Hari Ini Dan Esok

Payung ( Rajshri )

Hari ini kita berasa suka dan gembira.
Tapi esok belum pasti lagi.
Mungkin kita akan berasa sedih dan duka.

Hari ini kita berada di atas. Tapi esok kita mungkin akan berada di bawah. Sesungguhnya hidup ini tak ubah seperti laut yang membiru. Pasang dan surut silih berganti. Hidup ini juga tak ubah umpama putaran roda. Sekejap kita berada di atas dan sekejap kita berada di bawah.

Tak semua keindahan akan datang dalam hidup kita. Walaupun itulah yang sering kita impikan. Namun kepahitan adaketikanya akan datang juga dalam hidup yang kita lalui. Semua itu bukan kita yang menentukannya. Tetapi adalah daripada Tuhan Yang Esa.

Hari ini hidup kita mewah dengan wang dan harta yang banyak. Melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir. Dengan wang dan harta yang banyak kita boleh membeli segala-galanya. Sehingga kita menjadi bongkak dan angkuh. Tetapi sebenarnya kita lupa bahawa esok belum pasti lagi. Sama ada kita masih lagi kaya atau jatuh miskin.

Apabila fajar menyingsing kita dapat meneruskan kehidupan dan mencari rezeki seperti biasa. Daripada pagi sehinggalah ke petang dan adakalanya sehingga ke malam. Cukup saja bulan kita akan mendapat gaji hasil daripada kerja dan usaha yang telah kita lakukan. Itulah keseronokan dan kepuasan yang kita nikmati. Tetapi kita tidak pernah terfikir. Sama ada esok kita masih lagi dapat untuk meneruskan kehidupan dan bekerja sepertimana pada hari ini.

Ketika di jalan raya kita memandu dengan amat merbahaya tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Kita terlalu mementingkan diri sendiri dan mengetepikan nilai-nilai murni dan kesopanan ketika berada di jalan raya. Hari ini kita berasa selamat dengan sikap dan tingkah laku kita yang tidak beretika dan bermoral itu. Tapi harus kita ingat bahawa esok belum pasti lagi. Mungkin kecelakaan akan menimpa kita akibat daripada perbuatan dan sikap buruk kita itu.

Akibat daripada desakan hidup maka ada yang sanggup untuk melakukan penipuan. Dengan menipu hidup mereka lalu berubah menjadi senang dan tidak lagi susah seperti dahulu. Tetapi mereka harus ingat bahawa hari ini mungkin terlepas tetapi esok belum pasti lagi.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Perbuatan jahat yang dilakukan tidak akan terlepas buat selama-lamanya. Walau selicik dan sebijak mana sekalipun. Kerana esok belum pasti lagi dan mungkin akan jatuh tersungkur.

Pada yang miskin dan hidup yang tak punya apa jangan sesekali kita melemparkan kata-kata penghinaan dan kejian pada mereka. Kita memandang mereka sebagai golongan yang lemah dan tidak memiliki kehidupan yang baik dan sempurna seperti yang kita miliki. Ingatlah bahawa hari ini kita boleh menghina mereka namun esok mungkin akan berlaku sebaliknya. Mereka akan berubah kehidupan menjadi seperti kita dan kita berubah kehidupan seperti mereka.

Hidup kita mewah dengan makanan yang lazat dan enak. Sehingga kita terlalu mengikut nafsu makan. Semata-mata untuk memuaskan selera kita. Harus kita ingat bahawa tidak selama-lamanya selera kita akan tajam menikmati pelbagai hidangan yang enak dan lazat. Boleh jadi besok selera kita akan menjadi tumpul.

Kita berasa amat bangga dengan segala kemahiran dan kelebihan yang kita miliki. Sehinggakan kita dikagumi orang lain dengan kelebihan dan kemahiran yang ada pada diri kita. Lalu kita berasa diri kita yang paling hebat dan terbaik berbanding dengan orang lain. Tetapi kita jangan lupa bahawa esok kemungkinan kita akan hilang semua itu.

Budaya ponteng kerja perlu kita hindarkan. Sebaliknya dalam bekerja kita perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Hari ini kita berasa seronok kerana tiada siapa yang tahu lebih-lebih ketua jabatan yang kita ini adalah kaki ponteng kerja. Namun esok kita tak pasti lagi. Mungkin kita akan dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Keselamatan di rumah sering kita abaikan. Sedangkan itu adalah aspek yang perlu diutamakan. Kita berasa rumah kita sentiasa berada dalam selamat dan sejahtera. Malahan kita tidak pernah mengambil iktibar dan memandang ringan terhadap kejadian malang yang telah menimpa orang lain seperti kecurian dan kebakaran. Jangan beranggapan bahawa rumah kita terjamin keselamatan sepenuhnya. Esok mungkin boleh berlaku atau terjadi kejadian yang tidak diingini.

Usah terlalu gembira dan bersuka ria dengan kejayaan yang kita perolehi pada hari ini. Ini akan menjadikan kita khayal dan leka dengan kejayaan yang telah berjaya kita raih. Kerana esok belum ada kepastian lagi sama ada kita akan terus menikmati kejayaan atau sebaliknya menemui kegagalan.

Sahabat yang ramai akan berada di sekeliling kita apabila kita berada di puncak kejayaan. Ketika itu kita menjadi sanjungan mereka. Inilah selalu berlaku dalam kita bersahabat. Tapi besok sekiranya kita mengalami kejatuhan maka kita akan keseorangan tanpa mereka di sisi.

Ibu bapa yang telah tua perlu kita jaga dengan rasa penuh kasih dan sayang. Sepertimana mereka berdua menjaga kita sewaktu masih kecil dahulu. Mereka sanggup berkorban dan bersusah payah demi semata-mata untuk membesarkan dan menjadikan kita berjaya dalam hidup ini. Maka sekarang sudah tibalah masanya untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan selama ini.

Jagalah mereka sehingga mereka menutup mata buat selama-lamanya. Bukannya dihantar kedua-dua mereka ke rumah orang tua. Bayangkanlah betapa hancur dan luluhnya hati mereka apabila kita berbuat demikian terhadap mereka. Hari ini terjadi kepada kedua-dua mereka. Tetapi esok mungkin akan berlaku kepada kita pula. Apabila anak kita menghantar kita ke rumah orang tua.

Alam sekitar perlu kita jaga dan sayangi sentiasa. Jangan sesekali kita cemari dan nodai dengan melakukan pencemaran. Anggaplah alam sekitar sebagai harta yang paling bernilai dan berharga buat kita. Hari ini kita dapat melihat alam sekitar yang penuh indah dan bersih. Tapi esok kita akan melihat alam sekitar yang seperti dilanda penyakit kritikal di mana menghirup udara yang tidak sihat. Akibat daripada tangan-tangan yang tergamak menodai dan mencemari alam sekitar.

Tiada apa yang lebih menggembirakan dan indah dalam hidup ini selain daripada menikmati kebahagiaan. Kerana dengan kebahagiaan akan menjadikan hidup lebih bermakna dan ceria. Namun begitu kebahagiaan tidak semestinya sentiasa menyinari kehidupan. Hari ini kita berasa amat bahagia dalam kehidupan. Tetapi esok kita tidak pasti sama ada akan disinari atau tidak dengan cahaya kebahagiaan.

Segala kemahuan dan keinginan dapat kita penuhi dalam hidup ini. Itulah yang beruntung dan bertuahnya kita. Hari ini kita berasa sedemikian. Tetapi kita jauh sekali tidak berfikir apa yang akan berlaku pada esok hari. Mungkin keinginan dan kemahuan yang selama ini dapat kita penuhi tidak akan dapat kita perolehi sepertimana selama ini.

Mungkin ada di antara kita yang lupa bahawa betapa pentingnya warisan sejarah dan budaya dijaga dan dipulihara sentiasa. Walaupun zaman sentiasa beredar dan berubah pada setiap waktu dan ketika.

Warisan sejarah dan budaya adalah khazanah yang tinggi nilainya. Hari ini kita menjaganya dengan rasa penuh kecintaan yang mendalam. Kerana kita tidak mahu ia hilang mahupun cicir sebagai tatapan buat kita yang lahir sebagai generasi hari ini. Namun harus juga kita fikirkan bersama-sama sama ada esok anak cucu cicit kita akan mempertahankan dan menjaganya sebagaimana yang telah kita lakukan.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa adat telah diwarisi oleh datuk nenek moyang semenjak daripada turun-temurun lagi. Adat mengajar kita bermuafakat dalam melakukan semua perkara di samping terkandung nilai-nilai murni dan falsafah di dalamnya. Hari ini adat sepertimana yang disebut dalam pepatah tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, tak lemak dek santan dan tak kuning dek kunyit.

Adat tetap kita pertahankan dan selama-lamanya akan menjadi adat. Namun begitu esok tidak pasti apakah adat akan terus kekal dan bertahan. Seandainya generasi masa depan sebagai pewaris tidak mengekalkan dan mempertahankannya. Sepertimana yang telah kita lakukan selama ini.

Hari ini kita bekerja dengan rajin dan penuh komitmen. Tanpa mengira waktu dan ketika. Demi semata-mata untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Tapi esok momentum kita boleh jadi berubah. Dengan malas untuk bekerja seperti selalu.

Masa itu adalah ibarat emas. Menyedari betapa pentingnya masa maka kita mengisinya dengan perkara yang penuh bermanfaat dan berfaedah. Ini kerana kita tidak mahu menjadi orang yang hidupnya kerugian kerana tidak menghargai masa yang telah diberikan dan merebutnya dengan sebaik mungkin. Namun begitu esok kita tidak pasti sama ada kita akan benar-benar menghargai masa atau sebaliknya.

Bagi seorang penulis ilham adalah amat dinanti-nantikan untuk menghasilkan karya yang dapat memikat hati pembaca. Ilham yang turun mencurah-curah seperti hujan lebat adalah satu kepuasan dan kegembiraan buat seorang penulis dalam menghasilkan karya penulisan yang bermutu dan baik. Tetapi esok tiada kepastian mahupun jaminan buat seorang penulis untuk mendapat ilham sepertimana hari ini yang dilaluinya.

Demikianlah kesimpulannya terhadap hari yang kita lalui pada hari ini dan juga esok yang bakal menjelma. Hari ini hidup kita diwarnai dengan rasa suka manakala ada di antara rakan kita yang lain hidupnya diwarnai dengan rasa duka. Namun esok akan berlaku sebaliknya. Mungkin giliran kita pula merasai duka sementara rakan kita yang semalamnya merasai duka diwarnai pula dengan rasa suka.

Sesungguhnya segala yang kita alami hari ini dan esok bukan di tangan kita yang menentukannya. Sebaliknya ditentukan oleh Tuhan Yang Esa sebagai pencipta terhadap makhluk dan segala yang ada di atas muka bumi ini. Kita seharusnya sentiasa berasa syukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Tuhan Yang Esa pada hari ini dan esok yang bakal dilalui.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *