Masa Nan Lalu Adalah Pengalaman & Pelajaran

Bayang Orang

Bayang-Bayang ( Zoorg )

Masa yang dilalui
tidak akan berulang kembali.

Dalam erti kata lain perjalanan hidup kita terus meniti ke hadapan. Bukannya mengundur semula ke belakang. Kadang-kadang rasa lucu juga. Aku ingin mengulang kembali waktu yang telah berlalu.

Mana mungkin dapat aku
berbuat demikian. Buatlah macam mana sekalipun. Namun ia tetap tidak akan berulang kembali. Terus berlalu pergi. Apa yang tinggal hanyalah kenangan dan pengalaman yang bermain di ingatan kita.

Ada ketikanya kita berasa suka.
Ada kalanya kita menikmati kemanisan. Ada waktunya kita berasa gembira. Betapa indahnya apabila kita mengenangkannya semula. Namun ada waktunya kita berasa duka. Ada ketikanya kita merasai kepahitan. Ada kalanya kita berasa sedih. Betapa pahitnya apabila kita mengingatnya kembali.

Kalau ditanya yang mana satu
akan menjadi pilihan. Sudah tentu jawapannya adalah suka, kemanisan dan kegembiraan. Kerana kita inginkan hidup yang penuh dengan keindahan. Berbanding dengan kepahitan, kesedihan dan kedukaan. Kerana mengajar kita erti tangisan.

Itulah antara yang menjadi
pengisian masa yang kita lalui sepanjang perjalanan dalam hidup ini. Tetapi kita tidak pernah memikirkan untuk menjadikan semua itu sebagai pengalaman yang amat berguna dalam kehidupan yang kita tempuhi.

Sesungguhnya tiada guru yang paling
bermakna dan berguna dalam hidup ini. Hanya pengalaman sahajalah yang satu-satunya menjadi guru yang paling berguna dan bermakna dalam kehidupan. Daripada pengalaman yang pernah dialami kita belajar untuk mengenali erti sebenar hidup ini.

Terima kasihlah pengalaman. Kalau tidak kita hanya tahu hidup sahaja. Tetapi tidak mengenali apa yang dikatakan sebagai kehidupan itu. Ada masanya kehidupan yang kita lalui macam graf.

Kenapa dikatakan sedemikian?

Ada ketikanya hidup kita tak ubah macam putaran roda.

Kenapa ditafsirkan begitu?

Jawapan yang pertama ialah kehidupan yang kita lalui ada masanya naik dan ada waktunya turun. Manakala jawapan yang kedua pula adalah ada kalanya hidup kita berada di atas dan ada waktunya berada di bawah.

Aku sendiri pun ada
bermacam-macam pengalaman dalam hidup ini. Daripada yang suka sehinggalah ke berduka. Tidak kurang juga daripada yang manis sehinggalah ke yang pahit. Daripada yang gembira sehinggalah ke yang menangis.

Semasa kita berasa gembira ramai
kawan-kawan di sekeliling kita. Tetapi semasa kita menangis tiada seorang pun yang akan bersama-sama dengan kita. Tinggallah kita seorang diri. Masa itulah baru kita kenal siapa sebenarnya kawan-kawan kita selama ini.

Begitu juga semasa kita punya banyak wang dan harta. Yang bukan saudara juga mengaku saudara. Yang bukan sahabat juga mengaku sahabat. Tapi apabila kita jatuh miskin tak seorang pun yang akan mengaku saudara dan juga sahabat.

Waktu itu kita akan terkenangkan
semula akan saat-saat yang penuh dengan keindahan dan kegembiraan. Kita berasakan seolah-olah diri kita berada di puncak. Menjadi sanjungan saudara-mara mahupun rakan taulan.

Masa itu kita merasakan hidup
penuh dengan warna-warna kegembiraan dan keseronokan. Tiada warna-warna kesedihan dan kedukaan mewarnai hidup itu. Tika itu kita berasakan bahawa kehidupan ini bagaikan bunga-bunga yang kembang mewangi dan berseri.

Tetapi semasa kita jatuh barulah
kita tahu bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Hari ini hidup kita penuh dengan rasa suka dan gembira. Tetapi apabila keesokan harinya barulah kita mengerti bahawa kehidupan kita yang selama ini disinari dengan cahaya gembira dan suka dengan tiba-tiba telah bertukar menjadi sedih dan suram.

Di sinilah kita dapat merasakan
bahawa masa itu adalah dalam berbagai-bagai bentuk dan rupa. Tak semua rasa kemanisan seperti madu dapat kita nikmati dan telan. Ada masanya kita terpaksa juga menelan dan menikmati kepahitan umpama hempedu.

Bagi aku masa yang dilalui dan
pengalaman amat penting dalam hidup ini. Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Bak kata pepatah bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Cawan mana yang tak pecah. Pinggan mana yang tak retak.

Demikianlah diibaratkan kehidupan
kita sebagai manusia di atas dunia ini. Tiada kesempurnaan dalam kehidupan seharian yang kita lalui. Mungkin kita ada melakukan salah dan silap. Sama ada sengaja atau tidak. Semua itu kita ambil sebagai ikhtibar dan peringatan. Supaya tidak berlaku dan berulang kembali pada masa yang akan datang.

Melaluinya juga kita belajar untuk
memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang terdapat dalam diri kita. Belajar daripada kelemahan dan kekurangan diri akan menjadikan kita untuk berhati-hati dan beringat dalam kehidupan. Pada hari muka yang bakal mendatang.

Kadang-kadang kita tersenyum
sendirian bila terkenangkan masa yang pernah kita lalui pada satu ketika dahulu. Penuh dengan keriangan dan keseronokan. Contohnya zaman kanak-kanak. Waktu itu dunia kita diwarnai dan dipenuhi dengan bermain bersama-sama dengan rakan sebaya.

Itulah yang menjadi warna dan corak
kehidupan kita pada masa itu. Setiap hari malahan pagi dan petang. Alangkah seronoknya kalau kita dapat kembali semula ke zaman itu. Mungkin itulah yang terdetik dalam hati kita. Tapi itu semua tinggal menjadi pengalaman dan kenangan sahaja dalam hidup kita.

Mana mungkin kita dapat untuk
mengundurkan kembali usia. Dari sehari ke sehari usia kita semakin meningkat. Tua tak akan menjadi muda semula. Muda tak akan menjadi remaja semula. Remaja tak akan beralih menjadi dewasa semula. Dewasa tak akan beralih menjadi kanak-kanak semula. Begitu juga dengan kanak-kanak tak akan bertukar menjadi bayi semula.

Kadang-kadang aku terkenang juga
semasa zaman persekolahan dulu. Dari tadika, sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah. Penuh dengan kelucuan dan kegembiraan. Dengan telatah kawan-kawan. Aku benar-benar rasa terhibur pada ketika itu.

Teringin aku hendak kembali
semula ke zaman itu. Tapi tinggal menjadi angan-angan sahaja. Atau bak kata orang hanya mimpi di siang hari sahaja. Mana mungkin aku akan kembali bersekolah semula. Lagipun zaman itu sudah lama berlalu.

Aku terkenang juga semasa
bersama-sama dengan arwah ayah dan ibu. Hidup dengan penuh belaian kasih dan sayang. Yalah. Ayah dan ibu mana yang tidak sayang dengan anaknya. Segala yang aku ingini mereka turutkan. Tapi kini semuanya tinggal menjadi kenangan.

Mereka berdua telah pun pergi
mengadap Pencipta-Nya. Al-Fatihah. Buat roh kedua-dua mereka. Semoga roh kedua-dua mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan beriman. Namun kenangan indah semasa dengan kedua-dua mereka tetap segar bersemadi dalam ingatanku.

Sebagai tanda kasih dan sayang
aku tidak lupa untuk berdoa setiap kali selepas menunaikan solat. Semoga kedua-dua mereka diberikan ketenangan dan kedamaian di sana. Selain daripada itu, pusara kedua-dua mereka aku kunjungi bukan sahaja setiap kali tibanya hari raya. Malahan juga pada hari-hari yang lain bila aku ada kelapangan.

Dalam bekerja selain daripada
ilmu dan pengetahuan kita juga perlu ada pengalaman. Ibarat garam dan perencah yang menyedapkan lagi masakan kita. Sehingga kita makan dengan begitu amat berselera sekali. Begitulah diperumpamakan pentingnya pengalaman dalam bekerja.

Dengan adanya pengalaman
maka segala kerja dan tugas yang diberikan kepada kita dapat dilaksanakan dengan mudah dan ringan walaupun berat. Bukan itu sahaja malahan tugas dan kerja itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Aku teringat akan kata-kata yang
menyebutkan bahawa kaya dipandang pada harta tapi lebih kaya lagi dipandang pada pengalaman. Memang orang yang punya banyak wang dipandang kaya. Namun begitu orang yang mempunyai banyak pengalaman lebih kaya daripada orang yang hidupnya ditimbuni dengan wang.

Orang yang banyak pengalaman hidup
sudah masak dengan asam garam kehidupan. Bak kata orang sekilas ikan di air sudah tahu yang mana jantan dan yang mana betina. Dalam erti kata lain tidak mudah terpedaya mahupun terpengaruh. Dengan sesuatu yang nampak cantik di luar tetapi hakikatnya di dalam tidak menggambarkan kecantikan yang sebenarnya.

Ini menjadikan mereka dapat
menilai sesuatu itu. Sama ada baik atau buruk. Berdasarkan daripada pengalaman hidup yang mereka ada. Sememangnya hidup ini perlu ada pengalaman. Apabila ada pengalaman maka kita tidak mudah untuk diperdayakan atau terjebak ke sesuatu perkara yang boleh membawa keburukan dan dikhuatiri akan membawa kemusnahan kepada diri kita sendiri.

Kesimpulannya masa yang pernah
dilalui dan pengalaman adalah amat penting dalam hidup yang kita layari. Selagi masih dapat bernafas dan melihat sang mentari dan rembulan pada malam hari. Dalam erti kata lain kedua-duanya saling perlu-memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain.

Sama-samalah kita menjadikan masa yang pernah dilalui dan pengalaman sebagai renungan kehidupan untuk dihayati melalui coretan yang tidak seberapa ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *