Apabila Minat Semuanya Akan Menjadi

Cat Tangan ( Lisa Fotios )

Apabila sudah timbul minat
di dalam diri maka semuanya akan menjadi.

Bak kata orang sekali jatuh cinta selama-lamanya kita akan jatuh cinta.

Kali ini aku ingin berkongsi tajuk mengenai minat. Tentu para pembaca di luar sana tertanya-tanya. Mengapa tajuk ini yang aku pilih sebagai coretan untuk menghiasi ruangan ini.

Sebenarnya aku ingin mengajak para pembaca agar menghayati dan memahami apa sebenarnya yang dikatakan sebagai minat itu. Selalunya minat adalah perkara yang sudah biasa dan sering kita lakukan dengan mudah.

Tapi bagi aku minat juga akan
menjadikan kita melakukan sesuatu perkara yang baru. Walaupun ia adalah amat sukar dan yang bukan kita gemari. Namun kalau kita sentiasa melakukannya pada setiap hari maka akan menjadi mudah dan menimbulkan minat kepada kita akhirnya.

Kita mungkin tidak mempunyai
bakat dalam bidang penulisan. Kerana menganggapnya susah terutama sekali dalam menyusun ayat dan mengolah karya yang kita hasilkan. Sama ada cerpen, puisi, novel dan sebagainya. Tetapi kalau kita mempunyai minat yang mendalam dan menulis pada setiap hari pasti akan menjadi ringan dan mudah kepada kita.

Begitu juga dengan halnya kalau
kita hendak menjadi seorang usahawan yang berjaya. Sedangkan kita tidak tahu tentang selok-belok dan langsung tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam dunia perniagaan. Namun semua itu janganlah dijadikan sebagai alasan dan halangan dalam kita mencapai cita-cita murni itu.

Sebaliknya dengan minat dan
usaha keras kita pasti akan berjaya menjadi seorang usahawan yang berjaya dan terkenal. Kalau orang lain boleh melakukannya kenapa kita tidak. Andainya ditanya apakah rahsia kejayaan mereka selama ini. Jawapan aku adalah tak lain tak bukan kerana minat dan sentiasa bekerja keras untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Sebagaimana yang kita ketahui
bahawa pelajaran adalah amat penting dalam menentukan masa depan. Kejayaan dengan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tidak akan mudah dan datang dengan bergolek melainkan dengan belajar bersungguh-sungguh dan rajin mengulangkaji pelajaran. Tetapi dengan menjadikan belajar sebagai minat maka kejayaan pasti akan berada dalam genggaman.

Bukan itu sahaja mata pelajaran yang kita tidak dapat menguasainya dengan baik akan dapat diatasi dengan mudah. Apabila kita mempunyai minat untuk sentiasa belajar dan memperbaiki segala kelemahan dari masa ke semasa.

Sepertimana yang kita sedia maklum
bahawa amalan menabung adalah satu amalan yang sangat bijak dan digalakkan dalam kehidupan kita seharian. Dengan menjadikan menabung sebagai amalan bukan sahaja dapat memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan malahan dapat menjamin masa depan yang bakal kita lalui.

Oleh yang demikian maka minat
menabung juga perlu ada sentiasa dalam diri kita. Kedudukan kewangan yang kukuh amat penting dalam kita merancang dan mengawal perbelanjaan. Apabila ada minat menabung maka kita dapat berjimat cermat dan tidak boros. Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa minat menabung mendatangkan faedah yang sangat besar di mana wang yang disimpan dapat menampung keperluan dan perbelanjaan bulanan yang lain.

Untuk menjadi seorang ahli sukan
yang berjaya maka kita perlu sentiasa berlatih dan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi. Ia menjadi faktor utama untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Namun sekiranya mempunyai minat dan keazaman yang tinggi maka kejayaan yang diimpikan akan dapat dicapai sepenuhnya.

Hendak menjadi seorang pelukis
yang menghasilkan karya seni yang hebat dan memikat hati penggemar lukisan juga perlu ada minat. Apabila minat sudah bertapak dalam diri maka mudahlah untuk menghasilkan karya seni yang terbaik dan dinanti-nantikan oleh peminat tegar lukisan.

Kerjaya sebagai seorang guru adalah
amat mulia kerana mendidik anak bangsa yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Namun tugas dan tanggungjawab itu bukanlah mudah untuk dipikul mahupun digalas. Kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkait rapat dengan dunia pendidikan. Tetapi semua itu akan dapat diatasi dan dihadapi dengan mudah apabila tertanam dalam diri untuk menaburkan bakti dengan menjadi sebagai seorang pendidik.

Ada ketikanya kita mudah mengalah
apabila diberikan satu tugasan dan tanggungjawab yang baru. Dengan alasan bahawa kita tidak mampu untuk melakukannya dengan sebaik mungkin. Dalam erti kata lain adalah ibarat mengharungi jalan yang berliku dan penuh ranjau. Memang amat payah dan sukar untuk kita menghadapinya termasuk perit dan getir di samping rasa pedih dan amat menyakitkan.

Tetapi apabila kita kaji semula
itu semua adalah di atas kertas sahaja. Namun realitinya akan menjadi mudah dan dapat melaksanakannya dengan baik. Ia hanya dapat dilakukan apabila kita mempunyai minat dan menganggap bahawa setiap tanggungjawab dan tugasan yang diberikan itu adalah amanah yang perlu ditunaikan.

Tidak kurang pula yang menganggap bahawa
menjalankan penyelidikan dan kajian bukanlah satu tugas yang mudah. Tambahan pula ia amat jauh dan sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan bidang tugas kita. Tetapi bagi aku itu bukanlah satu jawapan yang tepat dan boleh terima. Sepertimana yang telah aku tekankan bahawa dengan minat sahaja semua itu akan menemui jalan yang mudah dan tugas tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Memang aku tidak nafikan bahawa
dalam menjalankan sesuatu kajian mahupun penyelidikan perlu mempunyai kepakaran terutamanya dalam pengumpulan maklumat dan data di samping temubual bersama-sama dengan responden. Namun semua ini akan menjadi mudah apabila kita mempunyai minat yang tinggi dan mendalam terhadap bidang penyelidikan dan kajian.

Sebenarnya minat boleh kita tafsirkan
sebagai kesukaan atau hobi terhadap sesuatu. Kita akan berasa janggal atau tidak lengkap rasanya hidup ini apabila tidak melakukannya. Ini kerana ia sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada kehidupan yang kita lalui.

Jadi, apabila kita berasa suka dan seronok melakukannya maka akhirnya membawa kepada mudah. Ini menjadikan kita sentiasa mempertahankan minat yang ada di dalam diri kita dan sentiasa mencari kepuasan diri sebagai tambah nilai.

Dalam pada itu kita harus ingat bahawa
minat hanya untuk melakukan perkara yang baik sahaja. Bukannya perkara yang buruk dan memudaratkan kepada diri sendiri. Jangan sesekali melakukan perkara yang jahat sebagai minat. Kerana lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan di dalam diri kita.

Sememangnya minat mempunyai pengaruh
yang besar dalam perjalanan hidup yang kita lalui. Kita berasakan seolah-olah hidup tidak sempurna umpamanya apabila tidak pergi memancing. Begitu juga dengan menyanyi kalau tidak dapat mendendangkan satu lagu kita merasakan bahawa hidup ini amat membosankan.

Itu hanya pandangan aku sahaja. Mungkin kau orang sebagai pembaca coretan ini mempunyai pandangan yang lain. Sebab kita mempunyai pandangan dan persepsi yang berlainan dan berbeza-beza. Apabila kita sama-sama mengupas dan membincangkan tajuk tentang minat.

Memang seronok sebenarnya apabila
kita membicarakan tajuk ini. Sebab ia lebih kepada kegembiraan dan kesukaan. Bukannya kesedihan dan kedukaan. Tiada siapa yang ingin menangis dalam hidup ini. Semuanya ingin bergembira. Tapi dalam pada itu kita juga harus beringat bahawa tidak boleh terlalu bergembira sangat dalam hidup ini. Takut nanti akan menangis juga akhirnya.

Kita ingin sentiasa menjadi yang terbaik dalam hidup ini. Contohnya kalau tugas kita sebagai seorang pereka sudah tentu kita mahu menghasilkan sesuatu yang mencerminkan kekreatifan yang kita miliki dan bernilai tinggi.

Namun ia bukanlah sesuatu yang senang
dan amat mudah untuk dilakukan. Melainkan dengan daya usaha dan ilham yang perlu dicari. Ada ketikanya mereka diuji dengan kesabaran dan kebuntuan untuk mendapatkan idea yang tak kunjung datang dan menghilang entah ke mana.

Namun dengan adanya minat yang sentiasa meresap segar ke dalam diri maka akan mudah untuk diperolehinya walaupun dalam keadaan yang terdesak mahupun sukar.

Bercucuk tanam juga boleh dijadikan
sebagai minat. Bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan malahan juga kita dapat menikmati hasilnya. Tanamlah apa sahaja dan jadikanlah ia sebagai satu minat. Bukan sahaja kita dapat mengisi masa lapang yang terluang dengan mengerjakan tanah yang ada di rumah kita walaupun tidak luas seperti tanah kebun mahupun ladang malahan juga mendatangkan keuntungan kepada kita.

Demikianlah yang dapat aku kongsi
mengenai minat. Apa yang dapat aku tafsirkan bahawa semua orang mempunyai minat yang tersendiri. Minat bukan hanya ada satu sahaja malahan bermacam-macam. Ia tidak boleh dipaksa untuk kita menyukai atau meminatinya. Tetapi lahir daripada kemahuan dan keinginan kita sendiri.

Semoga coretan ini akan memberi banyak manfaat kepada para pembaca dalam memahami apa sebenarnya yang dikatakan sebagai minat itu dalam kehidupan yang kita lalui.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

1 Response

  1. Mohd Noor bin Hamzah says:

    Bahasa mudah,
    Cerita bermakna, memberi motivasi

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *