Suami Tak Solat, Mak Mertua Tak Kisah

Pagai Dawai

Wayar Tajam ( JuergenPM )

Assalamualaikum,

Apa yang harus saya lakukan andainya mak mertua tidak pernah ingin menasihati anaknya supaya berfikir dengan matang tentang hal-hal yang saya kemukakan mengenai agama seperti solat, belajar agama etc.

Selalu bila terjadinya pertengkaran antara kami, suami sentiasa cakap kepada mak mertua yang dia tidak boleh tahan lagi hidup seperti terkongkong, ini salah, itu salah (suami saya kadang berperangai seperti remaja dan single sedangkan umurnya 36 tahun) dia bertanggungjawab dari segi nafkah zahir tetapi kami kurang berkomunikasi (nafkah batin) kerana pada dia, dia bukan jenis lelaki yang suka bermanja-manja atau berdiskusi tentang masa depan rumah tangga kami berdua.

Mak mertua hanya akan menasihatkan suami yang saya salah sebab sentiasa berbual tentang agama, yang saya ni jenis perempuan yang strict dan mak mertua juga bukannya mengingatkan suami tentang orang-orang yang beriman tetapi compare rumahtangga kami dengan rumahtangga orang-orang yang tidak solat atau kurang praktik tuntutan agama dan mak mertua akan membesar-besarkan bahawa rumahtangga mereka tetap bahagia dan masih teguh bersatu.

Suami sering ingin memutuskan pernikahan kami setelah memakan kata-kata ibunya yang menggalakkan hidupnya yang kononnya masih bahagia tanpa pegangan agama.

Saya sudah hilang hormat kepada mak mertua. Mak dan bapak mertua saya memang tidak solat. Suami pula sekejap sahaja rajin solat. Selalunya bila dia rasa yang saya berikan dia tekanan hidup, dia akan berhenti solat dan menyalahkan saya dan akan bangga yang maknya sendiri yang tidak memaksa dia.

Saya sampai hilang pedoman hidup dan rasa ingin mati sahaja dan sampaikan hasrat saya itu pada suami. Sehinggakan saya janji kepada suami yang saya akan biarkan dia hendak buat apa sahaja asalkan dia tidak meninggalkan saya. Sebab suami kata dia menyesal bernikah dan ingin bujang semula dan tidak perlu tanggungan.

Apakah saya bodoh kerana masih ingin menjadi isteri kepada orang yang tidak ingin taat pada Allah dan juga mempunyai mak dan bapak mertua yang sampai bila pun akan indirectly menghasut suami yang saya ni isteri yang tidak bagus sebab tidak habis-habis berbual tentang agama.

Ini pernikahan saya yang ketiga. Yang pertama dan kedua bercerai akibat kekerasan dan kekasaran. Saya dan suami yang sekarang baru setahun setengah berumahtangga. Kami tidak mempunyai anak. Tetapi saya mempunyai 2 anak remaja hasil pernikahan pertama. Dan saya selalu mengingatkan suami untuk menjadi role model kepada anak-anak tetapi tidak di endahkannya. Kami belum ada rumah dan masih menumpang di rumah mak saya sendiri. Saya pula tidak bekerja.

SOALAN DARIPADA: “Puan Tunisya”

===================================

JAWAPAN:

Assalamualaikum wbt Puan,

Untuk persoalan puan sebelum ini, saya memetik ulasan daripada pakar motivasi terkenal barat, Andrew Matthews.

Pernah tak puan fikirkan, mengapa sesuatu perkara itu sering berlaku kepada sesetengah orang namun tidak pula kepada yang lainnya?

Ada orang yang sentiasa gagal dalam perniagaan baru yang di usahakannya, ada orang yang acap kali kahwin tetapi pengakhirannya cerai, juga ada orang yang sentiasa berhutang baru dengan harapan melangsaikan hutang lama namun hutang semakin bertambah – masalah kehutangan tak selesai-selesai pula.

Setiap orang memiliki permasalahan berbeza, seolah-olah ianya sudah dirancang untuk mereka.

Dan perkara terburuk yang mereka akan lakukan adalah mengungkapkan, “Ini tidak adil! Mengapa asyik-asyik perkara ini berlaku kepada aku?”.

Sebenarnya, setiap dari pada kita sentiasa berdepan dengan pengajaran hidup.

Pengajaran hidup ini datang tak kira kita suka atau tidak, dan ianya tidak akan berhenti selagi kita tidak memahaminya.

Suami Tidak Solat… Ibu Mentua Tidak Membantu Dalam Menasihatkan Malahan Menyokong!

Pengajaran dalam hidup ini kebanyakannya pahit, meski benar, ianya kebanyakannya pahit.

Kita boleh mengelakkan diri daripada menerima pengajaran tersebut, namun ia akan datang lagi dan lagi.

Bermasam muka dengan suami kerana suami tidak solat, berselisih faham dengan mak mentua kerana “sudahlah tidak ingin menasihat si anak, menyokong pula perbuatannya yang salah” – semua ini adalah satu bentuk pengajaran yang muncul khusus untuk diri puan.

Dalam berpuluh tahun kehidupan yang saya alami, satu perkara yang saya fahami adalah “kita tidak akan dapat mengubah orang lain, melainkan diri kita sendiri”.

Puan inginkan suami untuk bersolat, mengamalkan tuntutan agama dan menjadi role model untuk anak-anak.

Puan inginkan mak mentua mendengar kata-kata puan, menasihatkan anaknya juga mungkin berharap untuk dia bersolat dan memahami agama islam sebaiknya.

Malangnya, itu adalah diri mereka.

Puan boleh bertekak dengan mereka, bermasam muka dengan mereka, menegur mereka untuk berubah namun itu adalah diri mereka. Niat puan yang sememangnya baik, mengubah keadaan menjadi lebih buruk pula.

Si suami semakin lama semakin tidak suka akan keberadaan puan – ingin merasakan hidup bujang dan tiada tanggungan pula.

Mak mertua yang dahulunya berbual dengan puan sebagai ibu mertua dan anak menantu, kini berubah menjadi pelindung kepada anaknya dan puan menjadi musuh pula.

Di Mana Silapnya..? Apa Perlu Di Lakukan?

Kadangkala, mentaliti kita adalah musuh kepada diri kita sendiri.

Katakan puan mengatakan suami tak matang, mak mertua tak rasional dan menyakini kata-kata ini, maka selamanya ia akan menjadi benar. Suami puan akan kekal tak matang, ingin membujang dan sering ingin memutuskan perkahwinan.

Si ibu mertua pula akan selamanya tidak rasional, tidak bersetuju dengan kata-kata puan meskipun melibatkan perihal agama – solat dan amalan yang sepatutnya dilakukan.

Kesemua ini jika berlanjutan, boleh menjadi lebih buruk. Sudah tiba masanya puan berhenti mengharapkan perubahan daripada orang lain – kerana mereka tidak akan berubah.

Yang puan boleh ubahkan dalam peristiwa di atas adalah diri puan sendiri.

Mungkin wujud persoalan, “Mengapa puan perlu berubah sedangkan puan berniat baik, ingin suami mengamalkan solat dan ajaran agama dan si ibu mentua menyokong usaha tersebut?”

Jawapannya adalah, bukan perkara solat itu yang menjadi permasalahan. Diri puan akan kekal dalam situasi sama walau dalam mana-mana kehidupan selepas ini jika pengajaran pahit kali ini puan gagal mendapat pengajaran daripadanya.

Sebenarnya, sudah tiba masanya untuk puan meningkatkan prestasi diri puan.

Jika sebelum ini puan tidak bekerja, sudah tiba masanya untuk puan mencari pekerjaan. Jika selama ini puan bergantung kepada suami, sudah tiba masanya puan belajar untuk berdiri atas kaki sendiri.

Perlu di sedari, apabila puan tidak meningkatkan kualiti diri, puan akan rapuh bersama orang-orang di sisi puan.

Anak-anak puan akan mengalami kesan buruk apabila puan bertindak negatif. Suami akan kekal tidak suka, ibu mentua akan semakin menjauh.

Jika puan berubah positif, jangkakan perubahan positif daripada orang-orang di sekeliling.

Suami mungkin menyukai diri puan yang lebih bertenaga, malahan boleh membelanjakan suami dengan sesuatu yang istimewa di penghunjung bulan – makan angin barangkali. Mungkin juga perubahan positif puan membawakan kemampuan untuk memberi kepada ibu mertua sesuatu yang di sukainya dan membolehkan puan masuk kedalam hidup mereka.

Anak-anak puan akan menjadi lebih bersemangat untuk berjuang dalam hidup bersama-sama puan meskipun puan pernah gagal dalam dua perkahwinan sebelum ini.

Pada masa ini, jika puan mengatakan solat adalah amalan, tidak ada sesiapa akan menyangkal kerana puan yang mengamalkan solat dan ajaran agama, perubahan hidup positif yang berlaku kepada puan adalah bukti nyata untuk mereka juga ikut sama berubah.

InsyaAllah, melihat perubahan positif puan, mereka dengan sendirinya akan memilih untuk bersolat dan mempelajari semula ajaran agama yang telah lama mereka tinggalkan.

Kesimpulan…

Satu perkara yang kita harus fahami dalam hidup ini adalah kita berhak untuk memilih menjadi lebih bahagia.

Namun kadang-kala, kita tersalah pilih langkah, mengharapkan orang lain berubah demi kebahagiaan kita, sedangkan kebahagiaan kita adalah bergantung kepada pilihan diri kita sendiri.

Jika puan berdepan dengan sesuatu masalah sekali lagi, yang berulang, ingatlah kata-kata saya ini, ianya adalah pengajaran khusus untuk puan, hadapinya dan puan akan keluar dari pengajaran tersebut dengan kejayaan.

InsyaAllah.


(Laporan akan di buat kepada FACEBOOK & GOOGLE ADSENSE jika ARTIKEL Saudari.com di ambil tanpa kebenaran.)

~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Masfira Latif
Pemilik Masfira Network. Seorang Writer, Publisher & Blogger.

Banyak Lagi Di Saudari

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!