Pentingnya Membaca Dan Cintakan ilmu

Buku ( Congerdesign )

Kalau kita hendak menjadi orang
yang berilmu maka kita hendaklah sentiasa rajin membaca.

Sesungguhnya membaca itu
adalah jambatan ilmu. Ilmu pula adalah ibarat cahaya yang menerangi hidup kita. Tanpanya kita akan kegelapan dan teraba-raba.

Bayangkanlah kalau kita hidup dalam kegelapan. Demikianlah kita diibaratkan apabila hidup tanpa ilmu. Kalau diberi pilihan yang mana satukah yang akan kita pilih. Jawapannya sudah tentu kita akan memilih hidup dengan berilmu.

Justeru itu maka kita perlu mencintai ilmu dengan sepenuh jiwa dan raga. Sama seperti kita menyintai orang yang paling kita sayangi dalam hidup ini. Maka dengan itu kita harus menjadikan buku sebagai teman yang paling setia. Walau ke mana sahaja kita pergi mahupun berada.

Masa yang lapang
dan terluang jangan kita sia-siakan dengan begitu sahaja. Sebaliknya kita isi dengan membaca buku. Kalau tidak impian dan cita-cita kita untuk menjadi orang yang berilmu tidak akan tercapai. Tetapi hanya sebagai angan-angan Mat Jenin sahaja.

Dengan banyak membaca kita akan menjadi seperti seorang peniaga yang mendapat keuntungan yang banyak. Ini kerana dengan banyak membaca kita dapat mengetahui perkembangan dan hal-ehwal semasa yang berlaku di sekeliling kita.

Jadi, kita tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung. Yang hidup di dalam dunia kita sahaja. Selain daripada itu, dengan membaca juga akan menjadikan pemikiran kita tajam. Oleh yang demikian maka penuhkanlah hidup ini dengan banyak membaca di samping amal dan ibadat kepada Tuhan.

Kita sering mendengar pepatah yang menyebutkan tuntutlah ilmu sehingga ke Negeri China. Ini jelas menunjukkan bahawa kepentingan ilmu di dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia. Maka penuhkanlah ilmu di dada sekalipun telah menjangkau usia.

Ilmu yang ada
seharusnya kita kongsi bersama-sama dengan orang lain. Bukannya menjadikan ilmu yang ada di dada sebagai milik hak mutlak. Dalam erti kata lain jangan lokek dan kedekut ilmu dengan tidak mencurahkan atau menyebarkannya kepada orang lain.

Jika kita bersikap demikian maka kita tidak memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang kita ada. Ibarat orang yang kelaparan dan kehausan maka sudah menjadi tanggungjawab kita yang berkeupayaan dan berkemampuan untuk memberi makan dan minum.

Tidak boleh kita biarkan mereka terus lapar dan dahaga. Demikianlah halnya dengan orang yang memerlukan ilmu yang ada pada kita. Maka hendaklah kita berikan dengan menolak anggapan bahawa mereka akan menjadi hebat dan cerdik dengan ilmu yang telah kita berikan itu.

Harus kita ingat bahawa ilmu bukan milik kita seorang sahaja. Tetapi milik semua. Bukan kita seorang sahaja yang mahu menjadi cendekiawan. Tetapi orang lain juga ingin menjadi sedemikian. Oleh yang demikian maka sama-samalah kita berkongsi ilmu pengetahuan yang ada. Agar kita sama-sama menjadi masyarakat yang berilmu.

Bayangkanlah betapa hebatnya
kita apabila berjaya meletakkan diri sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan. Sentiasa dipandang tinggi dan dihormati oleh dunia luar. Justeru itu maka marilah kita bersama-sama menanamkan di dalam diri untuk menjadikan ilmu sebagai pemacu kejayaan dalam hidup yang kita lalui ini.

Berbalik semula kepada membaca bahan yang harus kita pilih sudah semestinyalah yang bersifat ilmiah. Jadikanlah bahan bacaan tersebut umpama makanan yang sentiasa memikat selera kita. Banyak manfaat dan faedah yang akan kita perolehi nanti apabila banyak membaca bahan bacaan seumpama ini.

Selain daripada itu, bahan bersifat ilmiah amat mudah dan senang untuk diperolehi. Baik di perpustakaan mahupun di kedai buku. Sebut apa sahaja bidang semuanya ada. Namun begitu kita tidak boleh menganggap bahan bacaan lain yang tidak bersifat ilmiah tidak penting buat kita dan seharusnya diabaikan.

Tanggapan yang sedemikian seharusnya kita buang jauh dan tidak perlu berada di dalam diri kita. Ini kerana jelas menunjukkan kita terlalu mengutamakan bahan bacaan yang bersifat ilmiah. Berbanding dengan bahan-bahan bacaan yang lain.

Sedangkan untuk menjadi orang yang berilmu kita sebenarnya tidak boleh terlalu memilih bahan bacaan. Bahan bacaan yang bukan bersifat ilmiah juga harus kita baca. Kalau tidak kita nampak seperti hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Ini menjadikan pengetahuan dan pemikiran kita tidak setajam seorang cendekiawan atau ahli intelektual.

Dalam menceburi sesuatu bidang
kita perlu ada minat yang tinggi dan mendalam. Apabila ada keinginan sedemikian maka semuanya akan menjadi. Walaupun bidang yang kita ceburi itu bukan bidang kita yang sebenarnya.

Demikian jugalah halnya dengan membaca. Perlu juga ada minat. Dengan menjadikan membaca sebagai minat maka hari-hari kita akan dipenuhi dengan buku. Sehingga kita digelar sebagai ulat buku.

Sememangnya membaca itu bukan sahaja perlu dijadikan minat malahan juga sebagai sebahagian daripada hidup kita di samping tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan dan perlu dilaksanakan.

Selain daripada menjadikan membaca sebagai hobi kita juga perlu menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Jadikanlah perpustakaan sebagai tempat untuk kita menimba ilmu dan menjadi tempat tumpuan utama kita untuk mengisi masa yang terluang.

Bawalah isteri dan anak-anak bersama-sama ke perpustakaan. Dengan membawa mereka ke perpustakaan kita dapat menyemai dan menanamkan ke dalam diri mereka akan kepentingan ilmu dan membaca. Sebagai penyeri dan penyuluh dalam kehidupan terutamanya kepada anak-anak kita.

Tidak cukup dengan itu kita ambillah inisiatif dengan mewujudkan mini perpustakaan di rumah. Isilah mini perpustakaan tersebut dengan buku-buku yang bersifat ilmiah dan umum. Semoga dengan usaha murni kita ini akan menjadikan keluarga kita berilmu dan membaca sebagai cahaya dalam kehidupan.

Untuk menjadi seorang penulis
yang terbaik dan mampan juga perlu banyak membaca. Bukan hanya sekadar untuk melahirkan karya sahaja tetapi ilmu penulisan juga perlu ada dalam setiap diri seorang penulis. Dengan mempunyai ilmu penulisan yang tinggi maka dapat menghasilkan karya yang hebat di samping menjadi tatapan para pembaca.

Dalam bekerja juga perlu memiliki ilmu di samping pengalaman. Pekerja yang cemerlang akan menjadikan ilmu yang ada padanya untuk menghasilkan mutu kerja yang berkualiti dan produktif. Ini amat perlu bukan sahaja kepada individu pekerja itu sendiri malahan juga kepada jabatan dan organisasi.

Selain daripada mempunyai ilmu dalam bekerja seseorang pekerja itu juga perlu banyak membaca. Bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya.

Ini akan menjadi tambah nilai kepada kecemerlangan dan ketajaman minda untuk menghasilkan mutu kerja yang sentiasa berada di tahap yang terbaik. Seorang pekerja yang sentiasa mengejar kecemerlangan dan kegemilangan akan sentiasa berusaha mencari ilmu. Bagi menampung kekurangan dan kelemahan yang ada di dalam diri.

Ilmu selalunya tidak akan
datang dengan sendirinya kepada kita. Sebaliknya kita yang perlu mencarinya. Dalam hal ini kita perlu menghadiri majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang yang berilmu pengetahuan tinggi.

Dengan menyertai banyak majlis ilmu kita akan mendapat manfaat yang sangat lumayan dan menguntungkan. Antaranya kita mengetahui perkara yang baru yang mungkin tidak kita ketahui selama ini. Manakala dengan menjadikan mereka yang mempunyai ilmu sebagai kawan dan sahabat kita dapat menimba dan belajar ilmu pengetahuan yang ada pada mereka.

Pengorbanan sememangnya dituntut dan ditagih dalam kehidupan kita walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Demikian jugalah halnya dalam kita untuk menjadi orang yang berilmu. Masa dan wang ringgit akan menjadi pertaruhan utama. Namun demi untuk mencapai tujuan dan matlamat yang murni maka semua itu tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai ukuran.

Selain daripada itu menghabiskan wang ringgit dengan membeli banyak buku bukanlah satu pembaziran. Sebaliknya ia adalah satu pelaburan yang mendatangkan keuntungan yang sangat tinggi. Membeli banyak buku akan membentuk rasa dan semangat untuk sentiasa membaca di dalam diri.

Sebagai pengakhiran ilmu dan membaca
adalah amat penting dalam kehidupan kita. Ia bukan sahaja untuk menjadikan kita sebagai insan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi malahan juga membentuk pemikiran dan idea yang menyumbang ke arah pembangunan dan kesejahteraan negara.

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama menjadikan ilmu dan membaca sebagai cahaya yang menyinari hidup kita buat selama-lamanya.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *