Catatan Tentang Perjalanan Hidup

Daun Kering ( Mastersenaiper )

Perjalanan hidup kita di atas dunia ini..

..bermula dengan seorang bayi yang dilahirkan bersama tangisan yang nyaring.

Waktu itu kita tidak mengerti apa-apa tentang hidup ini dan diibaratkan seperti sehelai kain putih yang bersih. Diberi susu dan dibelai dengan penuh manja dan kasih sayang oleh kedua-dua ibu bapa kita.

Kemudian kita mula menapak dan berjalan. Sesudah itu kita menjadi sebagai seorang kanak-kanak.

 

Belum mengerti apa-apa..

Seperti mula-mula kita dilahirkan sebagai seorang bayi kita masih lagi belum mengerti tentang apa yang dikatakan sebagai kehidupan ini.

Dunia kita hanya dipenuhi dengan bermain dengan kawan-kawan yang sebaya dengan kita.

Memang seronok pada waktu itu. Sebab kita tidak perlu memikirkan tentang perjalanan hidup ini.

Kita diberi makan dan pakaian yang cukup oleh kedua-dua ibu bapa kita.

Kedua-dua ibu bapa kita mengerah tulang empat kerat dan berkorban masa demi untuk melihat kita kenyang dan berpakaian indah.

Apa sahaja yang kita inginkan akan mereka tunaikan. Sekalipun bulan dan bintang di langit tinggi.

Agak mustahil untuk menggapai dan mendapatkan bulan dan bintang yang nun jauh di langit tinggi. Namun demi kasih sayang mereka pada kita mereka akan sanggup melakukannya.

 

Ayah.. Ibu..

Insan yang bernama ayah dan ibu itu jugalah yang memandikan dan menyuapkan makanan ke mulut kita.

Tidak cukup dengan itu mereka sanggup berlapar asalkan kita kenyang dan tidak kelaparan sepertimana yang dirasai mereka.

Tidur kita diselimutkan oleh mereka dan tidak dibiarkan mereka seekor nyamuk pun menghinggapi kulit kita. Kalau ada kesan gigitan akan segera mereka sapukan dengan ubat.

Di waktu kita sedang sakit dan demam merekalah yang menjaga kita sehingga tidak tidur semalaman. Semata-mata untuk melihat kita sembuh seperti biasa.

Demikianlah besarnya pengorbanan kedua-dua ayah dan ibu kita.

 

Alam baru..

Kita kemudian lalu memulakan alam yang baru. Alam yang dimaksudkan adalah alam persekolahan. Bermula dengan sekolah tadika.

Belajar untuk mengenal huruf, membaca, menulis dan mengira. Sebagai tapak dan asas sebelum kita memasuki sekolah rendah.

Dalam pada itu kita dididik dengan ajaran agama iaitu mengaji Al-Quran dan belajar menunaikan solat. Agar kita menjadi insan yang sentiasa bertakwa dan beriman dengan Allah SWT.

Dengan mengikuti segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Untuk mendapat kesejahteraan dan keberkatan hidup di dunia mahupun akhirat.

Memberi didikan agama yang secukupnya adalah tanggungnjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anaknya sentiasa mengamalkan apa yang telah diajarkan dalam agama Islam dan tidak terpesong daripada akidah.

 

Sekolah rendah..

Melangkah sahaja ke sekolah rendah maka bermulalah sebagai apa yang dikatakan sebenarnya sebagai alam persekolahan.

Berbanding dengan alam sekolah tadika yang kita lalui sebelum ini. Alam sekolah rendah amat berbeza sekali dengan alam sekolah tadika.

Kita dididik dengan berperaturan dan berpakaian uniform apabila memasuki sekolah rendah.

Ibu bapa kita amat sibuk sekali menyediakan pakaian dan kelengkapan termasuk buku dan alat tulis untuk kita memulakan alam persekolahan.

Hari pertama mereka akan mengambil cuti dan menghantar kita ke sekolah.

Kadang-kadang sampai satu minggu kalau kita asyik buat perangai menangis aje bila mereka hilang dan tidak kelihatan di pandangan mata kita.

Tujuan mereka menghantar kita pada hari pertama ke sekolah adalah untuk memberikan semangat dan berharap agar kita menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Demikianlah tingginya harapan mereka sebaik-baik sahaja hari pertama kita melangkahkan kaki ke sekolah. Ibu bapa mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam hidup ini.

 

Pengorbanan Ibu & Ayah..

Orang yang paling sibuk apabila kita mula bersekolah adalah ibu. Terpaksa bangun seawal pagi untuk menyediakan pakaian dan sarapan untuk kita ke sekolah.

Ibu akan menyediakan makanan yang sihat dan berkhasiat supaya kita sentiasa cergas dan bertenaga sewaktu belajar di sekolah.

Tidak kurang juga dengan ayah yang terpaksa bekerja dengan lebih keras lagi untuk menyara persekolahan kita.

Kita tidak memikirkan pengorbanan dan penat lelah ibu dan ayah kerana yang kita tahu hanya pergi ke sekolah sahaja. Hidup kita ditanggung oleh kedua-dua ayah dan ibu.

Setiap hari sebelum naik bas atau van ke sekolah hanya tahu mintak duit belanja sahaja. Balik dari sekolah hanya tahu makanan dah terhidang di atas meja.

Petang pulak bermain dengan kawan-kawan di padang.

 

Rutin budak sekolah..

Mula-mula masuk sekolah memang terasa sebagai satu yang membebankan dan membosankan.

Apa tidaknya dahlah kena bangun pagi-pagi kemudian dalam kelas macam-macam yang cikgu suruh buat sampai banyak kerja rumah diberinya.

Kalau tak buat besok pagi dapatlah hadiah yang diberinya. Jadi, terpaksalah buat kalau tak mahu dapat hadiah yang sakit itu.

Balik ke rumah penat bersekolah masih lagi belum hilang. Belum lagi campur penat bermain dengan kawan-kawan di padang pada sebelah petang.

Malam buat kerja sekolah dalam kepenatan dan keletihan. Besok pagi-pagi lagi dah bangun nak ke sekolah.

Bayangkanlah penat yang berganda-ganda yang terpaksa kita alami. Tapi lama-kelamaan kita dah biasa dengan semua itu.

Makin lama makin kita rasa seronok dan gembira dengan bersekolah. Mula-mula aje bila kita bersekolah rasa macam malas dan berat.

Maklumlah dunia baru yang tak pernah kita alami sebelum ini. Tapi bila hari-hari melihat telatah dan ragam kawan-kawan yang sama bersekolah kita akan jadi terhibur dan seronok.

Begitu juga dengan guru-guru yang baik dan sentiasa mendidik kita supaya berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan yang menyumbangkan khidmat dan bakti pada negara dan bangsa.

 

Pergi sekolah menengah..

Usia kita makin lama makin meningkat. Selepas tamat sekolah rendah kita pun memasuki sekolah menengah. Di sini sekali lagi kita mengalami perbezaan.

Bersekolah menengah tak sama dengan bersekolah rendah.

Ayah dan ibu begitu jugak dengan guru-guru sering menasihatkan kita supaya belajar rajin-rajin. Supaya lulus dengan cemerlang dan dapat masuk universiti.

Sememangnya pelajaran itu amat penting untuk masa depan. Sebab itu kita harus mengutamakan pelajaran dahulu daripada perkara-perkara yang lain.

Selepas tamat sekolah dan sementara menunggu keputusan peperiksaan kita dianggap telah pun memasuki alam dewasa.

Memang amat seronok dan gembira apabila dah tamat sekolah. Kita dah tak payah lagi bangun pagi. Tak macam kita mula-mula masuk sekolah dulu.

Tak payah lagi nak fikirkan pasal belajar. Sebab dah tamat. Dalam erti kata lain kita bebas dan merdeka. Tapi kadang-kadang kita rasa bosan jugak.

Maklumlah 3 bulan lamanya kita nak menunggu keputusan SPM keluar.

Jadi, nak menghilangkan rasa bosan dan jemu asyik duduk memerap di rumah saja kita lalu bekerja sementara.

 

Tiada kerja.. Cari kerja..

Maklumlah nak cari pengalaman. Tak kira apa saja kerja asalkan halal dan dapat duit gaji. Kalau nasib kita baik dapatlah kerja.

Nasib tak baik tak dapat kerja maka jawabnya kita terus duduk terperap di rumah. Makan tidur sampailah keputusan peperiksaan keluar.

Yang seronoknya ayah dan ibu yang tanggung kita. Siapa yang tak nak.

Kalau boleh kita nak selama-lamanya macam tu. Tapi tak akan selama-lamanya dia orang nak tanggung kita.

Satu hari nanti dia orang akan menjadi tua dan kita kenalah menanggung hidup kita sendiri. Dulu lain waktu tu kita masih lagi kanak-kanak.

Balik pasal bekerja tadi kita pun dapat gaji.

Itulah kali pertama kita merasa pegang duit hasil daripada titik peluh kita sendiri. Seronok bukan kepalang lagi kita. Maklumlah dapat duit. Siapa yang tak nak duit.

Bila dapat banyak duit kita pun mulalah belanja dengan membeli yang bukan-bukan dan tidak sepatutnya.

Tapi kalau kita ni jenis beringat kita akan beri duit hasil daripada titik peluh kita sendiri itu pada ayah dan ibu.

Sebagai tanda rasa sayang dan penghargaan terhadap pengorbanan yang telah mereka lakukan pada kita selama ini.

Kalau dahulu kita mintak duit dan dia orang bagi sekarang giliran kita pulak beri dia orang duit walaupun dia orang tak mintak sikit pun.

Kalau kita ni jenis berjimat cermat selebihnya kita akan simpan untuk kegunaan kita pada masa depan.

Manalah tahu kalau kita dapat masuk universiti kena pakai banyak duit jugak.

 

Kalau masuk universiti..

Tak lama kemudian saat yang ditunggu dan penuh debaran pun tiba. Keputusan SPM pun lalu diumumkan. Kalau dapat keputusan yang baik kita pun dapat masuk universiti.

Insan yang paling gembira dengan kejayaan kita ini lain tak bukan kedua-dua ayah dan ibu kita. Segala pengorbanan dan susah payah mereka ini telah pun terbalas. Dengan kejayaan kita melanjutkan pelajaran di universiti.

Bila kita masuk universiti kita pun berpisah dengan kedua-dua ayah dan ibu kita.

Maksudnya kalau dulu masa sekolah kita tinggal dengan mereka tapi sekarang kita tinggal di asrama di universiti.

Bagi yang dah biasa tinggal di asrama sekolah adalah perkara yang biasa. Tapi bagi yang tak pernah berjauhan dengan ibu bapa sebelum ini adalah satu perkara yang baru.

Apabila dah berjauhan dan tak pernah berpisah dengan kedua-dua ibu dan bapa faham-faham ajelah. Selalunya selalu berada di sisi mereka. Semuanya serba-serbi senang.

Makan dan pakai mereka yang uruskan. Kita hanya tahu dah sedia aje. Tapi sekarang semua kena buat sendiri.

Tak hairanlah tiba-tiba air mata mengalir walaupun dah dewasa.

Rindu satu hal. Menangis sebab semua kena buat sendiri satu hal. Tapi itulah hikmahnya tinggal di asrama. Mengajar kita hidup berdikari.

Tak akan selamanya bergantung hidup pada ayah dan ibu. Di universiti selain daripada kehidupan kita sebagai seorang pelajar kita juga berdepan dengan kuliah dan pensyarah yang mengajar kita.

Tidak cukup dengan itu kita juga mengharungi tugasan yang diberikan pensyarah dan peperiksaan untuk menentukan kita mendapat keputusan yang cemerlang.

Dan apabila tamat nanti kita akan mendapat pekerjaan yang setimpal dengan ijazah yang kita perolehi sewaktu di universiti.

Selepas tamat sahaja pengajian di universiti kita terus melangkah dan terus melangkah. Kali ini kita memasuki pula alam pekerjaan.

 

Rezeki dapat kerja..

Bercakap mengenai kerja ini sebenarnya adalah rezeki. Ada orang keluar sahaja daripada universiti terus dapat kerja.

Tidak kurang pula yang terpaksa menganggur bertahun-tahun lamanya sebab tak dapat kerja.

Jadi, mereka memilih untuk bekerja sendiri. Untungnya kerja sendiri bebas dan diri sendiri yang menjadi “boss” kata orang.

Tapi kerja sendiri kena sentiasa bekerja keras untuk cari duit masuk.

Berbanding kerja dengan kerajaan. Setiap bulan gaji masuk tapi banyak peraturan yang kena ikut dan patuhi selalu.

Dalam erti kata lain kerja kerajaan terjamin masa depan sebab ada pencen bila dah bersara atau tamat perkhidmatan nanti.

Berbeza dengan kerja sendiri yang tidak terikat dengan peraturan belum tentu lagi terjamin.

Tak kiralah kerja kerajaan atau kerja sendiri menurut ajaran agama Islam kerja yang kita lakukan itu adalah satu ibadah. Perlu dilakukan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

 

Hidup berumahtangga..

Pejam celik pejam celik. Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun.

Maka tibalah masa untuk kita memulakan sebuah penghidupan yang baru. Berumahtangga. Bila dah berumahtangga tanggungjawab kita semakin besar.

Tidak lagi macam ketika masih belum berkahwin dahulu. Kita menyara dan menanggung anak dan isteri.

Di samping memastikan keluarga kita sentiasa hidup gembira dan sejahtera.

Ringkasnya kita menjalankan tanggungjawab sepertimana yang dipikul kedua-dua ayah dan ibu ketika kita masih kecil dahulu.

Perjalanan hidup kita ini terus menuju ke depan. Tanpa sedikit pun menoleh ke belakang. Dari sehari ke sehari usia kita semakin meningkat.

Ibarat sehelai daun hijau yang apabila tiba masanya bertukar warna menjadi keperangan dan kekeringan.

Usia kita tidak semestinya sentiasa muda. Telah menjadi ketentuan pada satu hari usia kita bertukar menjadi tua.

Waktu itu rambut kita yang dahulunya hitam telah bertukar menjadi uban yang putih. Kulit kita telah bertukar menjadi kedut.

Itulah tanda pengakhiran perjalanan hidup yang kita lalui di atas dunia yang fana ini.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!