Buat Seorang Yang Bernama Sahabat

Jejak ( CC0 )

Kau dan aku bagaikan ombak dan pantai kerana saling memerlukan tiap waktu dan ketika.

Tika aku dalam kegelapan kau hadir membawa cahaya yang menerangi hidupku yang kegelapan.

Pernah satu ketika aku merasakan diri ini sudah kalah kerana gagal dalam hidup ini tapi kau berikan aku semangat agar tidak mudah mengalah.

Ketika aku dalam duka kau menjadi penawar sehingga aku tersenyum semula.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Kejujuran dan keikhlasanmu kusanjung tinggi kerana sukar untuk aku mencari seorang sahabat seperti kau.

Dalam ramai yang menjadi sahabatku hanya kau seorang saja yang benar-benar menjadi sahabat sejatiku.

Kau bukan sahaja mahu ketawa bersama tapi juga menangis bersama.

Tapi bagi aku itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kerana seorang yang bernama sahabat hanya mahu berkongsi rasa kegembiraan dan bukannya kedukaan.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Kau mengajar aku erti ketabahan dan kesabaran dalam hidup ini.

Katamu bukan hidup namanya kalau tidak menghadapi dugaan dan cabaran yang datang.

Sesungguhnya cabaran dan dugaan itu amat pahit dan menyakitkan.

Namun kemanisan akan terasa apabila berjaya menghadapi setiap dugaan dan cabaran yang datang.

Terima kasih, sahabat.

Kerana mengingatkan aku dengan kata-kata itu.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Kau pernah berkata padaku bahawa usah berasa kecewa apabila tidak merasa bahagia dalam hidup ini.

Mungkin Tuhan sudah sediakan esok hari bahagia buat kita.

Paling aku tidak lupa adalah kata-katamu yang mengingatkan bahawa hidup ini tak ubah seperti putaran roda.

Adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah.

Tika berada di atas kita menjadi sanjungan namun apabila berada di bawah tiada siapa yang akan menyanjung kita.

Ketika itu barulah kita sedar bahawa hidup ini tidak boleh menongkah langit selama-lamanya.

Kata-katamu itu benar-benar membenamkan rasa kesedaran dan keinsafan ke dalam diriku.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Masih lagi jelas terbayang di ruang mataku.

Ketika itu kita sama-sama menyusuri pantai dengan ditemani suara desiran ombak yang menghempas pantai bersama bayu laut yang bertiup nyaman dan dingin.

Sambil menyaksikan buih-buih memutih yang berapungan membasahi pantai.

Sekejap timbul dan sekejap hilang apabila ditolak dan ditarik ombak.

Aku masih ingat lagi kata-katamu waktu itu bahawa hidup ini tak ubah seperti air laut yang membiru.

Pasang dan surut silih berganti.

Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Hari ini kita merasa gembira tapi esok belum pasti lagi.

Mungkin kita akan berasa sedih.

Ketentuan hidup bukan kita yang menentukannya sebagai manusia.

Tapi semuanya adalah di tangan Tuhan Yang Esa.

Aku benar-benar menginsafi akan kata-katamu itu.

Terasa betapa kerdilnya diri ini di sini Tuhan Yang Esa.

Yang mencipta makhluk dan seluruh alam semesta ini.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Aku lalu menarik nafas yang panjang.

Terasa segar dan nyaman apabila dapat menghirup udara laut.

Pohon-pohon menghijau dan rendang yang tumbuh di tepi pantai seperti menari-nari apabila ditiup angin yang datang dari arah laut.

Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri mengikut rentak tari irama angin yang bertiup.

Daun-daun yang bergeseran antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu dan menghiburkan jiwa.

Daun-daun kering yang berguguran ditiup angin kelihatan bertaburan dan menutupi butiran pasir yang halus dan memutih.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Lalu kau memandang wajahku.

Kau mengatakan bahawa usia kita adalah ibarat sehelai daun kering.

Satu hari nanti akan bertukar warna menjadi keperangan dan jatuh berguguran menimpa tanah apabila ditiup angin.

Aku hanya mengangguk-angguk diam sebagai tanda bersetuju dengan kata-kata kau itu.

Aku cukup mengerti dengan apa yang kau maksudkan itu.

Usia kita tidak akan selama-lamanya seperti sehelai daun hijau.

Tidak selama-lamanya kita akan menjadi muda.

Apabila tiba masanya nanti kita akan bertukar menjadi tua.

Dalam erti kata lain hidup kita akan sentiasa ke depan dan bukannya mengundur ke belakang.

Masa yang telah berlalu tidak akan dapat diputar kembali.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Aku kemudian lalu memandang ke langit yang membiru.

Matahari kelihatan bersinar indah.

Awan yang memutih kelihatan menebal.

Cahaya matahari yang terang-benderang menyinari seluruh alam semesta ciptaan Tuhan Yang Esa.

Butiran pasir yang halus kelihatan berkilauan umpama mutiara apabila disinari matahari.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Kau memberitahu aku bahawa perjalanan hidup ini tak ubah seperti satu pengembaraan.

Berjalan dan terus berjalan tanpa hentinya sehingga ketemu perhentian.

Kau juga memberitahu aku yang perjalanan hidup ini ibarat sebuah kapal yang berlayar mengharungi lautan yang terbentang luas sambil membawa muatan menuju ke pelabuhan.

Demikianlah tafsirannya perjalanan hidup kita di atas dunia yang sementara ini.

Perlu mempunyai bekalan yang secukupnya untuk dibawa ke akhirat nanti.

 

Buat Seorang Yang Bernama Sahabat ….

Kau banyak mengajar aku tentang erti sebenar kehidupan ini.

Mengingatkan aku supaya jangan leka dan seronok dengan kenikmatan dunia.

Peringatan ini juga turut kau tujukan pada diri kau sendiri.

Aku benar-benar berterima kasih kepada kau yang bernama seorang sahabat.

Semoga persahabatan yang kita bina ini akan berkekalan buat selama-lamanya.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *