Kenangan Terindah Yang Aku Lalui Di Masa Silam

TV Lama ( Sven Scheuermeier )

Kenangan yang terindah.

Itulah yang ingin aku kongsi bersama dalam coretan ini.

Kenangan yang ingin aku ceritakan ini adalah mengenai zaman yang pernah aku lalui pada suatu ketika dahulu.

Zaman silam itu benar-benar meninggalkan memori yang indah dalam hidup aku sehingga ke hari ini. Zaman yang aku lalui amat berbeza sekali dengan zaman sekarang. Seperti kata orang lain padang lain belalang. Lain zaman lain perubahannya.

Masa aku sekolah rendah dahulu hanya memakai seluar pendek dan kasut Bata saja. Berbanding dengan sekarang. Murid-murid sekolah rendah memakai seluar panjang. Waktu itu mana ada handphone macam sekarang. Hanya telefon dan telegram saja sebagai alat perhubungan.

Kalau nak bertanya khabar berita dengan saudara-mara dan kawan-kawan hanya melalui surat sahaja.

Tak macam sekarang menggunakan sms, whatsapp, facebook, twitter dan instagram.

Posmen pulak pada waktu itu menghantar surat dengan menaiki basikal saja. Pada ketika itu posmen memang orang penting. Dalam menyampaikan perhubungan menerusi surat-menyurat. Tak macam sekarang surat di emel atau di faks terus kepada penerima. Jadi cepatlah penerima dapat surat.

Ketika itu surat-menyurat ditaip dengan menggunakan mesin taip.

Aku masih ingat lagi. Waktu di sekolah rendah soalan peperiksaan ditaip dengan mesin taip. Warna kertas soalan peperiksaan pada ketika itu kalau tak silap aku warna kuning air. Tak macam sekarang surat-menyurat ditaip dengan menggunakan komputer.

Pada waktu itu makanan dan minuman di kantin sekolah cukup murah sekali. Bawa duit 50 sen untuk belanja seminggu pun dah cukup. Sepinggan mi goreng harganya 20 sen. Air sirap pun 10 sen. Tapi sekarang harga makanan dan minuman macam itu dah tak dapat lagi.

Seperti kata orang sekali air bah sekali pantai berubah.

Dalam erti kata lain dulu lain sekarang lain. Seperti lagu yang dinyanyikan Tan Sri Dato’ Dr. SM Salim.

Ketika itu lagu diputarkan melalui piring hitam dan kaset. Tak macam sekarang menggunakan VCD. TV pulak pada waktu itu hitam putih. Tak lama kemudian TV bertukar pula kepada warna. Siaran TV yang ada pada masa itu hanya RTM atau Radio Televisyen Malaysia saja.

Siaran yang ada pada ketika itu hanya dua sahaja iaitu Siaran 1 dan Siaran 2.

Kalau tak silap aku Siaran 1 dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Siaran 2 dalam Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Rancangan yang diminati pada waktu itu adalah cerita Melayu pada malam Jumaat selepas berita, rancangan hiburan iaitu persembahan nyanyian dan lawak jenaka daripada artis-artis tempatan pada malam Sabtu dan Drama Minggu Ini pada malam Ahad.

Sekarang dah macam-macam siaran TV ada. Dengan bermacam-macam program dan rancangan yang menarik untuk kita tonton bersama. Masa di sekolah rendah dulu aku dan kawan-kawan ada menonton rancangan TV Pendidikan di Bilik Sumber. Hari dan waktunya aku tak ingat.

Setahu aku rancangan itu disiarkan pada waktu pagi.

Semua baju dan seluar pada waktu itu dicuci dengan menggunakan tangan. Aku lihat sendiri arwah emak aku buat kerja-kerja itu. Zaman itu seingat aku belum ada lagi mesin basuh. Lepas itu dia gosok dengan menggunakan seterika.

Tak pernah aku lihat arwah emak aku menghantar ke kedai dobi untuk mencuci dan menggosok semua baju dan seluar.

Berbeza dengan sekarang. Semua baju dan seluar dihantar saja ke kedai dobi untuk dicuci dan digosok. Terutama bagi wanita yang sibuk bekerja.

Masih lagi segar di ingatan aku ketika hendak menyambut puasa dan Hari Raya Aidilfitri. Selalunya bila esok mula puasa aku dan keluarga akan pulang ke kampung ibu aku iaitu Kampung Senaling yang terletak di Daerah Kuala Pilah.

Aku dapat membayangkan betapa seronoknya pada ketika itu kami sekeluarga bersama dengan arwah datuk dan arwah nenek memasak lemang pulut dan tepung, rendang daging dan sup tulang.

Kami sekeluarga akan menyiapkan makanan tersebut secara bersama. Dapat dirasakan betapa eratnya semangat kekeluargaan pada ketika itu. Saling bekerjasama dan bantu membantu di antara satu sama lain. Segala kerja yang berat menjadi ringan dan mudah untuk diselesaikan.

Bertepatan dengan kata pepatah yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Duduk seorang sempit duduk ramai lapang.

Paling aku tidak boleh lupa arwah datuk akan melilit usus lembu yang panjang pada batang kayu yang aku tidak ketahui namanya dan memanggangnya.

Lemang, rendang daging, sup tulang dan usus lembu yang telah dimasak dan dipanggang tadi kemudiannya lalu dimakan bersama sebagai hidangan tengah hari yang sungguh menyelerakan. Tambah pulak nasi, lemang, rendang daging, sup tulang dan usus lembu masih lagi panas. Itu yang membangkitkan selera kami sekeluarga.

Usus lembu yang dipanggang tadi sedap dimakan bersama dengan kuih kicap yang dicampur dengan bawang mentah dan cili api yang telah dihiris.

Lemang dan rendang selalunya kami bawa pulang ke rumah. Sebagai hidangan makan malam dan sahur pada hari pertama puasa. Arwah datuk dan nenek juga mengagihkan lemang kepada jiran sekampung dan sanak-saudara.

Arwah emak aku juga memasak dan membuat kuih sendiri untuk juadah berbuka puasa dan bersahur pada waktu itu.

Seingat aku waktu itu tak ada Bazar Ramadan. Tak macam sekarang beli aje di Bazar Ramadan. Macam-macam juadah ada. Terutama bagi wanita yang sibuk bekerja dan tidak sempat untuk menyiapkan juadah berbuka puasa. Maka Bazar Ramadanlah yang menjadi pilihan mereka.

Seingat aku pada waktu itu sebelum masuk waktu berbuka puasa RTM menyiarkan rancangan keagamaan bertajuk Syiar Ramadan.

Bila dua minggu nak Hari Raya aku dan keluarga akan pulang ke Kampung Senaling untuk mengacau dodol. Biasanya arwah nenek akan mula memasak dodol selepas makan sahur. Sebab dodol memakan masa yang lama untuk masak.

Kami sekeluarga akan bergilir-gilir mengacau dodol. Paling sedap dodol ini dimakan ketika ia masih cair lagi.

Dodol yang cair ini memang sedap dimakan sebagai hidangan berbuka puasa. Lazimnya dodol ini akan dimasak menjelang petang. Seingat aku arwah datuk dan arwah nenek akan membungkus dodol yang telah masak dengan daun pisang.

Begitu juga bila esok nak Hari Raya. Macam biasa aku dan keluarga akan pulang ke Kampung Senaling. Kami sekeluarga bersama dengan arwah datuk dan arwah nenek sibuk memasak lemang dan rendang daging. Sebagai hidangan di pagi raya. Keletihan mahupun kepenatan tidak terasa apabila hidangan dimasak secara bersama.

Selalunya selepas menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri aku dan keluarga akan beraya terlebih dahulu di rumah arwah datuk dan arwah nenek aku di Kampung Talang. Kampung Talang ini juga terletak di Daerah Kuala Pilah. Memang seronok bila dapat berkumpul dan bertemu dengan sanak-saudara yang dekat dan jauh. Sambil saling bermaaf-maafan dan menikmati juadah yang disediakan.

Selepas beraya di rumah datuk dan nenek sebelah ayah kami sekeluarga akan beraya pula di rumah datuk dan nenek sebelah ibu di Kampung Senaling.

Memang seronok dan amat indah sekali apabila dikenangkan semula saat itu. Waktu itu memang gembira bila dapat berpakaian baru dan kasut Johnson kalau tak silap aku namanya. Kasut Johnson ini tingginya atas sedikit daripada buku lali.

Ketika itu kalau dapat duit raya 20 sen, 10 sen dan RM 1.00 pun dah cukup banyak bila dikumpulkan. Boleh beli macam-macam. Barang waktu itu memang murah. Berbanding dengan zaman sekarang.

Tapi sekarang semuanya tinggal menjadi kenangan. Kedua-dua datuk dan nenek sebelah ayah dan ibu aku telah meninggal dunia. Begitu juga dengan ayah dan ibu aku. Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan kaum keluarga aku yang lain yang telah pergi buat selama-lamanya.

Masih aku ingat lagi waktu itu paling seronok bila cuti sekolah pergi ke pantai peranginan Port Dickson dan melawat Muzium Negara dan Zoo Negara di Kuala Lumpur. Aku bersama dengan keluarga selalu jugak pergi ke kedua-dua tempat ini bila cuti sekolah. Waktu itu Port Dickson tak ada banyak hotel macam sekarang. Yang ada hanyalah rumah-rumah peranginan sahaja.

Memang seronok bila bersantai dengan keluarga di tepi pantai sambil menghirup udara yang segar dan mandi-manda.

Muzium Negara yang seronoknya pada waktu itu dapat melihat bahan-bahan sejarah. Zoo Negara pula dapat tengok pelbagai binatang. Selalunya dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Seremban kami sekeluarga akan singgah di Bandar Kajang yang popular dengan makanan sate sehingga ke hari ini.

Seingat aku waktu itu belum ada lagi Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur. Jadi kena melalui Kajang sebelum sampai ke rumah di Seremban.

Pada ketika itu seingat aku pekerjaan yang mendapat perhatian adalah guru, kerani, tentera dan polis. Nak jadi guru dan kerani setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun sudah memadai. Manakala tentera dan polis pula setakat Darjah 6 pun dah cukup. Berbanding dengan zaman sekarang. Semua pekerjaan memerlukan kelulusan yang tinggi.

Pakaian remaja lelaki dan perempuan apa yang aku lihat pada zaman itu jauh bezanya dengan zaman sekarang. Remaja lelaki gemar memakai baju kemeja lengan panjang dengan tidak membutangkan baju di dada. Manakala seluar pula panjang sehingga menutup kasut yang bertumit tinggi. Begitu juga dengan remaja wanita suka memakai baju lengan panjang dan seluar yang sehingga menutupi kasut.

Pakaian mereka ini boleh dilihat dalam filem-filem 70-an yang dilakonkan oleh Hail Amir dan Uji Rashid. Artis yang menjadi pujaan mereka pada ketika itu adalah Allahyarham Latiff Ibrahim, Allahyarhamah Sharifah Aini, D.J. Dave dan ramai lagi. Seingat aku kumpulan muzik yang popular pada waktu itu adalah Black Dog Bone.

Fesyen rambut mereka pada masa itu adalah “afro look” atau kembang dan keriting. Motosikal yang digunakan oleh mereka pada zaman itu adalah scrambler dan satu lagi aku tak tahu namanya tapi tayarnya yang aku tengok besar.

Pada ketika itu jugak aku melihat pelamin dan khemah jamuan makan dalam majlis perkahwinan yang diadakan di kampung dibuat dengan menggunakan buluh. Ia dibuat secara gotong-royong oleh orang-orang kampung. Tapi sekarang khemah jamuan makan dan pelamin disewa daripada pihak katering.

Waktu itu panggung wayang memang menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat filem-filem baru. Seingat aku tayangan filem pada waktu petang dan malam saja. Sekarang cerita-cerita baru selain daripada boleh dilihat dalam tv juga boleh dilihat dalam CD dan youtube.

Pada zaman itu antara kereta yang aku ingat adalah Toyota, Datsun, Pejot, Renault, Mercedes Benz, Ford Escot, Opel dan Ford Capri. Manakala bas dan lori pula adalah Mercedes Benz, Bredford dan Tata. Bas pada waktu itu tingkapnya adalah kayu dan ada tempat khas di bahagian bumbung berhampiran pintu belakang yang digunakan penumpang untuk meletakkan basikal dan barang-barang besar dengan diikat supaya tidak jatuh.

Berapa harga yang dikenakan aku tak tahu. Aku melihat saja ada bas yang membawa basikal dan barang-barang tersebut.

Aku juga dapat menyaksikan era kegemilangan bola sepak negara pada tahun 70-an dan 80-an. Nama-nama seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Mendiang R. Arumugam, Khalid Ali, Bakri Ibni dan ramai lagi telah membawa kejayaan bola sepak negara memenangi Pestabola Merdeka dan Sukan Sea pada waktu itu.

Malaysia adalah gergasi bola sepak Asia Tenggara pada waktu itu. Kejayaan yang paling manis apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada tahun 1980. Jepun dan Korea Selatan yang telah beraksi di pentas Piala Dunia amat gentar apabila berhadapan dengan pasukan bola sepak negara.

Demikianlah indahnya kenangan silam yang pernah aku lalui pada suatu ketika dahulu. Walaupun ia telah lama berlalu dan tak akan kembali semula namun aku akan tetap mengingatinya sepanjang hayat ini. Bagi aku dengan menitipkan coretan ini kita akan mengetahui khususnya generasi muda hari ini bahawa sesuatu yang lama itu tidak boleh dilupakan bila muncul sesuatu yang baru dalam hidup ini.

Ketahuilah oleh kita bahawa tanpa yang lama kita tidak akan dapat merasai yang baru.

Sepertimana yang kita nikmati pada hari ini.

Pada aku zaman boleh berubah tanpa dapat ditahan tapi kehidupan yang dilalui pada suatu waktu dahulu tetap segar bersemadi buat selamanya di ingatan ini.

*******


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *