Suami Orang Mencintai Saya Atau Sekadar Tempat Menghilangkan Bosan?

Tanda Anak Panah ( Pablo )

~~~ SOALAN ~~~

Saya mimi, saya kenal lelaki ni melalui fb kawan saya dan secara tak langsung, saya penah terserempak dengan dia.. saya tahu si dia berstatus suami orang, dan saya tidak ada niat untuk jatuh cinta dengan dia, jadi saya tidak pernah berhubung dengan dia..

Sampai satu masa, si dia ternampak saya di kedai makan, tapi saya buat tak kenal, dan selang 2 hari, ada request friend di fb.. jadi saya approve, alasan saya approve sebab si dia kawan kepada kawan saya.. dan akhir sekali kami “berwhatsapp” katanya untuk berkawan..

Tapi setelah 1 bulan berkawan, si dia selalu cakap nak bawak saya pergi ke Thailand, dan kalau boleh nak berkahwin dengan saya, saya risau isteri dia akan dapat tahu mengenai hubungan saya dengan dia..

Bagi saya kami berdua hanya kawan, dan saya tak pernah panggil dia “sayang”

Tapi dia selalu mesej saya dengan perkataan “sayang” dan selalunya dia yang memulakan mesej… kami berdua pernah lunch bersama sewaktu isteri dia tak ada..

Banyak kali dia mesej dia sayangkan saya, walaupun saya tak sayangkan dia, jadi dia tau saya cuma menganggap si dia kawan, tambah saya masih anak dara, tapi kelakuan dia, kata-kata manis dia buatkan saya percaya..

Jadi sekarang ni saya nak tahu, adakah dia mencintai saya sebenar-benarnya?

Atau hanya tempat menghilangkan bosan?

Tapi… si dia jika mempunyai peluang atau masa lapang, si dia akan mesej saya dan ajak keluar (saya akan menolak)…

Boleh bagi pendapat?

 

~~~~~~~ JAWAPAN ~~~~~~~

Assalamualaikum Mimi.

Membaca masalah yang Mimi kemukakan ini, saya dapat merasakan bahawa seperti mana wanita lainnya, Mimi juga berhasrat untuk diketemukan dengan jodoh yang terbaik untuk diri Mimi.

Dan daripada persoalan Mimi ini, jelas Mimi sudah menyukai si lelaki dan ada keraguan di dalam diri, adakah lelaki yang baru Mimi kenali daripada laman sosial Facebook ini benar-benar serius keatas Mimi.

Pada masa sama juga, si lelaki ini adalah suami orang dan, Mimi merasa risau seandainya perhubungan ‘hanya kawan’ antara Mimi dengan lelaki ini akan diketahui oleh isterinya.

Seperti yang Mimi nyatakan di dalam soalan, Mimi baru berkawan sebulan sahaja dengan si lelaki ini, namun dia sudah selalu mengatakan ingin mengajak Mimi untuk pergi ke Thailand, dan kalau boleh, ingin mengahwini Mimi.

Melalui penyataan ini, apa yang saya dapat tangkap adalah si lelaki ini hanya menyatakan keinginan sahaja buat masa ini dan belum lagi bertindak keatas keinginannya itu.

Memetik satu simpulan bahasa daripada barat, “Talk is cheap” yang bermaksud, “cakap memanglah senang”, saya berpendapat, Mimi perlu meminta lelaki ini bertindak untuk mengotakan kata-katanya sebelum Mimi benar-benar mempercayai dia.

Memandangkan ini merujuk kepada pergi ke Thailand dan berkahwin, maka sewajarnya tindakan yang Mimi perlu dapatkan adalah komitmen si lelaki untuk dua perkara berkenaan.

Mungkin Mimi boleh membawa si lelaki menemani Mimi menghadiri kursus kahwin terlebih dahulu, juga bertemu dengan ahli-ahli keluarga Mimi untuk membincangkan urusan hantaran, mas kahwin dan sebagainya.

Seterusnya, bincang dengan si lelaki tentang tiket penerbangan, tempat penginapan semasa di Thailand untuk Mimi dan wali Mimi (ini penting untuk Mimi, biasanya bapa) kerana berkahwin di Thailand ini adalah hasrat si lelaki.

Semestinya kos boleh di bahagi, namun bincangkan dahulu supaya Mimi tahu di mana status sebenar keinginan si lelaki ini untuk memperisterikan Mimi.

Jika dia mengelak atau acuh tak acuh, jangkakan bahawa dia mungkin menipu Mimi selama ini dan hanya berhasrat mendapatkan sesuatu daripada Mimi untuk kepentingan dirinya sahaja.

Seterusnya, untuk mengubat kerisauan Mimi di mana Mimi risau isteri kepada si lelaki akan dapat tahu perhubungan Mimi dan suaminya, sebaiknya Mimi bertemu dengan isteri si lelaki ini.

Mimi boleh meminta si lelaki untuk membawa Mimi bertemu isterinya jadi tidaklah merasa kekok jika berjumpa kelak, dan tidaklah Mimi merasa risau lagi.

Tindakan ini sebenarnya untuk melihat adakah si lelaki jujur dalam perhubungannya dengan Mimi. Kita tak pasti akan masa depan, namun jika dia boleh merancang berkahwin dua, tidak mustahil untuk dia merancang berkahwin tiga.

Jika ia berlaku, maka Mimi pastinya ingin suami Mimi jujur memberitahu hasratnya kepada Mimi kelak.

Jika dia mengelak dan ingin menipu atau bersembunyi daripada pengetahuan isterinya, maka Mimi bersedialah membuat keputusan untuk meninggalkan dia, agar dia tak ada peluang melakukan perkara serupa kepada Mimi kelak jika Mimi berkahwin dengannya.

Untuk persoalan adakah si lelaki ini sekadar menjadikan Mimi tempat menghilangkan bosan, jawapannya hanya si lelaki saja yang tahu. Tiada cara untuk kita mengetahui bila dia bosan, dan adakah dia sedang bosan ketika menghubungi Mimi.

Namun, apa yang saya boleh lihat, pembawaan diri si lelaki ini adalah ala-ala remaja bercinta.

Sebagai seorang lelaki yang sudah beristeri dan berhasrat untuk berkahwin lagi, sepatutnya kita boleh menjangkakan seorang lelaki matang.

Dan lelaki matang pastinya sudah melaksanakan tindakan-tindakan yang disebutkan di atas berbanding masih berkata-kata tanpa apa-apa hasil yang boleh dilihat.

Namun, segala yang di cadangkan ini sekadar pendapat sahaja. Ianya berdasarkan apa yang Mimi kongsikan di dalam soalan Mimi. Keputusan masih di tangan Mimi untuk menentukan apa yang terbaik untuk diri Mimi dan masa depan Mimi.

Apa yang Mimi boleh lakukan ketika ini adalah berdoa agar keputusan yang Mimi buat kelak adalah yang terbaik untuk diri Mimi.

Wassalam.


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Masfira Latif

Pemilik Masfira Network. Seorang Writer, Publisher & Blogger.

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *