Warkah Buat Sahabatku ~ BALQIS NOOR ~

Peti Surat ( Phalinn / CC BY )

Ke hadapan sahabatku Balqis Noor yang sering di ingati.

Walaupun kita terpisah jauh namun kau sentiasa dekat di hati ini.

Sebelum warkah yang tidak seberapa ini melayarkan jauh coretannya terlebih dahulu izinkan aku menyusun sepuluh jari. Memohon maaf andainya kehadiran warkah ini bisa mengganggu ketenanganmu di tika ini.

Ke hadrat Allah SWT jua aku pohonkan doa semoga kau sentiasa sihat dan sejahtera selalu.

Sahabatku Balqis Noor…

Setiap kali fajar menyingsing di kaki langit maka kehidupan baru pun bermula. Maka kita akan melangkah dan terus melangkah.

Semalam yang kita lalui dengan rasa suka dan duka lalu kita tinggalkan. Menjadi pengalaman untuk mendewasakan kita dalam hari-hari yang mendatang.

Sesungguhnya hidup kita ini ibarat lautan biru yang luas terbentang. Pasang surut silih berganti. Hidup kita juga ibarat putaran roda. Sekejap kita berada di atas. Sekejap kita berada di bawah.

Bila kita berada di atas kita akan dipuji dan disanjung. Dengan dikelilingi ramai kawan-kawan yang akan bergelak ketawa bersama dengan kita.

Namun bila kita berada di bawah kita akan dicaci dan dicemuh. Kita akan menangis sendirian. Tanpa kawan-kawan yang dulunya ketawa bersama dengan kita. Sewaktu kita berada di atas.

Hidup ini penuh dengan cabaran. Bukan hidup namanya kalau kita tidak menghadapi cabaran. Ibarat kita makan nasi tak akan berselera tanpa ulam dan sambal belacan. Demikianlah ibaratnya cabaran dalam kehidupan kita ini.

Sama ada suka atau tidak mahupun manis atau pahit kita harus menerima cabaran dengan penuh berlapang. Kerana cabaran itu sebenarnya adalah nikmat dalam kehidupan yang kita tempuhi. Cabaran akan menjadikan kita kuat dan sabar dalam hidup ini.

Balqis Noor sahabatku…

Jadikanlah seperti ikan yang hidup dalam lautan biru yang luas. Walaupun airnya masin namun isinya tetap manis apabila kita makan.

Hidup kita perlu ada pendirian. Jangan jadi seperti lalang. Mudah melayang-layang.

Ada ketikanya ke kanan dan ada waktunya ke kiri apabila ditiup angin.

Dalam hidup ini biar kita kalah asalkan jangan mengalah. Sekali kita gagal bukan bererti kita akan gagal buat selama-lamanya. Tiada jalan pintas atau mudah untuk kita menuju ke puncak kejayaan. Perlu usaha dan kerja keras.

Sedangkan makan nasi dan lauk untuk mengenyangkan perut kita perlu digaul serta dikunyah terlebih dahulu dan seterusnya ditelan dan bukannya terus masuk ke dalam perut.

Biar kita dipandang miskin harta asalkan kaya dengan budi bahasa. Jangan meninggi diri dan sombong bila sudah berjaya dalam hidup. Dengan menongkah langit tinggi. Sebaliknya pandanglah rumput di bawah. Jangan lupa akan asal usul kita.

Jadilah seperti padi makin tunduk makin berisi. Bukannya seperti si kudung mendapat cincin. Mudah lupa diri apabila sudah diulit dengan kejayaan dan kesenangan dalam hidup.

Ketahuilah bahawa segala kejayaan dan kesenangan yang kita miliki dalam dunia ini tidak akan kekal buat selama-lamanya. Semuanya adalah milik Tuhan Yang Esa. Tuhan yang menjadikan kita sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Tuhan yang menjadikan sekian alam dan semesta.

Sahabatku Balqis Noor…

Kita tidak tahu. Bila-bila masa saja Tuhan akan menarik semula nikmat yang kita perolehi.

Kerana semua yang diberikan kepada kita di atas dunia ini adalah pinjaman semata-mata dan bukannya kekal abadi buat selamanya. Lebih-lebih lagi usia kita.

Oleh itu kita harus sentiasa berasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan Tuhan kepada kita.

Yang baik kita jadikan teladan. Yang buruk kita jadikan sempadan. Berhati-hatilah dalam memilih intan dan kaca. Agar kelak kita tidak menyesal jadinya. Kalau kita sesat maka segeralah kita kembali semula ke pangkal jalan sebelum terlambat.

Dalam membuat sesuatu keputusan janganlah terburu-buru. Buatlah keputusan dengan bijak. Sesal dahulu sebelum pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Usia muda adalah ibarat sehelai daun hijau. Namun satu hari nanti akan bertukar warna juga keperangan dan kekeringan. Kemudian lalu gugur ditiup angin jatuh menimpa tanah.

Demikianlah perjalanan usia kita di atas dunia ini.

Sahabatku Balqis Noor…

Pada yang tua kita hormatkan. Pada yang berilmu kita belajar daripadanya. Jangan dicaci dan dihina pada yang miskin harta.

Ringankanlah tangan membantu pada mereka yang memerlukan. Barulah terasa kasih sesama insan. Tidak terasa jurang ibarat langit dan bumi.

Kita manusia adalah sama di sisi Tuhan. Tanpa mengira kaya dan miskin. Darjat mahupun keturunan.

Andainya kita tidak berasa bahagia pada hari ini usah kecewa. Mungkin Tuhan sudah sediakan esok hari bahagia buat kita. Jangan sesekali mengeluh mahupun merintih apabila kita tidak dapat mengecapi kebahagiaan dalam hidup kita. Terimalah dengan sabar takdir yang telah ditentukan ke atas kita.

Kerana sesuatu yang diuji Tuhan itu ada hikmah yang tersembunyi buat kita.

Kehidupan yang kita lalui pada setiap hari selagi kita diberikan kesempatan untuk bernafas oleh Tuhan adalah ibarat melayari sebuah bahtera. Di mana kita sebagai nakhoda harus kuat dan cekap melambung ombak dan badai ganas yang adakalanya melanda lautan biru nan luas agar tidak karam dan tenggelam.

Bila kita cekap dan kuat melambung ombak dan badai ganas maka kita akan selamat sampai ke pelabuhan yang dituju. Itulah tafsiran kehidupan yang kita lalui di atas dunia yang fana ini.

Sejarah jangan sesekali kita lupakan. Sejarah tidak dapat dipisahkan dalam hidup kita yang bernama manusia.

Kita harus menerima sejarah sama ada suka atau tidak. Banyak pengajaran dan teladan yang boleh kita perolehi daripada sejarah. Dengan sejarah kita kenal asal usul dan tamadun bangsa kita sendiri.

Balqis Noor sahabatku…

Warisan adat dan budaya yang setelah sekian lama diperturunkan oleh nenek moyang kepada kita harus kita pulihara dan pertahankan sentiasa. Walaupun zaman sentiasa berubah silih berganti. Warisan adat dan budaya adalah khazanah yang tinggi nilainya.

Andainya hilang sukar untuk dicari ganti. Kalau cicir amat payah untuk dipungut kembali.

Ilmu adalah pelita hidup. Tuntutlah ia sentiasa janganlah jemu. Tanpa ilmu kita adalah seperti orang buta yang meraba-raba dalam kegelapan. Cintailah ilmu sentiasa. Jadikanlah membaca sebagai amalan untuk menambahkan ilmu di dada.

Jangan lupa jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan. Tanpa pengorbanan dan perjuangan mereka sehingga ke titisan darah terakhir kita tidak akan dapat menikmati hidup bebas dan merdeka. Seperti yang dinikmati pada hari ini.

Mereka rela bermandikan darah dan peluh semata-mata untuk melihat kita anak cucu dan juga cicit tidak terus hidup di bawah telunjuk penjajah. Sepertimana yang dialami mereka.

Meskipun ada di antara mereka yang telah pergi buat selama-lamanya namun perjuangan mereka mesti diteruskan. Kemerdekaan hasil daripada keringat dan titik peluh mereka harus kita pertahankan. Semangat perjuangan mereka mengusir penjajah daripada tanah air yang bertuah ini sewajarnyalah kita contohi dan teladani.

Di sini kita hidup di sini juga kita berani mati.

Berkorbanlah! Demi tanah air yang tercinta.

Sebarang ancaman musuh yang cuba mengganggu-gugat negara ini harus kita tentang habis-habisan. Marilah kita bersama bersatu tanpa mengira latarbelakang agama dan kaum mempertahankan negara yang tercinta ini daripada ancaman musuh durjana. Bila kita sentiasa bersatu musuh tak akan dapat menghancurkan negara kita.

Sahabatku Balqis Noor…

Seperti kata pepatah berat sama kita pikul ringan sama kita jinjing. Ke bukit sama kita daki ke lurah sama kita turuni.

Dalam membuat sesuatu pekerjaan itu kita tidak boleh sendirian. Mesti ada semangat berpasukan. Barulah pekerjaan yang berat menjadi ringan dan mudah untuk diselesaikan.

Begitu jugaklah halnya kehidupan kita dalam masyarakat. Mesti sentiasa bermuafakat dalam melakukan sesuatu. Ibarat aur dengan tebing saling sandar-menyandar. Sentiasa memerlukan antara satu sama lain setiap waktu dan ketika. Saling bekerjasama dan bergotong-royong. Bantu-membantu dalam semua perkara.

Jiran sepakat membawa berkat dan bukannya seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Anak-anak adalah ibarat sehelai kain putih. Kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kehidupan mereka. Kita adalah contoh ikutan kepada mereka. Macam mana acuan begitu jugaklah dengan kuihnya.

Didiklah mereka dengan didikan agama dan akhlak yang sempurna. Agar mereka menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Benih yang baik pasti akan menghasilkan buah yang lebat dan masak ranum.

Balqis Noor sahabatku…

Jasa ayah dan ibu yang telah menjaga dan membesarkan kita sehingga dewasa jangan dilupakan. Ayah dan ibu mana yang tidak sayangkan anaknya.

Mereka sanggup berkorban dan bersusah payah demi anaknya. Apabila mereka sudah tua tibalah pula giliran kita untuk menjaga mereka sepertimana yang mereka lakukan sewaktu kita masih kecil dahulu.

Berbaktilah pada mereka selagi mereka masih ada dan bukannya dihantar ke rumah orang tua-tua.

Jasa guru jangan kita lupakan. Mereka adalah ibarat lilin yang membakar diri. Rela berkorban demi untuk melihat orang lain tidak hidup dalam kegelapan. Tanpa mereka kita tidak akan dapat membaca, menulis dan mengira.

Merekalah yang telah mendidik kita menjadi insan yang berguna pada hari ini.

Terima kasih, cikgu!

Itulah ucapan yang harus kita tujukan kepada mereka.

Jadilah seperti pendaki gunung kerana mereka mengajar kita akan erti semangat waja dan ketabahan untuk sampai ke puncak.

Demikianlah tafsirannya dengan semangat dan usaha yang gigih tidak mustahil sesuatu kejayaan itu akan dapat kita capai walaupun amat berat dan payah untuk kita melakukannya.

Sahabatku Balqis Noor…

Sebelum mengundurkan diri sekali lagi aku memohon ampun dan maaf. Andainya ada kata-kata yang menyinggung dan mengguris perasaanmu.

Sebagai manusia biasa aku tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan salah dan silap.

Yang baik itu datangnya daripada Allah SWT.

Dan yang lemah itu datangnya daripada diri aku sendiri. Aku ingin berpesan termasuk juga pada diri aku sendiri agar sentiasa meningkatkan iman dan takwa terhadap Allah SWT.

Agar mendapat keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun di akhirat.

*******


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!