Aku Masih Ingat Lagi Di Suatu Ketika Dahulu..

Tayangan ( Jeremy Yap )

Nama aku Asrul Effendi bin Kamaruzzaman.

Aku dilahirkan pada 6 Disember 1970 di Kuala Pilah.

Ayah aku Kamaruzzaman bin A Kadir adalah seorang guru. Berasal dari Kampung Talang. Manakala ibu aku pula Zaini binti Haji Ma’aya pula berasal dari Kampung Senaling.

Kampung Talang dan Kampung Senaling ini terletak dalam daerah Kuala Pilah. Aku mempunyai 2 orang adik-beradik. Aku anak yang kedua dan juga anak lelaki tunggal.

Kakak aku yang sulung Susilawati binti Kamaruzzaman. Manakala adik aku yang bongsu Iza Hairani binti Kamaruzzaman.

Kedua-dua ayah dan ibu aku telah meninggal dunia. Ayah aku meninggal dunia pada tahun 2005. Ibu aku pula pada tahun 2013.

Pada tahun 1975 kami sekeluarga berpindah ke Seremban. Sebab ayah aku ditukarkan mengajar di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah. Di Seremban kami tinggal di Taman Murugasu. Ia berdekatan dengan tempat sekolah ayah aku mengajar.

Tuan punya rumah ini adalah seorang lelaki India.

Seingat aku dia selalu menaiki basikal dan berseluar pendek. Sehingga sekarang rumah yang kami tinggal itu masih ada lagi. Rumah-rumah baru juga didirikan di taman ini.

Kami tidak lama tinggal di Taman Murugasu. Kami kemudiannya berpindah rumah pula ke taman perumahan di Jalan Hose atau sekarang Jalan Za’ba.

Balai bomba tidak jauh dari rumah kami tinggal. Setahu aku itulah satu-satunya balai bomba yang ada di Seremban pada ketika itu. Nombor rumah kami ialah 68. Tuan punya rumah ini adalah orang India. Tak silap aku Encik Singgam namanya.

Jiran-jiran kami adalah orang Cina dan India. Kami satu-satunya keluarga Melayu yang tinggal di taman perumahan itu.

Kami tinggal di sini sehingga tahun 1982. Taman perumahan ini sekarang telah tiada lagi. Telah digantikan dengan kedai-kedai milik bangsa Cina yang menjual aksesori kereta.

Ada juga beberapa buah rumah yang telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baru.

 

~~ Aku masih ingat lagi ~~

Ketika tinggal di Jalan Hose aku sering melihat kereta lembu yang dibawa oleh seorang lelaki tua Sikh. Kereta lembu ini membawa pasir, rumput dan papan. Aku juga sering melihat seorang perempuan tua Cina menjual sayur sambil mengandar bakul dan meneriak sayur! sayur! sayur! dalam bahasa Cina.

Pada waktu malam penjual roti yang menaiki motosikal akan datang ke taman perumahan tempat kami tinggal. Penjual roti ini adalah lelaki berbangsa Cina. Dia akan membunyikan hon dan ibu akan membeli roti sebagai juadah sarapan kami sekeluarga pada keesokan hari.

Berhadapan dengan rumah aku ada gelanggang bola keranjang. Setiap petang gelanggang ini akan dipenuhi dengan anak-anak muda Cina bermain bola keranjang. Tapi sekarang gelanggang bola keranjang ini telah tiada.

Manakala di belakang rumah aku pula adalah bengkel kereta. Besar jugak bengkel ini. Nama bengkel ini Champion Motor. Pekerjanya terdiri daripada Melayu, Cina India dan lain-lain bangsa lagi. Bengkel ini sekarang telah tiada lagi. Telah digantikan dengan perniagaan yang lain pula.

Berhampiran dengan bengkel kereta ini adalah deretan rumah kedai yang kebanyakannya didiami orang Cina. Seingat aku hanya ada sebuah restoran mamak dan pejabat urusan syarikat bas Seremban Town Service (STS) dalam deretan kedai tersebut. Yang lainnya adalah kedai runcit milik orang Cina.

Bas Seremban Town Service (STS) adalah merupakan pengangkutan awam utama di bandar Seremban pada waktu itu. Pemilik syarikat bas ini adalah seorang lelaki Sikh. Selain daripada bas Seremban Town Service (STS) satu lagi pengangkutan awam di Seremban pada waktu itu adalah Sistem Kenderaan Negeri (SKN).

Pemilik syarikat bas ini adalah orang Melayu. Tapi sekarang kedua-dua pengangkutan awam ini tidak ada lagi di bandar Seremban. Sebaliknya digantikan pula dengan syarikat yang lain pula.

Bengkel bas Seremban Town Service (STS) ini juga terletak berhadapan dengan pejabat urusan syarikat bas tersebut. Bengkel dan pejabat urusan syarikat bas ini sekarang sudah tidak ada dan tidak beroperasi lagi apabila bas Seremban Town Service (STS) tidak lagi menjadi pengangkutan awam utama di Seremban.

Aku juga pernah melihat kereta antik di lorong deretan rumah kedai ini. Kereta antik jenis ini selalu aku lihat dalam filem-filem Inggeris lama. Sudah tentu kereta ini buatan dari luar negara. Pemiliknya tidak aku ketahui.

Pada tahun 1976 aku memasuki alam persekolahan tadika.

Sekolah tadika tempat aku belajar tidak jauh dari rumah aku. Jadi setiap pagi ibu akan menghantar aku dan tengah hari ibu akan mengambil aku pulang dengan berjalan kaki.

Kawan-kawan aku di sekolah tadika terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa lagi. Guru-guru pula adalah wanita Cina dan India. Aku masih ingat lagi sebelum aku dan kawan-kawan melangkah ke Darjah 1 aku dan kawan-kawan telah mengadakan konsert di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.

Waktu itu dewan ini terletak berhampiran dengan Pejabat Pos Seremban dan Pasar Besar Seremban. Bangunan dewan ini adalah bentuk lama. Ia kemudiannya telah dirobohkan dan dibina baru. Bangunan Dewan Majlis Perbandaran Seremban sekarang ini terletak di depan bangunan Yayasan Negeri Sembilan.

Aku amat meminati cerita Combat yang ditayangkan di televisyen pada waktu itu. Ceritanya adalah mengenai pertempuran antara tentera Amerika dengan tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Tentera Amerika sentiasa dapat menewaskan tentera Jerman dalam cerita Combat.

Watak utama dalam cerita Combat yang aku masih ingat lagi adalah Vic Morrow sebagai sarjan dan Rick Jackson sebagai leftenan.

Ketika itu cerita-cerita yang ditayangkan di televisyen adalah dalam warna hitam putih. Tidak lama kemudian barulah bertukar kepada warna.

 

~~ Aku masih ingat lagi ~~

Pada setiap Jumaat malam akan di selang-selikan dengan cerita Melayu dan cerita Indonesia. Kalau Jumaat minggu ini cerita Melayu maka Jumaat minggu depan pula cerita Indonesia. Begitulah jadual yang disusun oleh pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) pada waktu itu.

Malahan aku masih ingat lagi ketika di tadika aku dan kawan-kawan juga sering bermain perang-perang seperti dalam cerita Combat di televisyen. Demikianlah kuatnya pengaruh cerita Combat ke dalam diri aku dan kawan-kawan pada ketika itu.

Pada tahun 1977 aku memasuki Darjah 1 di Sekolah Rendah St. Paul.

Aku masih ingat lagi. Datuk sebelah ayah yang menghantar aku pada hari pertama masuk sekolah.

Aku ke sekolah dengan menaiki van yang dipandu lelaki India. Namanya aku tak tahu. Aku dan kawan-kawan yang naik van ke sekolah memanggil dia “uncle” saja. Kakak aku juga naik van yang dipandu “uncle” pergi ke sekolah.

Sekolah Rendah St. Paul ini terletak di tengah-tengah bandar Seremban. Bentuk bangunan sekolah ini adalah lama iaitu era penjajahan zaman British. Kesemua pelajar sekolah ini adalah lelaki.

Berhadapan dengan sekolah ini adalah kuil orang Sikh. Sampai sekarang kuil ini masih ada lagi. Berhampiran dengan sekolah ini adalah Padang Majlis Perbandaran Seremban. Padang ini masih ada lagi pada hari ini.

 

~~ Aku masih ingat lagi ~~

Berhampiran dengan sekolah ini adalah kedai percetakan dan kedai makan nasi daun pisang. Pemilik kedua-dua kedai ini adalah orang India.

Pada waktu balik aku dan kawan-kawan menunggu van di kedai percetakan ini. Tapi sekarang kedua-dua buah kedai ini telah dirobohkan. Menjadi tempat letak kereta.

Berhampiran dengan sekolah ini juga adalah pasar raya Emporium. Seingat aku pasar raya ini menjadi tumpuan utama penduduk Seremban membeli-belah pada waktu itu. Kemudian barulah wujud beberapa pasar raya yang lain.

Pasar raya ini sekarang tidak ada lagi. Telah digantikan dengan perniagaan lain.

Sekolah Rendah Convent dan Sekolah Menengah Convent juga terletak tidak jauh daripada Sekolah Rendah St. Paul pada waktu itu. Pelajar kedua-dua sekolah ini semuanya adalah perempuan. Kakak dan adik aku bersekolah di sekolah ini.

Sekolah Rendah Convent dan Sekolah Menengah Convent terletak sebelah-menyebelah. Bentuk bangunan kedua-dua buah sekolah ini adalah lama iaitu era penjajahan zaman British. Sama seperti Sekolah Rendah St. Paul.

Bangunan kedua-dua sekolah ini telah dirobohkan apabila kedua-duanya berpindah ke Jalan Labu Lama, Seremban. Nama kedua-dua sekolah ini juga telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Puteri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri.

Pada tahun 1978 aku melangkah ke Darjah 2.

Aku bersekolah petang dan masih lagi bersekolah di sekolah yang sama. Sekolah Rendah St. Paul. Sewaktu Darjah 2 aku ke sekolah dengan menaiki van yang dipandu oleh seorang lelaki Cina. Aku dan kawan-kawan memanggil pemandu van ini “taukeh”.

Kakak dan adik aku juga menaiki van yang dipandu “taukeh” pergi ke sekolah.

Tidak jauh dari sekolah ini ada sebuah gereja. Aku masih ingat lagi. Bila pukul 6.00 petang saja loceng gereja ini akan kedengaran berbunyi.

Pada tahun 1979 aku melangkah ke Darjah 3.

Aku bersekolah pagi dan masih lagi bersekolah di sekolah yang sama. Sekolah Rendah St. Paul. Aku masih lagi menaiki van taukeh pergi ke sekolah. Begitu juga dengan kakak dan adik aku. Ada ketikanya aku dan kawan-kawan menonton tayangan filem Inggeris di dewan sekolah.

 

~~ Aku masih ingat lagi ~~

Waktu itu ada perkhidmatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson. Aku dan keluarga pernah menaiki kereta api pergi ke Port Dickson. Tambangnya aku tak ingat.

Tapi sekarang perkhidmatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson sudah tidak ada. Cuma yang tinggal landasan sepanjang laluan dari Seremban ke Port Dickson serta stesen kereta api dan gudang menyimpan barang di Port Dickson sebagai peninggalan bersejarah.

Muzium pada waktu itu adalah di Taman Bunga Seremban. Kemudian ia telah dipindahkan di Jalan Sungai Ujong.

Bangunan Rumah Rehat Seremban pada ketika itu adalah kayu dan terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V dan berhampiran dengan Taman Tasik Seremban. Ia kemudiannya telah dirobohkan dan digantikan dengan Hotel Tasik. Hotel Tasik ini juga telah dirobohkan.

Sekarang bangunan baru Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang dibina di tapak Rumah Rehat Seremban dan Hotel Tasik. Di taman Tasik Seremban ada sebuah pentas yang sering digunakan artis-artis tempatan untuk membuat persembahan nyanyian pada ketika itu. Persembahan ini seingat aku sering diadakan pada hari Sabtu malam minggu.

Bangunan Sekolah Kebangsaan Rahang pada waktu itu juga adalah kayu. Sekolah ini terletak berhampiran dengan jambatan ke Rasah dan Stesen Kereta api Seremban. Bangunan sekolah ini kemudiannya telah dirobohkan apabila ia berpindah ke Jalan Medan Rahang.

Seingat aku lagi pada ketika itu banyak rumah-rumah kuarters kerajaan di Jalan Medan Rahang. Tetapi sekarang rumah-rumah tersebut tidak ada lagi. Sebaliknya digantikan dengan bangunan-bangunan perniagaan.

Selain daripada Jalan Medan Rahang rumah-rumah kuarters kerajaan terletak di Jalan Tembak. Mak cik aku iaitu adik emak aku pernah tinggal di rumah kuarters kerajaan di jalan tersebut.

Dia bekerja sebagai ketua jururawat di Hospital Besar Seremban manakala suaminya pula bekerja sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada ketika itu.

Pada tahun 1980 aku melangkah ke Darjah 4.

Aku bersekolah pagi dan masih lagi bersekolah di sekolah yang sama. Sekolah Rendah St. Paul. Aku masih lagi menaiki van taukeh pergi ke sekolah. Begitu juga dengan kakak dan adik aku.

Pada tahun ini juga aku menyaksikan secara langsung di televisyen perlawanan bolasepak kelayakan Olimpik antara Malaysia dengan Korea Selatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Perlawanan berkesudahan dengan Malaysia menang 2-1 ke atas Korea Selatan dan seterusnya layak ke Moscow, Russia. Hasil jaringan James Wong setelah mendapat hantaran daripada Hassan Sani.

Aku dapat merasakan betapa hebatnya pasukan bolasepak Malaysia pada zaman itu.

Sewaktu Darjah 4 sekolah ini telah berpindah ke Jalan Sungai Ujong, Seremban. Sekolah ini telah dirobohkan dan dibina kompleks membeli-belah iaitu Wisma Punca Emas. Aku masih ingat lagi pada ketika itu lori-lori sibuk keluar masuk membawa perabot, kerusi, meja, barang-barang dan lain-lain lagi berpindah ke tempat baru di Jalan Sungai Ujong, Seremban.

Bangunan Wisma Punca Emas ini dan gereja masih lagi terdapat sehingga ke hari ini. Cuma satu atau dua kedai sahaja yang masih lagi menjalankan perniagaan di Wisma Punca Emas. Yang lain tidak lagi beroperasi.

Pasar Seremban pada waktu itu adalah bangunan kayu dan beratapkan zink. Ia terletak di bangunan Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan sekarang. Aku selalu mengikut ibu ke pasar pada waktu itu.

Kebanyakan peniaga di pasar ini adalah orang Cina. Bangunan pasar ini telah terbakar. Ia kemudiannya telah digantikan dengan bangunan pasar baru. Tidak jauh dari tapak pasar lama yang telah terbakar.

Hentian bas Seremban Town Service (STS) juga terletak tidak jauh dari tapak pasar lama. Berhampiran dengan hentian bas ini adalah deretan kedai makan orang Minangkabau. Bas Seremban Town Service (STS) seingat aku pada waktu itu akan menunggu penumpang yang pergi menonton wayang di panggung Odeon yang terletak tidak jauh dari hentian bas sehingga pukul 12.00 tengah malam.

Hentian bas ini tidak lagi digunakan apabila bas Seremban Town Service (STS) tidak lagi beroperasi. Sebaliknya menjadi tempat letak kereta dan pemandu-pemandu teksi bandar Seremban menunggu penumpang. Begitu juga dengan deretan kedai makan orang Minangkabau dan panggung wayang Odeon.

Deretan kedai makan orang Minangkabau telah digantikan dengan bangunan kedai yang baru. Manakala panggung wayang Odeon pula tidak lagi beroperasi dan digantikan dengan perniagaan yang lain.

Selain daripada panggung wayang Odeon terdapat juga beberapa buah panggung wayang yang lain di bandar Seremban. Namun semuanya tidak lagi beroperasi dan digantikan dengan perniagaan yang lain pula.

 

~~ Aku masih ingat lagi ~~

Hentian bas di bandar Seremban pada ketika itu adalah bangunan kayu dan beratapkan zink. Ketika di hentian bas Seremban aku sering melihat seorang lelaki India menjual kacang putih dalam bekas yang berbentuk seperti meja dalam kelas di sekolah dan menjunjung di kepala.

Hentian bas ini kemudiannya telah berpindah ke tempat baru. Tidak jauh daripada tapak lama hentian bas Seremban. Tapak lama hentian bas Seremban kini telah didirikan dengan bangunan kedai.

Pada ketika itu juga ada sebuah Pasar Rabu di bandar Seremban. Pasar ini dinamakan Pasar Rabu kerana peniaga-peniaganya berniaga pada setiap hari Rabu. Peniaga-peniaganya duduk bersila menjual jualan mereka yang kebanyakannya sayur-sayur kampung dan kuih-muih tradisional Melayu. Aku selalu juga mengikut ibu ke pasar ini.

Tapak Pasar Rabu ini terletak berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Anglo Chinese School (ACS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist. Bangunan Pasar Rabu ini sekarang telah tiada lagi. Tapak pasar ini telah didirikan dengan bangunan kedai yang menjual makanan dan minuman.

Pada tahun 1981 aku melangkah ke Darjah 5.

Aku bersekolah pagi dan masih lagi bersekolah di sekolah yang sama. Sekolah Rendah St. Paul. Aku tidak lagi menaiki van taukeh pergi ke sekolah. Taukeh telah diminta oleh anak-anaknya agar berhenti daripada memandu van sekolah kerana dia telah tua dan membahayakan keselamatan.

Aku telah menaiki bas ke sekolah yang dipandu oleh lelaki Cina yang bernama Ah Hock. Begitu juga dengan kakak dan adik aku.

Pada tahun ini juga aku dan keluarga berpindah ke selang beberapa buah rumah iaitu rumah No. 65 di taman perumahan yang sama. Tuan punya rumah yang kami sekeluarga sewa ini adalah lelaki berbangsa Cina dan namanya aku tak ingat.

Pada tahun 1982 aku melangkah ke Darjah 6.

Aku bersekolah pagi dan masih lagi bersekolah di sekolah yang sama. Sekolah Rendah St. Paul. Aku masih lagi menaiki bas yang dipandu Ah Hock pergi ke sekolah. Begitu juga dengan kakak dan adik aku. Pada tahun ini juga aku dan keluarga telah berpindah rumah ke taman perumahan di Rahang.

Sekarang tempat-tempat dan kehidupan yang pernah dilalui pada suatu ketika dahulu semuanya tinggal menjadi kenangan.

Namun begitu ia sentiasa segar di ingatan aku sehingga ke hari ini walaupun zaman sentiasa berubah.

*******


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *