Rajin & Usaha Adalah Tangga Kejayaan

Buah Pisang

Buah Pisang ( Scott Webb )

Selepas diberhentikan kerja..

Aku lalu mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung.

Syarikat tempat aku bekerja dah tak mampu lagi untuk membayar gaji pekerja disebabkan kegawatan ekonomi. Ada jugak kawan sekerja aku yang mengajak untuk mencari kerja di tempat lain.

Bagi aku Allah SWT menjadikan bumi ini luas dan rezeki ada di mana-mana asalkan rajin berusaha. Di kampung pun boleh hidup dan boleh buat macam-macam.

Keesokan harinya aku pun lalu meninggalkan bandar raya Kuala Lumpur dan menuju ke kampung halaman tempat aku dilahirkan dan dibesarkan untuk memulakan kehidupan yang baru.

Sampai sahaja di rumah ibu menyambut kepulangan aku dengan penuh rasa gembira. Ibu mana yang tidak berasa riang apabila anak yang mencari rezeki di kota dan sering dirindui pulang ke rumah. Dia menyangka yang kepulangan aku adalah untuk bercuti setelah penat bekerja.

Aku lalu memberitahu ibu yang aku tidak akan pulang lagi ke Kuala Lumpur sebab aku dah diberhentikan kerja. Terperanjat juga aku lihat ibu apabila mendengar apa yang aku katakan itu. Untuk membuatkan ibu supaya tidak berasa cemas dan tertanya-tanya aku lalu menjelaskan perkara yang sebenar.

Ibu lalu mengangguk-angguk dan faham dengan apa yang telah aku jelaskan itu. Malamnya, selepas menunaikan solat Isyak dan menikmati makan malam aku dan ibu lalu duduk di anjung rumah sambil berbual-bual dan mengambil angin malam yang bertiup nyaman dan dingin.

Aku menyatakan hasrat kepada ibu untuk mengusahakan tanaman pisang di kebun peninggalan arwah ayah di hujung kampung. Ibu menyokong hasrat aku itu dan tambahan pulak katanya daripada tanah itu terbiar lebih elok diusahakan dan dapat jugak hasilnya nanti.

Misi Esok Hari..

Pada keesokan harinya selepas sahaja menunaikan solat Subuh dan bersarapan aku lalu menuju ke kebun dengan menaiki motosikal. Cuaca cerah mengiringi sepanjang perjalanan aku menuju ke tempat tersebut. Sampai sahaja di sana aku lalu membersihkan semak-samun yang terdapat di seluruh kawasan tanah milik arwah ayah.

Selepas membersihkan semak-samun aku kemudiannya lalu menanam benih-benih pisang yang aku bawa daripada rumah tadi. Matahari kelihatan meninggi di kaki langit. Angin yang datang daripada arah bukit yang berhampiran bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terasa begitu amat segar dan nyaman sekali mengusapi seluruh tubuhku.

Aku kemudian lalu berehat sebentar sambil duduk tersandar pada sebatang pokok yang rendang untuk melepaskan penat. Sambil berehat aku melemparkan pandangan ke arah benih-benih pisang yang telah aku tanam sambil meneguk air untuk menghilangkan dahaga di tekak. Serentak dengan itu juga aku memikirkan tentang kerja-kerja lain yang boleh aku buat di kampung.

Bagi aku tak boleh terlalu bergantung sangat pada tanaman pisang yang aku usahakan di tanah milik arwah ayah ini. Aku perlu mencari sumber pendapatan yang lain. Sekurang-kurangnya dapatlah aku menampung kehidupan bersama-sama dengan ibu aku.

Aku kemudian lalu menarik nafas yang panjang. Fikiran aku terus berputar ligat. Memikirkan tentang perubahan kerja yang aku alami. Kalau dahulu aku bekerja di Kuala Lumpur tetapi sekarang aku bekerja di kampung. Sudah tentu ada perbezaannya macam langit dan bumi.

Setengah orang lebih suka bekerja di bandar besar di Kuala Lumpur. Maklumlah di sana menawarkan gaji yang besar dan lumayan berbanding dengan di kampung. Tapi aku tak kisah semua itu. Bagi aku masing-masing ada pendirian dan mempunyai hala tuju kehidupan sendiri.

Bercakap tentang bekerja ni bagi aku di mana-mana boleh bekerja. Asalkan rezeki yang diperolehi adalah dengan cara yang halal. Setelah penat hilang aku kemudiannya lalu bangun untuk menyambung semula kerja-kerja yang terhenti buat seketika tadi.

Menjelang tengah hari barulah kerja-kerja yang aku buat selesai dan aku kemudiannya lalu pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah aku lalu duduk sebentar di pangkin halaman rumah untuk melepaskan penat sambil memandang ke arah pohon-pohon yang menghijau berhadapan dengan rumahku.

Bila Aku Teringat..

Entah mengapa dengan tiba-tiba sahaja aku teringatkan ketika bekerja di Kuala Lumpur. Duduk dalam pejabat yang berhawa dingin dengan gaji yang agak mewah. Waktu itu syarikat tempat aku bekerja berada di ambang kejayaan.

Tapi kini semuanya telah tinggal menjadi kenangan. Kerana aku tidak lagi mendapat gaji yang lumayan dan duduk dalam pejabat yang berhawa dingin. Sebaliknya terpaksa berpanas dan berhujan demi untuk meneruskan hidup dan mencari rezeki.

Bagi aku semua ini adalah ketentuan dan aku menerimanya dengan penuh redha. Aku kemudiannya lalu masuk ke dalam rumah dan membersihkan diri. Selepas membersihkan diri aku lalu menunaikan solat Zuhur dan menikmati hidangan tengah hari dengan begitu amat berselera sekali bersama-sama dengan ibu.

Pada malamnya aku berjumpa dengan Tok Ketua ketika sama-sama menunaikan solat Maghrib di masjid. Lama juga kami berbual sementara menantikan masuknya waktu Isyak. Aku beritahu Tok Ketua yang aku dah diberhentikan kerja dan pulang semula ke kampung.

Dia benar-benar bersimpati dengan nasib yang menimpa. Katanya memang itulah yang akan terjadi kepada mereka yang bekerja dengan syarikat apabila berlaku kegawatan ekonomi. Berbanding dengan mereka yang bekerja dengan kerajaan.

Setiap bulan gaji akan masuk berbanding dengan mereka yang makan gaji dengan syarikat. Bayangkanlah kalau mereka yang dah berkeluarga apabila tiba-tiba diberhentikan kerana berlaku kegawatan ekonomi. Tambahan pulak sekarang bukan senang nak dapat kerja.

Dia hanya sekadar berkongsi pandangan sahaja. Tok Ketua menyuruh aku banyak-banyak bersabar dan membuktikan bahawa aku boleh hidup di kampung setelah diberhentikan kerja. Aku mengucapkan terima kasih kepada Tok Ketua kerana memberikan kata-kata semangat kepadaku.

Aku juga sempat memberitahu Tok Ketua yang aku sedang mengusahakan tanaman pisang di tanah peninggalan arwah ayahku. Dia berasa amat gembira apabila mendengarnya dan menyokong sepenuhnya dengan apa yang telah aku lakukan itu.

Sayang katanya kalau dibiarkan tanah dengan begitu sahaja tanpa diusahakan. Siapa lagi yang nak diharapkan untuk mengusahakannya kalau bukan anak muda seperti aku. Kalau nak harapkan dia bersama-sama dengan orang-orang kampung yang lain untuk mengusahakannya maklum sajalah dalam usia yang sudah meniti senja semakin berkurangan kudrat dan tenaga berbanding dengan usia ketika masih muda lagi.

Aku sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-katanya yang penuh dengan pengharapan. Sekali-sekala kedengaran suara angin malam yang bertiup perlahan. Alangkah bertuahnya kampung ini kalau ramai anak muda seperti aku yang mencurahkan keringat dan bakti mengusahakan tanah yang terbiar tambahnya lagi.

Tapi sayangnya anak-anak muda lebih gemar berhijrah ke bandar besar terutamanya Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan dan kemewahan hidup. Mungkin bagi mereka tiada apa yang dapat dibanggakan apabila hidup di kampung. Demikian luah Tok Ketua padaku.

Perbualan aku yang rancak dengan Tok Ketua lalu terhenti apabila kedengaran Bilal Leman melaungkan azan Isyak. Aku dan Tok Ketua bersama-sama dengan jemaah yang lain kemudiannya lalu menunaikan solat Isyak yang diimamkan oleh Tuan Haji Kassim.

Ketika keluar daripada masjid selepas menunaikan solat Isyak Tok Ketua sempat berpesan pada aku supaya meneruskan usaha murni yang aku lakukan dan jangan mudah mengalah mahupun berputus asa apabila apa yang aku lakukan tidak berjaya.

Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepada Tok Ketua yang telah memberikan perangsang dan dorongan kepada aku. Selepas bersalaman dengan Tok Ketua aku kemudiannya lalu menghidupkan enjin motosikal sambil meredah kepekatan malam pulang ke rumah.

Sampai sahaja di rumah aku duduk sebentar di anjung rumah sambil menghirup angin malam yang bertiup segar dan nyaman. Aku asyik memikirkan tentang perbualan aku dengan Tok Ketua ketika di masjid tadi. Ternyata Tok Ketua telah memberikan suntikan semangat kepada aku dan aku harus membuktikan bahawa apa yang aku lakukan adalah tidak sia-sia dan membawa sinar kejayaan dalam hidupku.

Kebun Pisang..

Beberapa bulan kemudian pisang yang aku tanam mengeluarkan buah yang bertandan-tandan. Abang Salleh seorang peraih sentiasa memborong pisang untuk dijual kepada peniaga di pasar dan pasar tani. Syukur Alhamdulillah. Inilah yang dinamakan sebagai rezeki.

Aku juga tidak lupa menyedekahkan pisang kepada jiran-jiran di sebelah rumah. Kadang-kadang ibu buat pengat pisang dan disedekahkan di masjid terutamanya apabila ada ceramah agama. Dapatlah penduduk kampung yang hadir untuk bersama-sama menikmatinya. Lagipun apabila banyak bersedekah murah rezeki.

Tapi bagi aku sedekah perlu ikhlas dan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat nama. Dengan bersedekah jugak dapatlah orang-orang kampung bersama-sama menikmati buah pisang yang aku tanam. Dalam pada itu, aku juga mengusahakan dusun buah-buahan peninggalan arwah datuk sebelah ibu.

Alhamdulillah. Apabila tiba musim buah seperti biasa Abang Salleh akan memborong buah durian, rambutan, langsat, manggis dan bermacam-macam lagi. Bertambah lagi pendapatan aku dengan hasil buah-buahan tersebut.

Semenjak daripada itu aku menjadi semakin tidak duduk diam. Ada sahaja kerja yang aku buat. Aku juga mengambil upah menebas dan membersihkan kebun milik orang-orang kampung. Antara kebun yang sering aku tebas dan bersihkan adalah kebun kepunyaan Tok Ketua yang tidak jauh daripada kebun pisang yang aku usahakan.

Selain daripada mengambil upah menebas dan membersihkan kebun aku juga mengambil upah menoreh getah di kebun kepunyaan Pak Dollah di samping bercucuk tanam sayur-sayur kampung di belakang rumah seperti terung, cili api, daun kunyit, ubi kayu, keledek dan bermacam-macam lagi.

Hasil tanaman ini seperti biasa diborong oleh Abang Salleh. Kadangkala aku turun ke sungai untuk menjala ikan sungai seperti sembilang dan baung. Siapa lagi yang memborong ikan-ikan yang aku jala kalau bukan Abang Salleh. Sayur kampung dan ikan sungai memang mendapat permintaan yang tinggi ketika dijual di pasar minggu pada setiap hari Ahad yang tapaknya adalah di jalan masuk ke kampungku.

Aku dapat merasakan bahawa pendapatan aku semakin meningkat dan bertambah melalui pelbagai kerja yang aku lakukan di kampung. Aku juga tidak lupa untuk berjimat cermat dan menyimpan wang pada setiap bulan sepertimana yang aku lakukan sewaktu bekerja di Kuala Lumpur dahulu.

Selain daripada menyimpan wang untuk masa depan aku juga berhasrat untuk menghantar ibu aku menunaikan fardhu haji di Makkah jika diizinkan Allah. Siang dan malam aku sentiasa berdoa semoga Allah SWT memakbulkan apa yang aku hajatkan.

Mengalah Jangan..

Demikianlah kisah yang ingin aku kongsi bersama buat tatapan semua yang membaca coretan ini. Sebenarnya dalam hidup ini kita boleh kalah tetapi jangan sesekali mengalah. Setiap yang berlaku itu kita harus menerimanya dengan hati yang penuh terbuka dan rela.

Jangan kita mengeluh mahupun merintih dengan apa yang telah terjadi ke atas kita. Kerana setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Kalau kita sabar dan tabah menelan kepahitan akhirnya kita akan merasai kemanisan.

Ingatlah bahawa kejayaan tidak akan mudah datang bergolek tanpa rajin dan usaha.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *