Buat Seorang Teman

Genggam Erat ( InsidePhoto )

Teman..

Hadirmu umpama kerlipan cahaya lilin.

Menerangi kegelapan dalam hidupku. Kau yang membuatkan aku gembira.

Di kala aku dilanda duka. Kau yang menjadikan aku terhibur. Ketika dibungkus rasa kesepian. Kau sering menitipkan kata-kata semangat buatku. Agar tidak mudah mengalah bila berdepan dengan cabaran dalam hidup ini.

Kau amat setia dan jujur dalam persahabatan. Sesungguhnya kau adalah teman sejati. Dalam seribu payah satu nak ditemui.

Dalam hidup ini teman ketawa memang ramai di sekeliling. Tapi teman menangis hanya seorang diri. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia di dunia ini. Hanya inginkan keindahan dan bukannya kepedihan.

Tapi bagi aku kau adalah berlainan dan amat istimewa sekali. Kerana kau bukan sahaja mahu bergembira bersama dengan aku malahan juga menangis bersama.

Sesungguhnya aku berasa amat bersyukur sekali. Mempunyai seorang teman seperti kau.

Adakah akan aku temui lagi teman yang benar-benar sejati seperti kau?

Atau inilah yang pertama dan terakhir aku menemui seorang teman sejati seperti kau? Bisik hati kecilku.

Aku tidak dapat menjawab pertanyaan yang tidak henti-henti menendang benakku itu. Namun bagi aku semua ini adalah ketentuan. Untuk kita menjalinkan persahabatan.

 

Teman..

Masih lagi segar kata-kata kau. Bahawa hidup ini penuh dengan warna-warna suka dan duka. Tak semua keindahan yang kita impikan dalam hidup ini akan menjadi kenyataan.

Bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Ibarat kita makan nasi tak akan lengkap tanpa sambal belacan.

Demikianlah hebatnya kata-kata kau. Sehingga menjadikan aku benar-benar berasa kagum dan teruja.

Kata kau di sebalik ujian dan dugaan itu sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi. Perlu dihadapi dengan kuat dan tabah.

Bukannya mengeluh dan merintih dengan takdir yang telah ditentukan. Memang dugaan dan ujian itu amat berat dipikul.

Seperti memikul seketul batu yang besar dan berat. Namun kemanisan akan dinikmati apabila ujian dan dugaan berjaya diatasi.

Aku lalu jadi terdiam apabila mendengar kata-kata kau itu. Kemudian aku lalu memandang wajah kau yang penuh dengan ketenangan itu.

Dari raut wajah kau itu aku telah pun dapat membaca. Bahawa kau tidak mahu aku tunduk mahupun kalah dengan dugaan yang mendatang dalam hidup ini.

Terima kasih aku ucapkan. Kerana kau telah memberikan aku semangat dan kekuatan dalam menghadapi apa jua rintangan dan duri-duri yang menyakitkan dalam hidup ini.

 

Teman..

Keikhlasan kau aku sanjung tinggi. Kau sentiasa menjaga hati dan perasaan aku. Aku tahu yang kau tidak mahu aku rasa terluka dan berjauh hati.

Demi untuk menjaga persahabatan sejati yang telah sekian lama kita bina bersama. Kata kau hidup ini tak ubah seperti laut membiru yang terbentang luas. Pasang dan surut silih berganti.

Hidup ini bagai putaran roda. Adakalanya di atas. Ada ketikanya di bawah. Hari ini kita berasa gembira tapi esok belum pasti lagi.

Sesungguhnya perjalanan hidup ini bukan di tangan kita untuk menentukannya. Tapi segalanya adalah di tangan Tuhan Yang Esa.

Maka dengan itu kita harus berasa amat bersyukur dengan apa yang ada.

Kata-kata kau itu mengingatkan aku bahawa kalau kita sentiasa berasa bersyukur maka Tuhan akan menambahkan lagi nikmat yang ada.

Tapi kalau kita kufur maka Tuhan akan menarik semula nikmat yang kita ada selama ini.

Kau turut mengingatkan aku bahawa apabila memandang langit yang tinggi rumput yang menghijau di bawah jangan sesekali dilupakan.

Apabila sudah berjaya dalam hidup ini janganlah mudah lupa diri dan berlagak sombong.

Tak ubah seperti si kudung yang mendapat cincin. Ingatlah asal usul dan segala jerih perit yang terpaksa dilalui sebelum menuju ke puncak kejayaan.

Ikutlah resmi padi makin tunduk makin berisi. Segala kemewahan dan kesenangan hidup yang ada bukanlah milik kita selamanya.

Apabila tiba masanya nanti semua itu terpaksa kita tinggalkan. Kau mengingatkan aku bahawa usia kita hidup di dunia ini umpama daun kering.

Akhirnya akan jatuh juga menimpa tanah apabila ditiup angin.

 

Teman..

Kau benar-benar menyedarkan aku. Dalam hidup ini yang baik harus dijadikan teladan dan yang buruk harus dijadikan sempadan.

Seperti yang disebut dalam pepatah buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Perkara yang baik harus dijadikan sebagai amalan.

Dan perkara yang membawa kepada keburukan harus dihindarkan dengan segera. Sebelum menjadi darah daging dalam diri.

Menjadikan perkara yang baik sebagai amalan akan membawa keberkatan dalam hidup ini.

Tapi kalau sebaliknya memilih perkara yang buruk sebagai amalan dalam hidup ini akan mengundang kepada dosa dan kemungkaran.

Sebagai seorang teman sejati kau juga menasihatkan aku supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Kalau berkawan dengan orang yang baik maka kita akan baik jadinya.

Tapi kalau berkawan dengan orang yang jahat maka kita akan jahat jadinya.

Lalu aku bertanya kepada kau kenapa kalau kita berkawan dengan orang yang baik maka kita akan mengikut dia menjadi baik.

Sebaliknya kalau kita berkawan dengan orang yang jahat maka kita akan mengikut rentak dia menjadi jahat.

Jawapan yang kau berikan mudah. Kita mudah terpengaruh dengan perwatakan orang yang kita jadikan sebagai kawan itu.

Paling aku tidak dapat lupa adalah kau mengingatkan aku andainya sesat hendaklah segera kembali semula ke pangkal jalan sebelum terlambat.

Sudah menjadi naluri kita sebagai manusia tidak dapat lari daripada melakukan salah dan dosa. Kita sebagai manusia amat kerdil di sisi-Nya.

Kerana yang baik itu datangnya daripada Allah SWT jua. Manakala yang lemah dan khilaf itu datangnya daripada diri kita sendiri.

 

Teman..

Banyak yang telah aku belajar tentang hidup ini daripada kau. Di samping nasihat dan ingatan yang kau berikan.

Untuk aku jadikan sebagai panduan dan pedoman yang sangat berguna dalam mengharungi perjalanan hidup ini.

Kata kau hidup ini adalah satu perjuangan.

Berjuang dan terus berjuang selagi masih lagi bernafas dan dikurniakan kudrat. Sehingga memperolehi kejayaan yang sejati dan cemerlang.

Andainya jatuh dalam perjuangan harus bangkit segera dan keluar sebagai pemenang. Sentiasa tanamkan tekad dalam diri untuk terus berusaha memburu kejayaan dalam hidup ini.

Tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Pasti kejayaan akan berada dalam genggaman.

Aku masih ingat lagi kata-kata kau. Bahawa tiada jalan singkat dalam mencipta kejayaan. Semuanya memerlukan usaha keras dan gigih.

Itulah kunci utama untuk berjaya dalam hidup ini. Kau turut memberitahu aku agar tahu menilai antara intan permata dan kaca.

Berkilauan belum tentu intan permata.

Jangan terlalu memandang pada keindahan. Sebaliknya belum tentu memberikan kita kegembiraan. Berhati-hatilah dalam membuat sesuatu keputusan itu.

Supaya kita tidak merasa kerugian di kemudian hari nanti. Bak kata pepatah sesal dahulu sebelum pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

 

Teman..

Tidak lupa kau mengingatkan aku bahawa yang tua kita hormatkan. Tanpa yang lama tak akan datang yang baru. Pada yang tak punya apa kita bantu.

Kerana mereka seperti kita juga ingin merasai kesenangan dalam hidup ini. Dengan ini maka terasalah kasih dan sayang sesama insan. Tanpa mengira pangkat dan darjat.

Kita manusia yang hidup di dunia ini sama sahaja di sisi Tuhan Yang Esa. Tidak mengenal kaya mahupun miskin. Kuat mahupun lemah.

Ringankanlah tangan untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Supaya dapat meringankan penderitaan yang mereka tanggung.

Kata kau biarlah kita dipandang miskin harta. Asalkan kita dipandang kaya dengan budi bahasa.

Tiada gunanya kita kaya dengan harta yang bertimbun-timbun dan melimpah ruah macam air sungai. Tapi sayangnya miskin budi bahasa.

Ketahuilah bahawa kaya dengan budi bahasa itu adalah sifat yang paling mulia.

Anak-anak adalah anugerah Tuhan dan harta yang paling bernilai buat kita sebagai ibu bapa. Mereka adalah ibarat sehelai kain putih.

Maka sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkannya. Dengan warna yang cantik dan menarik apabila dipandang.

Oleh itu kata kau maka seharusnyalah kita mendidik mereka dengan ajaran agama dan membentuk diri mereka menjadi insan yang berguna pada negara dan bangsa.

 

Teman..

Kau juga menekankan bahawa betapa pentingnya muafakat dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu. Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.

Barulah kerja yang berat itu menjadi ringan dan mudah untuk dilaksanakan.

Hidup perlu sentiasa bersatu. Sebarang bentuk yang membawa kepada perpecahan perlu dihindarkan dengan segera.

Kukuhkan tembok perpaduan dan rapatkan barisan nescaya perpecahan tidak akan berlaku dengan mudah.

Perpecahan tidak akan membawa keuntungan kepada kita. Sebaliknya membawa kerugian sesama kita.

Kata kau belajarlah daripada sejarah silam yang telah berlaku. Sesungguhnya sejarah mempunyai banyak pengajaran dan teladan untuk kita pelajari bersama.

Supaya sejarah silam yang membawa kerugian dan tidak bermanfaat kepada kita tidak akan berulang kembali.

Sebelum mengakhiri coretan ini sekali lagi aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Kerana kau sebagai teman sejati banyak memberikan aku nasihat dan kata-kata yang boleh dijadikan sebagai peringatan dan panduan dalam mengharungi perjalanan hidup ini.

Yang umpama seperti sebuah kapal yang mengharungi lautan biru yang luas terbentang.

Sambil membawa bekalan yang cukup menuju ke destinasi pelabuhan abadi sebagai perhentian.

Aku mendoakan semoga hidup kau sentiasa sejahtera dan dilimpati keberkatan daripada Allah SWT jua hendaknya.

Aminx3.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!