak, Shukri. Kalau tak ada la kau tak tahu apa yang akan terjadi pada abang kau …,” isterinya menambah sambil menitiskan air mata.

“Betul kata kakak kau tu, Shukri. Abang dan kakak dah benar-benar insaf sekarang,” dia berkata lagi.

“Sudahlah tu bang, kak. Syukur alhamdulillah. Kerana Allah SWT telah memberikan petunjuk dan hidayah pada abang dan kakak. Bagi saya abang dan kakak takde pun buat salah dan menyakiti hati saya,” Shukri sebaliknya membalas pula.

“Betul kata Shukri tu. Yang dah berlaku tu biarkanlah. Jadikanlah sebagai pengajaran dan teladan dalam hidup kamu berdua,” Tok Ketua mencelah.

“Shukri …,” abangnya berkata dalam nada suara yang perlahan.

“Ada apa, bang?” soal Shukri dengan pantas.

“Abang dah ambil keputusan. Abang akan serahkan bahagian dalam harta arwah ayah yang menjadi hak kau. Sebab baru abang sedar kini. Kalau bukan hak abang tak akan selamat selamanya. Itulah pengajaran yang abang dapat daripada peristiwa hitam yang telah menimpa ke atas diri abang. Tambahan pulak kita ni adik-beradik ibarat air yang dicincang tak akan putus,” dia menjawab dengan penuh panjang lebar.

“Syukur alhamdulillah,” sambut pak ngah apabila mendengar apa yang dikatakan Saad itu.

Shukri sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Dalam hatinya berasa amat bersyukur sekali. Tuhan telah memakbulkan doanya. Inilah ganjaran yang diperolehinya hasil daripada rasa sabar dan tabahnya selama ini. Di luar suara angin yang bernyanyi-nyanyi riang dan merdu jelas kedengaran.

*******


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *