Catatan Alam Persekolahan

Papan hitam

Papan Hitam ( Roman Mager )

Alam persekolahan.

Alam yang paling menyeronokkan dan menggembirakan.

Semua orang mengalami alam persekolahan. Kali ini aku nak berkongsi tentang alam persekolahan sekolah menengah.

Kerana aku tidak dapat melupakannya sehingga ke hari ini. Kadang-kadang rasa lucu pun ada. Mana tidaknya aku meronta-ronta nak kembali semula ke alam persekolahan.

Tapi aku akur.

Masa yang telah berlalu tak akan dapat diundurkan kembali. Bak kata orang cempedak tak akan jadi nangka.

Sekali usia kita meningkat dan kita akan terus ke depan. Dalam mengharungi kehidupan ini. Tanpa menoleh ke belakang lagi.

Sebaliknya apa yang telah kita alami akan tinggal menjadi kenangan yang indah. Sekolah Menengah ST. Paul. Itulah nama sekolah menengah tempat aku belajar.

Sebelum ini dari Darjah 1 hingga ke Darjah 6 aku bersekolah di Sekolah Rendah ST. Paul yang terletak di Taman Bukit Labu, Seremban.

Jadi, aku meneruskan kesinambungan bersekolah di nama sekolah yang sama. Cuma bezanya peringkat sahaja. Kalau dahulu sekolah rendah tapi sekarang sekolah menengah.

Sebagai tanda penghargaan terhadap kenangan manis itu maka aku coretkan catatan ketika bersekolah di Sekolah Menengah ST. Paul.

Bukan sahaja untuk tatapan pembaca malahan juga kawan-kawan yang sama bersekolah dengan aku.

 

TAHUN 1983

Aku melangkah ke Tingkatan 1.

Aku bersekolah di Sekolah Menengah ST. Paul yang terletak di Jalan Tan Sri Manickavasagam, Seremban.

Sekolah ini adalah merupakan sekolah lelaki dan Inggeris pertama yang ditubuhkan pada tahun 1899 di Negeri Sembilan. Aku bersekolah petang. Kelas aku 1 Austin.

Tak ramai pelajar Melayu pada waktu itu.

Dalam erti kata lain boleh dikira dengan jari. Selebihnya ramai pelajar Cina, India dan bangsa-bangsa yang lain. Bagi aku sekolah petang ada kelebihan dan keistimewaannya.

Waktu asar pelajar-pelajar Islam diberi kelonggaran untuk menunaikan solat di surau sekolah.

Bulan Ramadhan pelajar-pelajar Melayu dikecualikan daripada Pendidikan Jasmani kerana menjalani ibadah puasa.

Paling menyeronokkan sekolah bersurai lebih awal daripada waktu biasa. Sampai rumah aje dah masuk waktu nak berbuka. Jadi, masa berpuasa terasa singkat.

 

TAHUN 1984

Aku melangkah ke Tingkatan 2.

Masih lagi bersekolah petang. Kelas aku 2 Celestine. Tak banyak yang dapat aku kongsikan sewaktu berada di dalam Tingkatan 2. Cuma rasa terhibur dengan telatah pelajar-pelajar Melayu.

Suka mengusik dan membuat lawak dengan guru-guru. Jadi terhibur dan seronok rasanya dengan telatah mereka itu.

Sehingga ke hari ini aku masih lagi terbayang-bayang usikan nakal mereka. Tapi senakal-nakal mereka tidaklah sampai di kenakan tindakan. Mereka masih lagi menjaga etika dan disiplin sebagai seorang pelajar sekolah.

Aku masih ingat lagi. Hanya 2 orang sahaja pelajar Melayu yang menjadi pengawas sekolah pada waktu itu. Zulkarnain dan Azman. Sebab 2 orang sahaja maka senanglah aku ingat nama kedua-dua mereka.

 

TAHUN 1985

Aku melangkah ke Tingkatan 3.

Aku bersekolah pagi. Tahun yang amat penting bagi aku. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Waktu itu kalau tak lulus SRP tak dapat naik ke Tingkatan 4. Kalau nak naik Tingkatan 4 kena ulang semula sampai lulus.

Kelas aku 3 Isidore.

Dalam banyak-banyak alam persekolahan yang aku lalui sewaktu berada di Tingkatan 3 yang tidak dapat aku lupakan sehingga ke hari ini. Banyak kenangan indah dan amat menyeronokkan.

Lebih-lebih lagi telatah pelajar-pelajar Melayu yang tidak ramai.

Macam-macam perkara yang mencuit hati dan menghiburkan yang mereka lakukan.

Sewaktu di Tingkatan 3 aku bersahabat karib dengan Azman. Yang menjadi pengawas sekolah sewaktu di Tingkatan 2. Sampai sekarang hubungan kami masih akrab.

Masa di Tingkatan 3 aku belajar bersungguh-sungguh. Maklumlah nak lulus SRP dan seterusnya naik Tingkatan 4.

Matapelajaran yang aku beri tumpuan dan perhatian sepenuhnya adalah Matematik Moden. Waktu itu kalau tak lulus matapelajaran ini alamatnya tak dapatlah naik Tingkatan 4.

Seperkara lagi pelajar Melayu mendapat keistimewaan keluar awal pada setiap hari Jumaat untuk menunaikan solat di masjid.

Syukur alhamdulillah. Berkat usaha aku, aku mendapat pangkat A 28 dalam peperiksaan SRP.

 

TAHUN 1986

Aku melangkah ke Tingkatan 4.

Kelas aku 4 Thomas. Aliran Perdagangan.

Tingkatan 4 selalu dikaitkan dengan bulan madu. Sebab tak ada peperiksaan penting untuk diduduki. Semasa di Tingkatan 4 aku ada bercadang hendak berpindah sekolah.

Kerana sebelum ini aku dan keluarga tinggal di Rahang. Namun pada penghujung tahun 1985 aku dan keluarga berpindah ke Taman Rashidah Utama yang terletak di Jalan Paroi-Senawang.

Sebenarnya pengangkutan bas nak sekolah yang mendorong aku untuk berpindah ke sekolah baru. Jauh juga jarak antara rumah aku dengan Sekolah Menengah ST. Paul.

Bukan tak ada bas waktu itu cuma sebuah sahaja. Kalau terlepas alamatnya lambatlah sampai ke sekolah. Ayah aku pulak setiap hari berulang-alik ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Awal pagi lagi dia dah keluar. Jadi, dia tak dapatlah nak menghantar aku ke sekolah bila aku terlepas bas. Dalam fikiran aku sekolah yang menjadi pilihan adalah sama ada Sekolah Menengah Seri Ampangan atau Sekolah Menengah King George V.

Sekolah Menengah Seri Ampangan jaraknya tidak jauh daripada rumah aku. Berbanding dengan Sekolah Menengah King George V.

Jaraknya jauh sedikit dan terletak di tengah-tengah Bandar Seremban. Entah mengapa. Hasrat aku untuk berpindah ke sekolah baru terpendam dengan begitu sahaja.

Aku sebaliknya terus bersekolah di Sekolah Menengah ST. Paul.

Walaupun bas hanya sebuah sahaja tapi aku tak pernah lewat datang sekolah. Setiap hari aku keluar awal dan lama-kelamaan tidak timbul lagi dalam fikiran aku untuk bertukar sekolah disebabkan pengangkutan bas.

Dalam pada itu ada juga kawan-kawan aku yang tidak lagi bersekolah di Sekolah Menengah ST.Paul. Ada yang berpindah ke sekolah lain dan ada yang berpindah ke sekolah vokasional mengambil kemahiran dalam bidang yang mereka minat.

Sewaktu di Tingkatan 4 juga minat aku dalam dunia penulisan mula bercambah. Bermula dengan saja suka-suka menulis puisi dalam buku dan membacanya sendiri.

Aku tidak menghantar puisi yang ditulis ke mana-mana majalah mahupun akhbar. Aku sendiri pun tak tahu. Kenapa aku berbuat begitu.

Banyak juga puisi yang aku tulis. Seingat aku penuh juga satu buku.

Aku tulis, baca dan simpan. Mungkin pada waktu itu aku tidak tahu majalah atau suratkhabar mana yang harus aku hantar untuk disiarkan.

 

TAHUN 1987

Aku melangkah ke Tingkatan 5.

Bermakna bulan madu telah pun tamat. Tahun yang amat penting. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Ringkasnya SPM. Kelas aku 5 Thomas dan masih lagi dalam aliran Perdagangan.

Aku mengambil matapelajaran tambahan. Kesusasteraan Melayu.

Ada juga kawan aku yang pelik kerana aku mengambil matapelajaran itu. Sedangkan ia tidak ada langsung di Sekolah Menengah ST.Paul.

Aku beritahu yang aku minat sangat dengan Kesusasteraan Melayu.

Jadi, sebab itu aku mengambil matapelajaran tersebut. Semasa di Tingkatan 5 minat aku menulis puisi terus terpadam. Aku sendiri pun tak tahu kenapa.

Mungkin kerana aku menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran untuk menghadapi peperiksaan SPM yang bakal tiba maka aku tidak menulis puisi.

Apabila keputusan SPM diumumkan akan mendapat pangkat 2. Kesusasteraan Melayu aku dapat 1.

Aku kemudiannya lalu melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Seri Ampangan dalam aliran Sastera. Sekolah Menengah ST.Paul hanya ada aliran Sains sahaja di Tingkatan 6.

 

Demikianlah..

Yang dapat aku catatkan mengenai alam persekolahan di Sekolah Menengah ST. Paul.

Walaupun aku dan kawan-kawan telah lama meninggalkan alam persekolahan namun kami tetap sentiasa berhubung. Terima kasih kepada saudara Raja Azlan yang telah mewujudkan whatsapp group yang diberi nama Muslim Paulians United.

Melaluinya dapatlah kami bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Kepada kawan-kawan sekolahku sama ada yang membaca catatan ini atau di mana jua berada setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan.

Kerana telatah kalian sepertimana yang aku katakan pada awal tadi amat menghiburkan dan menggembirakan.

Harapan aku semoga hubungan persahabatan yang kita bina semenjak daripada bangku sekolah lagi akan terus berkekalan buat selama-lamanya. Lebih-lebih lagi sahabat karibku Azman.

Akhir kata sebelum mengundurkan diri aku sentiasa mendoakan yang terbaik buat kalian semua dan semoga terhibur di samping dapat mengembalikan semula nostalgia indah zaman persekolahan yang pernah kita lalui bersama pada satu ketika dahulu.

#######


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!