Kenangan Aku di Pusat Tuisyen MONA Sebelum “SRP 1985”

Buku ( Tookapic )

Tahun 1985 aku menduduki..

..Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran atau singkatannya SRP.

Peperiksaan SRP amat penting sebagai tiket untuk naik ke Tingkatan 4.

Kalau tak lulus SRP maka tak dapatlah naik ke Tingkatan 4 dan sebaliknya terpaksa mengulang semula. Jadi, untuk memastikan dapat naik ke Tingkatan 4 selain daripada belajar di sekolah maka aku pun mengambil kelas tuisyen.

Kelas tuisyen tempat aku belajar kalau tak silap namanya Pusat Tuisyen Mona yang terletak di Jalan Rahang. Kini pusat tuisyen itu tidak lagi beroperasi sebaliknya hanya tinggal bangunan sahaja.

Setiap kali melintasi pusat tuisyen ini maka terimbaulah kenangan indah sewaktu belajar bersama dengan kawan-kawan untuk menghadapi peperiksaan SRP nanti.

 

Pesan Ayah & Ibu..

“Tumpukan sepenuh perhatian semasa belajar. Ingat. Tahun ni penting. Kalau tak lulus SRP nanti tak dapat naik ke Tingkatan 4,” pesan ayah.

“Hah! Ingat pesan ayah kau tu. Jangan pulak kau asyik mengurat anak dara orang di pusat tuisyen tu. Belajar bersungguh-sungguh. Supaya kau dapat naik ke Tingkatan 4 tahun depan,” kata ibu pula.

Memang ayah dan ibu amat mengambil berat pelajaran aku sewaktu di Tingkatan 3. Tambahan pulak aku anak tunggal lelaki dalam keluarga dan menjadi harapan kepada mereka berdua.

Bayangkanlah kalau aku tidak lulus dan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 sudah tentu mereka akan berasa kecewa yang teramat sangat.

 

Encik Mohan..

Berbalik semula kepada Pusat Tuisyen Mona pemiliknya adalah Encik Mohan yang berketurunan Sikh. Dia mengusahakan pusat tuisyen ini bersama dengan adiknya yang bernama Encik Krishnan.

“Awak semua ingat. Datang ke sini adalah untuk belajar. Bukannya untuk bermain. Ayah dan ibu awak sanggup mengeluarkan duit yang banyak menghantar awak ke sini. Semata-mata untuk melihat awak lulus dalam peperiksaan SRP dan bukannya mengucapkan selamat jalan pada Tingkatan 4.” Demikian pesannya pada aku dan kawan-kawan yang lain.

Kawan-kawan aku yang belajar di pusat tuisyen ini terdiri daripada pelbagai bangsa. Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain lagi.

Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar aku dan kawan-kawan. Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain lagi. Kelas tuisyen aku adalah pada setiap hari Isnin, Rabu dan Khamis.

 

Takut Ponteng Kelas..

Setiap kali sampai sahaja di pusat tuisyen kedatangan kami akan diambil terlebih dahulu sebelum memulakan pelajaran.

“Kedatangan kamu semua perlu diambil. Untuk memastikan tidak berlaku ponteng kelas. Kalau ada di antara kamu yang ponteng kelas saya akan beritahu ibu bapa kamu,” ujar Encik Mohan.

Mendengarkan apa yang dikatakan Encik Mohan itu menjadikan aku dan kawan-kawan lalu takut untuk ponteng kelas.

Dari sehari ke sehari aku dapat merasakan keseronokan dan kegembiraan belajar di Pusat Tuisyen Mona. Bukan sahaja guru-gurunya pandai mengajar malahan mewujudkan suasana yang ceria dan gembira.

Yang menjadikan aku dan kawan-kawan tidak berasa bosan dan dapat menerima dengan mudah pelajaran yang disampaikan.

 

Matematik Moden..

Dalam banyak-banyak matapelajaran aku memberikan tumpuan sepenuhnya pada Matematik Moden. Ini bukanlah bermakna aku mengabaikan matapelajaran yang penting.

Waktu itu Matematik Moden amat penting dalam peperiksaan SRP. Kalau tak lulus Matematik Moden akan menjadi penyebab utama kepada kegagalan tidak dapat naik ke Tingkatan 4.

Sebagai rekod semenjak daripada Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 2 aku tidak pernah lulus dalam matapelajaran Matematik Moden.

Nasib baiklah hanya dalam peperiksaan penggal sahaja. Tapi apabila melangkah ke Tingkatan 3 suasana adalah berbeza.

Jadi, sebagai jalan terbaik untuk aku mengatasi kelemahan ini maka aku mengambil kelas tuisyen agar lulus dalam matapelajaran ini di samping matapelajaran yang lain.

 

Kali Pertama Lulus..

“Kalau kamu rajin dan sentiasa membuat latihan pasti kamu akan lulus,” ujar Encik Krishnan yang mengajar matapelajaran Matematik Moden.

Aku pun mengikut nasihat Encik Krishan itu dengan setiap hari membuat latihan. Hasilnya dalam peperiksaan penggal pertama aku telah lulus dalam matapelajaran Matematik Moden.

Aku berasa amat gembira sekali kerana buat pertama kalinya aku telah lulus dalam matapelajaran tersebut.

“Jangan cepat berpuashati. Terus tingkatkan usaha. Ini baru peperiksaan penggal pertama. Yang sebenarnya adalah dalam peperiksaan SRP nanti,” ingat ayah.

“Rajin mengira dan buat latihan. Kalau boleh bukan sahaja setakat lulus malah dapat keputusan yang cemerlang dalam Matematik Moden,” ibu berkata pula.

“Baiklah ayah, mak! Saya akan ingat pesan ayah dan mak itu!” aku sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan kepala.

Sebenarnya macam-macam karenah dan ragam kawan-kawan aku semasa belajar di Pusat Tuisyen Mona. Maklumlah bila dah ramai macam tulah jadinya.

Aku jadi terhibur dan lucu juga apabila melihatnya.

Tapi dalam pada itu aku tidak melupakan matlamat dan tujuan utama aku datang ke pusat ini adalah untuk belajar dan seterusnya lulus dalam peperiksaan SRP.

 

Nanti Menangis..

“Jangan jadikan tempat ini untuk bergembira. Nanti kamu menangis,” kata Cik Devi yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris sambil tersenyum.

“Kenapa pulak menangis, cikgu?” tanya salah seorang daripada kawanku.

“Sebab tak lulus dalam peperiksaan SRP. Apa? Kamu dah lupa ke pesan Encik Mohan. Datang ke sini untuk belajar dan bukannya untuk berseronok,” dia menjawab.

Dalam sekali kata-kata Cik Devi itu sehingga kawan aku itu tersengih. Memang benar apa yang dikatakannya itu.

Aku dan kawan-kawan tidak seharusnya datang ke pusat tuisyen ini semata-mata hanya untuk membuang masa dan membazirkan wang ibu bapa kami.

Kalau tak lebih baik tak payah datang dan sebaliknya belajar di rumah sahaja selepas balik daripada sekolah.

 

Teori Newton..

Paling mencuit hati aku adalah sewaktu mengikuti matapelajaran Sains yang diajar Encik Mohan.

“Hari ini kita akan belajar tentang teori Newton,” katanya.

“Newton?” celah salah seorang daripada kawan aku dalam nada suara yang penuh dengan kehairanan.

“Ya! Kenapa kamu nampak pelik sangat bila saya berkata tentang teori Newton,” jawabnya.

“Saya ingatkan tupperware. Rupanya newton juga ada dalam teori sains. Baru hari ni saya dengar,” dia membalas.

Memang newton jenama tupperware yang amat terkenal pada waktu itu. Mendengarkan sahaja apa yang dikatakan kawan aku itu maka seisi kelas lalu ketawa terbahak-bahak.

Kerana berasa lucu dan gelihati dengan lawak yang dibuat kawanku itu.

“Pandai awak, ya. Kalau macam ni gayanya nampaknya tak luluslah awak dalam matapelajaran Sains,” kata Encik Mohan pula sebaliknya.

Itulah antara kenangan yang aku ingat sewaktu belajar bersama dengan kawan-kawan di Pusat Tuisyen Mona.

 

Nasihat Encik Krishnan..

Dalam pada itu aku sentiasa komited dan bertanya pada Encik Krishan tentang apa yang aku tak faham dalam matapelajaran Matematik Moden.

Dia sentiasa memberikan tunjuk ajar dan menasihatkan aku sentiasa meningkatkan usaha supaya lulus dalam matapelajaran Matematik Moden dan seterusnya dapat naik ke Tingkatan 4.

“Saya tengok awak sentiasa meningkat dalam matapelajaran Matematik Moden. Setiap latihan yang saya beri awak dapat menjawab dengan baik. Saya yakin awak akan lulus dengan baik dalam peperiksaan SRP nanti,” dia berkata.

“Baiklah, cikgu. Saya akan terus berusaha untuk memastikan dapat naik ke Tingkatan 4 tahun depan,” aku membalas pula sebaliknya.

“Bagus! Teruskan usaha. Awak pasti berjaya!” dia menepuk-nepuk lembut bahuku.

Sewaktu belajar di Pusat Tuisyen Mona aku rapat dengan Zeffry. Dia bersekolah di Sekolah Menengah King George V.

Manakala aku pula bersekolah di Sekolah Menengah ST.Paul. Walaupun kami berlainan sekolah tapi kami berkawan baik dan selalu duduk bersama dalam kelas.

 

Norain dan Mastura..

Nak dijadikan cerita sewaktu belajar di Pusat Tuisyen Mona juga ada 2 orang pelajar dari Sekolah Menengah King George V yang sering aku perhatikan.

Norain dan Mastura. Bukannya apa aku perhatikan mereka berdua sangat rapat. Selalu duduk bersama dalam kelas sama macam aku dengan Zeffry.

Aku tidak pulak menegur atau berbual dengan mereka berdua. Mungkin pada waktu itu aku mempunyai sifat malu.

Maklumlah sekolah aku tak ada pelajar perempuan dan semuanya lelaki. Cuma Tingkatan 6 sahaja bercampur dengan pelajar perempuan.

Paling tidak pun aku bertanya pada Zeffry tentang mereka berdua.

“Norain dan Mastura tu kawan baik ke?” aku menyoal.

“Ai, tiba-tiba aje kau tanya ni, kenapa,” jawabnya.

“Tak ada la. Aku tengok dia orang berdua tu rapat,” kataku lagi.

“Ni mesti ada sesuatu,” ujar Zeffry.

“Kau jangan nak mengarut la,” aku membalas.

“Kau minat siapa sebenarnya ni. Norain dan Mastura,” ucapnya pula sambil tersenyum.

“Dahlah. Kau jangan nak merepek boleh tak. Aku datang sini nak belajar bukannya nak bercinta,” aku berkata.

Zeffry sebaliknya hanya diam dan tersenyum. Semenjak daripada hari itu aku tak lagi bertanya pada dia tentang kedua-dua pelajar perempuan yang sama sekolah dengannya itu.

Sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan SRP yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

 

Lulus Peperiksaan SRP..

Saat yang ditunggu dan dinanti pun tiba. Aku lalu menduduki peperiksaan SRP dan syukur alhamdulillah aku telah lulus dengan mendapat agregat A 28.

Maka aku pun dapat melanjutkan pelajaran di Tingkatan 4. Ayah dan ibu berasa amat gembira dengan kejayaan aku itu.

Kini semuanya telah tinggal menjadi kenangan. Walaupun telah berlalu 32 tahun namun masih lagi segar di ingatanku.

Sekarang peperiksaan SRP telah digantikan dengan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah atau dalam bahasa ringkasnya PMR.

Terima kasih kepada Encik Mohan, Encik Krishnan dan guru-guru yang telah membimbing dan mengajar aku sewaktu belajar di Pusat Tuisyen Mona.

Sehingga kini aku masih lagi berkawan baik dengan Zeffry dan kepada Norain dan Mastura seandainya membaca coretan ini aku harap akan berasa seronok dan gembira walaupun kita tidak pernah bertegur sapa sewaktu sama-sama belajar di Pusat Tuisyen Mona.

\\\\\\\\\\\\\\


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *