Kisah “Aku” Dengan Seorang Insan Bernama “K”

Dekat atas bukan K ( Sebaie )

Nama aku hanya dikenali sebagai R sahaja.

Aku ingin menceritakan pengalaman mengajar orang normal selama 12 tahun.

Tidak disangka selama 12 tahun berkecimpung akhirnya mengajar dunia yang berbeza iaitu dunia kelainan upaya (OKU).

Kisahnya berkisar pada tahun 2012 bila aku ditawarkan untuk menjadi petugas di Negeri Sembilan.

Hari pertama aku menjejaki ke dunia tersebut penuh dengan cabaran yang tidak disangka.

Kadang-kadang perasaan aku berbaur sedih, kesal, marah dan tidak sanggup melaksanakan tugas yang baru.

 

Satu bisikan dalam hati..

Aku melihat dunia sekeliling anak-anak istimewa ini penuh dengan masalah tersendiri yang mencabar keimanan dan keupayaan aku sebagai tenaga pengajar sebelum ini.

Aku megah dan bangga kerana sebelum ini menjadi tenaga pengajar di agensi kerajaan dan dibayar dengan gaji yang lumayan.

Sampai satu tahap aku terduduk menangis kerana mengenangkan nasib memilih pekerjaan ini yang tidak setimpal dengan gaji yang diterima.

Tiba-tiba aku terdengar satu bisikan kecil dalam hati supaya berjuang untuk mengubah nasib mereka dan menggunakan ilmu mengajar orang normal selama ini dan diterapkan ke dalam jiwa anak-anak istimewa.

Ramai yang mengatakan bahawa mendidik anak-anak istimewa ini susah dan adakah aku akan mencipta syurga yang indah atau sebaliknya.

Namun aku gagahkan jua untuk menghadapi segala onak dan duri yang bakal dipijak. Pasti kaki aku akan berdarah apabila memijak pelbagai halangan dan rintangan yang datang.

Hari seterusnya keadaan telah berubah sedikit menjadi lebih baik.

 

Cikgu ni cantiklah..

Tiba-tiba aku didatangi seorang pelatih Cina yang hanya dikenali sebagai K.

Dia seorang yang mengalami masalah pembelajaran dan berusia dalam lingkungan 18 tahun.

Dia lalu menegurku dalam pelat bahasa Tionghua, “Cikgu ni cantiklah!”. Aku lalu menjawab, “Siapa nama kamu?”. Dia lantas tersenyum memandangku dan menjawab, “Nama saya K, cikgu!”

Senyuman dan paras wajah K masih lagi segar hingga kini dalam benak fikiranku walaupun telah berlalu hampir 5 tahun yang lalu.

Bagi aku K seperti anak-anak istimewa yang lain. Cuma dia selalu membantuku dalam kerja-kerja harian seperti menyapu sampah, membasuh pinggan mangkuk dan menyusun kerusi meja.

K ini tak boleh buat kerja-kerja yang berat kerana dia mudah mengah dan ada masalah kesihatan sedikit.

Aku tertarik pada K dan menganggap dia seperti anak aku sendiri walaupun aku dah ada anak yang normal. Dari sehari ke sehari aku semakin rapat dengan K dan K juga rapat denganku.

Namun aku tahu menjaga batasan aku sebagai seorang guru pelatih OKU. Bapa K bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya pula sebagai tukang masak di gerai biasa.

Aku diberitahu bapa K yang dia selalu membantu ibunya di gerai apabila tidak pergi ke sekolah.

Aku dapat merasakan kekurangan kalau sehari K tidak datang ke sekolah.

 

Pada satu hari..

Aku menerima khabar yang menyentap emosiku yang bapa K hendak memberhentikannya daripada sekolah.

Alasannya ibunya mahu K membantunya di gerai. Aku mempunyai naluri seorang pendidik yang K suka ke sekolah.

Sebab di sekolah dia boleh belajar, bermain dan bersosial bersama dengan kawan-kawan yang setaraf dengannya.

Kegusaranku semakin bertambah apabila mengenangkan nasib K apabila bekerja dengan orang normal nanti.

“Bolehkah dia bekerja?” bisik dalam hati kecilku. “Takut nanti dia dibuli. Takut nanti didera. Diketawakan atas kekurangannya,” ulang hati kecilku lagi berulang kali.

Hari yang kulalui semakin suram namun aku tetap berdoa agar K gembira bekerja bersama dengan ibunya. Aku harus berfikiran positif dan berbaik sangka.

Beberapa hari kemudian aku menefon bapanya dan bertanya khabar tentang K. Bapanya menjawab dia gembira bekerja dengan ibunya dan masih ingin ke sekolah.

Aku menjawab kalau dia suka bekerja biarlah dia bekerja kerana ia mendatangkan duit kepada dia dan boleh berdikari.

Aku berasa amat gembira apabila anak muridku seperti K berjaya dalam hidup dan boleh berdikari.

 

Terbuang & Terkurung

Apa yang ingin aku katakan di sini insan istimewa yang diciptakan Tuhan tanpa mengira bangsa tidak boleh dipandang rendah oleh masyarakat di luar sana.

Mereka seharusnya diberi ruang dan peluang untuk berdikari dalam hidup ini sama seperti orang normal. Dan diberikan kesamarataan hak ke atas diri mereka walaupun kurang dari segi pemikiran dan fizikal.

Lebih menyedihkan aku apabila kebanyakan mereka masih lagi disimpan oleh segelintir ibu bapa di rumah kerana mempunyai anak sebegini tidak seperti anak normal orang lain.

Kadang-kadang mereka terbuang dan terkurung tak ubah seperti burung dalam sangkar yang dijaga namun tidak dapat terbang bebas.

Kasihan mengenangkan nasib mereka kerana ini adalah realiti dan bukannya fantasi semata-mata. Realiti adakalanya pedih dan perit untuk diterima namun itulah hakikatnya yang harus kita telan.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *