Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kahwin Kerana Allah?

Kahwin Kerana Allah (Via: LittleMuslimah)

Ianya kedengaran mudah untuk diungkapkan, ‘kahwin kerana Allah’.

Namun demikian, berapa ramaikah di antara kita yang memahami konsep yang cuba diketengahkan oleh ungkapan tersebut?

Terdapat sebuah hadis berkaitan niat yang berbunyi seperti ini:

“Segala amalan adalah berdasarkan niat.

Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan.

Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya.

Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya”

(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)

Daripada hadis berkenaan, tahulah kita bahawa niat adalah komponen utama yang boleh membantu kita menjelaskan konsep ‘kahwin kerana Allah’ ini.

Niat perkahwinan yang menginginkan redha Allah bukan sekadar dibandingkan dengan nafsu semata.

Ia meliputi pelbagai komponen dan ini adalah antara niat-niat perkahwinan yang membawa kepada pengertian ‘kahwin kerana Allah’ tadi:

Imam Habib Ali bin Abu Bakar As-Sakran As-Saqqaf Rahimahullah berkata:

Aku niat di dalam pernikahan dan perkahwinan ini kerana:

1) Cinta kepada Allah

2) Serta berusaha meramaikan anak untuk mengekalkan makhluk manusia di muka bumi Allah Ta’ala

3) Cinta kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam serta banyakkan kebanggaannya sebagaimana sabda beliau:

“Berkahwinlah kamu serta perbanyakkan keturunan, kerana sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu dari umat yang terdahulu.”

Aku berniat berkahwin dan apa sahaja yang berkaitan dengannya dari perkataan dan perbuatan agar:

4) Mendapat barakat daripada doa anak yang soleh

5) Meminta syafaat dari anak yang mati kecil jika anak itu mati sebelumku.

Aku niat berkahwin ini agar:

6) Terhindar dari godaan syaitan

7) Memecahkan keinginan yang sangat kuat

8) Menghindarkan malapetaka yang menimpa

9) Memejam mata dari segala hal yang diharamkan oleh Allah Ta’ala dan gangguan was was

10) Dan menjaga kemaluanku dari perbuatan keji

Aku niat berkahwin ini untuk:

11) Menenangkan diri dengan menggembirakan isteri didalam pergaulan dengannya

12) Memandang dan bercumbu cumbuan dengannya

13) Menyenangkan hati dan menambah ketaqwaan dalam ibadah

14) Mententeramkan hati dari perkara yang berkaitan dengan dapur, memasak, mengemas, menyapu, menghampar tikar, membasuh pinggan mangkuk seta menyediakan keperluan kehidupan.

Aku niat bernikah juga untuk:

15) Melawan hawa nafsu dan melatihnya dengan penjagaan

16) Pengawasan supaya dapat melaksanakan kewajipan keluarga

17) Sabar terhadap tingkah laku

18) Sabar dan menahan diri dari gangguan mereka

19) Berusaha memperbaiki dan memberi petunjuk ke jalan yang baik

20) Berusaha mencari rezeki yang halal untuk keluarga

21) Melaksanakan perintah Allah dalam mendidik anak serta meminta kekuatan dan penjagaan dari Allah dan memohon taufiqNYA dan penyerahan diri kepada hadhrat Ilahi dan aku berniat untuk kesemua yang disebutkan tadi kerana Allah.

22) Aku niat juga seperti ini dan juga selainnya dari perbuatan dan perkataan yang aku lakukan dan katakan di dalam nikah ini kerana Allah

23) Aku berniat seperti niat orang-orang yang soleh dari ulama yang mengamalkan ilmunya.
(Sumber: Facebook)

Niat perkahwinan yang membawa kepada Allah dan RasulNya-lah yang disamaertikan dengan kahwin kerana Allah.

Perkahwinan yang diusahakan untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Tidak dinafikan, sangat beruntung orang yang berkahwin kerana Allah ini, kerana pada hari kiamat kelak, mereka-mereka inilah yang akan mendapat perteduhan dan pelindungan Allah, sesuai dengan hadis di bawah ini:

“Sesungguhnya ALLAH SWT mengatakan pada hari kiamat akan memanggil, ‘Manakah orang-orang yang saling mencintai hanya karena Aku?

Pada hari ini Aku akan melindungi mereka di hari yang tidak ada tempat berteduh dan berlindung kecuali perlindungan-Ku.’ ”

(HR. Muslim)

Jika anda ingin berkahwin kerana Allah, terapkan niat anda di dalam diri, insyaAllah akan mendapat keredhaan Allah.

 


~~~~~~~
Anda ada (Sejarah @ Kisah) yang nak di luahkan? Ingin kongsi bersama apa yang terpendam di hati? Sila pergi terus ke sini untuk berkongsi sesuatu >>
~~~~~~~

Luqman Mikhail

Luqman Mikhail adalah seorang penulis dan blogger.
www.luqmanmikhail.com

Banyak Lagi Di Saudari

2 Responses

  1. Seseorang says:

    Assalamualaikum.. Izinkan sy bertanya.. Sbb sy buntu.. Sy dgn lelaki sekian akan berkahwin.. Tapi hanya perancangan sbb cuma kami berdua.. Tapi perkahwinan kami bukan atas dasar cinta.. Tetapi tanggungjawab.. Dia beritahu saya.. Dia beritahu sy.. Dia berkahwin dengan sy sebab terpaksa.. Kerana tanggungjawab yang tak dapat lari.. Sbb dia dh ambil maruah sy.. Tak perlu lah sy bercerita lebih kenapa kami jadi macam tu.. Tapi sy sudah bertaubat.. Lelaki sekian beri alasan lagi dia berkahwin dgn sy nnt bukan sbb cinta.. sy pun dh buat istikharah tahajjud solat taubat hajat setiap hari.. Sy tak tahu pilihan apa patut sy buat.. Sy buntu.. Teruskan atau lepaskan.. kalau sy berkahwin juga dengan dia boleh ke dia cintakan sy? Boleh ke kami bahagia? Terima kasih.

  2. Luqman says:

    Waalaikumussalam saudari,

    Sebaiknya soalan ini diajukan kepada golongan ulama, namun saya mengambil sedikit ruang ini untuk memberi sepatah kata dua.

    Dalam hal ini, beristikarah sepatutnya memberikan kita jawapan, tapi dalam kebanyakan kes – kita mungkin tak tahu apakah rupa jawapan tersebut – oleh itu pilihan kita adalah merujuk kepada al-Quran untuk panduan.

    Soalan 1: Teruskan atau lepaskan?

    Dalam surah An-Nur ayat 3,
    “Lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita Musyrik dan wanita yang berzina tidak akan menghawini lelaki kecuali yang berzina atau Musyrik.”

    Jika saudari dan bakal suami sudah menginsafi dan melakukan taubat nasuha, maka perkahwinan adalah sebaik-baiknya untuk kedua-dua belah pihak. Teruskan.

    Sebaliknya, jika hanya sebelah pihak sahaja bertaubat, diragui yang belum bertaubat itu adalah penzina dan dia masih kekal di dalamnya, sebaiknya dilepaskan kerana ia akan lebih memudaratkan.

    Soalan 2: Boleh ke dia cinta? Boleh ke bahagia?

    Surah An-Nur ayat 32 “dan nikahkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang soleh dari hamba lelaki dan hamba perempuan kamu. Dan jika mereka orang-orang yang fakir nescaya Allah akan menjadikan mereka kaya, dan Allah sangat luas dan sangat mengetahui.

    Jelas, keimanan dan rezeki adalah bersangkut-paut. Rezeki tidak sekadar harta benda kekayaan semata-mata, kebahagiaan dan cinta juga rezeki. Jika bakal suami adalah orang yang soleh, saudari juga orang yang soleh, insyaAllah, Allah akan mendatangkan rezeki. Begitulah janji Allah.

    Memetik dari surah yang sama, ayat 26 surah An-Nur, Allah berfirman:” Wanita yang keji untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji untuk wanita yang keji. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik.”

    Saya pasti saudari sudah menginsafi segala perbuatan lampau dan insyaAllah Allah Maha Penerima Taubat. Janji Allah itu pasti, wanita yang baik untuk lelaki yang baik.

    Moga saudari menemui jodoh terbaik dan soleh.

Ada komen atau soalan?

Your email address will not be published. Required fields are marked *